#

Pembaca

Khamis, Mei 21, 2009

Lemah 4

"Emm, lagi 15 minit ke.. apa aku nak buat sementara tu," Sidek berkata-kata sendirian. Matanya tetap pada skrin komputer di hadapannya. Setelah berpuas hati, barulah Sidek kembali bersandar pada kerusinya. Berkereot bunyi kerusi itu menampung berat badan Sidek. Hatinya sedikit tenang melihatkan bahagian kerja yang perlu disiapkannya telah selesai. Sekarang dia hanya perlu menunggu bahagian yang akan diberikan oleh Carmen dari Jabatan Kewangan. Janji yang akan tertunai 15 minit lagi.

Perutnya mula berbunyi kecil. Sidek berasa lapar. Dia melihat jam dinding ofis yang menunjukkan pukul 1145 pagi. Masih lama sebelum waktu makan tengah harinya yang hanya akan bermula pada jam 1 tengah hari. "Alamak nak lunch apa pulak, aku bukannya ada duit dah," Sidek merungut di dalam hati. Dia sedikit kesal kerana telah menghabiskan wang sakunya untuk membeli rokok pagi tadi. Kini wang yang tinggal di dalam kocek seluarnya hanyalah syiling yang dia pun tidak pasti berapa jumlahnya.

Di dalam duduk itu, tangan kiri Sidek menyeluk kocek seluarnya dan meraba beberapa keping syiling. Dia tetap tidak pasti berapa jumlahnya. Lantas dikeluarkan semua isi koceknya dan diletakkan di atas meja. Berdentang dentinglah bunyi syiling yang tidaklah banyak sangat jumlah kepingannya itu. Sidek tersenyum sendiri setelah menjumlahkan kepingan2 itu yang membawa nilai 55sen semuanya. Walaupun dia sedikit hairan dengan kehadiran 5sen yang dia tidak ingat dari mana datangnya, namun Sidek tetap gembira. Dengan jumlah begitu, sekurang2nya dia dapat membeli sekeping karipap yang berharga 40sen untuk mengalas perutnya pada tengah hari tersebut.

"Cayalah Sidek!" lamunannya terganggu oleh sapaan suara dari belakangnya. Sebaik Sidek menoleh, tuan punya suara tersebut telah pun muncul di sisi mejanya dan dengan sekelip mata 2 keping syiling 20sen di atas mejanya lesap di tangan tetamu yang tidak diundang tersebut.

"Aku pinjam 40sen ya Sidek. Nak beli airlah. Petang nanti aku bayar," jelas lelaki tadi yang kemudian memusingkan badannya dan beredar pergi. Sidek yang tidak sempat berkata apa2 kelihatan masih terkejut dengan apa yang telah berlaku. Sengih yang berada di mulutnya sebentar tadi sudah hilang entah ke mana. Dadanya berasa sebal, bagaikan penuh dengan sesuatu yang ingin keluar namun tidak dapat. Dengan pandangan yang berat, Sidek melihat saja dari jauh kelibat lelaki tadi yang kini sedang memasukkan kepingan2 syiling kepunyaannya ke dalam mesin minuman.



Gambar Hiasan dari Sini

Rabu, Mei 06, 2009

Lemah 3


"Ha, buat apa tu Sidek?" tiba-tiba satu suara menyergah Sidek yang sedang leka menatap skrin komputernya. Sidek yang terkejut terus terlepas tangannya dari memegang tetikus. Dia menoleh dan melihat wajah En. Kadir sedang memerhatikan skrin komputernya. Dia memusingkan badan beserta kerusinya sekali menghadap En Kadir, sekaligus berharap agar badan dan wajahnya dapat melindungi sedikit sebanyak paparan imej yang sedang terpampang di skrin.

"Em, laporan itu saya dah siapkan, cuma ada kesilapan sedikit daripada data yang diberikan oleh finance department. Saya dah minta mereka hantar semula a.s.a.p," pantas Sidek menjawab tanpa ditanya. Matanya difokuskan pada mata En. Kadir namun mata bosnya itu tidak bertemu dengan matanya. Ia masih pada skrin yang nampak tidak nampak di belakangnya itu.

"Hm, oklah kalau macam tu. Nanti dah siap awak serahkan pada saya ya," En. Kadir akhirnya memandang wajah Sidek. Barangkali puas hati dengan jawapan yang diberikan tadi. Kemudian dia tersenyum dan berpaling lalu beredar dari tempat Sidek.

Sebaik En. Kadir hilang dari pandangan, Sidek menghela nafas lega. Kejadian itu betul2 mengejutkannya. Sememangnya dia sedang membaca emel peribadi tadi namun bukanlah bermakna dia mencuri tulang. Kerjanya telah pun disiapkan terlebih dahulu. Namun begitu dia sepatutnya lebih berwaspada. Hatinya sedikit geram dengan dirinya yang mudah terleka.

"Hm, tak sampai lagi lah pulak," bisik Sidek sendirian setelah memeriksa emel syarikatnya. Terus dia mencapai gagang telefon di sebelahnya dan mendail sambungan ke jabatan kewangan.

"Hello, Carmen ya. Data yang saya minta hantar semula tadi dah hantar ke belum?" tanya Sidek sebaik talian bersambung.

"Data yang awak minta tadi ke? Bukan ke saya dah hantar pagi tadi," jawab satu suara halus di hujung talian.

"Mm, ya memang awak ada hantar. Tapi Carmen, saya nak dari Disember sampai Mac, yang awak beri tu hanya untuk Disember sahaja," jelas Sidek sambil jarinya memainkan tetikus di atas meja. Tanda anak panah di skrin komputernya kelihatan berpusing2 tanpa tujuan.

"Ooo, nak hingga ke Mac ke. Cakaplah awal-awal," balas suara perempuan yang dikenali sebagai Carmen itu lagi.

"Laa, awak ni. Saya dah cakap lah dari awal lagi yang saya nak dari Disember hingga Mac. Awak yang tak dengar barangkali," Sidek sedikit geram dengan alasan yang diberikan. Namun dia perlu mengawal dirinya kerana dia masih perlukan bantuan wanita itu.

"Alaa, janganlah marah Sidek. Kalau saya awal-awal dah beri apa yang awak nak, nanti saya tak dapatlah dengar suara awak lagi di telefon ini lagi," manja saja Carmen membalas. Penunjuk tetikus terhenti di tengah2 skrin dek terlepasnya tangan Sidek daripada memegang tetikus sebaik mendengarkan tutur manja Carmen itu. Sidek menelan air liur dan membetulkan duduknya semula.

"Saya nak data tu sekaranglah Carmen. Bos saya En. Kadir dah bising ni. Dia tunggu data tu dari tadi lagi," Sidek cuba menguatkan dirinya. Dia yang tidak mahu melayan karenah perempuan itu terpaksa menggunakan nama bosnya demi mendapatkan apa yang dikehendaki.

"Emm Sidek.. saya ada kerja sikit yang perlu disiapkan ni. Dalam 15 minit lagi awak panggil semula boleh tak Sidek?" jawab Carmen memujuk.

"Ok," jawab Sidek ringkas. Namun sebaik gagang diletakkan, Sidek berasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena.

"Apsal aku pulak yang kena call dia balik??" rungut Sidek dengan wajah yang sedikit kesal. Perlahan2 dia bersandar kembali pada kerusinya sambil mendongak memerhatikan deretan lampu kalimantang di siling pejabatnya yang seluas mata memandang. Sidek menghela nafas berat, membayangkan betapa kecilnya dirinya itu di dalam dunia ini.

Telefon yang sepi (Freefoto.com)


Ahad, Mei 03, 2009

Lemah 2


"Sidek," kedengaran satu suara memanggil. Sidek menoleh ke arah tuan punya suara tersebut. Dia melihat sesusuk tubuh sedang masuk ke dalam warung. Sidek cuba menelan air liur yang tersekat di kerongkong.

"Laporan yang saya nak pagi tadi tu dah siap belum?" suara En. Kadir berdesing di telinga Sidek. Mukanya terasa hangat. Dia perasan Ramlan menjeling kepadanya sedetik sebelum berpura-pura meneruskan membaca suratkhabar yang dipegangnya.

"Saya tengah tunggu jawapan daripada finance department En. Kadir," jawab Sidek sambil sedaya upaya menunjukkan wajah yang tenang. Namun dia tahu yang mukanya sedang merah ketika itu. En. Kadir duduk di sebuah meja yang berdekatan bersama seorang lagi pengurus bahagian lain.

"Eh, duduklah dulu. Takkan dah nak masuk dah," tegur En Kadir lagi apabila melihat Sidek bangun dan berjalan ke kaunter untuk membuat pembayaran. Sidek hanya tersenyum kelat dan menjawab lemah, "Takpelah En Kadir, dah habis dah pun," seraya menunjukkan gelas tehnya yang kosong dengan anak matanya.

Sidek melihat kiri dan kanan sebelum bergegas menyeberangi jalan menuju ke bangunan pejabatnya. Sidek sedikit lega kerana lalulintas pagi tersebut agak sibuk, maka dia boleh menyeberang dengan lagak yang tergesa-gesa. Dia merasakan yang bahagian belakang tubuhnya masih menjadi perhatian mereka-mereka di warung itu, terutamanya bosnya yang dipanggil En. Kadir tadi.

Udara nyaman dari pendingin hawa pusat menjamah wajahnya sebaik dia melangkah masuk menerusi pintu utama bangunan. Tanpa berlengah lagi Sidek terus memasuki lif di lobi untuk menuju ke pejabatnya di tingkat 3. Dia ingin segera sampai ke mejanya semula. Mejanya merupakan satu2nya tempat di mana dia akan berasa tenang. Ruang kepunyaannya seorang.

Pintu lif terbuka dan kelihatan seorang gadis berdiri di hadapan pintu. Mata mereka bertemu. Gadis itu kelihatan sedikit teragak2 untuk masuk ke dalam lif. Sidek sedikit kehairanan dengan gelagat gadis itu. Matanya dilarikan ke arah latarbelakang gadis tersebut dan barulah Sidek perasan yang sebenarnya dia masih berada di lantai lobi. Sidek terlupa menekan butang tingkat 3.

Gadis tersebut masuk ke dalam lif dan terus menekan butang tingkat 4. Kali ini giliran Sidek pula yang menjadi teragak2. Dia mahu menekan butang tingkat 3 namun pelbagai spekulasi2 menerpa fikirannya.

"Rasa-rasanya dia perasan tak yang aku terlupa tekan butang tadi? Mestilah dia perasan, sebab pintu terbuka dan patutnya aku keluar sebab dah sampai lobi. Patutlah dia buat muka pelik je bila nampak aku dalam lif. Tapi kalau a
ku tekan sekarang, nampak macam lagi peliklah pulak. Ah, turun jelah kat tingkat 4 nanti," fikiran Sidek ligat mengandai sambil mencari jalan.

"Encik nak turun tingkat berapa?" gadis tadi menoleh dan bertanya pada Sidek. Sidek terpinga seketika, tidak menyangka kedatangan soalan tersebut.

"Er, tingkat 4," pantas saja mulutnya mengutarakan apa yang sedang berlegar di fikirannya. "Aiseh, apsal aku cakap tingkat 4 pulak. Cakap je lah tingkat 3," Sidek sedikit kesal dengan keterlanjuran mulutnya itu.

Sidek sudah tidak mahu berfikir apa2 lagi. Dia nekad akan turun di tingkat 4 dan kemudian pandai-pandailah dia mencari jalan untuk ke tingkat 3 semula. Dia mendongak melihat susunan nombor tingkat di atas pintu lif yang menyala mengikut tingkat yang dilalui. Nyalaan masih pada nombor 2. Pergerakan lif itu dirasakan amat lambat. Sidek sudah tidak sabar untuk kembali ke 'ruang'nya.

"Ting!" bunyi lif menandakan ia akan berhenti. Sidek mendongak kembali dan mukanya kembali disambar rasa hangat apabila melihat nyalaan berhenti pada nombor 3. "Kenapalah berhenti kat tingkat aku pulak," hati Sidek bertambah sebal. Namun begitu dia tetap tidak bergerak ke muka pintu walaupun hatinya meronta-ronta untuk keluar dari lif tersebut. Pintu lif terbuka.

"Eh, Sidek," sapa Radhi, rakan sepejabatnya. Radhi masuk ke dalam lif dengan sebuah fail nipis di tangan. Sidek hanya membalas sapaan dengan sebuah senyuman yang tawar.

"Kau nak ke mana ni?" tanya Radhi sambil tangannya menekan butang tingkat 6. Sidek tidak mampu menjawab terus. Matanya hanya memandang kosong pada lantai lif dan dihelanya nafas lemah. Kedua bahunya terasa amat berat. Dan pintu lif itu perlahan-lahan tertutup semula.