#

Pembaca

Rabu, Jun 24, 2009

Kupas

Mukanya terasa pedih. Dirasa-rasa dengan jarinya. Terasa kesat dan kasar. Dia mengeluh sendirian. Nampaknya keadaan begini akan berterusan buat beberapa hari lagi. Sudah terbayang di fikirannya rakan2 sepejabatnya memandangnya dengan pandangan yang pelik, atau lebih teruk lagi, pandangan yang jelik.

"Man, kau buat apa kat tengah2 panas tu? Kalau ya pun nak tunggu mereka, tunggulah di bawah pokok ni," jerit Tan dari kawasan redup berdekatan. Kelihatan bersama-samanya berteduh di situ ialah Lan dan Sim. Lan sedang duduk di atas rumput sambil meneguk dari sebotol air mineral yang dibawanya. Sim pula sudah terbaring sambil menutup muka dengan lengan kirinya. Tangan kanannya memegang tuala yang semestinya telah lencun dek peluh.

Man mengangkat tangannya kepada Tan namun tiadalah pula dia berganjak dari tempat berdirinya itu. Perit panahan mentari begitu terasa mencucuk belakang lehernya, dan seluruh bajunya telah pun dibasahi peluh, namun tangannya tetap gigih memegang kamera yang sebahagian lagi beratnya ditampung dek lehernya oleh tali kamera yang kukuh. Sesekali titis-titis peluh dari dahi mengalir turun dan memasuki matanya, membuatkan Man terkedip2 menyahkan basah yang hadir. Tangannya terlalu sayang untuk dilepaskan bagi menyeka walaupun sebentar. Takut terlepas peluang keemasan.

Dan kemudian yang ditunggu-tunggu muncul dari celah bangunan konkrit. Deretan demi deretan yang muncul bagaikan magnet yang menarik serbuk2 besi. Sekejap saja tempat berdiri Man dipenuhi dengan mereka2 yang mempunyai tujuan yang sama dengannya. Dan dengan sepantas itu jugalah kerlipan demi kerlipan dilepaskan tanpa ditunggu-tunggu lagi. Tan, Sim dan Lan yang berteduh sejak tadi pun bergegas bangkit mengusung peralatan masing2. Semuanya tidak mahu melepaskan peluang yang jarang2 muncul ini.

Susunan yang bagaikan diatur dan dirancang dan gerakan2 yang bagaikan lemah gemalai memang mengujakan setiap insan yang berada di situ. Semua mata dan kepala menoleh dan terpaku, dan hingar suasana bagaikan tiada berkesan bagi mereka. Man dan rakan2 dengan sedaya upaya mereka cuba merakam setiap saat dan detik, jari memetik dan terus memetik bagaikan rugi jika berhenti walau sesaat.

Sehinggalah deretan demi deretan itu hilang di sebalik sana bangunan konkrit, barulah mereka2 ini berhenti dan kembali mengambil nafas. Ada yang memeriksa hasil kerja tangan masing2, tidak kurang juga yang masih mengekalkan posisi, mungkin masih berharap sesuatu yang mustahil. Man hanya tersenyum puas sambil memandang rakan2nya. Yang dihajatinya telah tercapai, penat lelah panas terik sudah lama hilang rasa deritanya. Tergambar kepuasan di wajahnya yang tidak dapat diukir kembali pada waktu2 yang lain selain daripada waktu ini.

Jari2nya menenyehkan losyen Nivea pada wajahnya yang kasar itu. Lembut sejuk losyen bercampur dengan imbasan kenangan manisnya tadi membuatkan Man tersenyum sendirian. Dia tidak peduli lagi apa yang rakan2 sepejabatnya akan fikirkan. Apa yang penting padanya adalah takkan ada kepuasan yang boleh dicapai tanpa pengorbanan. Dan kulit wajah yang terkupas sebegini merupakan pengorbanan kecil saja baginya berbanding apa yang telah diperolehinya. Man terus tersenyum.


Deretan demi deretan

Ahad, Jun 14, 2009

Kawan?

"Zorn, aku nak minta tolong sikit," Bazack bangkit dari duduknya dan berdiri menghadap Zorn. Zorn yang sedang leka membelek holozin di tangannya mengalih pandangan ke arah Bazack.

"Minta tolong apa Bazack?" Zorn bertanya. Bazack terus memandang Zorn tanpa menjawab. Buat seketika keadaan menjadi kelat. Kesunyian sumbang antara keduanya itu bagaimanapun terisi dengan nyanyian yang mengiringi tarian watak2 kecil yang terapung2 di atas holozin pada tangan Zorn.

"Tolong hantar aku pegi Satrium boleh?" akhirnya Bazack meluahkan hasrat hatinya sambil melemparkan seulas wajah yang mengharap simpati.

"Satrium? Jauhnya.." Zorn memberikan reaksi yang telah pun diagak. Sesiapapun yang berada di Corais itu akan berkata sedemikian rupa. Satrium terletak kira2 sejam perjalanan dari Corais.

"Nak buat apa pergi malam2 ni?" tanya Zorn sambil mengalihkan pandangannya daripada menatap wajah Bazack yang masih menagih simpati. Zorn berpura2 memerhatikan tarian2 daripada holozin di tangannya. Entah sudah berapa kali tarian pada muka surat itu diulang2 gerakannya.

"Aku dah janji nak jumpa Sobre. Dia nak tolong betulkan 'headkit' aku," Bazack cuba memberi penjelasan pada Zorn yang sedikit endah tidak endah. Sesekali matanya beralih daripada Zorn kepada imej2 hologram yang masih menari2 di hadapan Zorn. Namun rautnya tetap mendamba simpati.

"Nak betulkan 'headkit' malam2 buta ni? Dah takde siang dah ke?" Zorn melemparkan lagi soalan demi soalan bertujuan melemahkan semangat Bazack. Kalau tidak kerana Bazack sedang membantunya sekarang, sudah lama dia sudah mengatakan 'TIDAK' terhadap permintaan itu.

"Ya, malam saja yang boleh, sebab siang Sobre sibuk dengan kerjanya. Lagipun aku dah janji dengan dia untuk datang malam ni," Bazak nampaknya masih tidak mahu mengaku kalah. Dia seakan2 terdesak. Zorn menutup holozin di tangannya dan mencampakkannya ke atas sofa yang berselerak dengan beberapa naskhah yang lain.

"Kenapalah kau janji dengan dia sebelum kau tanya aku? Cuba kalau aku tak datang sini malam ni? Macam mana kau nak pergi ke sana?" Zorn mula bengang kerana sikap Bazack yang mementingkan diri itu. Raut wajah Bazack tidak berubah namun dia tidak berani memandang ke arah Zorn. Matanya dilarikan.

"Alah Zorn. Sekejap saja, sementara tunggu habis muat turun perisian untuk 'headkit' kau ni . Rasanya bila kita balik nanti siaplah ni," jawab Bazack sambil memandang pada mesin yang berselirat dengan wayar binaannya sendiri itu. Status di skrin paparan menunjukkan 25% setelah lebih setengah jam mereka menunggu. Ada lagi lebih kurang 3 jam sebelum proses muat turun siap sepenuhnya.

Zorn terdiam seketika apabila mendengar jawapan daripada mulut Bazack. Hatinya yang sebal menjadi bertambah geram. Bazack pandai mempergunakan kedatangannya ke rumah itu. Tujuan Zorn datang ke rumah Bazack pada malam itu adalah untuk meminta tolong Bazack memuat turun perisian untuk 'headkit'nya. Hanya Bazack saja rakan yang dikenalinya yang mempunyai akses terhadap pelayan di mana perisian itu terkandung. Namun tiadalah dia menyangka yang Bazack akan mengambil kesempatan terhadapnya sebegini rupa. Zorn menggigit bibir bawahnya menahan geram. Mindanya ligat mencari alasan.

"Hm aku ok je sebenarnya Bazack. Tapi si Lizo ni tak boleh balik lambat. Aku kena beri dia ubat," tiba-tiba Zorn teringat pada Lizo yang dibawanya bersama2 tadi ke rumah Bazack. Zorn berjalan menghampiri Lizo yang sedang duduk di atas kerusi malas kegemaran Bazack. Mujurlah ada Lizo. Mata Lizo menyepet apabila Zorn menggaru2 lembut kepalanya yang gondol tiada berbulu itu, sama gondol seperti keseluruhan tubuhnya. Dengan tubuh yang kecil, sekali imbas kucing albino itu kelihatan seperti seekor cicak besar yang berwarna serba putih. Dari situlah agaknya nama Lizo itu diberi. Zorn tersenyum sahaja melihat kucing kesayangannya itu menggeliat kesedapan.

"Kalau macam tu, kita hantarlah Lizo balik dulu dan lepas tu kita berdua pegi ke Satrium, ok?" pantas saja jawab Bazack sudah tidak mahu berfikir panjang lagi. Zorn tersentak mendengar cadangan Bazack yang tidak masuk akal itu.

"Kepala hotak kau. Kalau macam tu baik dengan aku aku sekali balik ke rumah terus. Apa jadahnya aku nak keluar balik dan pergi ke Satrium tu pulak," Zorn sudah hilang sabar dengan Bazack. Ini adalah kerana rumah Zorn yang berada di Bangstar terletak kira2 400km ke selatan Corais. Dan Satrium pula terletak 400km di utara Corais! "Bagaimanalah si Bazack ni boleh keluarkan idea bodoh sebegini," bisik hati Zorn.

"Tolonglah Zorn. Aku nak pakai 'headkit' ini sebelum 'headkit' baru aku sampai," pujuk Bazack dengan sepenuh hati. Bazack kelihatan begitu terdesak. Manakala Zorn pula semakin tertekan. Kerana sebuah 'headkit' yang rosak, dia diminta untuk terbang 400km ke utara di dalam gelap malam ni. Pergi balik 800km. Itu belum kira 400km untuk pulang ke rumahnya di Bangstar lagi. Dan belum lagi kira berapa kiub bahan bakar yang akan habis lagi nanti untuk perjalanan tersebut.

Zorn memerhatikan semula status pada paparan skrin. 25%. "Lambatnya mesin jahanam ni!" hatinya membentak marah. Zorn cuba menenangkan dirinya dengan menarik nafas dalam2 dan menghelanya perlahan2. Nampaknya dia tiada pilihan lain selain membawa Bazack ke Satrium sebagai balasan terhadap pertolongan Bazack. Dan mungkin ini kali pertama dan terakhir dia meminta pertolongan dari Bazack!

Bukannya Zorn tidak mampu untuk ke Satrium pada malam itu. Jarak 400km merupakan jarak biasa yang ditempuhinya seharian. Yang merunsingkan fikiran dan memberinya tekanan kini ialah masa. Dikerlingnya strap serbaguna di pergelangan tangannya. Paparan menunjukkan masa sekarang sudah menjangkau 11:45 tengah malam. Jikalau dia beralah, maka alamatnya pukul 3 pagi nanti pun tak tentu dia dapat sampai ke rumahnya di Bangstar.

"Dah dekat pukul 12 malam ni Bazack. Aku dah la baru balik kerja tadi. Singgah di vet pula ambil si Lizo, dan kemudian singgah sini. Aku tak berniat nak lama kat sini pun. Tak tahu pulak aku yang muat turun tu akan memakan masa sampai 3, 4 jam. Kalau aku tau memang aku datang esok saja," giliran Zorn pula meminta simpati. Bazack kelihatan sedikit resah apabila mendengar tona suara Zorn yang mula menurun itu. Zorn bagaikan dapat melihat di sebalik keresahan itu gambaran 'headkit' sedang menari-nari memenuhi kepala Bazack. Dia mengeluh kecil.

"Hmm, aku pun sebenarnya rasa bersalah juga nak menyusahkan kau Zorn. Tapi macam2 mana pun kau kena tunggu muat turun ni habis kan? Kita ada 3 jam lagi. Sementara menunggu itu kita ke sanalah sekejap," jawab Bazack. Nampaknya benar telahan Zorn. Bazack tiada berniat untuk mengalah mahupun menunjukkan simpati terhadapnya. Zorn sudah habis akal untuk berdalih lagi. Matanya kejap ke skrin paparan yang baru meningkat 26% statusnya, dan kemudian ke arah Lizo yang sudahpun selesa menopangkan dagu di atas kedua kaki hadapannya. Matanya sudah tertutup rapat dan kelihatan tidak ubah seperti sudah mati. Hanya perutnya yang turun naik menandakan ianya masih hidup dan bernafas. Buat seketika, Zorn berasa tenang melihat Lizo tidur.

"Macam nilah Bazack. Aku minta maaf aku tak dapat tolong kau malam ni. Aku dah tak larat untuk bawa kereterbang malam2 begini. Apakata malam ni kau pakai saja 'headkit' aku tu selepas muat turun tu selesai. Esok pagi aku akan datang untuk ambil 'headkit' aku semula dan aku akan hantar kau ke Satrium ke rumah Sobre. Kau hubungilah dia katakan kita akan datang esok pagi sahaja," panjang lebar Zorn membentangkan plan diplomasinya. Kebetulan esok dia akan ke Solera yang terletak bersebelahan dengan Satrium maka jalan ini adalah yang terbaik untuk kedua-dua mereka.

"Baiklah, aku setuju," raut wajah Bazack mula terhias dengan senyuman. Esok pun boleh saja, dan'headkit' siapa pun tidak penting, yang penting dia dapat sambung ke atas talian pada malam ini. Zorn sedikit lega kerana cadangannya diterima oleh Bazack.

"Kalau macam tu aku balik dululah Bazack," Zorn mula mencapai barang2nya yang diletakkan di atas meja. Dia sudah tiada perasaan untuk berada lama2 di situ lagi. Lizo yang sedang tidur diangkatnya perlahan-lahan dan didukung di dadanya. Bazack mengiringi Zorn hingga ke pintu hadapan.

"Esok pagi aku akan hubungi kau lagi," Zorn mengingatkan Bazack. Bazack hanya mengangguk sahaja sambil tersenyum memerhatikan Zorn. Susuk Zorn yang berambut kuning terang sambil mendukung seekor kucing berupa pelik itu bagaikan mencuit hatinya.

"Hm, bila kau akan dapat 'headkit' kau yang baru tu Bazack?" tanya Zorn berbasa-basi sambil mula berpaling untuk beredar.

"Lusa," jawab Bazack pendek dari muka pintu. Ulas senyuman di wajahnya masih ada. Zorn terdiam seketika. Kemudian dia terus berpaling dan beredar dari situ. Raut mukanya yang kini masam mencuka tidak mahu ditunjukkan pada Bazack.

"Lusa! Esok aku kena bawa dia ke Satrium untuk baiki 'headkit' yg rosak sedangkan lusa dia akan dapat 'headkit' yang baru! Arh kenapalah dia tak boleh tunggu saja sehari untuk 'headkit' yang baru itu tiba?!" bertalu-talu kemarahan dilepaskan oleh mindanya. Zorn geram namun dia telah pun berjanji. Mahu tak mahu esok dia akan menghabiskan masa sehari bersama watak itu lagi. Sambil berjalan menuju ke arah tempat parkir, Zorn cuba menenangkan hati dengan mengusap2 lembut badan Lizo yang terjuntai keempat2 kakinya di dalam dukungan Zorn.




Gambar Hiasan dari canepabarbara.blogspot.com



Selasa, Jun 02, 2009

Apabila berseorangan..

Gambar hiasan dari anilnetto.com


"Dumm!" kedengaran bunyi seperti pintu tertutup tiba-tiba. Syam terkejut dan menoleh ke arah pintu biliknya. Pintu biliknya itu sememangnya tertutup sejak tadi lagi. Jikalau bukan pintu biliknya, maka pintu manakah yang berbunyi itu, bisik hatinya sendiri. Lehernya dipanjangkan sedikit untuk mengesan sebarang bunyi tambahan sekiranya ada.

Malam itu Syam bersendirian di rumah sewanya. Teman-teman serumahnya, Hafiz dan Ned kedua-duanya telah pulang bercuti di kampung. Apartmen besar 2 tingkat dengan 3 bilik itu kini didiaminya seorang, sekurang-kurangnya untuk seminggu ini. Dan ini merupakan malam pertamanya bersendirian. Hatinya sedikit resah.

Lampu bilik Syam sengaja dibiarkan menyala. Dia memang tidak pernah memadamkan lampu ketika tidur. Sejak dari kecil lagi Syam tidak boleh melelapkan mata di dalam kegelapan. Dia pun tidak pasti kenapa, namun tabiat itu sudah pun menjadi darah dagingnya sehinggalah dia bergelar mahasiswa kini. Mata Syam terarah ke bahagian bawah pintu biliknya. Ruang kecil sepanjang lebar pintu dan setinggi setengah inci itu gelap gelita. Hanya lampu biliknya sahaja yang masih menyala di keseluruhan rumah tersebut.

Telinganya sudah tidak menangkap apa-apa bunyi lagi selain daripada bunyi dari peti televisyen di tepi pertidurannya. Bunyi gelak ketawa daripada penonton di studio daripada rancangan variasi tengah malam memburai memecah hening biliknya.

Syam cuba berfikir secara waras. Di rumah sewanya terdapat 3 bilik di tingkat atas, dan dia pasti kedua2 bilik Hafiz dan Ned sentiasa tertutup memandangkan mereka tiada. Kini hanya tinggal 3 buah pintu lagi. Pintu pertama adalah pintu hadapan rumah sewa itu yang diperbuat daripada besi, dan bunyinya apabila dibuka atau ditutup adalah berlainan daripada yang didengarinya tadi. 2 lagi pintu adalah pintu untuk ke ruang basuh muka di hadapan tandas dan pintu tandas itu sendiri.

Syam mengesyaki bunyi tadi adalah dari pintu tandas yang tertutup dengan sendirinya barangkali ditiup angin. Hatinya sedikit berdebar. Dia membuat keputusan untuk membiarkan sahaja perkara itu berlalu. Pada waktu yang sama hatinya berdoa agar tiada apa2 lagi yang akan mengganggunya pada malam tersebut. Dia kembali menumpukan perhatiannya pada gelak ketawa orang2 kerdil di dalam kotak televisyen.

"Kreeek..." tiba2 kedengaran bunyi yang halus namun cukup jelas untuk ditangkap oleh telinga Syam. Matanya secara spontan menjeling ke arah pintu biliknya semula. Pintu yang tertutup rapat itu diperhatikannya. Syam menarik dan menghela nafasnya. Sepalit keberanian yang timbul di dalam dirinya bertukar menjadi kekuatan dan Syam bangun dari duduknya dan berjalan menghala ke pintu biliknya.

Pintu bilik dibuka dan dia melihat kegelapan di luar bilik. Kedudukan bilik Syam betul2 di hadapan tangga membolehkan dia menjenguk ke tingkat bawah dari hadapan pintu biliknya. Dan Syam pun menjenguk. Debar hatinya tidak dapat tertahan lagi sebaik sahaja kepalanya menjengah ke ruang tangga. Tingkat bawah yang sepatutnya diselubungi kegelapan kini kelihatan samar2 diterangi cahaya berwarna jingga.

"Ah sudah.. aku pasti aku dah tutup lampu tandas masa naik tadi," Syam berbisik sendirian dan pantas berpusing untuk masuk semula ke biliknya. Bukan setakat lampu tandas di tingkat bawah itu terpasang, namun pintu yang menutupi ruang ke tandas itu pun kini terbuka menyebabkan cahaya lampu dari tandas itu melimpahi ruang di tingkat bawah rumah sewanya.

Syam menutup pintu biliknya dan kembali ke pembaringannya. Dia tidak mahu mempedulikan lagi perkara2 di tingkat bawah. Degup jantungnya yang pantas membuatkan hatinya tidak tenang. Biliknya bagaikan terasa hangat semacam.

"Masa2 yang aku tinggal seorang diri macam ni lah benda2 ni nak datang kacau. Masa Hafiz dengan Ned ada tak pulak datang kacau. Apa punya suwey lah," kesal Syam di dalam hati. Ini bukan kali pertama dia diganggu, malah dia telah beberapa kali melalui pengalaman2 serupa yang dia tidak ingin ingati sepanjang hidupnya. Namun begitu ini adalah kali pertama perkara sebegini berlaku sejak dia mendiami rumah sewa ini dari setahun yang lalu.

"Dah la belakang bangunan apartmen ni kubur. Ish kenapa aku fikir yang bukan2 ni," Syam cuba berfikiran positif demi menguatkan kembali semangatnya. Memang bangunan rumah sewa mereka terletak di lereng bukit dipenuhi belukar yang di puncaknya terdapat sebuah kuil. Di antara kuil dan bangunan apartmen ini terdapat sebuah kawasan perkuburan kecil. Cepat-cepat Syam mengelak daripada memikirkan tentang perkuburan tersebut dan cuba untuk kembali menumpukan perhatian kepada rancangan televisyen. Tangannya pantas menarik selimut menyelubungi tubuhnya sambil sebelah tangan lagi mencapai alat kawalan jauh. Lantas dia menguatkan suara dari peti televisyen.

Sebaik jarinya menekan butang kawalan suara, pada masa itulah dengan tiba2 program rancangan bertukar. Syam tidak sempat untuk berasa hairan. Dia tergamam apabila melihat imej lembaga serba putih dengan rambut hitam panjang terpapar di kaca televisyen. Mata Syam cuba mengamati wajah lembaga tersebut di sebalik jatuhan rambut hitam itu namun gagal. Lembaga itu seolah2 tiada wajah yang jelas. Seiring itu kedengaran bunyi nyaring yang amat pelik yang belum pernah didengarinya sekaligus menegakkan bulu roma Syam. Syam pasti yang dia telah menekan butang suara tadi. Ibu jarinya tergopoh gapah mencari semula butang saluran dan terus menekannya.

Imej tersebut hilang berganti derai ketawa daripada pengacara rancangan yang ditontonnya tadi. Namun gelak ketawa itu sudah tidak memberi kesan pada Syam. Mukanya masih pucat. Bibirnya bergerak2 sedikit. Matanya bagaikan ingin dilarikan daripada kaca televisyen, namun tidak tahu hendak dilarikan ke mana. Jantungnya berdebar kencang sehingga terasa setiap denyutannya.

Tanpa berlengah lagi, Syam bingkas bangkit dan mencapai seluarnya yang tersangkut di dinding. Tergopoh-gapah dia menyarung seluar sambil tangannya mencapai dompet dan kunci skuternya di atas meja tulis. Dan dalam masa tidak sampai 5 minit, Syam kini telah berada di atas skuternya di dalam dingin musim sejuk meredah kegelapan malam menuju ke mana sahaja asalkan jauh dari rumah itu.