"Rokok sebatang," minta temannya pada Sidek. Sidek mengeluarkan kotak rokok yang separuh lunyai dari dalam kocek kemejanya dan membuka penutup kotak. Di celah2 keroyok kertas timah kelihatan sebatang rokok yang serba putih suci.
"Hm tinggal satu jelah pulak," hati Sidek berbicara sendiri. Dia sendiri belum menghisap rokok sejak duduk di bangku warung itu. Namun di dalam serba salah itu, Sidek menghulurkan kotak itu pada temannya.
"Eh, tinggal sebatang je ni. Takpe ke Sidek?" kata temannya setelah melihat isi kandungan kotak tersebut. Tangannya bagaikan terhenti seketika menunggu isyarat seterusnya daripada Sidek.
"Ambil lah. Aku memang nak beli lain pun," jawab Sidek sambil memaksa wajahnya mempamerkan raut yang tiada berperasaan. Walaupun dia tahu yang Ramlan memang kaki 'pau' rokok orang, namun dia tidak mahu berasa menyesal atau sebal yang hanya akan memadamkan secebis keikhlasannya sewaktu memberi tadi, jika ada.
Ramlan tersengih-sengih mengeluarkan rokok yang sebatang itu dan merenyuk kotak yang telah tinggal kosong. Sidek melihat Ramlan menyalakan rokok tersebut dan tidak dapat tidak dia berasa sedikit geram dengan dirinya sendiri.
Sidek kemudian mencongak-congak duit di dalam dompetnya. Pagi tadi, dia melihat sekeping RM5 dan 3 keping RM1 di dalam dompetnya. Dua keping daripada RM1 itu telah digunakannya sewaktu membayar sarapannya pagi tadi. Sekarang di dalam kocek seluarnya hanya ada dua keping nota hijau dan sekeping nota biru itu saja lagi. Jika dia beli sekotak yang mengandungi 14 batang, maka dia tidak akan punyai cukup duit untuk makan tengah hari. Sidek berkira2 sendiri sambil mengerling ke arah jam tangan Ramlan di hadapannya. Baru pukul 10.10 pagi.
"Macha, Sampoerna hijau satu. Kecik," Sidek melambai tangan pada mamak pelayan yang sedang mengangkat gelas sambil mengelap meja yang berdekatan. Mamak itu hanya menggerak2kan kepalanya tanda dia dengar permintaan Sidek. Sidek menghela nafas sambil melihat Ramlan yang leka membaca Harian Metro entah tinggalan siapa di meja warung itu.
Seketika kemudian mamak itu tiba di mejanya dan menyerahkan sekotak rokok yang dipesannya tadi. Senyuman lebar kembali menghiasi wajah Sidek. Dia mengetuk2 kotak yang masih berbalut plastik itu ke atas tapak tangannya yang lagi satu, bertujuan memadatkan kandungan tembakau di dalam setiap batang.
"Bayar dulu," mamak tadi masih berdiri di sebelah Sidek. Sidek mengeluarkan dompetnya dan menyerahkan kedua-dua keping wang kertas terakhirnya. Wang bertukar tangan dan kini secara rasminya Sidek akan makan asap sahaja pada tengah hari nanti. Dinyalakan rokok pertama dari kotak yang baru dibuka itu dan dihisapnya dalam-dalam. Perutnya mula berkeroncong apabila asap itu menjengah ke dalam tubuhnya. Dan senyum di wajah Sidek beransur-ansur hilang apabila memikirkan betapa lemahnya dirinya itu.
Temuramah Sensasi Bersama Nash Azly
7 tahun yang lalu