Sudah seminggu tanah ini kering. Tiada setitis hujan yang menjamah sejak kemarau mula menjengah. Rekah-rekah sudah mula kelihatan menjalari seluruh permukaan yang tidak lama dulunya merupakan tanah yang sentiasa lembik dan lembap. Rumput-rumput dan tumbuh2an yang masih bersisa sudah teramat lesu dengan warna hijau yang pudar kekuningan. Tidak kurang juga yang telah pun mati kekeringan, menunggu masa untuk hancur menjadi tanah kontang.
Nun di sebelah sana, tanah di sana juga yang sebelum ini terpagar cantik dengan tumbuh2an menghijau segar, kini tidak bagaikan tidak disiram dan dijaga. Dengarnya tuan tanahnya menghadapi sedikit masalah dengan pihak pengurusan tanah. Sudah hampir seminggu tanahnya tidak dapat dijenguk, apatah lagi diuruskan. Nasibnya baik tanah itu terpagar rapi, kalau tidak sudah pasti telah dijengah parasit2 yang memang dahagakan kehijauan tumbuh2an di sana.
Pernah satu malam mimpi datang mengganggu tidur. Bukan mimpi tentang hujan, tetapi mimpi tentang parasit. Tanah yang masih berhias pohon2 menghijau sudah tentulah mempunyai tarikan, namun tidak disangka2 tanah yang sedang kontang ini juga didatangi dan dihurungi. Mimpi yang tidak jelas logikanya itu tetap meninggalkan kesan menunjukkan kejengkelan terhadap kehadiran parasit.
Harapnya minggu hadapan hujan kan turun untuk kembali menyuburkan bumi ini. Nikmat Tuhan yang satu ini mungkin pada orang lain dilihat menyusahkan atau mengganggu hidup, namun kepada yang berbakti kepada tanah dan alam, nikmat ini merupakan yang sentiasa disyukuri tika hadirnya dan didambai tika tiadanya.
Walaubagaimanapun, tempoh waktu seminggu yang kering ini tiadalah disia2kan dengan menunggu sahaja hujan yang kan turun. Masa yang terluang tetap dimanfaatkan sebaiknya. Persediaan hari muka dirancang dan digubal. Benih2 tanaman dipilih dan dirapi. Susun atur batas, kaedah pengairan, dan masa pelaksanaan semuanya telah difikirkan bersama-sama.
Taman yang indah tiada terdiri dengan sendirinya. Pepohon lebat subur dengan buah2 ranum tidak tumbuh besar di dalam tempoh seminggu. Segala yang baik dan elok itu semua adalah hasil daripada perancangan dan pelaksanaan yang baik. Berkat kesabaran yang menemani niat yang baik, insyaAllah nikmat Tuhan akan dikecapi jua. Dan tanah yang kering ini akan kembali subur kelak akhirnya.
Temuramah Sensasi Bersama Nash Azly
7 tahun yang lalu