#

Pembaca

Selasa, Disember 22, 2009

Tuk! Tuk! Tuk!

Tuk! Tuk! Tuk! Jemari mengetuk papan kekunci. Kursor pada skrin di hadapan berkelip mengikut rentak jemari yang menekan. Perkataan demi perkataan tertera di skrin, namun tiadalah ianya membentuk ayat yang lengkap mahupun bernahu bagai. Yang kelihatan hanyalah cebisan-cebisan fikiran yang dilempar bersahaja. Dari kepala ke skrin komputer.

Tuk! Tuk! Tuk! Dua tiga patah perkataan mula membentuk frasa yang rambang. Tiada terikat antara satu samanya dengan mana-mana tema atau idea. Niat di hati cuma meluah. Dari kepala yang tepu ingin mengisi skrin yang kosong. Biar skrin komputer jadi tepu, dan kepala jadi kosong.

Tuk! Tuk! Tuk! Semakin laju jemari berdansa, bagaikan sehati dengan lantai papan kekunci. Ritma ketukan yang terhasil juga enak didengari, bagaikan itu petanda perlakuan membuahkan hasil. Apa jua hasilnya, masih belum terpeduli.

Tuk! Tuk! Tuk! Kini frasa mula bercantuman membentuk ayat. Lengkap atau tidak ditolak ke tepi. Nahu tidak tahu tidak peduli, yang penting hasilnya terlihat. Dan skrin komputer semakin terisi. Makin terleret-leret menjadi ayat, makin terleret-leret juga senyuman di wajah.

Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan semakin pantas. Kedua tangan sudah lembut, seluruh sepuluh jari jemari sudah panas, skrin komputer makin penuh, senyum makin meleret. Potongan2 ayat mula membentuk perenggan-perenggan yang bermaksud. Idea mula mengalir laju keluar dari kepala ke paparan skrin.

Tuk! Tuk! Tuk! Tidak dapat ditahan-tahan lagi. Para perenggan sudah berkenal2an dan bercerita sesama sendiri. Saling sambut menyambut di antaranya menyemarak perasaan diri. Kalau begini dari awal kan bagus. Kalau begini dari sebulan lepas kan bagus. Kalau begini setiap kali jari mendarat di papan kekunci, lagi bagus.

Tuk! Tuk! Tuk! Sesekali telunjuk tersalah tunjuk, namun kelingking pantas membetulkan keadaan. Mudahnya teknologi masa kini. Bagaikan tok dalang diberi peluang, cerita terhasil semakin panjang. Skrin sudah hampir penuh, kepala sudah semakin ringan. Senyum sudah makin leret. Jemari bagai tak reti nak berhenti. Sampai masa untuk penutup, biar hebat sampai meletup.

Tuk! Tuk! Tuk! Tap!!!! Eh eh apa sudah jadi? Jemari asyik menari sehingga telapak turut terheret. Entah apa yang tersalah tekan, skrin yang penuh tulisan kembali menjadi putih bersih tanpa kesan. Belum sempat memulih keadaan, 'auto-simpan' menjalankan tugas tanpa belas kasihan. Akhirnya skrin kosong ditatap, mata terbeliak dan mulut ternganga. Masih tidaklah dapat dipercaya. Lalu kepala yang sudah ringan kembali jadi berat tiba-tiba.




Papan kekunci ihsan dari sini.