#

Pembaca

Khamis, Februari 26, 2009

Zeta 5

Zeta cuba untuk tidak bergerak. Kepalanya dirasakan berdenyut-denyut. Dia masih tidak pasti apa yang telah berlaku. Matanya terus terpaku pada makhluk yang berada di hadapannya. Makhluk itu turut memerhatikannya tanpa bergerak. Cuma sepasang antena panjang di kepalanya saja yang meliuk2. Zeta mengerutkan dahi ingin memastikan samada makhluk di hadapannya itu seekor serangga yang liar ataupun sebuah unit AN-72 milik Unit Tempur Darat.

"Kalau ianya seekor serangga liar pasti aku dan Maia sudah dibahamnya dari tadi lagi," minda Zeta berhujah cuba menenangkan hatinya. Walaupun begitu Zeta memang tidak suka akan serangga yang dipanggil Karingga mahupun juga unit AN-72 itu. Setiap kali dia ternampak unit tersebut hatinya akan jadi tidak tenang. Sejarah hitam dia dan unit tersebut masih terkesan di hatinya sehingga hari ini.

Tiba-tiba sebuah wajah menjengah di celah-celah kokpit yang pecah berlubang2 itu. Zeta yang dari tadi kaku terkejut dan hampir-hampir jatuh dari kerusinya. Wajah yang menjengah itu milik seorang gadis remaja yang kelihatan seperti baru berusia belasan tahun. Zeta menghela nafas lega yang amat sangat apabila melihatkan wajah itu walaupun ianya asing baginya.

"Sekarang sahlah yang makhluk itu adalah sebuah Unit AN-72. Dan ini pasti jurumudinya," hati Zeta berbisik sendiri.

"Awak tak apa-apa?" tanya gadis tersebut sambil memandang Zeta. Zeta mengangguk-angguk sambil menanggalkan talipinggang keselamatannya. Sendi-sendi tangannya terasa sengal. Namun hatinya lega kerana mereka telah dijumpai oleh pasukan penyelamat UTD. Pandangannya kemudian dialihkan kepada Maia di sebelahnya yang kelihatan sedang mengerut dahi menahan kesakitan. Jaket di bahagian bahu kirinya kini merah dibasahi darah, dan Maia sendiri kelihatan seperti antara sedar dengan tidak.

"Kawan awak nampaknya cedera," sambung gadis tadi sambil kedua-dua tangannya cuba membuka hac kokpit tersebut. Namun hac kokpit tidak mahu terbuka. Mungkin rosak sewaktu terhempas tadi. Fikiran Zeta sedikit demi sedikit menjadi semakin jelas dengan situasi yang dihadapinya sekarang ini. Dia teringat tentang pertembungan dengan Manuzia yang menyebabkan mereka terhempas.

"Damm!!" Dengan tidak diduga gadis tersebut menendang hac kokpit sehingga terbuka. Kemudian gadis tersebut melompat masuk ke dalam dan terus pergi kepada Maia. Tangannya lincah memeriksa kecederaan di bahu Maia. Beg kecemasan kecil yang dibawanya dibuka untuk diambilnya pembalut. Zeta menggagahkan diri turun daripada kerusinya dan kemudian memeriksa keadaan dirinya. Setelah berpuas hati dia mendekati Maia yang masih tidak berupaya bergerak. Luka di bahu Maia dibalut sementara oleh gadis tadi untuk menghentikan pendarahan. Setelah selesai membalut, gadis tersebut mengeluarkan sesuatu daripada pek di pinggangnya dan menyemburkannya pada Maia dan kemudian pada Zeta.

"Apa benda ni?" Zeta tersentak dengan tindakan gadis itu. Semburan itu berbau nipis dan segera hilang tanpa meninggalkan kesan.

"Neutraliser," jawabnya pendek."Mari tolong bawa kawan awak keluar dari sini. Kita perlu pergi dapatkan rawatan. Kawan awak ni banyak kehilangan darah," sambung gadis tersebut sambil memeriksa Maia jikalau ada kecederaan yang lain.

Zeta hanya menurut saja kata-kata gadis itu. Dengan bantuan gadis itu, dia membangunkan Maia daripada kerusi dan mereka berdua memapahnya keluar daripada pesawat dengan berhati-hati. Sesekali matanya menjeling kepada unit AN-72 yang masih berdiri tidak bergerak di hadapan pesawat mereka. Dia cuba tidak mahu mengendahkan unit itu namun hatinya tetap berdebar-debar.

Sebaik sahaja keluar daripada kokpit itu, Zeta baru sedar yang pesawat AE-035 Maia itu rosak teruk hingga tiada berupa pesawat lagi. Kemudian dia melihat di sekelilingnya. Nampaknya mereka terhempas di kawasan yang penuh dengan belukar serat sebesar pemeluk yang berselirat melitupi seluruh kawasan bagaikan akar-akar kayu gergasi yang menjalar. Tebal dan tingginya setinggi dua kali ketinggian Zeta. Tidak mungkin mereka dapat keluar daripada kawasan ini dengan berjalan kaki. Mereka memerlukan unit AN-72 yang besar dan tinggi itu untuk merentas kawasan ini.

Sejurus kemudian dia berpaling menghadap unit AN-72 tadi. Dia mendongak memandang kepada unit tersebut, sambil mengumpul keberanian di dalam dirinya. Dia tahu yang dia terpaksa menaiki unit ini sebentar lagi, dan dia perlu atasi ketakutannya selama ini. "Saiznya sederhana besar, mungkin dari jenis pekerja dan bukan askar," fikir Zeta cuba menyedapkan hati sendiri. Kepala dan kedua antenanya masih bergerak2. Begitu juga mandibel tajamnya yang sesekali terbuka dan terkatup. Matanya memandang Zeta bersahaja. Zeta menguatkan papahannya pada Maia yang masih separuh sedar.

Kemudian gadis itu memanjat terlebih dahulu ke atas belakang Unit AN-72 tersebut dan mengisyaratkan Zeta supaya mengikutinya. Zeta memahami isyarat yang diberikan lalu mula memapah Maia untuk naik ke atas unit tersebut. Namun begitu seketika kemudian Zeta menghentikan langkahnya. Diperhatikannya unit AN-72 tersebut sekali lagi. Pengubahsuaian pada unit ini dilihat sangat minimal berbanding unit-unit AN-72 yang pernah dinaikinya sebelum ini. Yang kelihatan hanyalah cuma tempat duduk yang bagaikan pelana daripada kulit diikuti oleh sebuah pelantar kecil di belakangnya. Kedua-duanya terikat kemas di bahagian toraks unit tersebut.

"Ada sesuatu yang tak kena dengan unit ini," fikir Zeta. Dan sejurus itu juga Zeta terkaku. Dia mengerutkan dahi cuba memastikan apa yang dilihatnya. Kemudian dengan jelas dan terang Zeta dapat lihat yang unit AN-72 ini tidak mempunyai kokpit. Matanya terus mencari lagi dan tidak dijumpainya sebarang bentuk panel kawalan lain di sekitar tempat duduk bagaikan pelana buruk itu. "Masakan begini! Bagaimanakah unit AN-72 ini dapat dikawal tanpa implan panel kawalan?!" bentak fikirannya. Zeta mula panik.

Zeta mengalih pandangannya kepada gadis tadi. Jantungnya mula berdebar kencang. Dia terbayang semula kecelakaan yang menimpa bapanya. Dahinya mula dihiasi peluh dingin. Sebelah tangannya yang tidak memapah Maian menggenggam hulu pistol di pinggangnya. Zeta gelisah. Dia tidak faham apa yang sedang disaksikannya. Di mindanya timbul pelbagai persoalan. Siapakah gadis ini sebenarnya? Mengapakah unit AN-72 ini sangat pelik? Denyut di kepalanya semakin kuat.

“Engkau bukan daripada pasukan penyelamat UTD kan? Siapakah kau sebenarnya?" Tanya Zeta pada gadis tersebut sambil mengeluarkan pistolnya sebagai tanda persediaan. Dia baru perasan yang gadis itu tidak memakai sebarang pakaian seragam yang boleh menunjukkan dia dari unit mana. Hanya sepasang overall biasa saja. Itupun sudah agak lusuh.

“Aku Luna. Aku seorang Psian,” jawab gadis itu sambil menyentuh belakang kepala unit AN-72 tersebut. Serentak dengan itu unit itu mula bergerak dan terus bangun berdiri dengan mandibelnya terbuka luas. Bunyi getaran yang kuat dan nyaring kedengaran dariapada unit itu. Zeta kaget dan berundur beberapa tapak. Maia hampir-hampir terlepas daripada papahannya. Zeta perlahan-lahan menyimpan semula pistolnya. Tiada guna dia bersikap agresif sekarang.

Psian.
Dia pernah mendengar nama itu. Mindanya yang masih keliru itu cuba sedaya upaya untuk mengingat di mana dia pernah dengar nama tersebut. Seketika kemudian matanya membulat. Psian ialah nama sebuah kaum yang pada satu masa dahulu telah disingkirkan daripada Tamadun Zed. Kaum Psian dikatakan telah membelakangkan Kod Zed yang merupakan asas kepercayaan yang menjadi ikutan seluruh Tamadun Zed. Akibatnya, kaum Psian telah diusir ke dunia luar yang pada waktu itu dianggap sangat liar dan berbahaya. Sejak daripada itu tiada siapa pernah dengar mahupun pernah berjumpa dengan mereka lagi.

Nafas Zeta semakin laju. Dia cuba bertenang. Mindanya pantas mengorek segala yang dia tahu tentang kaum yang dianggap telah pupus itu. Kaum Psian dikatakan mempunyai kelebihan deria keenam iaitu kebolehan telepati. Sejauh mana kebenarannya tidaklah Zeta tahu. Namun diperkatakan yang mereka menyalahgunakan kebolehan itu untuk merampas kuasa daripada kaum Zed. Dan itu antara sebab mereka disingkirkan sebagai hukuman. Zeta terus menerus mendongak memandang Luna. Jika benar Luna seorang Psian, maka ada kemungkinan yang Luna boleh mengawal serangga ini dengan kebolehannya. Dan oleh sebab itu jugalah, maka yang di berada hadapannya kini bukanlah sebuah unit AN-72 yang boleh dikawal, tetapi merupakan seekor serangga yang sebenar. Seekor Karingga yang sebenar.

“Aku tau kau dari kaum Zed. Aku cuma nak tolong kau dan kawan kau saja,” tambah Luna yang kini berdiri di atas Karingga tersebut.

Namun begitu Zeta terdiam kaku tidak bergerak. Lututnya terasa lemah sekali. Dia tidak sangka akan berhadapan dengan seekor Karingga yang sebenar. Trauma yang menghantuinya selama ini kini menjadi realiti. Terbayang-bayang olehnya saat-saat terakhir dia melihat wajah bapanya. Zeta tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Dia bagaikan berserah sahaja menunggu Karingga tersebut menyerang dan merobek-robek badannya.

Kemudian kedengaran bunyi desir-desir tapak kaki yang banyak dari merata-rata arah. Zeta yang cuba mengumpul sisa-sisa kekuatannya itu menoleh ke kiri dan kanan, kemudian kembali menoleh ke arah Luna. Gadis muda itu kelihatan sedang memanjangkan lehernya melihat ke arah kirinya. Dari atas Karingga, Luna pasti dapat melihat apakah yang menjadi punca bunyi-bunyi tersebut. Zeta memandang ke arah yang dipandang oleh Luna dan jantungnya hampir berhenti melihat seekor, kemudian dua ekor, dan kemudian beberapa ekor lagi Karingga yang bersaiz lebih besar daripada yang dinaiki oleh Luna muncul di sekelilingnya. Melihatkan susunan2 mandibel yang meruncing itu, Zeta hilang kawalan terhadap tubuhnya dan Maia terlepas dari pegangannya. Kepalanya berdenyut kuat, pandangannya berpusing dan kemudian segala-galanya menjadi gelap.



Karingga (foto hiasan)

* penulis Nadd ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Sarah semoga sentiasa sihat dan tersenyum gembira. Luv u sayang.

Selasa, Februari 17, 2009

Sakura


foto hiasan



Matanya menyorot pada papan notis utama, mencari jika ada tulisan-tulisan yang berkaitan dengannya. Setelah berpuas hati tiada apa-apa notis tentang pertukaran kelas atau pembatalan kelas, Najmi membetulkan sandangan beg di bahu dan mula melangkah menuju ke kelas pertamanya untuk hari itu. Dilihatnya ramai pelajar sepertinya sedang ke sana ke mari. Mencari kelas masing2 barangkali. Kelas pertama akan bermula jam 850 pagi nanti.


Langkahnya diteruskan. Di kiri kanannya kelihatan deretan pepohon sakura yang menghiasi bulevad kampus langsung menjadikan suasana serba merah jambu dengan kelopak bunganya yang memekar. Angin April berhembus nyaman membuatkan kelopak bunga sakura jatuh berguguran perlahan-lahan. Musim bunga sudah tiba, dan bersamanya semester baru bermula. Bagi Najmi, ianya juga menandakan bermulanya kehidupan baru dirinya di tempat orang.

Langkahnya terhenti di hadapan sebuah blok bangunan bertanda A. Pelajar lain kelihatan bertali arus masuk melalui pintu hadapannya. Najmi mengerling ke arah jam di tangannya. Jam TAG Heuer pemberian bapanya sewaktu di lapangan terbang tempoh hari menunjukkan pukul 840 pagi. Baru minggu lepas dia dihantar oleh keluarganya ke lapangan terbang, namun Najmi merasakan semuanya bagaikan sudah begitu lama berlalu. Ada sepuluh minit lagi sebelum kelas pertama hari ini bermula. Najmi berfikir sejenak dan kemudian meneruskan langkahnya menuruti arus pelajar yang masih tidak putus-putus.

Bilik kuliah A201 merupakan bilik kuliah sederhana besar yang boleh memuatkan lebih kurang 100 orang pelajar pada satu-satu masa. Seperti bilik-bilik kuliah lain yang pernah dihadirinya, tempat duduk bilik A201 bertingkat-tingkat dan terbahagi kepada tiga lajur, dua di tepi dan satu di tengah. Setiap lajur mempunyai sepuluh baris dan setiap baris mempunyai 3 atau 4 buah kerusi jenis boleh lipat seperti di panggung wayang, cuma bezanya di sini semuanya diperbuat daripada kayu dan bukannya kusyen empuk. Najmi melihat sudah banyak tempat duduk yang dipenuhi. Ada yang berisi dua orang, dan ada yang seorang. Tanpa berlengah dia terus menuju ke lajur tengah baris yang keempat. Najmi duduk di kerusi tepi sekali, dan begnya diletakkan di kerusi kosong di sebelahnya. Dua lagi kerusi pada barisnya itu juga masih kosong .

Jam putih berjarum hitam di hadapan bilik kuliah menunjukkan pukul 845 pagi. Masih ada 5 minit sebelum kelas bermula. Najmi mengeluarkan sebuah lipatan kertas daripada begnya. Lipatan bersaiz A4 itu dibuka dan dibentangkan dengan kedua-dua tangannya sehingga menjadi sebesar suratkhabar. Namun begitu tiada siapa yang endah apabila Najmi berbuat begitu. Ini adalah kerana jadual semester bersaiz A1 itu memang diberikan kepada setiap pelajar pada setiap tahun.


Najmi melipat semula jadual tersebut agar bahagian yang ingin ditelitinya berada di muka hadapannya, dan dia mula memeriksa jadualnya pada hari ini. Dia ingin memastikan yang dia berada di bilik kuliah yang betul. Dia telah pun memastikannya semalam sewaktu mengemaskan buku-bukunya, namun dia ingin betul-betul pasti. Memang salah satu sifat semulajadinya tidak suka berasa sangsi yang tidak perlu. Setelah matanya berpuas hati dia memasukkan semula lipatan jadual itu ke dalam begnya.

Lagi 4 minit sebelum kelas bermula. Sementara menunggu pensyarah masuk, mata Najmi mula memerhatikan pelajar-pelajar lain di sekelilingnya. Najmi melihat ada yang berbual sesama sendiri namun lebih ramai yang diam di tempat duduk masing-masing. Seorang pelajar perempuan yang sedang duduk berdekatan dengan pintu masuk sedang membelek jadual semester seperti yang telah dilakukannya tadi, manakala pelajar perempuan yang duduk di belakangnya pula hanya termenung menongkat dagu memandang papan hitam di hadapan bilik kuliah. Tiba-tiba Najmi perasankan sesuatu. Sangsinya menjengah lagi membuatkan hatinya mula berdebar. Dia menoleh ke kiri, ke kanan dan juga ke belakang untuk mencari kepastian. Namun tiada apa yang boleh melenyapkan keraguannya. Masakan tiada langsung pelajar lelaki di dalam kelas ini selain daripadanya!

Kepalanya pantas memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Dia masih boleh keluar daripada kelas itu sebelum kelas bermula. Masih ada saki baki minit untuknya berlari mencari bilik kuliah yang betul. Namun begitu, di manakah bilik kuliah yang betul? Dia langsung tiada idea. Debarnya semakin kuat. Mukanya mula terasa berbahang. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghelanya, dengan harapan dia dapat bertenang agar otaknya dapat berfikir. Papan notis tiada tertulis apa-apa, dan lagi jadual semesternya sudah berkali-kali diperiksanya sejak semalam. Dahinya mula basah. Dia perlukan kepastian.

Tanpa berfikir panjang lagi tangan Najmi terus memanjang dan mencuit bahu seorang pelajar yang duduk di tempat duduk hadapannya. Pelajar perempuan itu terkejut dan menoleh pantas ke arahnya. Pandangannya tajam. Najmi rasa bersalah membuatkan pelajar tersebut terkejut namun kebimbangannya kini adalah jauh lebih besar mengatasi perasaan bersalah tersebut.

"Minta maaf ya, betulkah ini kelas Gender Studies?" tanyanya kepada pelajar tersebut di dalam bahasa Jepun.

"Mm ya," jawab pelajar berbangsa Jepun itu pendek di dalam bahasa ibundanya. Serentak itu Najmi berasa lega yang amat sangat. Bagaikan sebuah batu besar telah diangkat dan dibuang daripada jemalanya. Tanpa disedari dia tersenyum kepada pelajar perempuan itu. Dan dia mula terasa bersalah semula apabila melihat senyumannya tidak dibalas pelajar itu. Masih terkejut dengan cuitannya tadi barangkali.

"Saya minta maaf buat awak terkejut. Saya ingat saya salah bilik kuliah tadi. Lega hati saya. Terima kasih ya," ujar Najmi ingin menghilangkan perasaan gusar dan terkejut pelajar tersebut. Tegang wajah perempuan itu mengendur sedikit dan kemudian dia sekadar membalas kecil, "Mm," sebelum berpaling semula ke hadapan.

Najmi kembali bersandar pada tempat duduknya. Kini dia boleh bernafas lega. Dia tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi jika dia tersalah bilik kuliah. Pasti dia akan terlambat masuk ke bilik kuliah yang sebenar.Lambat pada kelas yang pertama memang bukanlah permulaan yang baik pada anggapannya. Dan ketika Najmi baru hendak mengelamun itu dengan tiba-tiba pelajar perempuan di hadapannya tadi menoleh semula ke arahnya.


"Maafkan saya ya. Tadi saya terkejut sedikit," pelajar itu memulakan bicara.


"Eh, awak tak perlu minta maaf, ianya salah saya yang buat awak terkejut," jelas Najmi yang bingkas menegakkan badan daripada sandarnya sambil cuba mengukir senyum.


"Er..bolehkah saya jadi kawan awak?" aju pelajar itu secara tiba-tiba membuatkan Najmi terkesima sebentar. Dia tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Seketika kemudian kepalanya cuma mengangguk dan mulutnya menjawab ringkas,"Ya."


"Saya Sakura," pelajar perempuan itu menebarkan senyuman yang memperlihatkan lesung pipit di pipi kirinya. Manis senyumannya, fikir Najmi.


"Saya Najmi," jawab Najmi sambil membalas senyuman kawan barunya itu. Begini rupanya cara berkawan di negara Jepun ini, fikirnya lagi.


"Najimi..." gadis bernama Sakura itu mengulang namanya dengan pelat Jepun. Kemudian senyumannya semakin lebar, kini menampakkan barisan gigi yang putih. Najmi sedia maklum yang namanya akan disebut sebegitu di dalam bahasa Jepun. Dan 'najimi' juga merupakan perkataan di dalam bahasa Jepun yang membawa maksud 'kawan rapat'.


"Nama yang baik," sambung gadis itu sambil terus tersenyum ke arah Najmi. Matanya yang bersinar-sinar menampakkan kegembiraan yang ikhlas di atas penerimaan Najmi sebagai kawannya. Najmi membalas senyuman itu seikhlas yang mungkin. Hati kecilnya berlagu riang kerana kini dia mempunyai seorang kawan baru. Dia terus memandang wajah Sakura yang masih tersenyum. Perasaannya menjadi tenang bagaikan kelopak-kelopak sakura yang meliuk lintuk ditiup angin. Dan pada ketika itulah seorang pensyarah lelaki pertengahan umur berjalan masuk ke dalam bilik kuliah.

Isnin, Februari 09, 2009

Dendam

Tubuhnya tidak mengendahkan jeritan mindanya yang menyuruhnya berhenti. Air matanya mula mengalir. Hanya itu yang mampu tubuhnya lakukan. Pandangannya jadi kabur. Namun tangannya tetap menggenggam kuat tidak lepas. Dadanya berombak turun naik tidak terkawal.

Di hadapannya berdiri sesusuk tubuh. Tegak tergamam dan menggeletar seluruh tubuh itu. Lesi wajah bagai tiada setitis darah pun yang mengalir di dalamnya. Ketar lutut bagai tiada tenaga yang dapat menetapkannya dirinya. Kumat kamit mulut bagai ingin menyampai sesuatu yang tiada terucap.

Namun semua itu tiada erti lagi baginya. Kesumat di hatinya telah menutup segala simpati mahupun perikemanusiaan terhadap susuk di hadapannya itu. Saat-saat ini telah dinantikannya bertahun lamanya. Dan selama itulah juga salut dendam yang tebal telah melitupi hatinya dari sebarang rasa kemaafan.

Susuk tubuh itu yang basah ditimpa hujan kini terlutut ke tanah. Nampaknya tiada tersisa lagi tenaga yang dapat menampung dirinya. Basah hujan tiada beza lagi dengan basah lain yang tiada terkawal lagi. Susuk itu teresak-esak menangis yang tiada menambah basah kepada apa-apa.

Tangannya yang menggenggam terketar-ketar. Bukan kerana takut, tetapi kerana kewarasan yang berhempas pulas bertarung dengan perasaan yang menguasai diri. Dia melangkah setapak ke hadapan, ingin lebih dekat dengan susuk itu. Dia tidak mahu gagal. Dan lagi dia ingin menikmati kepuasan sebagai pihak yang memegang kuasa.

Susuk itu merapatkan kedua tapak tangannya meminta belas. Wajahnya sudah hilang segala ego dan riak di dalam derai airmata. Kini hanya tinggal penyesalan. Samada sesal atas pelakuan yang menjadi punca segala ini, atau menyesal atas kelekaan sehingga diri terjerumus sebegini, hanya empunya susuk yang tahu. Bagaimanapun dilihat, yang jelas sesalnya tiada guna lagi.

Hujan semakin lebat. Bunyi curahan air dari langit yang mengenai segala di bumi semakin bingit. Bunyi petir berselang bagaikan sorakan alam yang menyaksikan kedua susuk tubuh ini. Kedua susuk tubuh yang masing-masingnya berketar namun dengan maksud yang berbeza.

Dan pada satu saat yang bagai telah ditentukan, segala bunyi alam bagaikan hilang tiba-tiba. Sunyi sepi. Dan ketar kedua susuk turut reda. Dan pada saat itulah sang susuk yang berlutut melonglai tangan dan menurunkan matanya tanda bersedia menerima. Pada saat itulah juga dia yang berdiri menarik picu di dalam genggamannya.

Serentak itu petir berdentum dan alam kembali meneruskan lumrahnya. Susuk tubuh yang berlutut terus tersembam menyembah bumi. Genggaman tangannya terlerai, dan kembali menggeletar dalam sesalan bercampur puas. Tanah yang basah dek hujan kini menjadi kemerahan. Hujan terus turun mencurah-curah.



Hujan malam (foto hiasan)

Ahad, Februari 01, 2009

Zeta 4

"Selamat datang ke Pusat Penyelidikan Unit Tempur Darat," sapa seorang pegawai wanita yang berusia awal 20-an. Pegawai tersebut yang kelihatan segak dengan uniformnya membawa Zeta dan rakan2nya masuk melalui sebuah pintu yang besar. Mereka mengikut pegawai tersebut sambil melihat-lihat sekeliling dengan kekaguman.

"Seperti yang kita semua maklum, kita mempunyai dua dunia. Yang pertama ialah dunia dalam iaitu di mana kita semua tinggal. Yang kedua ialah dunia luar, iaitu dunia yang saya pasti adik2 semua tidak pernah sampai lagi," pegawai tersebut menjelaskan dengan senyuman. Zeta sudah dengar tentang dunia luar sejak kecil namun tidak pernah melihatnya. Hanya mereka yang berumur 15 tahun ke atas dan menggangotai Unit Am sahaja yang dibenarkan ke dunia luar. Itupun kerana tugas. Dunia luar terlalu bahaya buat mereka semua, jelas bapanya pada satu ketika dahulu.

"Untuk terus hidup, kita perlu ke dunia luar untuk mencari makanan dan juga bahan-bahan keperluan. Namun begitu, di dunia luar, kita semua sangat terdedah kepada bahaya dan ancaman daripada makhluk2 lain. Oleh itu, nenek moyang kita telah mengaplikasikan teknologi yang kita ada dengan menukarkan ancaman kepada rakan," jelasnya lagi. Zeta tahu apa yang dimaksudkan oleh pegawai tersebut. Bapanya yang bekerja di UTD sering bercerita kepadanya tentang perkara itu."Dengan teknologi tersebut, ancaman terbesar kita pada satu ketika dahulu, iaitu serangga, dapat kita kawal dan gunakan untuk membantu kita di dalam kehidupan," tambah pegawai itu lagi .

"Hari ini kita akan melihat serangga yang sebenar," serentak dengan itu kedengaran bunyi-bunyi kagum bercampur takut daripada mulut-mulut para tetamu kecil. Sememangnya perkataan itu akan menimbulkan pelbagai reaksi kerana serangga hanyalah hidupan dunia luar dan tidak ramai yang pernah melihatnya secara langsung. Sambil tersenyum kecil pegawai tersebut membawa mereka masuk ke dalam sebuah bilik yang sederhana besar. Dinding di sebelah kiri bilik tersebut merupakan sebuah tingkap lutsinar keseluruhannya. Di sebalik dinding lutsinar itu merupakan sebuah bilik yang sangat besar dan tertutup. Bilik tersebut dilengkapi dengan pelbagai peralatan di kesemua sisi dinding kecuali di bahagian lutsinar yang bersempadanan dengan bilik di mana mereka berada.

Di tengah-tengah ruang tersebut terdapat seekor serangga yang sangat besar. Besarnya meliputi sebahagian besar daripada bilik tersebut. Banyak bahagian anggota badan serangga itu tersambung kepada peralatan-peralatan di sekitarnya oleh pelbagai jenis tiub dan wayar. Ia berwarna keputihan dan tidak bergerak bagaikan sudah mati. Di bahagian kepalanya kelihatan 2 orang yang berpakaian serba putih keseluruhannya sedang melakukan sesuatu. Keduanya kelihatan sangat kerdil jika dibandingkan dengan saiz serangga itu. Kesemua tetamu termasuk Zeta melopong kagum.

"Ini merupakan makmal ubahsuai," terang pegawai tadi sambil menunjuk ke arah ruang tersebut. "Seperti yang adik2 lihat, 2 saintis itu sedang memasang sistem kawalan pada seekor serangga yang dikenali sebagai Karingga. Sistem kawalan akan diimplan ke dalam sistem saraf utama yang terdapat di bahagian belakang Karingga ini. Seterusnya sistem kawalan itu akan disambung kepada panel kawalan utama yang terdapat di dalam kokpit yang akan dipasang terakhir di atas badan serangga ini," jelas pegawai wanita itu panjang lebar. Para tetamu kecil masih melopong tidak mempedulikan penjelasan pegawai itu.

"Serangga itu dah mati ke? Kenapa dia tak bergerak?" tanya Rosko, seorang rakan Zeta dengan wajah yang sedikit sugul.

"Serangga itu hidup. Namun dia masih di dalam keadaan pupa fasa terakhir. Implan kawalan dilakukan pada waktu ini kerana lebih mudah mengawal serangga pada waktu ini berbanding setelah mereka dewasa sepenuhnya," terang pegawai muda itu sambil tersenyum pada Rosko.

"Ok sekarang mari kita ke bilik seterusnya. Kita akan lihat Karingga yang sudah dewasa sepenuhnya," ajak pegawai itu. Kesemua mereka mengikuti pegawai tersebut dengan perasaan gembira bercampur debar. Zeta tersenyum dengan penuh semangat kerana memang inilah waktu yang ditunggu-tunggunya.

Seperti bilik tadi, bilik seterusnya juga merupakan bilik pelawat yang turut mempunyai dinding lutsinar. Bezanya ialah ruang di sebalik tingkap memerhati kali ini kelihatan lebih besar daripada makmal ubahsuai tadi. Mungkin kerana jumlah peralatan di dalam ruang yang seperti hangar itu adalah minimal berbanding di dalam makmal. Di dinding yang bertentangan terdapat sebuah lagi bilik pemerhatian. Beberapa orang yang berpakaian serba putih kelihatan berdiri di dalamnya.

Di tengah2 hangar itu, terdapat seekor serangga yang bersaiz lebih besar daripada yang terdapat di dalam makmal tadi. Warnanya juga berbeza, iaitu kali ini ianya berwarna perang garang. Di sisi mulutnya terdapat sepasang penyepit yang besar dan runcing. Serangga yang kelihatan menggerunkan itu walaubagaimanapun diam tidak bergerak. Suara-suara gusar mula kedengaran di kalangan para tetamu kecil.

"Sekarang kita berada di hangar ujian," pegawai wanita itu memulakan penerangannya. "Setiap serangga yang telah diimplan dengan panel kawalan dan kokpit akan diuji di sini terlebih dahulu. Beginilah rupa seekor Karingga yang dewasa. Namun begitu, serangga yang telah kita ubahsuai tidak lagi dipanggil dengan nama serangganya, tetapi ia akan dikenali sebagai unit AN-72," jelas pegawai tersebut.

"Ujian pada unit AN-72 kali ini akan dilakukan oleh Zilo, seorang pegawai ujian yang berpengalaman. Dia juga merupakan bapa kepada Zeta," pegawai tersebut melirik kepada Zeta yang kelihatan tersenyum bangga. Zeta berdiri di hadapan sekali, rapat pada tingkap tersebut, ingin melihat bapanya yang akan keluar sebentar lagi.

Seketika kemudian seorang lelaki bertubuh besar dan tegap keluar dari pintu kecil di tepi dinding bilik pemerhatian. Lelaki tersebut yang memakai jumpsut serba putih melambai tangannya ke atas ke arah Zeta dan rombongan kecilnya. Zeta membalas semula lambaian bapanya dengan bersemangat.

Zilo mengenakan helmet komunikasi dan memanjat memasuki kokpit unit AN-72 tersebut. Setelah menutup kokpit, Zilo memberi isyarat kepada pemerhati2 di dalam bilik lalu menghidupkan panel kawalan. Sebaik panel kawalan menyala, kaki unit itu mula bergerak2 kecil. Zilo menggerakkan kayu kawalan dan unit itu mula bangun dan berdiri. Zeta berdebar melihat unit tersebut yang kini kelihatan dua kali lebih menggerunkan apabila berdiri. Zilo kemudiannya memulakan ujian kawalan dengan mengangkat beberapa kaki secara bergilir dan kemudian bergerak ke depan dan ke belakang. Tepukan kecil kedengaran dari sekeliling Zeta membuatkan dia berasa bangga dengan bapanya.

Zilo kemudiannya menggerakkan unit beberapa langkah ke kiri dan kemudian ke kanan. Sewaktu bergerak ke kanan itu dengan tidak semena-mena unit itu bagaikan hilang keseimbangan dan mula tersungkur ke sisinya. Unit AN-72 itu menghentam kuat dinding sebelah kanan menyebabkan hac kokpitnya pecah dan Zilo terhumban keluar. Zeta tergamam menyaksikan apa yang berlaku. Kemudian unit tersebut terkial-kial bangun dan berdiri semula dengan sendirinya tanpa sesiapapun di bahagian kawalan. Lantas itu satu bunyi yang membingitkan telinga bergema ke segenap ruang.

Para pemerhati di dalam bilik bertempiaran panik. Namun masih ada yang cuba mengawal keadaan. Penggera segera dibunyikan dan asap pelali disembur ke dalam bilik ujian. Kumpulan rombongan Zeta juga mula menjerit dan berlari keluar daripada bilik pelawat mengikut arahan pegawai wanita tadi. Namun begitu Zeta masih terpaku di dinding kaca. Dia melihat bapanya yang masih terduduk berasak mengundur menjauhkan diri daripada unit AN-72 yang di luar kawalan itu. Zilo berundur sehingga ke dinding yang memisahkan antara dia dan Zeta. Seluruh bilik mula diselubungi asap tebal.

"Ayahhh!!" jeritan Zeta ditenggelami bunyi bingit penggera yang kemudiannya disahut lagi dengan bunyi getaran nyaring yang menggerunkan itu. Tangannya menepuk2 dinding lutsinar itu sambil terus memanggil-manggil bapanya. Zilo cuba berdiri dan memandang ke arah anaknya itu. Dan Zeta menjerit lagi sekuat hatinya apabila dia melihat dari dalam kelam kabut asap itu sepasang mata merah menyala dengan penyepit tajam yang terbuka luas muncul dan sepantas kilat menerkam ke arah bapanya.

***

"Urgh!" Zeta tersentak dan terus sedarkan diri. Dia melihat di sekelilingnya. Kelihatan hac kokpit pesawat yang retak seribu dengan beberapa bahagian berlubang besar. Panel kawalan di hadapannya kelihatan rosak teruk dan tidak berfungsi lagi. Zeta menafsir yang dia telah terhempas namun dia masih keliru. Zeta memandang kerusi sebelahnya. Sekujur tubuh berlumuran darah masih terikat pada kerusi juruterbang utama.

"Maia!" Zeta memanggil ingin memastikan keadaan Maia. Kening Maia sedikit berkerut menunjukkan tindakbalas terhadap panggilan Zeta. Namun matanya tidak mampu dibuka. Zeta tidak pasti apa yang telah berlaku dan bagaimana mereka boleh berada di situ, namun begitu yang penting sekarang mereka berdua masih hidup. Zeta cuba menanggalkan tali keselamatannya untuk membantu Maia apabila dia mendengar satu bunyi gema yang aneh dari sekitarnya. Bunyi yang sedikit nyaring itu bagai pernah didengarinya sebelum ini. Dan pada masa itulah dia melihat sepasang mata merah dengan penyepit yang runcing lagi tajam sedang memerhatikannya betul-betul di hadapan kokpitnya.



AN-72 (foto hiasan)