#

Pembaca

Rabu, Disember 31, 2008

Baru

Angin malam sepoi-sepoi membelai wajahnya. Nyaman terasa membuatkan dia tersenyum sendirian. Langit kelihatan berawan namun dia tidak rasa yang ianya akan hujan pada malam itu. Nun di kejauhan kelihatan cahaya daripada panorama kota menerangi langit di atasnya.

Dia menghela nafas tenang. Kertas renyuk yang di dalam pegangannya sejak tadi dibuka semula dengan hati-hati. Diratakannya kembali sehingga dia dapat membaca baris terakhir yang tertulis.

"Please forgive me. Goodbye sayang."

Pedih kata-kata tersebut sudah tidak lagi terasa sekuat sewaktu kali pertama dibacanya hampir setahun yang lalu. Dia masih ingat lagi kali pertama dia membacanya, ianya terasa terlalu berat sehingga dia tidak mampu berdiri. Dirinya tunduk menyembah bumi menangis teresak-esak kerana sekeping kertas dan sepotong ayat itu. Dia rasa seperti dia kehilangan segala-galanya pada waktu itu. Dia rasa seperti ingin mati sahaja.

Namun kini setahun sudah berlalu. Setahun yang sangat sukar baginya, namun cukup memberi erti. Di dalam setahun ini dia telah merasa mati dan telah juga merasa hidup kembali. Dia telah merasa erti derita sengsara dan dia juga telah disapa sinar bahagia. Dia telah belajar erti patah tumbuh hilang berganti. Dia juga telah belajar untuk nekad dan tidak mahu berpaling lagi.

Ditatapinya tulisan itu buat kali yang terakhir. Dia tidak mahu merasakan apa-apa lagi perasaan terhadap kata-kata yang tertulis itu. Dia telah menerima apa yang berlaku dan dia juga telah memaafkan. Kini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Dia merenyuk semula kertas tersebut dan kemudian melemparkannya jauh-jauh. Matanya menyoroti gumpalan kertas tersebut yang terbang dan terus hilang ditelan kegelapan malam.

Hatinya berasa amat tenang sekali. Penuh syukur dan kasih bahagia. Matanya masih memandang jauh ke hadapan, angin malam masih membelai rambut dan wajahnya. Seketika kemudian kelihatan nun jauh di kota, sekumpulan cahaya terbang menari memanjat langit dan kemudian pecah memuntahkan percikan2 warna warni yang terang benderang diikuti bunyi-bunyi letupan meriah tanda tibanya tahun baru. Dia tersenyum sendirian. Dirasakannya seluruh hati dan tubuhnya juga sedang mengucapkan selamat datang kepada kehidupannya yang baru.



Foto kredit dari sini


*notapenulis : Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua! :)

Selasa, Disember 30, 2008

Resolusi

"Susah sangat ke nak putuskan?" Saman menjeling ke arah Husin di sebelahnya. Husin tidak membalas jelingan itu dan terus memandang ke hadapan.

"Entahlah, aku tak rasa macam nak buat apa-apa pun," balas Husin pendek dan perlahan. Malas untuk melayan barangkali.

"Takkanlah takde benda langsung yang kau nak buat? Abis tu, takde beza lah tahun depan dan tahun-tahun sebelum ni?" desak Saman lagi, tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu topik perbualannya itu mati begitu sahaja.

"Beza tu mestilah ada. Aku adalah benda nak buat, tapi aku taknaklah jadikannya resolusi ke apa ke. Takut nanti kalau tak dapat capai, memang mengundang cela aje," Husin mula rimas. Diangkat sedikit bahu kirinya untuk mengesat peluh yang sudah mengalir hingga ke pipi.

"Ala.. buat apa fikir apa orang nak kata. Ini hidup kau. Inilah masanya kau beri peluang kepada diri kau untuk tetapkan apa yang diri kau nak," tanpa dipinta mulut Saman mula berceramah. Husin menjeling geram. Saman yang memandang ke arah hadapan itu sedar akan jelingan Husin di sebelahnya namun dia berpura-pura tidak melihat.

"Tujuan kita jadikannya sebagai resolusi tu bukanlah untuk warwar atau kecoh2 saja, tapi lebih bertujuan untuk buat diri kita rasa lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, " sambungnya lagi dengan riak wajah yang serius. Bukannya selalu dia dapat mengeluarkan sesuatu nasihat seperti itu. Apatah lagi terhadap Husin yang terkenal dengan sifat pesimisnya itu. Hidungnya kembang kempis bangga.

"Tu aku faham Man. Mungkin aku kurang keyakinan pada diri aku kot. Tapi kau taulah kan, apa-apa je boleh jadi di dalam dunia ni. Itu sebab aku tidak mahu tetapkan apa-apa. Aku takut kalau tak dapat capai nanti.. " akhirnya Husin melepaskan saja apa yang terbuku di dadanya. Namun dia tidak harapkan yang Seman memahami situasinya.

"Jangan risau la Sin. Macam ni, buat masa ni kau tetapkanlah benda2 yang mudah dulu. Misalnya pada tahun depan kau berazam nak kurangkan berat badan 2 3 kilo ke, atau pun kau nak kumpul duit beli tv baru ke. Perkara-perkara yang memang kau tahu kau mampu buat," ujar Saman melangkaui apa yang diharapkan. Husin mengfokus pandangannya ke hadapan, namun kepalanya mengangguk-angguk setuju.

"Hmm, betul jugak ya. Buat apa aku nak letak azam yang hebat-hebat pun kalau tak boleh capai kan. Aku akan bermula dengan yang mudah sajalah dahulu, "kata Husin mahu meyakinkan dirinya.

"Ya. Dan kau tetapkanlah jugak bila kau nak ianya diselesaikan. Takdelah sampai Disember tahun depan baru terhegeh-hegeh nak selesaikannya," Saman puas hati kerana dapat meyakinkan rakannya itu.

"Hmm, betul cakap kau Man. Selama ni perancangan hidup aku berterabur saja dari tahun ke tahun. Hidup dari hari ke hari je. Mulai tahun depan, aku berazam untuk menjadi seorang yang lebih teratur. Azam pertama aku ialah... ," Husin mula mengisytihar dengan penuh keyakinan namun dia terhenti seketika. Mukanya berkerut tiba-tiba.

Jari Husin menarik picu dan raifal buruk kalashnikov itu memuntahkan deretan-deretan peluru. Saman turut menghamburkan peluru raifalnya ke arah yang sama dengan Husin tanpa peduli apa sasarannya. Bunyi tembakan mereka bingit memecahkan hening di kawasan tersebut. Seketika kemudian kedua mereka berhenti dan Husin menyambung katanya tadi, "..azam pertama aku ialah untuk terus hidup dulu. Lepas tu baru aku boleh fikir apa nak buat dengan hidup aku ni!"

"Setuju! Aku pun sama jugak," balas Saman dan bingkas bangun mengikut Husin untuk berpindah tempat kerana tembakan mereka tadi secara tidak langsung telah memberitahu musuh kedudukan mereka. Lebih lama mereka di situ lebih tinggi risiko untuk diserang balas.

Bunyi tembakan kedengaran dari kejauhan dan juga berdekatan. Siapa menembak dan siapa mangsa sudah tidak dipedulikan lagi oleh kedua rakan itu yang kelihatan berlari sambil tunduk sebelum hilang di celah-celah deretan bangunan.

Ahad, Disember 21, 2008

Terbang

"Yahuuuu... akhirnya aku berjaya juga!" jeritnya sepuas-puas hati. Angin membelai deras seluruh tubuhnya. Tidak pernah lagi dia berasa sebegini bebas. Seperti dunia ini dia yang punya. Dia melihat ke bawah. Pemandangan yang terbentang luas di bawah bagaikan menangkap pandangannya. Dia panik seketika. Dia cuba sedaya upaya mengawal dirinya. Akhirnya dia berjaya berhenti di atas sebuah tebing. Dadanya lelah. Dia cuba mengawal pernafasannya. Meredakan lelah dada yang bercampur keterujaan yang amat sangat. Dia masih tidak percaya yang dia dapat melakukannya. Di wajahnya terukir senyuman puas.

"Kau ingat kau boleh ke. Jangan mimpilah. Kau tu kecil lagi. Takkan mampu punya," suatu masa dahulu abangnya pernah melekehkannya. Dia tahu yang dia kecil lagi dan tubuhnya masih jauh daripada mampu. Setiap hari dia melihat abangnya keluar meninggalkan rumah dan pulang menjelang petang dengan wajah kasar dan kotor tapi penuh dengan kepuasan. Sehingga sekarang dia tidak lupa akan wajah abangnya yang sudah terakam jelas di dalam mindanya itu. Walaupun abangnya itu selalu memandang rendah padanya, jauh di sudut hati dia tahu yang dirinya sangat-sangat mahu menjadi seperti abangnya.

"Kau duduk rumah je. Jangan nak mengada-ngada," marah abangnya pada satu ketika dia meluahkan hasratnya. Abangnya tidak pernah membenarkannya untuk pergi ke mana-mana. Arahannya tegas supaya dia sentiasa berada di dalam kawasan tempat tinggal mereka. Kata abangnya di luar itu sangat bahaya. Abangnya kata abangnya pun selalu tidak cukup nafas melarikan diri apabila bahaya mendatang. Apatah lagi dia yang masih mentah itu. Dia takut untuk mengingkari abangnya itu. Namun pada masa yang sama keinginan untuk melihat dunia luar meluap-luap di dalam dirinya.

Lelahnya lega sedikit setelah berehat. Terasa dirinya kuat semula. Dihampirinya hujung tebing. Kali ini dia melihat terlebih dahulu ruang yang terbentang di bawah tebing itu. Inilah dunia yang dikatakan oleh abangnya selama ini. Semuanya dia lihat buat pertama kali. Berbagai-bagai objek yang tidak pernah dikenalinya. Ada yang kecil, ada yang besar. Dia tersenyum puas. Dia akan menerokai segalanya mulai saat ini. Dia akan buktikan pada abangnya yang dia sudah dewasa dan mampu melakukan perkara-perkara yang abangnya lakukan selama ini.

Dia mengangkat wajahnya dan memandang ke arah tempat tinggal dia dan abangnya nun jauh di hujung sebelah sana. Dari kecil dia tinggal dengan abangnya berdua. Dia tidak pernah tahu di mana malah siapa pun ibu bapanya. Abangnya juga tidak pernah berjumpa mereka. Kata abangnya mereka berdua ditinggalkan sejak kecil di situ. Selama ini abangnyalah tempat dia bergantung hidup. Tempat dia bermanja dan menumpang kasih sayang. Namun kini dia sudah boleh berdikari. Dia ingin meringankan beban abangnya. Dia ingin bersama-sama abangnya menerokai dunia yang luas.

Seketika kemudian dia melihat samar-samar abangnya keluar dari rumah seperti tercari-cari. Abangnya sudah balik rupanya. Mesti abangnya sedang mencari dirinya. Dia keluar tanpa memberitahu abangnya. Masakan abangnya akan beri izin dia untuk keluar. Namun dia pasti abangnya akan memaafkannya setelah melihat keupayaannya. Tanpa berlengah lagi dia terus mengerbangkan kepaknya dan maka terbanglah ia daripada hujung tebing tinggi itu. Badannya tegap, kepaknya kembang megah, dan di rautnya jelas kelihatan rasa bangga dirinya dengan kebolehannya itu. Dia ingin abangnya menyaksikannya.

"Abang!!Abang!!" jeritnya sekuat hati. Abangnya terus menoleh ke arahnya. Wajah abangnya jelas terkejut. Namun dia tetap tersenyum bangga dan terus terbang dengan megah. Menuju ke arah abangnya yang masih kelihatan seperti tidak percaya. Menuju ke arah masa depan mereka berdua bersama-sama menerokai dunia luas yang telah pun terbayang di fikirannya. "Lihatlah bang. Adikmu sudah dewasa," bisik hati kecilnya. Dan ketika itulah dia lihat abangnya menjerit, "Adikkkkkk!!!!!!"

****

"Pap!" bunyi suratkhabar yang dilipat tebal-tebal itu berlaga dengan sesuatu. Sekonyong itu jatuhlah sesuatu hasil dari perlanggaran tersebut ke atas lantai. Amin melihat ke arah tempat jatuh tersebut. Seekor lipas sederhana besarnya sedang terkial-kial ingin bangkit daripada jatuh. Tidak mahu memberi peluang ia melepaskan diri, Amin menghayun suratkhabar itu buat kali yang kedua dan terakhir.

****


kredit foto hiasan daripada sini

Jumaat, Disember 19, 2008

Span

"Awak adalah ibarat span," cikgunya memulakan bicara.

Dia diam saja. Wajah cikgunya itu dipandangnya. "Span? Kenapa span?" Fikirannya tertanya-tanya. Bagaikan memahami riak wajahnya yang memerlukan penjelasan lanjut, cikgunya menyambung kata-kata.

"Cikgu lihat apa yang cikgu ajar selama ini awak memahaminya dengan mudah. Bukan setakat itu sahaja, awak juga mempunyai sikap ingin tahu yang kuat yang menyebabkan awak tidak akan puas dengan ilmu yang cikgu beri. Cikgu selalu rasa yang awak seperti menarik dan menyerap ilmu daripada cikgu dan bukan cikgu yang menyampaikannya kepada awak."

Dia masih terdiam. Dia cuba bayangkan kata-kata cikgunya itu terserap ke dalam mindanya bagaikan air terserap ke dalam span. Dia tidak nafikan yang selama ini memang mudah bagi mindanya untuk menerima sesuatu pelajaran, walau di dalam apa bidang sekalipun. Pelajaran baginya ialah suatu yang menarik secara semulajadi. Pengetahuan adalah suatu perkara yang dia sentiasa dahagakan. Dia ingin tahu tentang semua perkara. Mungkin itu agaknya yang dimaksudkan oleh cikgunya itu.

"Tapi cikgu, kalau saya macam span, maka saya akan ada hadlah untuk penerimaan tentang sesuatu. Span pun akan penuh dengan air juga satu hari nanti kan," span pemikirannya mula memicit dan memuntah kembali pertanyaan.

Cikgunya tersenyum. Jelas dia sudah mengagak yang sesuatu akan keluar daripada mulut anak muda ini, tindakbalas yang secara tidak langsung menyokong penjelasannya tadi.

"Ya, tetapi awak adalah ibarat span yang sangat besar. Kapasiti minda awak tidak dapat diduga. Dan lagi, awak boleh sahaja keluarkan pendapat dan aplikasi berkenaan sesuatu itu semahu awak. Dengan kata lain, awak boleh kawal picitan span untuk mengeluarkan air dengan jumlah yang perlu sahaja. Ianya bukanlah satu perkara yang sehala sahaja," jelas cikgunya panjang lebar.

Dia tersenyum mendengar penjelasan cikgunya itu. Cikgunya memang pandai bermain kata-kata. Pandai membuat perumpamaan dan penjelasan yang mudah difahami anak-anak muridnya.

"Terima kasih cikgu. Saya hargai pandangan cikgu terhadap saya," ikhlas dia membalas kata-kata cikgunya itu.

"Tapi saya harap saya bukanlah span yang hanya pandai menyerap, tetapi juga pandai mengeluarkan pengetahuan yang diperolehi pada tempat-tempat yang sepatutnya," sambungnya lagi.

"Walaupun span menyerap secara semulajadi tetapi ia memerlukan daya luaran untuk mengeluarkan apa yang diserapnya. Ini bermaksud awak perlu samada mengeluarkannya sendiri dengan upaya awak, ataupun ianya akan terkeluar sendiri apabila ada tekanan daripada luar. Macam mana sekalipun, ianya tidak akan terkumpul tidak berguna begitu sahaja. Awak janganlah risau. Cikgu percaya yang awak berkeupayaan melakukannya, " balas cikgunya memberi keyakinan.

Dia mengangguk-angguk tanda memahami. Diucapkannya terima kasih sekali lagi bagi menamatkan sesi temubual dengan cikgunya itu. Sambil berjalan keluar kelas, fikirannya terus tertumpu terhadap nasihat cikgunya tadi. Dia sukakan konsep yang diberikan terhadap pemikirannya itu. Dia berazam untuk terus belajar dengan tekun, menyerap segala ilmu pengetahuan dengan harapan bila dia besar nanti dia dapat menggunakan ilmu dan kebolehannya untuk menjadi manusia yang berguna. Bagaikan span yang berguna di sinki dapur.

Sejurus kemudian kedengaran satu suara memanggilnya. "Bob, marilah kita pulang bersama-sama," dia menoleh ke arah suara tersebut dan tersenyum melihat kawan baiknya, Patrick sedang tersengih lebar sambil berlari-lari anak ke arahnya. Kedua mereka kemudiannya berjalan beriringan pulang sambil menyanyikan lagu kegemaran mereka.





Riang gembira (gambar hiasan)

Rabu, Disember 17, 2008

Zirafah

"Kenapa kau suka kat dia?" tanya Rina tiba-tiba. Eli yang sedang asyik memerhatikan zirafah mengunyah daun dari tadi sedikit tersentak. Namun matanya tidak dialihkan daripada rahang zirafah itu yang bergerak ke kiri ke kanan berulang-ulang menghancurkan daun-daun renek bersama-sama ranting-ranting kecil.

"Sebab dia baik" ringkas jawapan Eli di dalam sedar tak sedar. Rina memandang ke arah yang dipandang oleh kawannya itu. Kini bertambah sepasang lagi mata memerhati rahang yang tidak henti-henti mengunyah.

"Tu je ke? Lagi?" desak Rina tak berpuas hati. Hatinya sedikit geram. Geram pada Eli yang endah tak endah pada soalannya. Geram pada zirafah yang tak henti-henti makannya. Geram pada apa yang menarik sangat pada zirafah itu hingga Eli tidak mahu memberi perhatian kepada soalannya. Rahangnya yang bergerak2 aneh itu kah? Ataupun dua tanduknya yang hidup segan mati tak mahu itukah?

"Mm tu jelah. Nak kena ada banyak sebab ke?" Eli mempertahankan pendiriannya. Fikirannya tertanya-tanya kenapa zirafah itu makan tak henti-henti. Sambil-sambil itu cari sebab lagi.

"Taklah. Baik maksud kau tu macam mana?" Rina cuba memahami jawapan Eli. Dia tidak mahu mengalah. Selagi zirafah itu tak berhenti mengunyah, selagi itu dia tidak akan berhenti bertanya.

"Baik lah. Dia layan aku baik" terang Eli mudah. Fikirannya sibuk mempertimbangkan mungkin sebab leher zirafah itu panjang maka kena makan banyak-banyak. Namun rasional jawapan itu dia tidak nampak mahupun faham.

"Hmm aku tak faham" rungut Rina kecil hampir tak kedengaran. Baginya, samada kawannya itu tidak ada jawapan yang kukuh, ataupun lebih berminat kepada rahang zirafah itu daripada kemusykilannya.

"Apa yang kau tak faham?" Eli mula beri perhatian pada rakannya itu. Dia boleh agak daripada suaranya yang Rina seperti ambil hati. Namun fikirannya masih memikirkan perihal zirafah itu. begitu juga matanya yang masih menatap tanpa bosan. Sengaja dia tidak mahu memandang Rina.

"Yalah kalau setakat baik, pakcik jual air tebu tepi jalan sekolah tu pun layan kau dengan baik apa. Selalu bagi kau air tebu percuma. Kenapa kau tak pilih pakcik tu je?" aju Rina membuatkan Eli kembali tersentak. Zirafah yang dipandangnya tidak kelihatan lagi, dan terbayang wajah pakcik air tebu yang manis mukanya dan baik hatinya. Dia tersenyum apabila realiti menerpa dan zirafah itu menoleh ke arahnya. Bagaikan tahu yang dia mengelamun ke lain walaupun memandang ke arahnya.

"Ish kau ni. Aku tak suka pakcik tu takkan aku nak pilih dia pulak" Eli sedikit defensif sambil menjeling Rina dengan dahi yang berkerut. Dia tidak suka bertentang mata dengan zirafah yang terus memandangnya dengan rahang yang masih mengunyah. Takut fikirannya dibaca zirafah itu barangkali.

"Jadi maksud kau kedua-dua pakcik tu dan dia baik, tapi kau pilih dia sebab kau suka dia lah ya" simpul Rina yang tidak ingin mengusut lanjut fikiran kawannya itu. Namun hatinya sedikit gembira kerana setidak-tidaknya Eli mengalih pandangan dan perhatian kepadanya. Rasa seperti berjaya menewaskan zirafah tersebut.

"Haah" Eli kembali lega melihat Rina yang kelihatan seperti berpuas hati dengan jawapannya itu. Harapnya Rina tidak akan bertanya lanjut pasal pakcik air tebu mahupun pasal kenapa dia begitu berminat dengan zirafah tadi.

"So, kenapa kau suka dia dan bukan pakcik jual air tebu tu?" tiba-tiba terpacul lagi soalan dari mulut Rina. Kini Rina sudah dapat perhatian Eli, fikirnya untuk tidak mensia-siakan peluang itu. Dia takkan biarkan perhatian Eli kembali kepada zirafah yang masih melihat ke arah mereka berdua. Masih mengunyah.

Eli tidak menjawab. Dia memandang muka Rina yang tersenyum menantikan jawapan daripadanya. Jawapan yang dia tidak punyai. Perlahan-lahan dia mengalihkan kembali pandangannya kepada zirafah tadi yang masih memandangnya dengan mulut yang masih tidak berhenti mengunyah ke kiri dan ke kanan.

Mata mereka bertentang. Jika zirafah itu mahu baca fikirannya, maka bacalah. Dia juga bagai ingin mengetahui apa pandangan zirafah itu setelah membaca mindanya. Sedar tidak sedar dia bagaikan tercari-cari jawapan persoalan tadi di sebalik mata hitam zirafah itu. Dengan perlahan-lahan, zirafah tersebut berpaling memandang ke arah lain sambil mulutnya tetap tidak berhenti mengunyah. Sekaligus menidakkan harapan Eli untuk mendapat sebarang petunjuk. Eli mengeluh kecil. Rina menanti dengan senyuman di bibir.



gambar hiasan

notakaki (2jan09): tajuk cerkon ini pada asalnya ialah "Sebab" tapi ditukar sebab semua orang panggilnya cerita zirafah. :p


Selasa, Disember 16, 2008

Bergantung

Manusia, di dalam sedar dan tidak, akan terpengaruh dengan sekelilingnya. Seorang anak kecil melihat mainan di kaca tingkap kedai dan merengek minta ibunya membeli. Dua orang gadis belasan tahun duduk di kaki lima jalan, khusyuk mendengar petikan gitar dan suara nyanyian seorang penghibur jalanan. Tiga orang pemuda berjalan menuju ke sekumpulan manusia lain yang sedang mengerumuni sesuatu di hujung simpang. Dia tidak mempedulikan semua itu dan terus berjalan.

Anggapannya normal untuk manusia bertindakbalas dengan keadaan persekitarannya. Namun satu perkara seperti tidak menepati andaiannya pada ketika itu. Seorang pengemis tua berambut kusut berjambang dan berbaju lusuh sedang duduk bersandar di tepi dinding bangunan. Kelihatan seperti langsung tidak mempedulikan persekitarannya. Dia memperlahankan langkahnya. Melihatnya mendekati, pengemis itu langsung menghulurkan tadahan tangan. Sangkanya mahu diberi sesuatu. Tanpa henti dia terus melewati sang pengemis. Kecewa sedikit kerana pengemis juga tidak menepati apa yang dicari. Boleh jumpa atau tidak apa itu, dia pun tidak pasti.

Sebuah kereta mewah berhenti di tepi jalan di depan kedai. Matanya memandang sedikit berminat. Namun bukan kereta yang jadi perhatiannya. Pintu terbuka dan keluar seorang lelaki. Segak. Rapi. Mewah juga. Lelaki itu memandangnya seketika, dan kemudian berpaling berjalan masuk ke kedai. Bahunya turun tanda sedikit hampa. Mungkin dia separuh mengharap yang keluar tidak akan setanding dengan kereta. Kakinya melangkah ke atas jalan. Lihat kiri kanan dan melintas.

Pengaruh sekeliling yang paling besar ialah pengaruh manusia lain. Mengapa manusia tidak boleh hidup sendiri? Mengapa kita perlukan satu sama lain untuk terus hidup? Lima deria anugerah untuk interaksi. Interaksi bawa kepada pengaruh. Pengaruh bawa kepada pergantungan. Padanya itu semua hanya di dalam minda. Semasa kecil bergantung fizikal dan mental pada ibubapa. Semasa besar fizikal sudah boleh merdeka, namun minda masih tidak. Masih ingin bergantung.

Dia bukanlah mahu lari dari fitrah. Dia pun manusia biasa. Dia turut dipengaruhi persekitaran seperti orang lain. Dia ingin bebas tetapi selagi makna bebas itu tidak difahaminya, dia tidak mungkin akan dapat bebas. Memilih untuk bergantung fizik dan minda juga mungkin sejenis kebebasan. Dia tidak mahu fikir lagi. Perutnya bertindakbalas apabila hidungnya terbau yang enak dan matanya melihat papan tanda kedai sesampainya dia di seberang jalan. Dia akur yang dia masih tidak bebas, dan kakinya terus melangkah ke dalam restoran ayam goreng segera itu.




Rabu, Disember 10, 2008

Gangguan

Dia menarik nafas dalam-dalam. Ini bukan kali pertama dia menghadapi saat-saat begini. Namun sudah lama dia tidak menghadapinya. Hatinya bagai separuh yakin dan separuh tidak bahawa dia akan berjaya melaluinya. Namun dia perlu cuba juga. Berpantang maut sebelum ajal orang kata.

Hati kecilnya kagum dengan kawan-kawannya yang berjaya melaluinya. Malah dia tahu ramai yang dapat melakukannya dengan mudah. Namun bukan dia. Konsep melakukan lebih daripada satu perkara di dalam satu masa (multi-tasking) memang tidak sesuai untuk dirinya. Dia bukan sahaja tidak boleh memandu sambil menaip sms yang memang tidak masuk akal baginya, malah perkara2 yang asas seperti berbual sambil menonton tv pun dia memang tidak mampu buat.

Tapi itu memang jika dia ingin melakukan 2 perkara pada satu masa. Masalah yang dihadapinya sekarang ialah dia hendak melakukan satu perkara sahaja. Namun begitu, terdapat satu perkara yang lain yang mengganggu tumpuannya pada masa yang sama.

Dia cuba fokus perhatiannya terhadap kerjanya untuk mengabaikan gangguan itu. Dibiarkan sahaja gangguan itu datang dari kiri dan kanan. Dia tidak dapat berfikir apa-apa tentang kerjanya. Dia cuba lebih fokus lagi. Kali ini ianya datang dari depan dan belakang dan dari sekelilingnya. Semakin dia fokus semakin kuat rasanya gangguan itu. Dia mengeluh hampa. Kali ini dia gagal.

Namun dia tidak akan patah semangat untuk terus mencuba. Baginya segala-gala boleh dilakukan jika ada azam yang jitu. Jika ditakdirkan pada satu masa nanti dunia akan memerlukannya untuk melakukan beberapa perkara penting di dalam satu masa dengan gangguan yang lebih banyak di sekelilingnya, dia tidak mahu gagal dan menyebabkan dunia musnah hanya kerana kegagalannya menangani perkara2 dan gangguan2 tersebut.

Dia kembali bersemangat. Namun rasanya cukuplah buat hari ini. Dia pasti akan mencabarnya lagi nanti. Dengan azam yang kukuh dan jati diri yang tinggi tangannya mencapai punat dan menutup radio yang dari tadi mengganggu konsentrasinya untuk menulis.

Selasa, Disember 09, 2008

Ubat 2

Hari ini bakal menjadi hari yang memenatkan baginya. Dari pagi perutnya meragam dan sakit bagaikan dipulas2 dan diperah2 ususnya. Bukan main lagi. Dia sedar ianya mungkin berpunca daripada angin kerana ini bukanlah kali pertama dia menghadapinya. Ubat-ubat preskripsi doktor dahulu masih ada lagi di dalam simpanannya.

Dia pun mula membelek satu persatu. Paket yang pertama tertulis "Buscopan". Di bawahnya pula tertulis "T.S. perut" yang mungkin bermaksud "tahan sakit perut". Dibukanya paket itu dan sebiji pil kecil berwarna putih dimasukkan ke mulutnya.

Paket kedua tertulis "Pem" di ruang nama dan di ruang kegunaan pula tertulis "Demam". Dia terdiam sebentar sementara fikirannya membuat diagnosis pantas samada dirinya sedang demam ataupun ada rasa-rasa seperti mahu demam. Sejurus kemudian dia mencampakkan paket ubat itu ke tepi.

Paket seterusnya tertulis "comotif" atau "lomotif" atau "comotil", mindanya tidak dapat memutuskan yang mana satu betul. Sekilas pencarian "lomotif" di Google membuahkan berderai-derai hasil tentang kepala keretapi namun Google juga tidak lupa untuk bertanyakan kembali "Did you mean : lomotil?". Dia tersenyum sendirian dan meneruskan mengkaji sedikit sebanyak latar belakang ubat yang bakal ditelannya.

Sambil sebelah tangannya memasukkan kapsul lomotil itu ke dalam mulutnya, tangan sebelah lagi sudah mencapai paket seterusnya. Kali ini dia faham terus. Dibukanya paket ubat bertanda "Carbon" dan bertulis "angin" di ruang kegunaannya, dikeluarkan sebiji pil hitam seperti arang itu dan sambil melupakan yang ianya memang arang dia menelannya dengan sekali telan.

Tinggal lagi satu jenis sahaja lagi. Tetapi kali ini ada 3 paket yang sama. Berwarna biru bertulis "UphaLyte". "Garam rehidrasi ke.." fikirnya sendirian. Dia bukan tahu pun apa maknanya. Dia cuma terjemahkan daripada tulisan "Oral Rehydration Salts" yang tertulis di paket. Itupun dia sengaja tidak mahu terjemahkan kesemuanya. Takut hilang selera menelan ubat nanti.

Nampaknya hari ini dia tidak memilih sangat. Mungkin tidak tertahan sangat sakitnya pada pagi itu sehingga membuatkan dia menelan kesemua ubat yang diprekripsi oleh doktor tersebut. Tetapi degilnya tetap ada. Ubat demam langsung tidak disentuhnya. Walaupun menjelang malam dia berasa kepalanya berat akibat sehari suntuk menahan sakit pada perutnya, namun dia tetap berdegil. Baginya ubat demam ialah untuk orang demam, dan bukan untuk orang sakit perut.

Ekstasi

Dahinya mula berpeluh. Dia tidak menyangka ianya akan menjadi begini. Tenaga dari sekeliling seolah-olah dipaksakan ke dalam dirinya sebegitu rupa sehingga badannya seperti susah hendak dikawal lagi. Kesemua lima derianya dirangsang hebat. Matanya khayal melihat kerlipan-kerlipan gila. Telinganya bagai dirasuk raungan tenaga yang dari tadi menusuk ke dalam diri dan jiwanya. Hidungnya mengejar nafas yang bagai tidak cukup-cukup. Tangannya bagai tidak puas menggapai langit, ingin menyentuh apa sahaja yang dapat dari julangan jemarinya ke udara. Tekaknya kering dari jeritannya yang dilepaskan dari tadi lagi.

Di sebalik semua itu, dia masih tidak berasa penat. Gema jerit manusia di sekelilingnya bagai rasukan gila yang membekalnya tenaga yang tidak putus-putus. Bunyi semakin kuat dan jeritan yang menyambutnya gamat sekali. Aliran adrenalin jelas terasa di dalam urat-uratnya menyebabkan dia ingin melompat sekuat-kuatnya. Dia melepaskan jeritan yang kuat untuk meredakan tenaganya yang dirasakannya bertambah setiap saat.

Namun tenaganya tidak reda. Kaki dan tangannya tidak tertahan lagi. Dia tidak peduli lagi siapa dirinya. Dia tidak peduli di mana dia berada. Dia tidak peduli siapa di sekelilingnya. Degup jantungnya amat kencang. Serentak itu, bunyi dentuman gitar yang berat diiringi hentakan rentak dram yang bertenaga bergema kuat. Dia melompat setinggi-tinggi dayanya dan menjerit bersama-sama ribuan yang lain melepaskan segalanya daripada diri mereka.

"I want it now.. I want it now... give me your heart and your soul.." alunan penuh perasaan penyanyi kumpulan Muse itu mendayu, menguja dan menyemarak dirinya di celah-celah lautan gila manusia yang memenuhi segenap ruang dewan konsert pada malam itu.

Jumaat, Disember 05, 2008

Tersepit

“Seronokkan cerita tadi,” berbunga hatinya menyapa. Temannya mengangguk tanda setuju. Temannya itu memang berat mulut, namun dia tidak kisah asalkan sudi bersamanya di kala hujung minggu begitu. Berdua mereka berjalan keluar beriringan.


“Lepas ni kita nak ke mana?” tanyanya riang. Temannya memandang mukanya dan tersenyum. Dia sedikit tersipu apabila dipandang sebegitu. Bukan dia tidak biasa dipandang, cuma lirikan mata temannya kali ini sedikit dalam, seperti sedang membaca fikirannya.


Temannya menghulurkan tangan. Sejurus disambut tangannya itu digenggam erat. Serentak bagaikan ada satu aliran tenaga yang mengalir akibat sentuhan mereka, bulu romanya sedikit meremang. Jantungnya mula berdebar serta terasa mukanya hangat. Dia memaling ke arah lain, cuba menyorokkan senyuman yang tidak dapat ditahannya lagi. Saat itu hatinya berasa sangat bahagia. Harapnya agar saat itu tidak akan berakhir.


Suasana hening bahagia itu dipecahkan oleh nada dering telefon bimbitnya. Dengan hati yang berat dia melepaskan pautan tangan penuh kasih itu. Tas tangannya dibuka untuk mencari telefon bimbitnya.


“Hellooo,” sengaja dileretkan jawabnya. Senyuman bahagia tetap tidak lekang sambil matanya melirik manja ke arah temannya yang hanya tersenyum.


“Ya, di rumah. Duduk-duduk saja tengok tv,” sambil berjalan tangannya yang bebas dihulurkan kepada temannya. Tidak bersambut. Temannya sedang sibuk menyeluk poket mencari sesuatu.


“Mm I miss you too sayang,” manja sekali suaranya membalas belai suara di hujung talian. Wajahnya dipalingkan dengan harapan tidak kedengaran oleh temannya itu.


Tit toot! berdesing bunyi kereta dibuka kunci. Temannya itu memandangnya sambil berdiri di sebelah kereta.

"Cepatlah sayang, you cakap dengan siapa tu?" luahan pertama temannya sejak mereka keluar dari panggung tadi.


"Bunyi apa tu sayang? Kata sayang di rumah? Kenapa ada bunyi kereta?Suara siapa tadi tu?" bertubi-tubi soalan diaju oleh suara di hujung talian. Dia kaget. Senyumannya hilang entah ke mana. Fikirannya pantas mencari alasan. Dia tersepit.

Rabu, Disember 03, 2008

Detik

Mesinnya meluncur laju melalui jalan lurus itu. Dia sedikit lega namun fokusnya tidak hilang. Keadaan mesinnya bagus. Dia pasti setelah melalui selekoh yang pertama tadi. Tetapan kawalan, pecutan dan breknya pada tahap optimum. Suhu tayarnya serasi dengan keadaan jalan yang kering itu. Dia menujah gear yang kelima dan menghenyak pedal minyak. Derum enjinnya kembali meningkat.

Fikirannya mula fokus ke selekoh yang seterusnya. Walaupun masih belum kelihatan, namun dia sudah pun bersedia. Dia tahu yang selekoh ini tajam dan memerlukannya untuk turun sehingga ke gear kedua bergantung pada kelajuannya. Pengalaman dan latihan menjadikan badannya tahu apa yang perlu dilakukan sebaik masuk ke selekoh tersebut nanti. Yang penting baginya sekarang ialah detik yang tepat di mana brek perlu ditekan.

Detik brek ditekan akan menentukan segala-galanya. Ianya perlu sempurna. Sedetik lambat, dan mesinnya tidak akan sempat untuk menyahpecut dan kemungkinan akan terbabas. Sedetik awal, dan mesinnya akan kehilangan momentum dan ini akan menjejaskan kelajuannya keluar daripada selekoh itu nanti. Sememangnya keupayaan untuk memutuskan detik ini merupakan penentuan terhadap tahap kehebatan seseorang di dalam bidang sepertinya.

Bayangan bekas rakan sepasukannya terlintas di fikiran. Tahun lepas di selekoh inilah mesin yang dipandu rakan sepasukannya telah terbabas dan mengakibatkan kemalangan yang menamatkan kariernya. Rakannya bernasib baik kerana hanya kariernya sahaja yang tamat, dan bukan nyawanya. Dia belum pernah terbabas lagi, dan hari ini dia tidak mahu memecahkan rekod itu. Segala-galanya kini bergantung kepada keupayaannya untuk memutuskan detik keramat tersebut.

Ruang masuk ke selekoh mula kelihatan dari kejauhan. Tangannya kejap menggengam stereng. Kaki kanannya masih melekat pada pedal minyak yang dari tadi mencecah lantai mesin. Matanya memfokus pada garisan yang akan dilaluinya. Dia menahan nafas.



Selasa, Disember 02, 2008

Laju

Jam menunjukkan pukul 8.45 pagi. Dia semakin tak senang duduk. Terasa masih begitu jauh perjalanannya. Dia mencongak-congak anggaran masa ketibaannya kelak. Dahinya semakin berkerut. Dia sedar yang dia pasti akan lambat. Hatinya geram apabila teringat peristiwa tadi.

"Saya dah lambat dah ni. Saya turunkan awak kat sini saja ya," cadangnya kepada isterinya yang sedang mengelamun di sebelah.

"Eh, mm baiklah bang," setuju isterinya dalam teragak. Pintu kereta dibuka dan isterinya turun. Sebelum menutup semula pintu sempat isterinya berpesan,"Drive baik-baik ya bang."

Dia mengangkat tangan kirinya tanda perpisahan dan terus menekan minyak. Kepalanya sibuk menghitung masa. Dia tidak mampu lagi untuk membazirkannya walau sesaat. Dipandunya selaju yang dia rasa selamat. Dia masih waras untuk tidak memecut sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Kenapalah time2 aku nak pergi kerja nilah dia mintak hantar ke sana ke mari. Karang aku lambat masuk kerja aku jugak yang kena marah," rungutnya sendirian.

Sebenarnya dia tidaklah risau akan dimarahi jika sampai sedikit lambat ke pejabat, dia cuma mahu isterinya memahami kedudukannya yang bekerja demi kehidupan mereka sekeluarga. Dengan kerjanya itulah dia dapat memberi makan anak isterinya. Dia cuma mahu isterinya itu juga meletakkan kerjanya sebagai keutamaan di dalam hidup mereka, sebagaimana yang dilakukannya selama ini.

Tiba-tiba dia mengilas stereng ke kiri. Keretanya berayun ke kiri dan dia berjaya mengelak sebuah lubang yang agak besar di tengah-tengah jalan. Namun sebelum sempat dia masuk kembali ke tengah jalan dia perasan akan sebuah motor di hadapannya. Dengan pantas stereng kereta dikilas ke kanan semula dan keretanya berjaya mengelak melepasi motor tersebut dengan jarak yang sangat mendebarkan.

Seketika kemudian dia diam sambil tangan dan kakinya terus memandu. Walaupun dia tahu yang dia tidak laju mahupun cuai di dalam pemanduannya tadi, namun dia tahu yang malang tidak berbau. Apa-apa pun boleh terjadi di dalam hidup ini. Dia terfikir, andainya berlaku sesuatu yang tak diingini, berbaloikah segala-galanya?

Dia rasa seperti hidupnya selama ini sentiasa di dalam keadaan terburu-buru. Bagaikan mengejar sesuatu. Fikirannya seolah-olah tidak berada di masa sekarang, tetapi berada di masa hadapan. Dia terlalu memandang ke hadapan sehingga dia tidak perasan apa yang berlaku di sekelilingnya lagi. Dia tidak ingat untuk bertanyakan perihal keputusan peperiksaan anaknya sebelum menghantarnya ke sekolah tadi. Dia juga tidak perasan yang langsir rumahnya telah bertukar ke warna lain. Dia hanya tahu setelah diberitahu isterinya . Itupun dia cuma mengiyakan dan tidak kisah pun untuk memberi sebarang pendapat. Bilakah kali terakhir mereka berbual? Dia teringat satu ketika dahulu dia tidak pernah lupa untuk mengucup sayang isterinya setiap kali berpisah. Dia mula merindui hidupnya.

Dia menarik nafas dalam-dalam, dan kemudian dilepaskannya bersama-sama segala yang dirasakan tidak penting lagi. Bahunya mengendur sedikit, dan kerut dahinya sudah tiada. Tangannya mencapai telefon bimbitnya dan jarinya menekan nombor telefon isteri kesayangannya.


Jangan memandu sambil bertelefon (gambar hiasan)

Isnin, Disember 01, 2008

Jem

Dia tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dilemparkan ibunya itu. Pedih telinganya. Sakit hatinya. Dia sudah lama bersabar dengan keadaan ini. Ibunya memang begitu. Dari dulu lagi dia tidak boleh bertanya soalan yang salah. Pasti jawapan yang diberi akan menyakitkan hati. Bagaikan ibunyalah yang tahu segala-galanya dan dia hanya seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Kadang-kadang dia berasa amat sedih. Adakah benar dia ini anak kandung ibunya? Mengapakah dia tidak dapat kasih sayang sebagaimana orang lain? Dia cukup cemburu melihat Noni, jiran sebelahnya yang selalu bermanja-manja dengan ibunya. Segala pertanyaan Noni akan dijawab oleh Mak Minah dengan sabar dan belai manja. Selalu airmatanya mengalir tanpa disedari apabila melihat kemesraan dua beranak itu.

Kini dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Kali ini dia tekad. Apa nak jadi jadilah. Dia tahu yang dia benar dan ibunya salah. Dia akan membuktikannya. Semoga ibunya sedar dan berubah. Semoga satu hari nanti hubungan mereka akan sebaik hubungan Noni dan Mak Minah, jika tidak lebih baik. Tapi sebelum itu, dia harus lakukan perkara ini.

Tangannya membuka peti ais dan mencapai balang mentega kacang itu. Ditelitinya label balang tersebut dan seketika kemudian matanya tersenyum sinis. Disuakan balang itu kepada ibunya.

"Aaa betulla dia tulis kat sini ' Do not refrigerate'. Tu sebab Nis biar kat atas meja. Tu pun mama nak marah," hujahnya kepada ibunya yang menyambut balang itu dan membelek seketika label yang disebutkan.

"Yelah, memang 'peanut butter' ni tak payah masuk peti sejuk, tapi masalahnya Nis biarkan sekali dengan jem stroberi tu kat atas meja. Cuba tengok kat balang jem tu tulis apa," balas ibunya pula.

Dia mencapai balang jem stroberi yang disebutkan ibunya dan membelek labelnya lagi. Sebaik matanya menangkap tulisan 'Keep refrigerated' yang terpapar, hatinya bagaikan hancur. Ibunya menang lagi. Dia terus menutup pintu peti sejuk dan berjalan muram menuju ke biliknya semula. Niatnya untuk menjamah roti dengan jem dan mentega kacang tadi dilupakannya sahaja.

Dia merebahkan badannya ke katil. Kedengaran samar-samar bebelan ibunya tak henti-henti. Tangannya mencapai buku latihan Bahasa Inggeris tahun 1 di atas meja tulisnya dan menekup telinga dan mukanya sambil fikirannya menerawang membayangkan arnab-arnab comel berlari-lari di padang yang luas menghijau.

Ahad, November 30, 2008

Tertekan

Tertekan. 'Stressed' kalau di dalam bahasa inggerisnya. Mengapa tertekan? Ada macam-macam sebab dan kemungkinan. Berikut adalah antaranya.

1. Mungkin kerana keadaan yang tidak menyebelahi. Contohnya bangun pagi di hujung minggu dan tiada apa-apa makanan untuk dimakan di rumah. Tertekan.

2. Mungkin kerana salah sendiri. Contohnya kelaparan di hujung minggu dan tiada makanan di rumah tetapi terlalu malas untuk bangun dari katil, mandi dan keluar mencari makanan. Tertekan.

3. Mungkin juga kerana kegagalan diri untuk melakukan perkara2 asas kehidupan yang dianggap remeh. Contohnya kelaparan di rumah pada hujung minggu namun tidak dapat cari nombor telefon penghantaran pizza. Tertekan.

4. Mungkin kerana kegagalan orang lain untuk melaksanakan tugas seperti yang diharapkan. Contohnya kelaparan di hujung minggu namun pesanan penghantaran pizza tak kunjung tiba walaupun setelah dihubungi berkali-kali. Tertekan.

5. Mungkin juga kerana perkara yang tidak dijangka datang dan merosakkan suasana. Contohnya di kala kelaparan dan tangan ingin mencapai potongan pizza panas yang pertama, tiba-tiba belakang badan yang tidak berbaju terasa gatal. Tertekan.

6. Mungkin juga kerana musibah yang datang bertimpa-timpa. Contohnya sedang kelaparan tetapi terpaksa menggaru belakang badan kerana gatal namun tangan pula tidak sampai. Tertekan.

7. Mungkin juga kerana usaha menemui kegagalan. Contohnya setelah jumpa penggaru untuk menggaru gatal di belakang badan namun setelah digaru merata masih tidak dapat jumpa di mana titik punca gatalnya. Tertekan.

8. Mungkin juga kerana tiada perancangan yang rapi di dalam kehidupan. Contohnya setelah kekenyangan akibat melahap sekeping pizza besar, rakan-rakan datang berkunjung tanpa memberitahu lebih awal dan membawa bersama mereka makanan yang banyak, iaitu pizza. Tertekan.

9. Mungkin juga kerana ketidakupayaan diri yang agak ketara. Contohnya tidak dapat sertai perbualan rakan2 yang berkunjung ke rumah tentang bolasepak kerana tidak berpengetahuan tentang topik tersebut. Tertekan.

10. Mungkin juga kerana sistem biologi diri yang kucar kacir. Contohnya tidak mahu makan sewaktu ada makanan kerana terasa kenyang namun sebaik sahaja rakan2 pulang dan makanan sudah habis barulah perut mula terasa lapar semula. Tertekan.

Begitulah antara sebab2 seseorang itu tertekan. Salah satu cara untuk mengatasi perasaan tertekan ini ialah dengan menutup mata dan membayangkan diri berada di sebuah padang seluas mata memandang tanpa sesiapa dan apa2 di sekeliling, hanya dipenuhi rumput menghijau dan dipagari langit yang biru. Kemudian bayangkan samar2 pelangi menghiasi biru langit itu. Dan jikalau boleh, bayangkan juga arnab2 comel yang girang berlari ke sana ke mari.


Jumaat, November 28, 2008

Arnab

Sesuatu melintas di hadapannya. Terlalu laju bagaikan kilat dari kanan ke kiri. Kecil dan pantas. Binatang. Mungkin arnab. Dia menuruti jejak arnab itu ke arah semak di sebelah kirinya. Sebaik tangannya menyelak serimbun dedaun yang bagaikan pintu masuk ke semak tersebut, matanya menangkap lagi bayangan arnab tadi yang menyusup lari dan kemudian hilang daripada pandangannya.

Dia senyum sendirian dan tangannya melepaskan rimbunan tadi. Matanya meliar seketika dan dia mula berjalan mengelilingi kawasan semak itu. Moga-moga dia bertembung lagi dengan arnab itu. Dia masih tidak puas melihatnya. Elok sahaja dia sampai ke sebelah sana semak, dia melihat arnab tersebut sedang bersungguh2 lari ke arahnya seolah-olah arnab itu sangka yang dia tadi telah masuk ke semak tersebut untuk mengejarnya. Dia menunggu tidak bergerak.

Lagi 5 meter untuk bertembung dengannya, arnab tersebut tiba2 sedar akan apa yang menanti di hadapannya. Panik jelas kelihatan di wajah arnab itu. Dengan pantas arnab itu cuba sedaya upaya untuk mengubah haluan lariannya 180 darjah. Momentum badannya menafikan pergerakannya itu dan buat seketika, hanya haluan badannya saja yang berubah namun pergerakannya tetap semakin mendekati dirinya yang sedang menunggu itu.

Dia tergelak melihat telatah arnab tersebut. Semuanya berlaku hampir di dalam sekelip mata. Arnab itu sudah tidak kelihatan lagi. Namun begitu imej arnab tersebut seperti telah dirakamnya di mindanya dan dia boleh ulang semula pergerakan arnab tadi dalam gerak perlahan. Ditambah pula dengan muka arnab itu yang penuh ketakutan, memang saat2 itu terasa sangat menghiburkan bagi dirinya.

Dia mendongak memandang ke langit yang cerah. Awan larat nipis menghiasi langit yang sangat biru. Cantik bagaikan lukisan. Kombinasi biru langit dan putih awan bagaikan kapas lembut itu membuatkan dirinya asyik. Hatinya sangat tenang. Terbayang wajah comel arnab yang ketakutan tadi. Dia tersenyum sendiri.

Dia terdengar suara seseorang dan terasa tangannya dipegang. Kemudian bagaikan ada kuasa ghaib, dia seperti direntap daripada segala yang sedang dinikmatinya. Dan tidak sampai sesaat, dia membuka matanya kembali dan dia melihat wajah seorang berpakaian jururawat yang kelihatan sedang tersenyum.

Dia mengukir senyuman kembali. Pandangannya kemudian memerhatikan tubuhnya sendiri yang bersalut baju pesakit berwarna biru berlatarbelakangkan cadar putih. Kombinasi biru putih yang tidaklah seideal seperti di dalam mimpinya tadi, namun tidak pula menghilangkan senyuman di rautnya.

"Kenapa awak tersenyum? Dari tidur tadi lagi awak tersenyum," tegur jururawat yang sedang menyediakan segels air untuk ubatnya.

"Saya...dah ingat," jawabnya kecil. Dia terus tersenyum sambil fikirannya kembali mengingati langit yang biru, awan yang putih dan arnab yang comel itu.

Rabu, November 26, 2008

Optimistik 2

Pandangannya kabur. Sekelilingnya sunyi. Dia tidak tahu di mana dia berada sekarang. Bilakah sekarang yang dimaksudkan pun dia tidak dapat meneka. Apakah perkara terakhir yang diingatinya?

"Adi.. Adi.." Kedengaran suara seseorang samar-samar. Dia cuba membuka luas matanya. Silau. Dahinya berkerut sementara anak matanya menyesuaikan jumlah cahaya yang masuk. Rasa seolah-olah sudah sekian lama matanya itu tidak dibuka. Bayang wajah seorang lelaki kelihatan semakin jelas. Tersenyum.

"Syukurlah kau dah sedar di," wajah itu kelihatan ikhlas gembira. Dia cuba berpaling daripada wajah itu untuk memerhatikan sekelilingnya namun tiba-tiba dia terasa sakit yang amat sangat pada leher dan kepalanya bagaikan dipukul oleh sesuatu. Mukanya jerih sekejap menahan sakit.

"Kau jangan gerak Di.. kau cedera teruk ni. Kalau ada apa-apa yang kau nak, kau bagitau aku ok," ujar tuan punya wajah tadi dengan yakin sambil tangannya membetulkan kedudukan kepala Adi.

Mendengarkan begitu, sekonyong-konyong itulah tekaknya berasa sangat haus. Dia cuba bersuara tapi ianya suaranya tidak terkeluar. Sukar dan menyakitkan pada masa yang sama.
"Air.." akhirnya hanya sepatah yang keluar, itu pun serak dan seolah2 berbisik.

Bagaikan dapat membaca gerak bibirnya, lelaki tadi terus mencapai segelas air siap berstraw yang memang telah tersedia di atas meja berdekatan dan merapatkannya ke bibir Adi.

Setelah menelan seteguk air, tekaknya rasa lega sedikit dan hausnya bagaikan terus hilang. Dia tidak larat untuk fikirkan mengapa dan bibirnya hanya menurut dan melepaskan straw itu.

Lelaki yang membantunya tadi masih tersenyum. Dia meletakkan gelas tadi ke atas meja dan membetulkan duduknya di sebelah katil. Muka Adi dipandangnya. Senyum lagi.

"Siapa.." gagahnya bertanya lemah pada lelaki itu.

"Kau tak ingat aku ke Di? Ini akulah, Enal, kawan baik kau," senyumnya jadi sedikit tawar. Mata Adi memandangnya tak berkelip.

"Kau sekarang kat hospital. Kau kemalangan. Dah 3 hari kau tak sedarkan diri," jelas lelaki bernama Enal tersebut. Wajah Enal sedikit tegang bagai memikirkan sesuatu. Kelihatan tangannya mencapai setin air soya lalu diteguknya sedikit sebelum diletakkannya kembali ke atas meja tadi.

"Adi.. kau kemalangan teruk. Kau jatuh bangunan. Aku dengar kau cuba bunuh diri, tapi aku tak percaya. Sebabnya, kau tak mati. Memanglah kau cedera teruk, tapi kau tak mati. Kau koma 3 hari. Kalau orang lain, takkan 'survive'nya lepas jatuh macam kau tu. Maksud aku badan kau masih ingin hidup. Minda kau masih ingin hidup. Kau masih ingin hidup Di," jelas Enal panjang lebar.

Adi menutup matanya perlahan. Kepalanya masih sakit akibat cubaannya untuk bergerak tadi. Kini ia mula berdenyut. Dia tidak mampu memproses sepenuhnya apa yang didengarnya tadi. Jatuh? Bunuh diri? Koma? Mati? Dia tidak faham. Soalan2 ini berlegar di kepalanya tanpa jawapan. Dia cuba mencari di mana permulaan segala-galanya. Kenapa dia berada di sini? Kenapa dia telah cuba untuk bunuh diri? Teruk sangatkah hidupnya? Bagaimanakah hidupnya sebelum ini? Apakah yang dia telah lakukan? Sampai di situ sahaja dan dia berhenti mencari. Penat.

Dia membuka kembali matanya dan memandang ke wajah lelaki bernama Enal tadi. Diperhatinya mata, hidung, mulut dan seluruh susuk wajah itu. Dengan fikiran yang celaru otaknya cuba memadankan wajah tersebut dengan nama Enal. Gagal. Seketika kemudian dia merebahkan kepalanya ke bantal. Dia memandang kosong ke siling yang serba putih, seputih kotak fikirannya sekarang. Dia kini sedar yang dia bukan sahaja tidak ingat siapa itu Enal, malah dia juga tidak ingat siapa dirinya sendiri.

Selasa, November 25, 2008

Optimistik

Dia melihat kejauhan. Gelap malam itu tidak menghasilkan apa-apa pemandangan yang menarik baginya. Namun dia tetap memandang tanpa henti. Baginya daripada memandang dunia yang penuh warna tetapi tidak dapat melihat apa-apa, lebih baik pandang kegelapan dan masih boleh lihat macam-macam sepertinya. Angin yang bertiup mengulit rambutnya. Dia sedikit kesejukan namun dirinya tetap. Dan matanya terus memandang jauh ke kegelapan.

Macam-macam perkara yang berlaku di dalam hidupnya baru-baru ini. Dia sudah mula bekerja sendiri di tengah-tengah bandaraya. Jauh lebih hebat daripada tempat kerjanya sebelum ini yang terletak di ceruk jin bertendang, jauh dari bandar. Jika rezekinya bagus, pendapatannya juga boleh jadi lebih lumayan daripada kerjanya sebelum ini. Dengan kerja baru, kawan-kawannya pun bertambah. Dia ke sana ke mari berjumpa ramai orang. Sangat bergaya. Tambahan pula, kini dia juga tidak perlu menjaga ibunya lagi. Dia rasa terlepas daripada tanggungjawab yang terbeban di jemalanya sejak sekian lama. Dan dia juga baru putus hubungan dengan teman wanitanya. Setelah lebih 5 tahun bercinta, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memilih jalan hidup berasingan. Dia OK dengan semua itu. Ianya lumrah hidup. Adakah dia gembira? Dia menghela nafasnya. Dan raut wajahnya jadi muram tiba-tiba.

Dia cuba bersikap optimistik. Namun semuanya terlalu berat dan tidak tertanggungnya. Sebenarnya dia telah diberhentikan kerja dan kini dia baru mula berniaga di bandaraya. Dengan sewa yang tinggi dan ekonomi yang merudum, perniagaan kecil-kecilannya bagaikan hidup segan mati tak mahu. Pendapatan langsung tidak mencukupi. Apatah lagi dengan hutangnya yang semakin bertambah. Ke sana ke mari dia melarikan diri daripada ahlong. Sangat sesak rasanya. Keadaannya diburukkan lagi dengan kehilangan ibu tersayang akibat penyakit yang datang tiba-tiba. Dan juga teman wanitanya telah meninggalkannya setelah bersama lebih 5 tahun untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang lebih hebat dan mampu dari dirinya. Adakah dia OK dengan semua itu? Ya, saban hari dia cuba bersikap optimis. Dia cuba kembali menenangkan dirinya dengan bernafas dalam-dalam.

Seketika kemudian dia kembali tenang. Matanya kembali merenung jauh ke kegelapan malam. Segelap masa depannya yang dia tidak dapat bayangkan bagaimana. Dia menutup matanya dan menikmati segar angin malam yang berterusan menyapa mukanya. Dan sejurus kemudian di hujung bibirnya terukir senyuman. Saat itu telah tiba. Saat di mana tiada apa lagi yang perlu difikirkannya. Sangat tenang rasanya.

Dan pada saat yang tenang itu jugalah pegangan tangannya pada besi bangunan tersebut dilepaskan.

Ahad, November 23, 2008

Kehilangan

Langkahnya diatur satu persatu. Sesekali dia berhenti untuk mengamati lukisan yang terpamer. Sebuah lukisan kelihatan abstrak, penuh warna warni yang dicanai agar kelihatan sebati oleh tangan pengkaryanya. Sebuah arca yang diamatinya membayangkan sebuah lembaga yang tidak cukup sifat. Kasar buatannya dan kelihatan seperti kayu buruk yang boleh dijumpai di mana-mana tebing sungai. Dia tidak faham maksud lukisan mahupun arca tersebut, namun dia tetap mengamatinya satu persatu. Cuba mencari apa yang ingin disampaikan oleh para pengkarya. Cuba mencari sekelumit yang mungkin boleh difahami olehnya.

Langkahnya terhenti di hadapan sebuah lukisan. Ianya adalah potret seseorang yang tidak dikenalinya. Orang itu kelihatan segak dengan kot dan rambut hitam berkilat yang tersisir rapi. Raut wajahnya serius, penuh keyakinan. Walaupun dia tidak mengenali wajah pada potret tersebut namun dia mengagak yang digambarkan itu mungkin merupakan seorang tokoh yang telah banyak mencapai kejayaan di dalam hidupnya.

Matanya turun ke plet mencari nama kepunyaan wajah itu. Namun tiada nama sesiapa yang tertulis. Yang ada cuma nama karya tersebut iaitu "Kehilangan". Dahinya berkerut. Mengapakah nama ini yang diberi? Apakah yang hilang? Langsung dia merapati lukisan tersebut. Ditelitinya setiap inci lukisan itu dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah. Tiada apa yang tak kena pada amatannya. Dia tidak faham. Dia memutuskan untuk meneruskan langkah ke karya seterusnya apabila dia perasan sesuatu pada lukisan tersebut. Dia mendekatkan matanya untuk memastikan. Di bahagian dada potret itu, sebahagian kecil daripada kanvas lukisan itu hilang seolah-olah telah dipotong keluar. Sekali imbas kesan potongan itu agak susah untuk dikenalpasti oleh kerana ianya kecil dan ditambah dengan warna latar dinding yang agak serupa.

Dia berundur beberapa langkah menjauhi lukisan tersebut. Diperhatikannya secara keseluruhan potret itu semula. Riak wajah yang dilihatnya kini lain daripada apa yang diliihatnya tadi. Segaknya masih ada, namun perasaannya sudah berubah. Masih serius, namun keyakinan sudah berganti dengan ketidakpastian. Mata potret itu dilihatnya memandang kosong ke hadapan. Ada risau dan sedikit sedih. Seolah-olah telah kehilangan sesuatu yang penting di dalam hidupnya. Sememangnya lukisan itu kehilangan secebis yang penting daripadanya. Lebih-lebih lagi cebis yang hilang itu merupakan bahagian di dada di mana terletaknya hati.

Dia masih terpaku di situ. Daan pandangannya masih tidak lekang daripada potret tersebut. Seolah-olah memahami kehilangan yang dirasakan oleh potret tersebut. Di dalam diam itu, dia berasa seperti dia sedang melihat dirinya sendiri.

Jumaat, November 21, 2008

Dingin

Dingin sangat-sangat. Angin bertiup agak kencang. Telinganya sudah lama kebas. Begitu juga hujung hidungnya dan juga pipinya yang dari tadi terdedah kepada rakus angin sejuk itu. Kini sudah hampir sejam dia keseorangan, tanpa ada sesiapa pun yang dapat dilihat di sekelilingnya. Segalanya serba putih. Serba kaku. Hanya bunyi kasar angin sejuk yang bertiup tanpa belas kasihan seboleh-boleh ingin merentap segala haba dari badannya. Dinginnya boleh diibaratkan seperti berada di dalam peti sejuk bersaiz dunia yang mempunyai kipas angin yang bertiup di depan muka dengan kelajuan nombor 3. Tangannya yang berbalut sarung tangan tebal yang sepatutnya kalis air itu pula dua kali ganda sejuk kerana telah lama basah kuyup dimasuki salji. Tiada tempat untuknya lari atau bersembunyi daripada kesejukan yang berada di mana-mana ini. Terbayang rakan-rakannya sedang beristirahat memanaskan badan di depan unggun api sambil bergelak ketawa menikmati koko panas. Sebal hatinya, marah dengan dirinya sendiri. Perjalanannya masih jauh. Kakinya sudah letih. Lututnya lenguh. Dia terduduk di atas timbunan salji berdekatan. Tidak larat lagi.

Dilemparkan pandangannya ke kejauhan. Dari atas gunung itu pemandangannya sangat indah. Tersergam di hadapannya kawasan lembah yang dipenuhi bangunan2 kenit dan dilitupi oleh putih salji sebahagian besarnya. Lembah itu dipagari oleh banjaran2 kecil gunung2 yang sesetengah kawasan yang langitnya tidak berawan ditembusi cahaya matahari yang menyuluh terang ke atas putih salju. Dia tergamam seketika. Walaupun gunung duduknya kelam dek awan tebal, dia tetap terasa kehangatan oleh suluhan matahari nun jauh di sana tersebut. Perlahan2 dia bangkit dari duduknya. Kebas dan lenguh tidak dihiraukan lagi. Dia membetulkan ikatan papan luncur pada butnya, memandang yakin ke depan seolah2 nampak destinasi yang hendak dituju, dan meneruskan perjalanan yang dia sendiri tidak pasti kesudahannya.



Gambar hiasan : Hakuba, Nagano Japan 2003

Khamis, November 20, 2008

Sepi

Sepi.

Segalanya sudah mati.

Tanpa jasad, tanpa memori.

Sunyi.

Tiada lagi pin jatuh untuk didengari.

Tiada lagi bunyi walau degup jantung sendiri.

Kosong.

Masa bagai terhenti.

Ruang bagai tiada erti.

Gelap.

Mata sudah tiada fungsi.

Cahaya telah tiada seri.

Bosan.

Harapan sudah tiada lagi.

Yang tinggal hanya mati.

---------------------------------------------------------------


Nadir

20Nov2008

12:10pm


*notakaki: terima kasih kerana sudi berkunjung ke ekspresia@blogspot. segala komen dan pendapat dialu-alukan.


Rentak

Dadanya sedikit berdebar. Dua speaker Altec Lansing itu mula memuntahkan bunyi yang padu. Tangannya cuba untuk mengikut rentak yang dialunkan. Bermula dengan tangan kanannya. Rentaknya sekata. Lega rasa apabila tangannya dapat menyamai rentak yang didengarinya. Namun leganya tak lama. Matanya menangkap arahan untuk tangan kirinya pula. Lalu digerakkan kedua tangannya bersungguh-sungguh ingin menepati apa yang dipinta. Agak susah pada mulanya, namun setelah seminit dua dia mula biasa.

Sememangnya sejak kecil lagi dia sedar yang dia mempunyai kelebihan untuk mengawal gerakan badannya. Kelebihan yang digelarnya sendiri sebagai 'precise muscle-motor control' itu telah membuka banyak ruang kebolehan pada dirinya. Dia boleh melempar bola besbol dengan lengkungan yang cantik dan tepat pada sasaran. Dia boleh mengilas bola tenis dengan jumlah tenaga yang tepat untuk permainan jaring yang selalu memerangkap lawannya. Dan dia juga boleh menulis menggunakan kedua-dua belah tangannya serentak!

Namun begitu kali ini dia ingin cuba mengembangkan lagi kebolehannya itu. Dia ingin mengasah koordinasinya pula. Matanya fokus sambil tangannya masih bergerak. Dia semakin selesa tetapi tetap bersedia. Datang! Saat yang dinantikannya telah tiba. Seelok sampai ketikanya itu maka kaki kanannya mula menghenyak. Henyakan pertamanya lari sedikit daripada rentak yang sepatutnya. Dadanya semakin berdebar. Semakin banyak yang dia perlu henyak, semakin gerakan tangannya mula lari. Namun dia tidak putus asa. Terasa adrenalin mula mengalir ke seluruh anggota tubuhnya. Dia cukup faham yang semua kebolehannya selama ini tidak datang bergolek. Baik melempar bola, baik mengilas raket, baik menulis dengan kedua belah tangan. Semuanya perlu dilatih. Begitu juga kali ini. Dia perlu gigih berlatih untuk memastikan koordinasi mata, telinga, tangan dan kakinya dapat dikawal sebaik mungkin. Padanya, sebagai permulaan, pukulan drumstick dan henyakan pedal pada set drum "Guitar Hero World Tour" merupakan latihan yang terbaik buatnya.





Selasa, November 18, 2008

Ubat

Ubat buat dia lemah. Ubat yang sepatutnya membuatkan dia sihat melemahkan tubuhnya. Itu antara sebab dia tidak gemar makan ubat. Tengah hari tadi dia berasa sihat, namun selepas dia menelan 2 biji ubat demam Uphamol 500mg, sebiji antibiotik Bacampicilin 400mg dan sebiji lozenge Pharynx, badannya terus tidak mampu menahan lagi dan hanya katilnya yang mampu melayan mengantuknya. Sejak semalam dia begitu. Rasa seperti hendak demam, selepas makan ubat, jadi tak larat, tidur, bangun dan rasa sihat semula, makan ubat, jadi tak larat dan seterusnya. Sehingga bila? Sehingga ubat yang diberi doktor ni habislah agaknya.

Malam ini dia telahpun menelan 2 biji Uphamol terakhirnya. Bezanya malam ini dia bekerja di ofis dan tiada katil yang akan melayannya apabila badannya mula mengada-ngada lagi. Kakinya sudah mula rasa bisa-bisa dek penangan penghawa dingin pusat yang tak jemu2 meniup angin sejuk. Tangannya dapat kekal hangat setelah dimasukkan ke dalam kocek baju sejuknya, namun dia sedikit kesal kerana tidak memakai stokin yang sudah pasti mampu memanaskan kakinya yang hanya berbalut sandal. Skrin komputer direnung kosong. Dia rindukan katilnya. Dia rindukan laptopnya. Dia rindukan si dia. Zip baju sejuknya dinaikkan sehingga ke atas menutup lehernya. Tubuhnya dipeluk. Dan dalam sunyi sendiri dia membilang saat menanti hari pagi.

Isnin, November 17, 2008

Jelajah

Lampu merah. Dia menoleh ke kanannya kehairanan. Semalam perasannya ia tiada di situ. Hari ini ia sudah megah berdiri. Mengangkat tinggi tangan menunjukkan lambang kemegahannya. Mercutandanya tersendiri yang terkenal di seluruh dunia. Dia terfikir bagaimana ia boleh terlepas masuk ke tempatnya ini. Ke tempat yang dahulunya dianggap 'bandar koboi'. Dahulu jarang ada orang luar yang datang ke sini. Penduduk sini pun akan keluar ke bandar terdekat jika perlu beli belah dan sebagainya. Kini banyak yang sudah berubah. Segalanya ingin dibawa masuk ke sini bagai tiada perlu keluar lagi. Termasuklah ia yang terlepas masuk ini.

Dahulu dan kini memang berbeza. Dia teringat zaman kanak-kanaknya 20 tahun yang lalu. Dia dan rakan-rakannya berbasikal menjelajah kawasan di sini sampai ke penghujungnya. Apabila sudah tiada jalan yang boleh dilalui dengan basikal, maka diteruskan dengan dua kaki pula. Samun dan belukar renek diredah. Bukit berbatu dan berdebu serba merah didaki. Lembah penuh lalang setinggi dada dituruni. Lereng bukit yang gelap dengan deretan pokok getah diselusuri. Pernah sekali anak sungai ditemui. Alangkah seronoknya tak terkata. Bermandi manda bermain air gembira. Perasaannya seperti menemui dunia baru yang tak pernah diteroka.

Lampu isyarat menjadi hijau. Di manakah semua itu sekarang? Samun dan belukar menjadi jalanraya. Bukit berbatu menjadi deretan rumah2. Lembah lalang dan lereng pokok getah menjadi padang golf. Anak sungai jadi apa? Fikirannya cuba mengesan lokasi anak sungai yang mereka jejaki 20 tahun lepas dan memadankannya dengan peta pada masa sekarang. Sambil itu tangannya memusing stereng dan membelok ke kanan. Menuju ke arah ia yang tersergam tadi. Naluri ingin tahunya kembali dirasakannya. Dia ingin jelajahi tempat yang belum pernah dijejakinya itu. Jadi antara orang yang terawal menemukan ianya. Sedikit sebanyak perasaannya sama seperti 20 tahun yang lepas. Cuma dahulu jelajah hutannya menemukan dia dengan anak sungai, namun kali ini dia tidak tahu apa yang akan ditemuinya di dalam jelajahnya ke McD******'s yang baru dibuka ini.

Ahad, November 16, 2008

Batu

Lagu "Like a stone" dendangan Audioslave berkumandang di corong radionya. Lagu itu memang kegemarannya dan agak jarang diputarkan oleh stesen-stesen radio utama. Dia sepatutnya rasa gembira sepertimana yang dia selalu rasa apabila lagu kegemarannya dimainkan, namun kali ini tidak. Matanya memandang kosong ke arah kereta Suzuki Swift biru di hadapannya yang tidak bergerak-gerak dari tadi. Di hadapan Swift itu samar2 kelihatan sebuah Honda CRV model baru, iaitu model yang tiada tayar tergantung di belakangnya. CRV itu pun tidak bergerak. Begitu juga dengan kenderaan di hadapan CRV tersebut yang dia sudah tidak perasan jenis apa, dan begitu juga kenderaan di hadapan kenderaan itu.

" I'll wait for you there.. like a stone.. I'll wait for you there.. alone...." dayu suara vokalis Audioslave itu menerjah telinganya, namun ia tidak lagi menusuk hatinya seperti kebiasaan. Hari ini hatinya sudah sebal. Dia tidak tahu berapa lama lagi dia sanggup menunggu di situ seperti batu. Ditambah lagi dengan keroncong perutnya yang minta diisi dari pagi tadi lagi. Kadang2 deretan kenderaan itu bergerak juga sebentar, tetapi hentinya berganda-ganda lebih lama. Setiap gandaan henti itu secara tidak langsung menaikkan suhu hatinya. Puas mindanya memujuk, namun segala apa jenis alasan sudah tidak mungkin berkesan menurunkan panas hatinya ini. Ingin saja dia turun dan menjerit kepada mereka2 di hadapannya. Namun dia harus sabar. Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua ini. Dia terus memandang kosong ke hadapan. Sebal dan panas.

Akhirnya mimpi ngeri itu sampai jua ke penghujungnya. Swift di hadapannya mula bergerak laju meninggalkannya. Kenderaan-kenderaan lain sudah lama lepas pergi. Dengan gear satu dan muka yang mencuka perlahan-lahan dia maju, dan tak beberapa meter kemudian dia berhenti. Diturunkannya cermin tingkap keretanya dan sebuah wajah yang sangat cantik dengan sepasang mata yang seakan bersinar-sinar dan lesung pipit kecil menghias senyuman mengiringi satu suara lunak manja menyapanya, "Selamat datang ke McD*****'s, boleh saya ambil pesanan encik?".

" I'll wait for you there.. like a stone.. I'll wait for you there.. alone...." terngiang-ngiang lagu tadi di mindanya. Dayunya kembali segar menusuk hatinya. Sebal dan panas pantas berganti bunga-bunga.



*nota penulis : 'Batu' telah saya tulis pada 16Nov2008 dan merupakan re-post daripada blog lama saya di friendster.

Rabu, November 12, 2008

Mimpi

Semalam dia bermimpi yang aneh. Bermula daripada kemalangan kecil antara keretanya dan sebuah kereta yang lain di hadapan sebuah klinik, berlanjutan kepada perselisihan faham antara dia dan misi2 di dalam klinik tentang perkara yang dia sendiri kurang pasti butirnya. Kemudian segalanya terhenti dek bunyi letupan yang sangat kuat di luar yang apabila ditinjau, telah menghasilkan sebuah kawah yang besar di 'parking lot' hadapan bangunan itu. Dia dan rakan2nya seakan2 mengetahui bahaya yang akan menimpa mereka dan bergegas masuk ke trak dan memecut laju untuk meninggalkan kawasan bandar itu. Malangnya tak sampai 5 ratus meter memecut, trak mereka seperti disambar denyutan elektromagnet yang terus menyebabkan enjin trak mereka mati tanpa boleh dihidupkan semula. Dari tingkap trak, mereka mendengar bunyi semboyan kuat dari angkasa dan melihat satu demi satu lembaga2 gergasi berkaki tiga turun menjejakkan kaki di muka bumi. Dia teringat cerita 'War of the Worlds' karya Steven Spielberg.Fikirnya masakan perkara tersebut kini jadi kenyataan. Serentak dengan itu satu demi satu manusia yang bertempiaran lari direnjat oleh sinaran bak kilat yang menghilangkan mereka tanpa kesan. Dia kaget. Dia perlu menyelamatkan diri. Lantas dia meluru keluar dari trak itu dan lari sepantas yang boleh dengan harapan lembaga itu tidak nampaknya dek kerana sibuk menembak manusia2 lain selainnya. Dia tahu harapan sebegitu tidak baik tetapi buat masa itu, keselamatan dirinya sendiri adalah lebih penting baginya. Namun harapannya itu terbantut apabila lembaga itu mula menembak ke arahnya dan dua tiga kali juga hampir kena kepadanya tetapi sebaliknya mengenai kereta atau orang2 malang di sekitarnya. Dia hairan, rasanya seperti dia sedar yang dia sedang bermimpi pada ketika itu tetapi perasaannya tidak sedar dan menganggapnya benar. Dia tahu jika dia terlintas sahaja kemungkinan dirinya akan maut di dalam mimpinya, maka itulah yang akan berlaku di dalam mimpinya. Dia menjadi semakin panik, dan maut seperti tidak boleh dielakkan lagi. Tembakan seterusnya akan mengenai dia. Dia sangat pasti perkara itu. Dia cuba sedaya upaya seluruh sisa2 tenaganya untuk menjerit memberitahu fikirannya yang dia tak boleh mati di dalam mimpinya. Dan pada saat2 kritikal tersebut, satu kuasa terakhir entah dari mana datang dan mengejutkannya dari mimpi tersebut. Dia rasa seakan2 terlepas dari sebuah ikatan tenaga dengan nafas yang kencang dan dahi dibasahi peluh. Sejurus kemudian nafasnya jadi tenang semula, dan perasaan lega berbaur syukur menyelubungi dirinya kerana diberi peluang yang kedua untuk terus hidup.




*nota penulis : ini adalah repost daripada blog lama saya yg ditulis pada 12Nov2008.

Ahad, November 09, 2008

Sungai

Bunyi air sungai yang mengalir sangat mengasyikkannya. Deruman air yang agak kuat dari arah hilir menandakan ada jeram tidak berapa jauh dari tempatnya itu. Udara yang lembap dan segar memberi nyaman pada kulitnya. Batuan besar dan kecil pelbagai rupa menghiasi kiri dan kanan tebing sungai diselangi dengan pokok2 renek dan belukar2 kecil. Hijau alam meliputi hampir keseluruhan kawasan. Sejuk matanya memandang. Sejurus itu matanya dipejamkan dan haruman semulajadi alam dinikmatinya dengan menarik nafas dalam2. Langsung dia teringat kekasihnya yang jauh. Alangkah bagusnya jikalau beliau berada bersamanya ketika ini, dan sama-sama menikmati keindahan alam semulajadi ini dengan 5 deria anugerah Tuhan. Dia membuka matanya semula dan memandang kepada jernih air sungai yang tak henti2 mengalir. Refleksi langit biru dan awan putih di permukaannya bergerak2 seakan hidup dek alunan alir sungai. Hatinya tenang. Terus jemarinya diunjurkan ke permukaan sungai tersebut dan mengocak2 kecil air. Dingin air dari gunung itu memanjat dari tangan sehingga ke tengkuknya membuatkan bulu romanya berdiri seketika. Dia hampir tersenyum kegelian seorang diri apabila tiba-tiba asyiknya itu diganggu oleh satu tempikan. “Forward paddle!!!” jerit Din, tekong bot getahnya memberikan arahan. Dengan pantas dia membetulkan helmetnya dan juga duduknya di tebing bot getah tersebut, mencapai pengayuh dan kemudian bersama2 4 orang lagi rakannya yang sedia ada bersamanya, kembali mendayung bot getah tersebut meneruskan ekspedisi mereka menuruni jeram sungai itu.




*repost daripada blog lama yang ditulis pada 9Nov2008.

Khamis, November 06, 2008

Kucing

Lamunannya terganggu oleh ngiauan kuat kucing bersahutan di luar rumahnya. Bunyinya lain daripada ngiauan biasa, sedikit serak, lebih dalam, dan lebih panjang. Garang. Dia faham sangat dengan makna ngiau sebegitu. Konfrontasi akan meletus bila2 masa saja. Namun begitu, tanpa mempedulikan 'jual beli pantun' antara kucing-kucing tersebut, fikirannya perlahan menerawang ke masa lampau.

Satu masa dahulu rumahnya pernah didatangi oleh seekor kucing kelabu. Kucing kelabu yang agak gempal ini selalu bertandang dan bermain-main dengan kasutnya di hadapan pintu rumah mahupun beristirahat di atas tembok pagarnya. Dia tidak pernah kisah atau marah kerana kucing kelabu itu tidak pernah masuk ke dalam rumah mahupun mengiau2 meminta makanan. Kadang2 ia duduk saja menemani dia yang sentiasa asyik dengan barang2 hobinya.

Kucing kelabu itu sangat manja dengan tuannya yang juga merupakan jiran di rumah hadapan. Sesekali dia melihat kucing kelabu itu asyik sangat apabila tuannya mengusap2 belakang lehernya. Namun begitu, ia tidak suka dibelai oleh orang lain selain tuannya. Dia tidak kisah. Asalkan kucing kelabu itu sudi melawatnya selalu, ia sudah cukup buatnya. Lagipun itu bukan kucingnya.

Lama kelamaan kehadiran kucing kelabu itu semakin disenanginya. Sehinggakan jikalau ia tidak muncul sehari dia akan tertanya2 juga ke mana perginya. Mungkinkah tuannya marah kerana asik bertandang ke sini? Adakah kucing kelabu itu disayangi oleh tuannya? Mungkinkah kucing kelabu tersebut akan lebih bahagia dengannya di sini? Dia sendiri rasa bahagia dengan kehadiran kucing kelabu itu. Dia bercadang untuk mula memberi kucing kelabu itu makan dan melayannya dengan baik selepas ini. Harapannya ialah supaya kucing kelabu tersebut akan jadi lebih suka padanya. Dan mungkin satu hari nanti dapat menerima belaiannya pula.

Maka pada suatu hari kucing kelabu tersebut bertandang, dia meletakkan semangkuk makanan ke lantai dan memanggilnya datang dekat. Kucing kelabu itu datang menghampirinya. Langkahnya laju. Hati dia mula berbunga. Sehinggalah ternampak ia akan makanan tersebut, langkah kucing kelabu itu terhenti seketika, dan kemudian ia mendongak melihat ke arahnya. Sebaik mata mereka bertemu, dia terkasima. Langsung kucing kelabu tersebut berpaling dan beredar meninggalkannya. Dia tergamam melihat makanan yang diberi tidak tersentuh. Lebih dari itu dia tergamam kerana tenungan kucing kelabu itu tadi. Tenungan itu seakan2 mengandungi kekecewaan terhadapnya. Seolah2 kucing kelabu itu dapat membaca niat hatinya di sebalik semangkuk makanan tersebut.

Matanya lemah menyongsong langkah kucing kelabu itu keluar dari pagar rumahnya menuju ke rumah tuannya. Di dalam hati kecilnya, dia hampir pasti yang kucing kelabu tersebut tidak akan kembali menjejakkan kakinya ke sini lagi. Dia rasa marah. Salahkah dia berbuat begitu tadi? Salahkah dia jika ingin disayangi? Mengapa datang seperti memberi harapan dan kemudian pergi begitu sahaja seperti tiada apa? Hatinya sebal. Dia geram kerana diperlakukan begitu. Namun sedikit demi sedikit marah dan geram itu reda dan kemudian terbit pula kesal di dalam hatinya. Kesal kerana halobanya. Dia sedar yang dia telah tamakkan perhatian kucing kelabu itu. Dia kesal kerana sikap mementingkan dirinya. Dia kesal kerana dalam diam dia telah inginkan kucing kelabu itu untuk dirinya.

Lamunannya sekali lagi terganggu dek bunyi cakaran dan dengusan. Pasti kedua kucing tadi sudah puas bertegang bulu dan kini sedang membuktikan kejantanan masing2. Dia tersenyum sendirian mengenang kenangannya seketika tadi sambil tangannya mengusap2 leher seekor kucing hitam putih gebu yang leka berbaring tanpa menghiraukan apa yang berlaku.

sekadar gambar hiasan
sumire - sekadar gambar hiasan




*repost daripada blog lama dan ditulis pada 6Nov2008.

Selasa, November 04, 2008

Buntu

Dia menggaru kecil kepalanya. Lantas bangun dan berjalan keluar. Di luar, dia berdiri menghadap pepohon hijau yang mendereti jalan. Dikeluarkannya sebatang rokok dan dinyalakan. Merah menyala hujung rokok itu apabila dia menyedut dalam, dan seketika kemudian dihembuskan keluar asap dari mulutnya. Berkepul2 keluar asap yang kelihatan nipis itu setelah ditapis segala jenis racun oleh paru2nya. Entah berapa banyak sel-sel tubuhnya yang gugur akibat sedutan maut itu. Namun fikirannya langsung tidak menghiraukan hakikat itu. Fikirannya juga tidak menghiraukan langsung nyaman udara selepas hujan yang sedikit tercemar oleh asap rokoknya. Juga dedaun yang kelihatan lebih hijau dek simbahan nikmat bernama hujan. Fikirannya terlalu buntu untuk menghiraukan semua itu. Buntu terhadap apa, dia pun tidak faham. Hidupnya selesa. Bahagia. Cukup makan dan minum. Bebas ke sana ke mari. Ramai rakan dan taulan menemani. Sihat tubuh badan. Syukur dan wasatiah. Namun dari semasa ke semasa dia akan menghadapi kebuntuan ini. Seperti ada yang masih belum cukup. Seperti ada yang masih belum selesai. Seperti dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Serba tidak kena. Dan setiap kali kebuntuan itu melanda, temannya hanyalah sebatang balutan kecil ini. Balutan kecil bertopeng suci putih yang kononnya setia membakar diri demi melegakan fikirannya. Dan adakah dia lega? Jauh sekali. Namun fikirannya terlalu buntu untuk menghiraukan segalanya.

nikmatkah?
nikmatkah?




*repost daripada blog lama dan ditulis pada 4Nov2008

Isnin, November 03, 2008

Kebolehan

Setiap manusia mempunyai kebolehan tersendiri yang dikurniakan Tuhan. Ianya terpulang pada mereka untuk mencari apakah ianya dan seterusnya mendalami atau menggunakannya mengikut kebijaksanaan masing2. Ada yang sejak kecil telah mengenalpasti kebolehan diri mereka dan telah berusaha memantapkan kemahiran tersebut melalui laluan atau 'channel' yang betul dan hasilnya ialah golongan2 professional termasuklah atlet2 sukan,penyelidik dan saintis, penggiat seni, ahli2 falsafah dan macam2 lagi. Ada juga yang lambat menyedari tentang kebolehan diri mereka tersebut kerana mungkin lambat menerima pendedahan ataupun faktor2 lain tetapi mereka tetap berusaha memahirkan diri di dalam bidang2 tersebut sebagai minat, hobi ataupun apa sahaja. Ada juga di antara mereka ini yang turut menyertai golongan pertama tadi iaitu melakukannya secara professional. Golongan terakhir ialah golongan yang langsung tidak menyedari yang mereka sebenarnya mempunyai kebolehan2 tertentu disebabkan oleh faktor2 pemikiran, masyarakat sekeliling, ekonomi, budaya, keluarga dan macam2 lagi. Golongan ini akan menganggap diri mereka tidak berkebolehan dan langsung tidak mempunyai inisiatif untuk berusaha memahirkan diri mereka. Maka mereka biasanya ketinggalan dari banyak segi di dalam masyarakat samada dari segi ekonomi, sosial, budaya dan minda.

Persoalannya di sini di dalam golongan manakah dia berada sekarang? Dia mungkin tergolong di dalam kumpulan yang pertama, iaitu seorang professional di dalam bidangnya, boleh dikatakan berkebolehan tetapi ianya mungkin hanya kebolehan yang dipelajari dan dilakukannya tanpa minat yang mendalam. Dia juga mungkin di dalam golongan yang kedua iaitu golongan yang lambat menyedari, namun tetap berusaha kerana minat dan juga ianya kebolehan semulajadinya. Dan dia juga tidak menafikan yang mungkin dia turut berada di dalam golongan ketiga dari segi menidakkan kebolehan2 tertentu yang dia sedar dia ada tetapi tidak berusaha untuk memahirkan dirinya di dalam bidang2 tersebut. Adakah dia perlu buat keputusan untuk memilih untuk berada di dalam satu golongan sahaja atau terus menerus membiarkan dirinya terangkum di dalam semua kategori tersebut? Dia masih belum tahu jawapannya lagi.




*repost daripada blog lama. Ditulis pada 3Nov2008

Ahad, November 02, 2008

Indah

Dunianya terasa begitu indah. Setiap saat yang dilaluinya disaluti bahagia. Setiap nafas yang disedutnya terasa manis dan membawa erti. Setiap yang dilihatnya seperti turut merasakan apa yang dia rasa. Alam bagaikan mengerti perasaannya dan menyambut mesra luahan hatinya yang terbuka luas sehingga ke dasar itu. Langit kelihatan begitu damai, cerah lembut dengan alunan awan mengukir senyum padanya. Alunan ombak di dada laut seperti memain irama gembira di atas pentas kebiruan. Deretan pepohon meliuk lemah gemalai, rela dengan belaian angin bagaikan saling menari mesra antara keduanya, sesekali angin itu menggamit wajahnya dengan ulitan manja bagai mengajaknya turut sama menari. Desir ombak yang menghempas pasir bagai gubahan enak yang mengiringi tarian alam penuh harmoni membuat hatinya tersentuh. Terharu dengan alam yang begitu memahami hatinya dan berkongsi bahagianya, hatinya berasa sebak dengan syukur. Anugerah yang dikurnia Tuhan padanya ini terasa terlalu besar baginya yang bukan sesiapa ini. Dia menarik nafas dalam2, menikmati bahagia ini dengan setiap zarah jasadnya dan sepenuh2 jiwanya, menikmati bahagia ini dari satu nafas ke nafas yang seterusnya, menikmati bahagia ini bagaikan esok adalah sesuatu yang tak pasti, dan hatinya tak putus2 berdoa moga kasih sayang yang sama turut dirasai oleh si dia di sana..




*repost daripada blog lama. Ditulis pada 2Nov2008

Sabtu, November 01, 2008

Pilihan

Dia keliru. Mengapa mesti dia yang harus buat pilihan. Mengapa dia harus pilih. Tidakkah bagus jika segalanya ditetapkan dan manusia tidak perlu buat pilihan? Tidak perlu pening kepala. Namun begitu dia tahu itu hanya luahan dangkal oleh hatinya yang sedang emosi. Dia sedar tanpa pilihan, manusia tidak akan perlukan akal. Tuhan beri akal untuk berfikir dan buat pilihan. Malah dari saat kita bangun dari tidur setiap pagi kita sudah berdepan dengan pilihan, samada untuk bangun terus, atau sambung lagi 5 minit, atau buka mata dan angan2 dahulu atau bermacam2 lagi pilihan yang boleh kita ambil. Cuma kita jarang sedar yang kita ada pilihan. Salah atau betul pilihan tersebut tidak penting. Yang salah boleh diperbetulkan, yang betul boleh digalakkan lagi. Yang penting ialah buat pilihan. Memilih untuk tidak memilih hanyalah alasan diri untuk tidak mahu bertanggungjawab. Kini dia harus memilih. Pepatah ' ditelan mati emak diluah mati ayah' merupakan ungkapan yang tepat menggambarkan keadaannya sekarang. Dahinya mula berpeluh. Fikirannya berkecamuk. Mulutnya terkumat kamit tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Dan jari telunjuknya kelihatan menggeletar apabila dihalakan pada menu pilihannya.




*ditulis dan dipost di blog lama pada 1Nov2008

Jumaat, Oktober 31, 2008

Beri dan Ambil (Give and Take)

Di dalam hubungan di antara manusia, antara perkara yg dititikberatkannya adalah konsep 'beri dan ambil'. Kenapa disebut 'beri dan ambil' dan bukan 'ambil dan beri'? Adakah kerana ianya lebih bagus utk beri dahulu sebelum ambil? Kalau begitu bagaimana pula dengan pihak kedua? Mereka pun mesti nak beri dulu. Jadi siapa pula yang nak ambil dulu? Hm sebelum kepalanya pening dia meletakkan perkara 'ayam dan telur' itu ke tepi dan berfikir tentang mereka yang berat sebelah dalam 'beri dan ambil' ini. Dia mengaku yang dahulu dia sangat berat sebelah. Dia suka beri dan tak suka ambil. Dia rasa iatu perkara yang baik, "ikhlas" adalah niatnya. Namun begitu sebenarnya dia mementingkan diri. Dengan tidak ambil, maka dia menidakkan pem'beri'an orang. Cuba kalau tiada orang yang mahu ambil apa yang dia beri? Pasti dia berasa sedih. Oleh itu kini dia belajar untuk ambil apa yang orang beri padanya. Dia masih tidak pandai minta, tapi itu baginya sudah masuk bab lain. Yang penting baginya hubungan sesama manusia itu akan lebih harmoni hanya jika berlaku 'beri dan ambil' sesama mereka. Ataupun 'ambil dan beri'. Mana-mana dulu pun bolehlah.



*originally written on 31stOct2008

Rabu, Oktober 29, 2008

Mati dan Hidup

"Belajar bagaimana menghadapi mati, dan kita akan pelajari bagaimana untuk hidup". Begitulah bunyi kata-kata Professor Morrie Schwartz yang dipetik daripada novel "Tuesdays with Morrie" karya Mitch Albom. Kata-kata itu dituturnya sewaktu beliau menghitung hari2 terakhirnya di muka bumi ini setelah disahkan menghidap penyakit terminal yang meragut keupayaannya sedikit demi sedikit sehinggalah meragut nyawanya. Manusia sememangnya selalu lupa hakikat yang satu hari nanti mereka akan mati. Sehinggalah dinomborkan harinya samada dalam bentuk sakit seperti Prof Morrie mahupun penomboran yang terapung di atas kepala seperti di dalam cerita Jepun "Death Note", manusia akan terus memekakkan telinga dan membutakan mata serta menyibukkan diri dengan pelbagai perkara2 lain tentang kehidupan. Dia juga tidak terlepas. Kadang2 dia sedar, kadang2 dia leka. Baginya, kematian itu pasti datang juga, jadi mengapa dia mesti fikirnya sentiasa sehingga lupa untuk hidup? Dalam sesetengah perkara dia akan lakukannya seperti tiada hari esok. Dalam sesetengah perkara pula dia akan tidak kisah seperti mati tak sempat buat pun tak apa. Apakah sesetengah perkara tersebut? Dia termenung sejenak, kemudian bibirnya mengorak senyum kecil dan matanya kembali membaca kata-kata Prof Morrie tadi.

Selasa, Oktober 28, 2008

Terbuang (Wasted)

Genap sepuluh jam dia duduk di kerusi itu. Dia rasa terbuang. Terbuang minda, otaknya tidak dapat memproses apa2 input lagi. Bateri kecemasan otak juga telah habis digunakan. Auto-pilot mode juga sudah tidak berfungsi. Kini dia masuk ke zombie mode, mode di mana segala yang batin sudah terbuang. Terbuang fizikal, punggungnya panas jarang teralih, belakangnya sakit asyik tersandar, matanya pijar saban menatap, jemarinya lenguh leka menekan. Terbuang jiwa, 10 jam dihabiskan melakukan perkara yang sama setiap hari. Batu pun boleh terhakis jika teralir air sekian lamanya. Inikan pula jiwa, yang dengan secuit angin godaan pun sudah kacau. Sesekali ditatapi cermin di hadapannya. Diamatinya wajah yang terbias, ditenungnya mata sendiri ingin memasti masih kenalkah dia dengan diri itu. Jika sehingga raut pun mula terbuang, maka dia dikira di tahap kronik. Maka dia perlu sedar. Dia perlu bangun dari mimpi. Dia perlu bangun dari kerusi itu.

kalau yg mcm ni nak bangun tak agaknya?
kalau kerusi yg mcm ni nak bangun tak agaknya?


*repost daripada blog frenster lama pada 28Oct2008

Menyorok?

Seorang rakan telah bertanya pada dia " kenapa senyap je ni.. tengah lay low ke?". Pada mulanya dia tidak faham pertanyaan yang diajukan. Mengapa perkataan 'lay low' yang membawa maksud seolah-olah sedang menyorok atau melarikan diri dari sesuatu itu digunakan? Adakah dia kelihatan seperti sedang menyorok atau melarikan diri dari sesuatu? Daripada apa? Dia telah buat salahkah? Dia kelihatan bagaimana di mata kawan2nya? Bagaimana pula di mata orang sekelilingnya? Apakah tanggapan orang terhadap dirinya? Bermula dari satu pertanyaan mudah yang mungkin langsung tidak membawa apa2 sirat, hanya sekadar bertanya khabar dengan pendekatan yang sedikit berbeza, namun terbit daripadanya pelbagai persoalan tentang keadaan dirinya, perlakuannya, kawan2nya, dan saling pandangan antara dirinya dan kawan2nya. Adakah persoalan2 yang timbul ini menampakkan dirinya terlalu kisah dengan pandangan mata sekeliling? Adakah dia kisah? Ataupun adakah dia hanya peka? Adakah..? Sambil mindanya terus menerus mengaju dan kadang2 menjawab sendiri persoalan2 tersebut, jemarinya pantas membalas sapaan rakannya itu "Aku biasa je.. bz sketlah 3 4 ari ni..".




*repost dr blog lama