#

Pembaca

Selasa, Mac 26, 2013

Resah

pusing




"Ah sial betul la!" rungutku sendirian. Nafas yang kuhela terasa sangat berat. Tak lepas rasanya daripada dada ini. Aku cuba tarik nafas dalam-dalam pula, mengisi dadaku dengan oksigen sebanyak yang boleh. Harapnya agar dadaku terasa lebih ringan.

Namun perasaan itu datang hanya sesaat saja. Sebaik kulepas nafas, kusutku datang semula. Aku menggeleng-geleng kepala, rimas dengan diri sendiri.  Entah kenapa dari tadi segalanya serba tak kena. Buat itu salah, buat ini pun salah. Kipas angin yang berpusing laju pun tak terasa anginnya. Lagu kegemaran yang berkumandang daripada speaker komputer pun hanya mampu masuk telinga kanan keluar telinga kiri.  

Aku cuba pejamkan mata, ingin membiarkan deria telingaku menikmati susunan getaran melodi yang kuharap dapatlah kiranya sampai ke hatiku, memindahkan getaran itu kepada perasaan yang setiap kali akan kurasa apabila mendengar lagu ini. Namun kali ini tutup mata juga gagal. Resah hatiku telah membutakan rasa hatiku. Aku tak tahu apa lagi yang boleh kubuat untuk mengatasi perasaan ini.

Tidur. Ya, itu saja jalannya. Tidur adalah pengubat segala-galanya. Baik letih atau sakit, tidur akan menjadi ubat. Bosan juga boleh. Resah gelisah macam yang aku hadapi sekarang? Entahlah. Belum cuba belum tahu. Kalau dah tak ada cara lagi, belasah sajalah.

Maka mata aku cuba pejamkan. Lagu dah tutup, tapi lampu masih menyala kerana aku tak boleh tidur tanpa lampu. Boleh sebenarnya tapi aku tak suka. Maka aku biarkan terbuka. Namun ada bantal di atas mataku, sebagai menggantikan kegelapan yang tiada. Aku cuba tidur.

“Sampai bila kau nak macam ni?” hatiku mula berdialog. “Kau kena buat sesuatu dengan hidup kau ni.. Kalau macam ni je terus menerus, kau takkan ke mana-mana. Kau akan mati kat katil ni seorang diri. Itukah yang kau mahu?”

Eh eh tak guna punya hati. Kita nak tenangkan dia, dia pulak yang batu api. Selama ni aku ikut cakap kau, apa yang aku dapat? Kau ada nampak aku kat mana-mana tak sekarang? Tak kan? Sama je kan macam dulu? So apa masalah kau? Kali ni pun kau nak aku ikut kata kau?

Hati aku mula panas. Ni yang aku menyampah ni. Macamlah aku tak tahu apa situasi aku sekarang. Macamlah aku tak sedar apa yang perlu aku buat. Kau panas malam-malam ni pun bukan selesai masalah segala. Sudah lah tu, mari tidur saja, hati oi. Aku tau tak semudah itu memujuk hatiku ni.

“Tit! Tit!” tiba-tiba bunyi henfonku memanggil. Menandakan ada mesej masuk. Tiba-tiba saja senyum terbit dari wajah kusamku. Tanganku segera mencapai henfon. Skrinnya kuhidupkan.

Senyum yang terbit tadi terus memudar dan hilang tanpa kesan. Bagaikan bunga yang baru nak kembang, tapi tak sempat dan terus menguncup semula, dan siap kering dan gugur terus dari tangkai. Dengan tangkai-tangkai sekali reput dan jatuh. 

Aku terjelepuk semula ke atas bantal. Mata memandang siling, cuba menembus siling konkrit yang aku pun taktau apa berada di sebelah sana. Aku menghela nafas berat lagi.


Isnin, Mac 04, 2013

Tersumbat



Serius. 

Sesuatu sedang menyumbat lubang di kepalaku. Terasa seperti disumbat dengan plug. Penyumbat. Penyendal. Mana-mana saja asalkan maknanya sama. Yang penting kepalaku tersumbat. Dan aku tak suka keadaan sebegini. 

Yang di dalam tidak dapat keluar. Yang di luar pun tak dapat masuk. Semuanya menendang. Menganjal. Melantun. Bercampur aduk. Di antara identiti dan diri dan ego. Yang mana satu mana pun aku dah hilang jejak.

Cuba kau yang baca ini lihat. Tersekat-sekat, bukan. Ya, inilah dia. Ini setelah kupaksakan. Keluarnya sedikit-sedikit. Macam kena buasir. Teran lebih, habis keluar benda lain. Tak cantik. Tak sedap dibaca. Sakit mata melihat. Kalau tak kena maki, dah kira untung.

Maaflah, kalau kau sakit hati baca. Tapi aku perlu keluarkannya. Biar keluar sikit dan entah apa-apa, jangan tak keluar langsung. Biar sakit, asalkan nanti boleh baik.

Malu? Ya, aku malu. Tapi biar aku malu. Malu itu perlu. Biar semua orang tahu. Biar tercatat di dalam sejarah. Zaman berzaman. Yang aku pernah tak mampu. Di tika dan saat ini. Okey perenggan ni dah macam puisi la pulak. Nak tulis puisi ke? Bukan kali ini mungkin.
 
Sebenarnya aku takut. Takut apa? Takut tak boleh keluar langsung? Bukan. Aku tak takut tak boleh keluarkan. Kalau kehendak Tuhan aku tak dapat keluarkan. Kalau kehendak Tuhan Dia tarik balik kebolehan aku, aku redha. 

Cuma... aku cuma takut,  satu hari nanti, bila aku dah tak dapat tahan. Apabila kepalaku tidak dapat menampungnya, ia akan meletup dan pecah. Ya kepalaku. Meletup dan berkecai. Bersepai. Otak dan segala. 

Logik? Ya logik, kalau ada selaras senapang di dalam mulutku.


Nash Azly
mode : really messed up