#

Pembaca

Rabu, Julai 13, 2011

Lif




   "Ting!" Pintu lif terbuka. Ramli tergesa-gesa melangkah masuk. Tiada orang di dalam lif tersebut. Tangan Ramli segera menekan butang nombor empat.

   Kemudian Ramli berdiri mengadap muka pintu lif. Sekilas dia menjeling ke arah jam di tangannya. Dia menghela nafas dan tersenyum sendirian. Pintu lif mula tertutup.

   "Tunggu!" kedengaran suara dari luar pintu lif yang sudah separuh tertutup. Spontan bibir Ramli memuncung. Namun tangannya tetap menjalar lalu menekan butang untuk membuka pintu. Pintu lif terbuka semula.

   "Terima kasih," seorang lelaki masuk ke dalam lif dengan nafas yang termengah-mengah. Ramli memandang saja gelagat lelaki tersebut. Walaupun tercungap-cungap, namun lelaki itu sempat tersenyum dan mengangguk kepada Ramli. Ramli membalas dengan senyuman tawar.

   Sebaik lelaki itu memalingkan wajah, Ramli lekas-lekas membuang senyum dari wajahnya. Matanya kembali menjeling jam di tangannya. Dahinya mula berkerut. Dia memejamkan matanya dan menghela nafas berat.

   "Ting!" bunyi menandakan lif sudah sampai ke tingkatnya. Ramli melihat pintu lif terbuka dan lekas-lekas dia mengikuti lelaki di hadapannya itu melangkah keluar.

   Kedua-dua mereka berjalan dengan langkah yang tergesa-gesa. Mereka melalui lorong yang sedikit sempit. Dari jauh Ramli nampak pintu masuk ke pejabatnya nun di hujung lorong. 

   Ramli yang berjalan di belakang mempercepatkan langkah. Namun ruang lorong terlalu kecil untuk dia mencelah ke hadapan, lalu dia memperlahankan langkahnya semula. Ramli menggetap bibirnya.

   Seketika kemudian lelaki yang berjalan di hadapan itu menoleh sekilas ke arah Ramli. Ramli melarikan matanya ke serata arah kecuali kepada mata lelaki tersebut. Lelaki itu kemudiannya kelihatan memperlahankan langkahnya dan berjalan rapat ketepi dinding.

   Ramli mengorak senyum dan lantas menghayun langkah besar-besar untuk memotong dan sekaligus meninggalkan lelaki tadi di belakang. Langkahnya dipercepatkan lagi. Jam tangan yang dikerling buat kesekian kalinya menunjukkan kira-kira 30 saat sebelum pukul sembilan.

   Ramli tiba di hadapan pintu pejabatnya. Tanpa berlengah dia terus menguak daun pintu dan masuk ke dalam. Secara automatik dia membelok ke kiri dengan tangan yang sudah siap sedia memegang 'punch card'nya.

   "Aik? Mana pergi pulak mesin ni?" dahi Ramli berkerut lagi. Dia berpaling ke arah meja setiausaha merangkap penyambut tetamu. "Aisya, mana mereka alih..." kata-katanya tersekat di kerongkong. Meja penyambut tetamu juga tiada di tempatnya.

   "Cari siapa encik?" Ramli terdengar suara dari belakangnya. Dia menoleh dan melihat lelaki tadi sedang berdiri dan tersenyum padanya. Dengan tiba-tiba wajahnya terasa panas.

   "Er, tak ada apa-apa. Maafkan saya," jawab Ramli lalu terus keluar daripada pejabat itu. Sebaik saja di luar Ramli membuka langkah dan berlari sekuat hatinya menuju ke arah lif. Dari jauh dia sudah nampak nombor '2' besar berwarna hitam yang tertampal di dinding di antara dua pintu lif. Mulutnya kumat-kamit menyumpah sendirian.


Review buku : Cendrakasih


   Cendrakasih adalah sebuah novel kanak-kanak hasil tulisan Maria Kajiwa. Novel ini adalah novel keempat beliau yang telah diterbitkan selepas Planet-planet Cinta (PTS Fortuna), Olan (Fajar Pakeer) dan Janji Julia (One Nusantara) dan merupakan novel kanak-kanak kedua selepas Olan. Cendrakasih diterbitkan oleh Fajar Pakeer dan mula berada di dalam pasaran pada bulan Jun 2011.

   Cendrakasih mengisahkan tentang seorang budak lelaki bernama Aizat yang membantu seekor burung bernama Kasih menentang pencerobohan oleh kaum belalang yang ingin merampas tempat tinggal kaum burung Cendrakasih. Kisah ini boleh dikategorikan di dalam genre fantasi dengan adanya watak-watak haiwan yang boleh berbicara seperti burung Cendrakasih, belalang, cicak dan lain-lain lagi.

   Sebagai latar penceritaan pula, penulis menggunakan kisah kehidupan harian sebuah keluarga biasa, mungkin bertujuan mendekatkan lagi cerita dengan khalayak pembaca sasaran iaitu kanak-kanak. Namun begitu di pertengahan cerita latarnya berubah dan pembaca akan dibawa mengembara ke dunia di atas awan, di mana Aizat dan Kasih akan menempuh rintangan demi rintangan untuk mempertahankan Cendrasakti, tempat tinggal kaum Cendrakasih.

   Di sepanjang cerita, kita akan dapat lihat yang penulis telah menerapkan beberapa nilai-nilai murni sebagai mesej untuk para pembaca cilik. Antara yang memberi kesan yang kuat kepada saya adalah nilai persaudaraan yang boleh diterangkan dengan peribahasa 'air yang dicincang tidak akan putus'. Ini telah ditunjukkan oleh kisah Aizat yang selalu bergaduh dengan adiknya Lily dan juga kisah pertelingkahan sesama saudara di antara burung Cendrakasih dan saudara mereka burung Cendrakesuma. Betapa teruk pun perselisihan yang dihadapi, di penghujung hari, mereka tetap bersaudara juga, dan maka itulah sifat saling maaf memaafkan amat penting demi menjaga keharmonian sesebuah keluarga atau kaum. 

   Walaupun novel ini adalah novel fantasi kanak-kanak, namun dengan adanya elemen pengembaraan dan peperangan berskala besar, saya terdorong untuk melihatnya sebagai novel epik fantasi dewasa. Oleh sebab itu, secara subsedar saya telah berharap yang watak-watak sokongan seperti Tuan Yorak dan Ecto dari kaum cicak bersama-sama helang berkepala tiga akan muncul semula di dalam babak peperangan di penghujung cerita sepertimana yang selalu kita temui di dalam kisah-kisah epik fantasi dewasa yang lain. Namun begitu, harapan saya itu sedikit meleset nampaknya. 

   Secara keseluruhannya, saya dapati yang novel Cendrakasih ini sangat menarik dan sesuai untuk membantu perkembangan minda kanak-kanak. Dengan mesej-mesej positif yang jelas, tidak hairanlah jika novel Cendrakasih ini juga akan mendapat sambutan daripada pembaca kanak-kanak sebagaimana novel Olan yang telah diterbitkan sebelum ini. Syabas kepada Maria Kajiwa di atas satu lagi hasil karya yang bakal membantu meningkatkan mutu dunia penulisan tanah air kita.   


Rabu, Mei 04, 2011

Sivik


     Corong radio mendendangkan lagu "Smokin' Hot" nyanyian Cigaro Muerta. Sambil sebelah tangan memegang stereng, mulutnya ikut sama menyanyi beberapa patah lirik sekadar yang diketahuinya. Yang tidak diketahuinya diagak-agak saja atau memadai dengan mendengungkan bunyi yang keluar dari mulutnya.

"Aiseh jemlah pulak," nyanyiannya terganggu apabila kereta Kancil di hadapannya membrek dan memperlahankan kelajuan. Dia cuba menjenguk jauh ke hadapan lagi, dan dilihatnya deretan kereta-kereta lain turut sama bergerak perlahan.

"Masa aku nak cepat macam nilah nak jem. Apalah nasib," keluhnya sendirian. Kereta Toyota Starletnya hanya menderum-derum saja tanpa dapat bergerak seperti yang dikehendaki. Hendak tak hendak dia terus membuntuti Kancil di hadapannya.

"Hm, sempat ke tidak aku nak sampai di dalam masa yang ditetapkan ni," spontan dia mengerling kepada jam di tangannya. Jarum menunjukkan pukul 6.30 petang. Waktu puncak untuk kenderaan pulang dari tempat kerja.

"Silaplah aku keluar masa sekarang ni," keluhnya lagi. Matanya menjeling ke kiri jika-jika laluan di sebelah kiri lebih lancar daripada laluan sebelah kanan yang didudukinya sekarang. Hampa nampaknya apabila melihat laluan tersebut turut penuh dengan kenderaan yang sama perlahan dengan laluannya. Matanya kemudian mencuri lihat laluan kecemasan yang kosong.

"Sabar-sabar. Memandu mesti mengikut peraturan," dia cuba memujuk dirinya sendiri.

Kereta Kancil di hadapannya masih bergerak perlahan, dan berhenti sekali-sekala, mengikut kenderaan di hadapan. Dia sudah rimas. Angin tidak berapa bertiup walaupun kedua-dua belah tingkap diturunkan. "Kalau laju tak apa juga, ada juga angin masuk. Ini jalan macam siput ni, angin tak ada pulak. Hati pun boleh jadi panas ni," keluhnya lagi.

Bunyi radio sudah tidak menarik perhatiannya lagi. Matanya kini fokus pada Kancil di hadapannya saja. "Cepatlah cepat, geraklah cepat, kalau tak gerak, nanti aku lambat," mulutnya membebel mengikut rentak lagu yang diciptanya sendiri.

Kemudian dia terlihat benda seperti kertas terbang keluar dari tingkap kanan Kancil di hadapannya.

"Hai, zaman-zaman internet ini pun masih ada orang tak sekolah. Buang sampah sesuka hati," dia menggeleng kecil.

Tidak berapa lama kemudian sebuah lagi benda terbang keluar dari kereta yang sama dan tergolek di tepi jalan. Dia memastikan apakah bendanya. Kelihatan seperti beg plastik merah kecil yang berikat.

"Tengok tu, buang dengan beg-beg plastik sekali. Kalau dah ada beg plastik tu, simpan sajalah dulu, nanti buanglah bila dah sampai mana-mana. Ni mak bapak tak ajar punya jenis ni. Atau pun mak bapak pun sama saja tak belajar sivik," omelnya lagi.

Matanya kemudian perasan yang laluan kiri sedikit lancar berbanding laluannya.

"Daripada aku duduk belakang manusia takde sivik ni, baik aku berambus ke laluan lain," tanpa berlengah lagi dia menyedut hisapan terakhir dan menjentik puntung rokoknya keluar dari tingkap keretanya lalu terus membelok untuk masuk ke laluan kiri.



Sabtu, Januari 22, 2011

Ekstasi 2

Dia melangkah di dalam kegelapan. Setiap letak kakinya lemah sahaja, sekadar meneruskan hidup. Perjalanan masih jauh dan bakal menempuh pelbagai dugaan dan cabaran yang melelahkan. Dia tidak tahu apa yang bakal dihadapinya. Dan dia tidak tahu bagaimana hendak menghadapinya.

Lantaran itu dia perlukan bantuannya. Penyuntik semangat yang hilang. Pemangkin kesinambungan hidup. Penyeri tatkala kelam dan duka. Pelepas dari dunia realiti. Peneman di kala hatinya sepi.
Ia akan buatnya gembira. Ia akan buatnya sedih. Ia akan buatnya geram dan marah. Ia juga akan buatkannya dambakan cinta dan kasih. Ia melengkapi segala keperluan urat dan nadinya.  

"Beb, lu nak try yang baru tak?" tanya satu suara antara dengar atau tidak di dalam samar-samar.
"Ada yang baru ke?" jawabnya spontan.
"Ada beb," soalan berbalas jawapan. "Harga biasa. Tapi 'power' lagi dari yang sebelum2 ni punya,"
"Yeke?" soalnya lagi.
"Iya... baru seminggu keluar beb, tapi laku gila gua cakap lu. Lagi laku dari goreng pisang panas beb," jawab suara itu.
"Power ke?" dia bertanya lagi. Bukan kurang yakin, namun sekadar inginkan justifikasi tambahan.
"Sumpah beb lu test dulu gua gerenti lu tangkap syok. Lain daripada yang lain. Dia punya 'feel' memang 'kick'  habis. Boleh nangis gua cakap lu. Kalau lu try tak best lu cari gua balik," suara itu memberi jaminan.

Suara itu hilang. Dia kembali keseorangan. Memeluk tubuhnya sendiri. Dunia dirasakan kosong dan sepi. Bosan. Tarik nafas, buang nafas. Berulangkali. Bosan lagi. Dilihatnya kiri dan kanan, ramai saja yang seperti dirinya. Dan ramai juga yang tidak seperti dirinya. Masing-masing ada cara masing2. Masing-masing ada pelengkap, penyuntik dan pemangkin masing-masing.

Apabila melihat orang lain, keinginannya mula tiba. Hatinya mula meminta. Bagaikan tidak sabar lagi. Mula memaksa-maksa dari dalam. "Tinggalkan saja dunia ini buat seketika! Lupakan segalanya! Mari bawaku mengembara ke dunia lain!" jerit hatinya. Halus, tidak didengari. Namun dapat dirasakannya di bahagian yang paling dalam.  

Bukan dia tidak pernah cuba yang lain. Dia pernah. Namun ia tidak dapat memberikan apa yang diperlukannya. Nalurinya sendiri yang memilih. Apakah daya akal apabila berdepan dengan hati dan naluri? Maka tanpa ragu-ragu lagi langkahnya dihalakan ke arah suara tadi. Dia mesti dapatkannya. Dia mesti cubanya.

****

"RM19.90," kata juruwang di kaunter. Dia mengeluarkan wang kertas merah dua keping dari dompet pinknya. Setelah menerima baki dia mengucapkan terima kasih seraya melangkah pergi . Di tangannya tergenggam beg plastik berisi sebuah novel baru yang paling laris di pasaran. Di wajahnya terukir senyuman puas, sambil hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke bilik, memutuskan hubungan dengan dunia luar, dan dibawa pergi bersama-sama di dalam kembara perasaan yang paling ultima.