#

Pembaca

Ahad, Januari 18, 2009

Zeta 2

Zeta menghela dan menarik nafas dengan laju. Dengan susah payah dia bangun dan berdiri. Diperhatikan sekelilingnya. Tiada apa-apa selain hutan dan belukar. Kini dia berdiri di atas sebuah bukit. Dia masih termengah-mengah. Dia mendongak ke langit. Sedikit masa lagi dunia akan diselimuti kegelapan. Dia menyalakan beakon kecemasan yang terletak di talipinggangnya. Dia tidak mahu berada di luar begini apabila gelap malam tiba. Dia teringat yang dia sendiri baru keluar dari kegelapan. Dia sudah serik dengan kegelapan.

Sewaktu Zeta membuka matanya tadi keadaan sekelilingnya gelap gelita. Kepalanya terasa bengang. Dia tidak tahu di mana dia berada. Dia juga tidak pasti samada dia masih hidup atau sudah mati. Dia mencapai pergelangan tangan kirinya. Dia merasakan yang alat di pergelangan tangan kirinya itu masih ada. Terus dia menekan satu butang pada alat itu dan satu cahaya memancar dari alat itu menyuluh ke atas. Waktu itulah Zeta pasti yang dia masih hidup.

Zeta mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan dirinya dari pesawatnya yang sudah terbalik itu. Mula-mula dia menurunkan dirinya dari kerusi pesawat yang tergantung bawah ke atas itu. Kemudian dia mencari peralatan survival yang diperlukan sewaktu kecemasan. Dia sedar yang dia baru terselamat daripada sebuah malapetaka, dan dia tidak mahu malapetaka lain pula yang menimpanya sekiranya dia tidak bersedia secukupnya.

Zeta terpaksa memecahkan kokpit pesawat untuk keluar. Setelah merangkak keluar dari pesawatnya, dia mendapati dirinya seperti berada di dalam tanah, namun ianya bukan tanah kerana lebih rompong dan berongga. Dia membuat keputusan untuk memanjat ke atas bagi mencari jalan keluar. Ianya seperti mengorek keluar melalui timbunan dan gumpalan yang terbentuk daripada campuran habuk, pasir dan entah apa-apa lagi. Tangannya terpegang pelbagai jenis benda. Matanya dimasuki habuk dan mukanya disaluti debu. Bau bangkai dan kematian memenuhi setiap nafasnya.

Zeta tidak ingat berapa lama dia berada di dalam 'kubur' itu. Di dalam kegelapan hanya ditemani cahaya dari lengan kirinya yang tidak banyak membantu. Namun tekadnya untuk terus hidup begitu kuat dan akhirnya dia berjaya memanjat keluar sehingga ke permukaan. Betapa leganya Zeta apabila dapat menghirup udara segar. Dia terbaring dan tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

Langit semakin gelap. Zeta masih berdiri menunggu. Menunggu sesiapa sahaja yang dapat menangkap signal kecemasan yang dipancarkan oleh beakon di tali pinggangnya tadi. Di atas bukit yang terbuka itu, dia bagaikan sasaran mudah bagi sebarang pemangsa. Zeta hanya mempunyai sepucuk pistol saja untuk mempertahankan dirinya. Matanya tidak leka memerhatikan hutan dan belukar di sekelilingnya.

Tidak lama kemudian dia terdengar bunyi bingit yang nyaring dari arah belakangnya. Refleksnya bertindakbalas dan dengan pantas dia sudah berdiri menghadap punca bunyi tersebut dengan pistol di tangan. Di dalam gelap itu samar-samar Zeta melihat sebuah pesawat sedang terbang menghampiri kawasan di mana dia berdiri. Musuhkah? Pasukan penyelamatkah? Pelbagai kemungkinan menerpa fikirannya. Semakin pesawat tersebut hampir, semakin Zeta tidak tahan dengan bunyi bingit dari pesawat itu lalu menutup kedua-dua belah telinganya. Jika ini pesawat musuh, memang Zeta takkan mampu melawannya. Seketika kemudian pesawat tersebut mencecahkan keenam2 kakinya dan mendarat gagah di hadapan Zeta.

Kemudian bunyi bingit tersebut berhenti. Zeta kembali berdiri tegak dan pistolnya sudah disimpan semula. Dia yakin itu bukan musuh. Kalau tidak tidak mungkin dia masih berdiri di situ. Dilihatnya pesawat tersebut lain daripada model FL-135. Dan Zeta kenal akan model yang ini. Saiznya lebih kecil, dan badannya lebih tirus dengan kaki dan tangki belakangnya berwarna hitam dengan belang-belang putih. Garang.

"AE-035.. Ini kali pertama aku melihat pesawat ini dari dekat," bisik Zeta sendirian. Seketika kemudian kokpit pesawat terbuka dan seorang yang bertubuh sederhana dengan jaket kulit yang agak lusuh, juga dengan belang putih di bahagian lengan berdiri sambil memandang ke arah Zeta. Helmet komunikasi dengan visor menyembunyikan wajah juruterbang Ae-035 itu.

"Tunggu apa lagi! Naiklah cepat! Kawasan ni berbahaya!" Jerit juruterbang AE-035 itu dari kokpitnya sambil membuat isyarat mengajak Zeta naik. Zeta tersentak dan kemudian bergegas mendekati pesawat tersebut dan memanjat kokpitnya.

"Kapten Zeta, dari Unit Pengangkutan Udara. Terima kasih kerana menyelamatkan saya," ujar Zeta sebaik masuk ke dalam ruang kokpit yang muat2 untuk 2 orang itu. Dia mengambil tempat duduk di sebelah kiri juruterbang yang sedang sibuk meneliti panel kawalan. Sambil itu jarinya pantas menekan butang menutup kokpit.

"Aku tau kau siapa. Aku dah crosscheck isyarat dari beakon kau dengan pangkalan, " juruterbang itu berpaling memandang Zeta. Visor matanya dinaikkan, menampakkan wajahnya yang serius tanpa senyuman. Zeta tergamam.

"Aku Maia. Unit Tempur Udara," sambung juruterbang itu lagi. Mata Zeta terus memandang Maia tidak berkedip sementara Maia kembali menumpukan perhatiannya kepada panel kawalan di hadapannya. Enjin pesawatnya kembali dihidupkan.

"Aku tau kau mesti tertanya-tanya macam mana perempuan macam aku ni boleh jadi juruterbang unit tempur udara kan. Heh aku dah masaklah dengan pandangan lelaki macam kau ni," tambah Maia sinis tanpa memandang Zeta. Tangannya masih sibuk menekan beberapa punat dan butang. Zeta ingin menjawab namun sebelum dia sempat berkata apa-apa Maia sudahpun mencelah semula,"Ok sedia untuk berlepas."

Tanpa menunggu jawapan Zeta, Maia terus menarik kayu kawalan. Zeta tersentak ke tempat duduknya akibat daya G yang terhasil apabila pesawat AE-o35 itu memecut ke hadapan. Dalam sekelip mata pesawat itu sudah terbang laju sambil membelok ke kiri dan kanan mengelak pepohon dan belukar yang berada di sepanjang laluan. Zeta memandang Maia lagi. Maia kelihatan sangat tenang seolah-olah seluruh pesawat itu merupakan sebahagian daripada anggota badannya.

"Lengan kau berdarah. Baik kau periksa luka kau tu," Maia menyambung bicara ketika pesawat mereka sudah lebih stabil di udara. Zeta melihat lengan kanannya namun tiada apa-apa kesan. Dia mengalih pandangan ke lengan kirinya pula. Dilihat tompokan darah yang agak besar di bahagian luar lengan. Zeta menanggalkan jaketnya dan memeriksa luka tersebut.

"Luka sedikit sahaja, aku tak apa-apa," balas Zeta setelah berpuas hati tiada kecederaan lain pada tubuhnya. Dia rasa aneh kerana selama tadi dia langsung tidak perasan tentang darah mahupun luka di lengannya itu.

"Aku tau kau tak apa-apa. Aku cuma taknak pesawat aku kotor dengan darah kau. Ada peti medikal di bahagian depan bawah kau sebelah kaki kiri. Balut dulu luka tu. Aku akan hantar kau sampai ke pangkalan terdekat untuk rawatan lanjut," balas Maia selamba. Geram hati Zeta mendengarkan kata-kata Maia itu. Hatinya tertanya-tanya beginikah sikap semua juruterbang tempur. Dia tunduk untuk mencari peti medikal yang dimaksudkan.

"Tit!Tit!Tit!" bunyi penggera kecil memecah suasana. Zeta bingkas mengangkat kepalanya dan sekonyong itu dia terhantuk panel kawalan. Sambil menggosok-gosok kepalanya dia kembali duduk tegak dan memandang Maia. Dilihatnya Maia tersenyum kecil sambil tangannya mematikan penggera tersebut.

"Nampaknya aku tak sempat hantar kau. Tangki tenaga pesawat aku dah hampir habis. Aku kena buat pengisian sebentar," jelas Maia tanpa ditanya. Zeta sedikit lega kerana penggera itu bukan bermaksud ada musuh sedang mendekati. Cukuplah apa yang telah dihadapinya hari ini. Dia teringat pertembungannya dengan Vagas dan Tartula yang hampir-hampir menyebabkan dirinya maut. Bulu romanya meremang seketika mengingatkan raungan ganas Vagas.

"Jadi di mana kita akan buat pengisian?" tanya Zeta. Dia tidak peduli pun sebenarnya. Dia cuma bertanya kerana dia mahu melupakan imej-imej ngeri yang sedang menghantui fikirannya ketika itu.

"Betul ke kau ni juruterbang? Takkan kau tak tahu pesawat model ini memerlukan sumber tenaga daripada apa?" Maia mengangkat kening sambil matanya menjeling Zeta. Pesawatnya itu membuat belokan pantas ke arah kanan, meninggalkan laluan asal ke arah yang baru. Zeta tergamam dengan sindiran Maia itu. Sebagai salah seorang juruterbang paling mahir di dalam Unit Pengangkutan Udara, dia rasa terhina. Lebih-lebih lagi sindiran itu datang dari seorang juruterbang muda wanita yang tidak dikenalinya. "Berapakah umur budak ini? Rasanya tidak sampai 20 pun lagi," egonya yang tercalar membisik ke fikirannya.

Namun begitu Zeta cuba bertenang kembali. Ini bukan masanya untuk panas hati apatah lagi untuk bergaduh dengan juruterbang muda itu. Yang penting Maia telah menyelamatkannya. Jikalau Maia tidak terbang melalui kawasan tadi, dia tidak tahu berapa lama dia harus tunggu di tempat tadi sebelum sesiapa dapat mengesan signal daripada beakon kecemasannya. Boleh jadi makhluk pemangsa yang lain yang mengesannya terlebih dahulu.

Dia cuba mengingat kembali latihan-latihan sebagai seorang juruterbang di kala mudanya. Model AE-o35 merupakan pesawat tempur utama di dalamUnit Tempur Udara. Kelebihan pesawat itu adalah bentuk tirus dan badan yang ringan membolehkannya membuat manuver-manuver ala akrobatik yang kompleks di dalam kelajuan tinggi. Dan sumber khasiat biasa tidak mampu menjana tenaga yang diperlukan untuk manuver-manuver sebegitu. Disebabkan itu, pesawat AE-035 memerlukan ketumpatan khasiat yang lebih tinggi, dan sumber tenaga sebegitu hanya terkandung di dalam ekstrak yang diperolehi daripada tubuh hidupan lain. Ekstrak daripada makhluk-makhluk seperti Tartula dan Vagas, yang juga merupakan musuh mereka.

Zeta menelan air liurnya apabila fakta-fakta tersebut kembali menerjah fikirannya. Zeta baru sedar yang pengisian yang dimaksudkan oleh Maia bukan setakat pengisian tangki, tapi juga bermaksud pertempuran. Pesawat AE-035 itu mula memanjat ke altitud yang lebih tinggi. Maia menukar mod pesawat kepada mod tempur dan serentak itu bunyi bingit yang nyaring kedengaran kuat sehingga menembusi ke dalam kokpit. Maia menunjukkan isyarat supaya Zeta memakai helmet komunikasi dan mempersiapkan dirinya. Zeta menurut sahaja. Fikirannya berkecamuk memikirkan musuh yang bagaimanakah bakal dihadapi oleh mereka.

"Aku rasa kau dah cukup berpengalaman sebagai juruterbang. Jadi aku ingin kau bertenang dan biar aku yang uruskan segalanya. Faham?" bunyi suara Maia bergema di dalam helmet komunikasi itu. Zeta mengangguk kecil. Memang dia sudah banyak pengalaman. Sudah lebih sepuluh tahun dia menjadi juruterbang. Namun begitu dia tetap hanyalah seorang juruterbang pesawat pengangkut. Kemahiran dan pengalamannya adalah untuk menerbangkan pesawat dengan tujuan mengelakkan diri apabila diancam musuh. Bukannya untuk bersemuka dengan musuh seperti yang dilakukan oleh Maia sekarang. Dia sedar kini yang dia dan Maia sangat berbeza walaupun kedua-dua mereka bergelar juruterbang.

Pesawat AE-035 itu terus garang memanjat lebih tinggi ke atas. Dari kokpit pesawat Zeta dapat melihat cahaya yang terang daripada sebuah lubang di sebuah dinding batu tidak jauh di hadapan mereka. Nampaknya Maia sedang menuju ke arah cahaya tersebut. Silau daripada cahaya itu membuatkan Zeta meniriskan matanya dan mengelak daripada memandang tepat ke hadapan.

"Pakai visor kau. Kau perlu lihat semuanya agar kau sentiasa bersedia jika ada sebarang kemungkinan yang buruk. Di saat-saat begini apa sahaja boleh berlaku," keterujaan jelas kedengaran di dalam suara Maia yang sedikit lantang. Namun tangannya kejap menggengam kayu kawalan dan postur badannya sangat fokus. Zeta menurunkan visor yang terus menapis cahaya silau tadi kepada jumlah yang lebih selesa kepada matanya. Kini dia dapat melihat dengan jelas arah yang ditujui mereka berdua. Terlalu jelas sehingga dia rasa seperti pernah melihat ruang di sebalik lubang pintu masuk yang mereka akan lalui bila-bila masa saja lagi.

"Ok! Sedia atau tidak, mari kita bolos saja sektor BT ini!!" jerit Maia bagaikan separuh dirasuk. Di sebelahnya, Zeta kelihatan tenggelam di dalam kerusinya dengan wajah yang semakin memucat.




8 ulasan:

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

sarah beri laluan kat akak ya..susah juga ni. macam bab pengenalan watak bagi maia..terfikir apa adventur yang bakal ditempuhi mereka berdua (teringat sikit kat filem walle).panjang lagilah ni kan..buat blognovel je lah nadd..asingkan dari blog ni..khusus untuk pengembaraan Zeta.Syok pulak layan citer ni walaupun dah tua hihihi.

Sarah berkata...

sokong! Zeta dah ada makwe lah he3.

Nadd berkata...

akak maria : mm ada terfikir gak nak asingkan.. tp masih dlm pertimbangan.. baguslah akak suka citer Zeta ni.. sy pun enjoy gak tulis citer ni..tu yg pjg berjela tu..hehehh

sarah(sket lg nk tertulis sy*): imaginasi sarah lg tinggi nih blum apa2 dah konfem jd makwe Zeta ni.. ilang saspen abg nk citer.. hehehe

Friction berkata...

Nice follow up bro. haha. Teruskan. I'm happy for Zeta. Tapi tu ah, unfortunately his new gf is a blood sucker. That cant be good. Don't give Zeta a easy time with her ok. Baru best!

Nina berkata...

dh nyamuk surelh 'bloodsucker'..Zeta apa kurangnya jenis 'sucker'gk..mmg sepadan.
Zeta 6: kelahiran spesies br "MUKLA"..the worst sucker in the world hahaha..sorry bro..merapu.

Sarah berkata...

NEW gf ? Sapa gf lama ZETA? Ada versi yang tidak di publish ke?

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

tak tahan nak ketawa baca komen nina dgn sarah tu..better sambung cepat nadd sebelum zeta tu mati kena asak.Tak ada penerangan yang mengatakan maia tu makwe zeta..nampaknya semua orang dah jadi penulis skrip.Syabas sebab telah berjaya mencetus pemikiran,imaginasi dan emosi pembaca.

Hanni Ramsul berkata...

ish..ish.. tertinggal ketapi laa. baca dah lama. baru nak komen. :D

First..Hahaha. kesian Zeta. pi mai pi mai tang tu. jgn biarkan usaha separuh mati Zeta tu sia2 ya Nadd. dia berjuang untuk hidup tu. sekali, kena berjuang sekali lagi daa.. jgn la Amin guna spray lak. makin trauma la Zeta nanti. hahaha

n maia... hehehe. x mo komen. moga jadi sweet couple. kah kah kah.

suggest wat novel pun bagus kot. :D