#

Pembaca

Jumaat, Oktober 02, 2009

Lubang

Si Pam mundar mandir tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Hatinya tidak senang sejak berada di tempat baru itu. Gerak gerinya tidak menentu, jelas memperlihatkan perasaannya.

"Kau ni kan Pam, tak boleh duduk diam ke?" tegur Ah Lam, rimas dengan Si Pam yang tidak dapat mengawal perasaan. Tidak seperti Si Pam, Ah Lam lebih tenang menghadapi kenyataan hidup mereka. Mungkin faktor usia yang membezakan sikap mereka itu.

"Kau nak suruh aku duduk diam? Kau dah gila ke? Kau sanggupkah selama2nya di dalam kurungan begini?" tanya Si Pam semula dengan mata terbeliak-beliak.

"Alah, apa salahnya. Lagipun kita kan baru dipindahkan. Tempat baru ini lebih baik rasanya," seloroh Ah Lam selamba. Muka Si Pam menjadi merah mendengarkan jawaban tersebut.

"Lebih baik hotak kau! Tukar kurungan saja! Kita tetap tidak bebas. Kita tetap terkurung!" Si Pam menyembur perkataan demi perkataan ke muka Ah Lam. Ah Lam terpisat-pisat tidak menyangka Si Pam akan marah sebegitu sekali.

Si Pam berpaling meninggalkan Ah Lam yang masih terpinga-pinga. Si Pam tahu yang Ah Lam sudah terlalu lama hidup terkurung sehingga dia sudah putus harapan terhadap kebebasan. Namun tidak bagi Si Pam. Dia masih muda. Perjalanan hidupnya masih panjang. Dia tidak mahu selamanya di sini. Dia sanggup buat apa sahaja untuk bebas.

Setelah beberapa lama bermundar-mandir, Si Pam berhenti dan mendongak ke atas. Kemudian dia tersenyum sendiri. Ah Lam yang sedang memerhatikannya turut sama mendongak melihat ke arah yang sama. Kelihatan sebuah lubang besar tepat di atas mereka. Namun begitu tiada senyuman yang terbit di wajah Ah Lam sebagaimana Si Pam.

"Kau jangan nak buat gila Pam," Ah Lam menyuarakan kerisauannya. Si Pam terus mendongak sambil tersenyum. Langsung tidak mengendahkan Ah Lam. Mindanya sedang mencongak2 sesuatu.

"Kau ingat mereka tu bodoh ke. Ada sebab kurungan ini dibuat sebegini rupa. Kalau mereka tu bodoh kita tidak akan terkurung begini daripada mula lagi," sambung Ah Lam lagi panjang lebar. Berdesing telinga Si Pam mendengarkan kata2 Ah Lam itu. Lantas dibuang senyum tadi dari wajahnya dan dipandangnya wajah Ah Lam semula.

"Kalau terus menerus di sinilah bodoh namanya! Kita perlu tentukan nasib kita sendiri!" bentak Si Pam dengan urat2 yang kelihatan menegang di wajahnya. Nampaknya dia sudah nekad. Ah Lam tidak mampu berbuat apa2 lagi selain melihat sahaja anak muda yang panas baran itu berundur beberapa langkah dan mula bersedia. Pada masa yang sama hati Ah Lam juga berdebar-debar. Dia berkira-kira, kalau Si Pam berjaya, maka ada kemungkinan dia juga akan turut serta selepas itu.

Lubang yang diperhatikan Si Pam sejak tadi sememangnya bagaikan menggamit2 dirinya sambil menjanjikan kebebasan. Semangatnya memuncak memikirkan dunia luas di sebalik kurungan yang akan ditempuhinya kelak. Adrenalin pantas mengisi liang2 pembuluhnya. Dan dengan laungan "Hiahhh!!!" Si Pam melompat sekuat2 hatinya.

Mata Ah Lam bulat memerhatikan tubuh Si Pam yang meluncur bak peluru tepat menuju ke lubang tadi. Perasaannya berkecamuk, antara sedih ditinggalkan oleh Si Pam, gembira melihat tubuh Si Pam lolos melalui lubang itu, dan juga takut membayangkan kemungkinan2 jika dia gagal menuruti jejak langkah Si Pam. Maka Ah Lam terus menerus kaku sambil menatap lubang yang semakin lama dirasakan semakin memanggil2 dirinya pula.

***

"Aik, mana pulak yang lagi seekor ni. Macam mana boleh tinggal seekor pulak ni," Adib mengeluh sendirian sambil matanya mencari2 sesuatu. Tubuhnya yang kecil terjengket2 untuk melihat di celah2 sudut akuarium itu. Dan tidak jauh daripada situ, terperosok di bawah meja, seekor ikan lampam kecil dengan tubuh berlumuran habuk dan kotoran kelihatan terdampar
tiada bergerak-gerak lagi.