#

Pembaca

Khamis, Disember 06, 2012

Laminet


Darus memerhatikan kiri dan kanan. Semua orang lain di ofis sedang sibuk buat kerja masing-masing. Atau buat-buat buat kerja. Darus tau, yang penting mereka tak pedulikan dia. Darus senyum dalam hati.
“Cantik! boleh la aku try benda alah ni,” senyum hatinya melimpah juga ke muka.
“Oi, senyum sorang-sorang!” jerkah Marko yang muncul dari entah mana. “Dahla senyum sorang-sorang, senget pulak tu!” Sambung Marko tanpa peduli hati dan perasaan Darus.
Darus buang senyum dari muka. Cilaka Marko kacau daun saja. Memang Darus tak pandai senyum. Itu sebab dia lebih suka senyum di dalam hati saja.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Marko lagi.
“Tak ada apa-apa la, saja je,” jawab Darus lemah. Dia tak mahu niatnya diketahui Marko. Mungkin perkara tu kecil saja bagi Marko, tapi bagi Darus, ianya perkara besar.
“Tak de apa-apa apanya?” Marko membalas. “Kalau dah tersenyum macam kerang senget kat depan mesin ni sorang-sorang, tak ada apa-apa apanya?” soal Marko bertubi-tubi.
“Ermm..” Darus tercegat tak tau macam mana nak terangkan.
Di ofis itu, memang Marko lagi kuat daripada Darus walaupun secara pangkatnya, mereka berdua sama taraf. Namun sikap Marko yang lantang dan Darus yang lemau tu membuatkan keadaan nampak macam Marko bos besar kepada Darus.
“Apa erm-ermnya Darus? Kau tak tau macam mana nak pakai mesin ni ke?” tanya Marko dengan suara sengaja ditinggikan. Biar satu ofis dengar. Darus terpisat-pisat.
“Dah berapa lama kerja kat sini pun tak reti-reti nak pakai mesin ni,” Marko sengaja tambah garam lagi.
“Aah, aku tak reti,” akhirnya Darus balas juga dengan susah payah. Kalau nak ikut tenaga yang digunakan untuk buka mulut bersuara, secara purata Darus perlu menggunakan 400kcal tenaga bersamaan sekali makan brekfes atau lunch. Setiap kali dia bersuara untuk menjawab, pasti tenaganya habis terus. Lain pula dengan Marko. Marko tak perlukan tenaga langsung untuk membuka mulut bersuara. Sebaliknya dia perlukan tenaga untuk menahan diri daripada bersuara. Maka untuk menjimat tenaga, Marko memang tak pernah tahan pun mulutnya. Main lepas saja.
“Haa tu la, tak reti cakap la tak reti. Kan senang. Malu bertanya sesat jalan tau. Ni kata-kata hikmah aku yang cipta kau kena ingat tau,” sesedap mulut saja Marko membebel.
Darus mengangguk saja. Kalau boleh dia nak blah saja dari situ. Keterujaannya untuk mencuba mesin itu tadi dah pun hilang dengan kemunculan mamat tak guna ni. Namun begitu tiba-tiba kening Darus terangkat.
“Ajarkan aku macam mana nak pakai benda ni boleh tak?” tanya Darus ikhlas.
“Cheh kau ingat aku ni siapa nak ajar-ajar kau. Baca la manual ke, cari kat internet ke, semua nak harap orang ajar. Manja!” Marko makin lantang mengejek Darus.
Darus buat muka muncung. Mulut muncungnya bergerak-gerak. “Kalau taktau cakapla taktau..” halus saja perkataan yang dia luahkan. Namun cukup kuat untuk didengari oleh Marko.
“Eh, apa kau cakap? Cuba ulang sekali lagi,” Marko mula panas dikata begitu.
 Umpan Darus mengena. Dia takkan berundur lagi. “Kalau taktau cakap je lah taktau,” diulangnya kata-kata tadi dengan selamba. Apa nak jadi, jadilah.
“Wah wah wah.. dah pandai menjawab,” Marko kelihatan geram. Dia mula bercekak pinggang.
“Nak ajar ke taknak?” Cepat-cepat Darus memotong sebelum Marko dapat mengelak lagi. Dah banyak dia pakai tenaga ni. Nak bercakap pun susah, apalagi nak berkonfrontasi. Memang kalau ikutkan, Darus boleh jatuh terjelepuk bila-bila saja. Namun dia cuba menguatkan lututnya untuk bertahan.
“Huh, aku taulah. Meh sini apa benda yang kau nak laminet bagi aku buat,” Marko tak mahu dipandang rendah. Nak tak nak dia kena akur juga.
“Nah,” Darus bagi Marko sekeping kertas kecil.
“Apa benda ni? Sampah bodoh ni pun kau nak laminet? Buang karan je,” Marko membelek potongan kertas yang kelihatan seperti tiket wayang atau tiket bas itu.
“Mengarutlah kau. Nah ambik balik sampah kau ni,” Marko menyerahkan kembali potongan kertas itu. Kemudian dia mengeluarkan dompetnya dari poket dan keluarkan sekeping gambar.
Darus jeling. Gambar Marko dan seorang perempuan. Awek Marko la tu kot. 
“Ni baru benda yang berbaloi nak laminet. Baru berbaloi,” nampaknya Marko pula yang bersemangat.
“Ha kau tengok aku buat.” Tangan Marko mula menekan butang ON. Lampu merah menyala. Marko memusing punat kecil di bawah lampu tadi.
“Oo macam tu..” Darus buat-buat menyibuk kat sebelah walaupun tak berapa faham.
  “Haah macam ni. Benda senang ni pun tak reti. Kecik-kecik tanak belajar, dah besar menyusahkan orang,” balas Marko.
Darus mencebik di dalam hati.
Setelah lampu mesin itu menyala hijau, Marko meletakkan gambar dan plastik laminet pada tempatnya dan gambar Marko dan aweknya perlahan-lahan ditelan oleh mesin tersebut. Dua pasang mata mengikut saja pergerakan kertas itu masuk ke dalam mesin.
Marko menunggu hasil yang keluar di sebelah sana mesin. Namun begitu tidak ada apa-apa yang keluar. Satu saat. Dua saat. Lima saat. Darus sudah mula tersenyum. Senget.
“Celaka! Mana gambar aku?” Marko mula menyumpah. Mesin tersebut diusik sana sini. Cuba dibukanya. Sengih Darus di sebelah makin lebar dan makin senget.
Prak! Mesin itu terbuka juga setelah dikopek oleh tangan rakus Marko. Matanya terbeliak melihat apa yang berada di depan matanya kini.
“Hahahaha!” Darus terus tergelak.
“Sial betul!” sumpah Marko. Dia mengangkat gambar kesayangannya bersalut plastik laminet yang nampaknya berkedut-kedut seperti sudah terlebih dipanaskan.
“Arh! Rosak gambar aku! Tak guna punya mesin jahanam!” mulut Marko tak habis-habis membebel. Dia menjeling Darus yang masih tak habis ketawa. “Kau la ni suruh aku buat benda ni! Celaka betul!”
“Tu la aku bagi kau kertas bodoh tadi kau tanak pakai. Bodoh la sampah la. Aku nak test je dulu. Dah kau pandai sangat, ha sekarang padan la muka kau,” Darus dah tak peduli lagi. Pulang paku buah keras dengan bunga sekali. Dia kesian juga tengok Marko, tapi dia puas hati betul. Nasib kau la Marko. Siapa suruh berlagak.
Sambil beredar Darus menepuk-nepuk bahu Marko yang masih cuba menegang-negangkan gambarnya yang dah berkedut tadi. Hari ini buat julung-julung kalinya Darus menang. Hari esok tak tahu lagi. Tapi lantaklah, esok kira esoklah. Darus terus tersenyum lebar. Senget.