"Macam mana boleh jadi begini?" tanya Adli. "Saya tidak mahu dijodohkan dengan awak." dengusnya lagi.
"Eh, pinggan tak retak, nasi tak dingin, jodoh Ina adalah dengan Nizam tau, bukan dengan awak," giliran Ina pula menjawab. Riak wajahnya mencuka.
"Habis tu, macam mana kita boleh dipasangkan pulak. Bukannya mereka tidak tahu yang kita sudah ada pasangan masing-masing?" suara Adli mula lembut. Dia tidak menyalahkan Ina di dalam perkara ini. "Pasti ada salah faham yang berlaku," tambahnya lagi.
"Manalah Ina tahu," Ina mula sugul. "Kalau awak nak tahu, Nizam pun kata yang dia akan dijodohkan dengan Normah, kekasih si Imran," langsung Ina menunduk, menyembunyikan matanya yang mula bergenang.
"Hm, saya dengan awak, Nizam dengan Normah. Sudah pasti kesilapan ini berterusan sehingga ke hujung. Kita mesti berbuat sesuatu segera," tegas Adli lagi. Dia sebenarnya kekok apabila dijodohkan dengan Ina. Selama ini dia sentiasa dengan pasangannya, dan Ina juga sentiasa bersama Nizam. Namun begitu pada hari ini dengan tidak disangka jodoh mereka telah bertukar. Adli terkilan melihat Ina yang sudah mula menangis.
"Macam inilah, biar saya beritahu dia perkara yang sebenarnya. Pasti dia akan faham situasi kita semua ini," Adli cuba memujuk. "Keributan ini akan kita tangani bersama. Jika tidak kita akan dipandang serong," tambahnya lagi.
"Ina takut," tangis gadis itu semakin kuat. "Ina takut yang dia tidak sedar akan tindakannya ini. Bagaimana kalau dia tidak endah akan suara kita? Apa yang kita boleh buat lagi?," suaranya bercampur sedu yang tersekat-sekat.
"Sabarlah, kita mesti positif. Anggapkan saja ini satu kesilapan. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menukar sesuatu yang telah ditetapkan sejak awal-awal lagi. Setiap benda ada pasangan masing-masing yang akan menentukan elok atau tidak sesuatu itu. Periuk ada tudungnya, cawan pula ada piringnya. Jika tersalah jodoh, kan tidak elok rupanya," Adli bermadah panjang.
"Bagaimana awak hendak beritahu dia?" Ina mengangkat wajahnya memandang Adli semula. Matanya masih basah. "Kita ini bukannya siapa-siapa yang boleh membantah sesuka hati. Apa yang diberi, itulah yang kita terima. Bukannya awak tak tahu perkara ini," Ina membalas.
Adli diam sahaja mendengarkan perkara tersebut. Kebenaran pada kata-kata Ina itu begitu pahit namun terpaksa juga ditelannya. Dia memang tidak mampu berbuat apa-apa. Tiada siapa di antara mereka mampu berbuat apa-apa. Semuanya bergantung kepada dia yang menentukan. Jika benar, maka benarlah. Jika salah, maka itulah nasib mereka. Apalah daya mereka. Inilah adat dunia yang tidak senantiasa adil.
****
"Radhi," panggil Maryam. "Sini kejap." katanya lagi sambil melambaikan tangannya. Lelaki bernama Radhi itu menoleh dan mengangkat keningnya.
"Ya Maryam, ada apa?" tanyanya setelah menghampiri Maryam. Maryam merapatkan wajahnya ke arah Radhi. Lelaki itu menelan airliurnya.
"Baju awak," perlahan saja bisik Maryam. Spontan Radhi menunduk untuk melihat pada bajunya, dan baru dia perasan yang butang bajunya telah tersalah pasangan masing-masing.
Imej hiasan dari sini.