#

Pembaca

Jumaat, Mac 05, 2010

Kau dan Aku

Imej hiasan

"Menyesal aku!" kedengaran satu suara bergema di kala hening pagi itu. Rudi mengesat peluh di dahinya yang berkerut menahan kesakitan. Dadanya turun naik, terasa degup jantungnya kencang daripada biasa.

"Kalau aku tahu tadi, memang aku takkan buat begitu," ngomel Rudi lagi. Tangannya menekan perutnya. Dirasakan bagai ada pertarungan yang berlaku di dalam perutnya itu. Pihak mana yang menang sekalipun, dia yang akan menanggung sengsaranya.

"Ha, padan muka kau Rudi. Aku kata sabar, jangan makan. Tapi kau degil. 'Celebrate' konon. Sekarang rasakan," kedengaran satu suara berbisik di mindanya.

"Kau! Ah sudahlah sekarang bolehlah kutuk! Aku makan pun sebab kau jugak! Sibuk saja hasut aku. 'Dah lama tak makanlah', 'sekali-sekala apa salahnya' lah. Sekarang kau kutuk aku pulak ya!" balas Rudi geram dengan dirinya sendiri.

"Dah itu tugas aku. Bila kau senang aku ingin kau lebih senang. Bila kau susah aku akan buat kau menyesali diri kau. Kau tak boleh salahkan aku. Siapa yang membuat keputusan terakhir? Kau atau aku? Siapa yang mengarahkan kaki untuk berjalan ke gerai? Siapa yang mengarahkan tangan untuk membeli dan menyuap nasi lemak? Siapa yang menyuruh mulut untuk mengunyah dan menelan? Aku ke engkau? Aku tak ada kuasa sebegitu. Semuanya kau sendiri yang buat!" semakin kuat suara itu menangkis. Rudi faham semua itu, namun menyesal kemudian tiada gunanya lagi. Dia hanya menyeringai menahan sakit.

"Ahh kau memang! Semuanya salah aku. Padahal kau yang hasut aku. Lepas ni jangan haraplah aku akan ikut cakap kau lagi!" bentak Rudi. Rautnya sudah dibasahi peluh sehingga turun ke leher membasahi kolar kemejanya. Pagi yang dingin itu terasa begitu panas. Kakinya menggeletar tanpa boleh dikawal, cuba menyeimbangi pergelutan di dalam tubuhnya.

"Nasib kaulah Rudi. Aku bukannya orang lain. Salah aku adalah salah engkau juga. Sebab aku adalah engkau, dan engkau itu adalah aku..." Rudi sudah tidak mampu menahan lagi. Dia lantas bangkit dan berlari keluar daripada biliknya meluru ke arah tandas di hujung bangunan pejabatnya itu.