#

Pembaca

Khamis, Ogos 06, 2009

Tenang

Mataku tidak berkelip memerhatikan lembut warna hijau dedaun pada deretan rumpun buluh. Tunduknya dari kiri dan kanan lorong bagaikan menghormati sesama sendiri, dan menimbulkan rasa aman di fikiranku.

Dengan pucuk masing2 yang hampir bersentuhan, lorong itu kelihatan solah2 sebuah terowong yang serba segar kehijauan. Nun sejauh pandangan mata deretan itu berterusan. Mataku berputus asa setelah gagal menyorot di manakah penghujungnya.

Sesekali desir angin kedengaran. Disambut pula oleh alunan dedaun buluh yang meliuk lintuk dibuai angin. Gemalainya memaku mataku. Irama pabila daunan itu bergeselan sesamanya bagaikan memukau. Aku terus berdiri memerhati. Menikmati segala-galanya selagi termampu.

"Ya, nikmatilah selagi nyawa kau masih bersisa," kedengaran satu suara dari belakangku. Kukenal benar suara itu. Suara yang memang aku tunggu hadirnya dengan sabar sejak tadi lagi.

Namun aku tidak terus menoleh. Aku masih ingin menikmati kelembutan bayu yang mengulit usap wajahku. Mataku masih pada tarian dedaun buluh mengikut rentak alam. Setiap nafasku terisi ketenangan.

Kemudian angin pun berhenti dan alam jadi sunyi sepi. Yang kedengaran cumalah degup tenang jantungku sendiri. Aku menghela nafas penuh kepuasan. Perlahan2 aku berpaling menghadap suara tadi.Tanganku erat pada sisi pinggang.

"Kau dah puas? Ada apa-apa lagi yang kau nak? Kata-kata terakhir mungkin?" sambung bicara lelaki itu. Sekuntum senyuman berbaur sindiran menghiasi wajahnya.

"Aku pulangkan kata-kata tersebut kepada kau. Jika kau tidak sabar sangat untuk pergi ke alam sana, dengan senang hati aku boleh tolong hantarkan," jawabku sengaja memancing geram. Geram akan membawa marah dan marah biasanya membawa padah.

"Ah sudahlah, bicara banyak pun tiada gunanya lagi. Biar pedang aku yang memutuskan segalanya, termasuk nyawa kau!" gertak lelaki itu. Pedang yang sedia terhunus diangkat tinggi melepasi kepala.Pasak kakinya di atas tanah berlapik dedaun buluh kering kelihatan bergerak, tanda dia mula bertindak.

Genggaman pada sisi pinggang kulonggarkan sedikit dan serentak itu kutarik keluar pedang keramatku yang tidak pernah kenal erti kalah. Sayang rasanya untuk membasahi lagi bumi yang indah ini dengan darah. Namun tiada sekali-kali aku kan menyerah. Angin mula berhembus kembali. Dan tenang alam ini akan dicemari lagi.