#

Pembaca

Khamis, Oktober 28, 2010

Dari atas tempurung



"Dari atas tempurung ini, aku dapat saksikan seluruh dunia dengan dua biji mataku. Aku dapat saksikan ketidakadilan. Aku dapat saksikan kebatilan yang dijunjung, dan kebenaran yang disisih. Aku dapat saksikan betapa dunia ini begitu bersalah."

"Dari atas tempurung ini, aku melolong. Lolongku bukan lolong kosong. Mata dan minda tajamku adalah senjata untuk berjuang. Lolongku adalah lolong perjuangan. Perjuanganku menentang kebodohan dunia. "

"Wahai umat dunia. Sedarlah kamu bahawa semua di hadapan kamu itu adalah kepalsuan. Semua di hadapan kamu itu adalah kelalaian. Adalah kamu hanya dipergunakan untuk mengisi kantung mereka-mereka yang salah perjuangannya. Tidak ada perjuangan yang benar melainkan perjuangan dari
atas tempurung ini. "

"Aku menyeru kamu semua. Lihatlah diriku ini. Contohilah diriku ini. Hidup ini adalah perjuangan. Susah payah aku mendirikan tempurung ini agar dapat aku berdiri di atasnya dan menyeru kamu sekalian. Janganlah kamu hanya suka berenak-enak dibuai mimpi yang pastinya akan memakan diri. Bangkitlah dari lena realiti!"

"Tidakkah kamu semua dapat melihat kebenaran? Sudah pasti tidak. Sudah pasti mata dan hati kamu semua telah dibutakan oleh pendokong-pendokong kebatilan itu. Kesian kamu semua. Habis rosak binasa minda. Habis punah harapan bangsa. Kalaulah kamu dapat melihat apa yang aku lihat, dari atas tempurung ini. "

Masa beredar, zaman berubah. Gunung ditarah, bukit dirata. Pencakar langit terus dibina memanjat langit. Umat manusia terus mencorak masa depan kehidupan dengan warna-warni peredaran zaman. Dan suara itu tetap juga di situ, dari atas tempurung yang satu.


Imej dari sini

Rabu, September 15, 2010

Taring dan Kuku




Suasana di tepi belukar itu hening. Yang kedengaran hanyalah sahut-sahutan unggas dari kejauhan. Selain itu, hanya bunyi desing cengkerik yang mengiringi perjalanan kami.

"Jauh lagi ke?" tanya Sang Seladang di belakangku. Aku menoleh memandangnya. Pada matanya memancar satu sinar semangat.

"Sabarlah, tak jauh dah," jawabku selamba. "Kau pasti yang kau ingin teruskan?" tanyaku pula. Sang Seladang memandang padaku dengan alis berkerut.

"Ya, sudah tentu aku pasti," jawabnya. "Kan aku yang meminta kau aturkan semua ini," sambungnya lagi dengan penuh yakin. Aku menghela nafasku. Nampaknya dia sudah tekad.

Sejak tempoh hari, Sang Seladang telah berkali-kali datang kepadaku meminta agar aku bawanya ke tempat yang berbahaya itu. Alasannya dia ingin mencabar dirinya. Sudah berkali-kali juga aku menolak. Alasanku, tidak ada apa yang boleh ditemuinya di sana selain bahaya. Pada pandanganku, sarang tebuan jangan dijolok. Namun pada pandangannya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Dia tetap juga mendesak sehingga aku terpaksa juga beralah.

"Jangan kata aku tidak memberi amaran kepada kau pula," kataku mengingatkan. Terasa jahat sedikit diriku ini bagaikan ingin mencuci tangan pula sebelum apa2 berlaku.

"Bukan aku tidak yakin pada kau, cuma sebagai kawan, risau itu sudah pasti," sambungku lagi ingin menyedapkan hati. Memang pada mulanya aku risau, namun sekarang tidak lagi. Sang Seladang bukannya tanggungjawab aku. Apa yang berlaku kelak semuanya terserah kepada kehebatan dia sendiri menangani situasi. Aku tidak akan masuk campur.

"Alah, kau jangan risaulah," Sang Seladang menepuk-nepuk bahuku. "Ini Seladanglah. Kau nampak tandukku ini. Kau campaklah apa saja di hadapanku, pasti aku boleh tewaskan." Aku tersenyum sinis sahaja mendengarkan kata-katanya itu. "Tunggulah kau akan kenal apa itu taring dengan kuku," hati nakalku menjawab.

Tiba di sebuah belukar yang sedikit tinggi, aku berhenti. Di sebalik belukar ini sesuatu sedang menunggu kami. Aura pemangsanya dapat aku rasakan sehingga membuat bulu romaku berdiri. Aku menarik nafas dalam-dalam. Sedikit debar terasa di dadaku. "Walau apapun yang terjadi, aku tidak ada kena mengena, aku cuma tukang bawa saja," bisikku kepada diri sendiri.

"Apa kau kata?" tanya Sang Seladang yang terdengar kata-kataku itu.

"Ah, tak ada apa-apa, aku kata kita dah sampai," balasku. "Kau dah sedia?" tanyaku buat kali terakhir. Tiada jalan untuk berpatah balik selepas ini. Sang Seladang mengangguk yakin. Kali ini keyakinannya menampakkan sedikit harapan dan kekuatan. Barangkali Sang Seladang masih punyai harapan, fikirku sendiri. Lalu aku menguak belukar dan kelihatanlah segala yang sedang menanti kedatangan kami.

*****

"Hai Erni. Kenalkan, ini kawan saya Shah," kataku memperkenalkan rakanku kepada seorang gadis yang sedang duduk menunggu kami di meja restoran.


Imej dari sini

Isnin, Jun 07, 2010

Butang


"Macam mana boleh jadi begini?" tanya Adli. "Saya tidak mahu dijodohkan dengan awak." dengusnya lagi.

"Eh, pinggan tak retak, nasi tak dingin, jodoh Ina adalah dengan Nizam tau, bukan dengan awak," giliran Ina pula menjawab. Riak wajahnya mencuka.

"Habis tu, macam mana kita boleh dipasangkan pulak. Bukannya mereka tidak tahu yang kita sudah ada pasangan masing-masing?" suara Adli mula lembut. Dia tidak menyalahkan Ina di dalam perkara ini. "Pasti ada salah faham yang berlaku," tambahnya lagi.

"Manalah Ina tahu," Ina mula sugul. "Kalau awak nak tahu, Nizam pun kata yang dia akan dijodohkan dengan Normah, kekasih si Imran," langsung Ina menunduk, menyembunyikan matanya yang mula bergenang.

"Hm, saya dengan awak, Nizam dengan Normah. Sudah pasti kesilapan ini berterusan sehingga ke hujung. Kita mesti berbuat sesuatu segera," tegas Adli lagi. Dia sebenarnya kekok apabila dijodohkan dengan Ina. Selama ini dia sentiasa dengan pasangannya, dan Ina juga sentiasa bersama Nizam. Namun begitu pada hari ini dengan tidak disangka jodoh mereka telah bertukar. Adli terkilan melihat Ina yang sudah mula menangis.

"Macam inilah, biar saya beritahu dia perkara yang sebenarnya. Pasti dia akan faham situasi kita semua ini," Adli cuba memujuk. "Keributan ini akan kita tangani bersama. Jika tidak kita akan dipandang serong," tambahnya lagi.

"Ina takut," tangis gadis itu semakin kuat. "Ina takut yang dia tidak sedar akan tindakannya ini. Bagaimana kalau dia tidak endah akan suara kita? Apa yang kita boleh buat lagi?," suaranya bercampur sedu yang tersekat-sekat.

"Sabarlah, kita mesti positif. Anggapkan saja ini satu kesilapan. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menukar sesuatu yang telah ditetapkan sejak awal-awal lagi. Setiap benda ada pasangan masing-masing yang akan menentukan elok atau tidak sesuatu itu. Periuk ada tudungnya, cawan pula ada piringnya. Jika tersalah jodoh, kan tidak elok rupanya," Adli bermadah panjang.

"Bagaimana awak hendak beritahu dia?" Ina mengangkat wajahnya memandang Adli semula. Matanya masih basah. "Kita ini bukannya siapa-siapa yang boleh membantah sesuka hati. Apa yang diberi, itulah yang kita terima. Bukannya awak tak tahu perkara ini," Ina membalas.

Adli diam sahaja mendengarkan perkara tersebut. Kebenaran pada kata-kata Ina itu begitu pahit namun terpaksa juga ditelannya. Dia memang tidak mampu berbuat apa-apa. Tiada siapa di antara mereka mampu berbuat apa-apa. Semuanya bergantung kepada dia yang menentukan. Jika benar, maka benarlah. Jika salah, maka itulah nasib mereka. Apalah daya mereka. Inilah adat dunia yang tidak senantiasa adil.

****

"Radhi," panggil Maryam. "Sini kejap." katanya lagi sambil melambaikan tangannya. Lelaki bernama Radhi itu menoleh dan mengangkat keningnya.

"Ya Maryam, ada apa?" tanyanya setelah menghampiri Maryam. Maryam merapatkan wajahnya ke arah Radhi. Lelaki itu menelan airliurnya.

"Baju awak," perlahan saja bisik Maryam. Spontan Radhi menunduk untuk melihat pada bajunya, dan baru dia perasan yang butang bajunya telah tersalah pasangan masing-masing.




Imej hiasan dari sini.

Ahad, April 25, 2010

Drama


Foto ihsan dari sini.


Matahari senja sedang condong di hujung horizon. Cahayanya yang berkilauan apabila terbias dek permukaan lautan kelihatan memukau. Pemandangan yang mengasyikkan itu dinikmati oleh Dean dan Jessica, sepasang kekasih yang duduk di atas pasir, tidak jauh dari gigi air.

"Ucapkanlah," kata Jessica. "Ucapkanlah walaupun sekali sahaja," Jessica merenung ke dalam mata Dean. Anak mata yang kebiruan itu menjadi keperangan dek lantunan cahaya senja.

"Mmm.." balas Dean pendek. Dia melarikan pandangannya ke lautan luas.Memandang matahari yang sudah sedikit lagi mahu menyentuh kaki langit. Spontan Dean menipiskan matanya. Silau.

"Kenapa begitu sukar?" sambung Jessica. "Tidakkah awak sayangkan saya?" Dia terus menerus memandang sisi wajah Dean. Beberapa saat berlalu sunyi, kecuali desir ombak yang mewarnai latarbelakang kesunyian itu.

Dean berpaling kembali menatap wajah Jessica. Mata coklat Jessica ditenungnya. "Ya saya sayangkan awak Jessica," luah Dean.

Namun itu bukanlah kata-kata yang diharapkan Jessica. "Kalau sayang, kenapa awak tidak mahu mengucapkannya?" gadis itu masih tidak berpuas hati.

"Hmm.." Dean tidak dapat berdalih lagi. "Saya rasa belum tiba masanya lagi untuk saya ucapkannya," dan jejaka itu berpaling semula ke pantai. Tiupan angin bermain-main dengan rambutnya. Dibiarkannya saja.

Jessica turut menyoroti pandangan Dean ke laut lepas. "Nampaknya awak masih belum pasti lagi tentang perasaan awak terhadap saya," ujarnya sedikit kecewa.

"Mungkin juga," balas Dean. "Saya pasti yang saya sayangkan awak, tapi mungkin ianya belum sampai ke tahap itu lagi." jawab Dean lagi.

Jessica terasa sesuatu jauh di dalam dadanya. Apakah perasaan ini? Pedih bagaikan ada sesuatu yang terluka di dalam dada ini. Kenapa aku berasa begini? Mindanya menjadi bercelaru. Dadanya berombak cuba menahan gelojak yang mula melanda.

"Apakah bezanya sayang dan cinta?" Perasaan di dada Jessica mula tidak dapat dikawal lagi. "Mengapa mudah mengungkap sayang tapi tidak cinta? Awak mempermainkan perasaan saya barangkali?" nada suaranya semakin meninggi.

"Tidak!" Dean mengangkat wajahnya semula. "Sekali-kali saya tidak berniat untuk mempermainkan perasaan awak. Saya betul-betul sayangkan awak. Cuma.. " kata-katanya terputus di situ bagaikan ditelan bunyi ombak. Ataupun memang dia tidak menghabiskannya.

"Cuma apa?" Jessica semakin hilang sabar.

"Cuma saya tidak pasti apakah perasaan yang hadir i hati ini adalah cinta yang sebenar2nya.. ataupun.." kata-kata Dean hilang buat kesekian kali.

"Ataupun apa?" tanya Jessica lagi. " Ataupun cinta main-main?" Geram yang ingin keluar daripada dadanya ditahannya sepenuh tenaga.

"Bukan!" jawab Dean. "Bukan main-main. Sebenarnya saya takut perasaan ini hanyalah sekadar cinta yang bersinggah sementara," suara Dean mula tegas.

"Cinta sementara?" kening gadis itu berkerut. "Maksud awak?" Wajah Dean tetap tidak lepas dari tatapannya.

"Saya pun tidak tahu bagaimana nak jelaskan.. maksud saya.. cinta yang tidak kekal," Dean cuba sedaya upayanya untuk menjelaskan. Rautnya menunjukkan perasaan serba salah.

"Awak takut yang satu hari nanti semua ini akan berakhir? Cinta ini akan berakhir?" Jessica terus mendesak.

"Hmm ya," akhirnya Dean mengalah. "Awak pun tahu yang saya pernah bercinta beberapa kali sebelum ini. Dan semuanya telah berakhir dengan kegagalan. Saya tidak mahu ianya berlaku lagi dengan awak. Saya betul-betul sayangkan awak. Namun saya takut Jessica, saya takut," jelas Dean. Dia menghela nafas lega, bagaikan sesuatu beban yang selama ini dipikulnya telah hilang.

"Mmm.. begitu rupanya," balas Jessica lemah. Ketegangan di wajahnya mula mengendur. Kini giliran dia menundukkan wajahnya. Dunia tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Kesuraman mula menjalar setelah matahari terbenam penuh di hujung horizon. Kesuraman yang sama turut menjalar ke hatinya. Dean membiarkan sahaja wanita itu melayan perasaannya.

"Baiklah, saya faham," akhirnya Jessica bersuara kembali.

Dean tersentak. "Apa yang awak faham?" tanyanya sedikit bingung.

"Saya fahamlah," Jessica masih berteka-teki. "Sebenarnya saya sudah agak dah akan perkara ini. Namun saya tidak mahu mempercayai firasat saya. Saya mengharapkan sebaliknya akan berlaku. Memang saya ini buta." sambungnya lagi.

Jessica kemudiannya memandang Dean. "Itu sebabnya saya sudah pun membuat keputusan," katanya. Dari matanya terpancar satu sinar yang membuatkan Dean menjadi resah.

"Keputusan?" tanya Dean. "Keputusan apa?" Raut wajah Dean berubah.

****

"Amat!!!" Mak Kiah menjerit dari arah dapur. "Tolong pergi kedai beli kelapa parut!"

"Baiklah mak!!" jawab Amat. Dia bingkas bangun dari duduknya sambil mulutnya mengomel sendirian,"Tengah saat-saat genting ni lah.. " Tangannya lantas mencapai alat kawalan jauh dan menutup suis televisyen di hadapannya.





Jumaat, Mac 05, 2010

Kau dan Aku

Imej hiasan

"Menyesal aku!" kedengaran satu suara bergema di kala hening pagi itu. Rudi mengesat peluh di dahinya yang berkerut menahan kesakitan. Dadanya turun naik, terasa degup jantungnya kencang daripada biasa.

"Kalau aku tahu tadi, memang aku takkan buat begitu," ngomel Rudi lagi. Tangannya menekan perutnya. Dirasakan bagai ada pertarungan yang berlaku di dalam perutnya itu. Pihak mana yang menang sekalipun, dia yang akan menanggung sengsaranya.

"Ha, padan muka kau Rudi. Aku kata sabar, jangan makan. Tapi kau degil. 'Celebrate' konon. Sekarang rasakan," kedengaran satu suara berbisik di mindanya.

"Kau! Ah sudahlah sekarang bolehlah kutuk! Aku makan pun sebab kau jugak! Sibuk saja hasut aku. 'Dah lama tak makanlah', 'sekali-sekala apa salahnya' lah. Sekarang kau kutuk aku pulak ya!" balas Rudi geram dengan dirinya sendiri.

"Dah itu tugas aku. Bila kau senang aku ingin kau lebih senang. Bila kau susah aku akan buat kau menyesali diri kau. Kau tak boleh salahkan aku. Siapa yang membuat keputusan terakhir? Kau atau aku? Siapa yang mengarahkan kaki untuk berjalan ke gerai? Siapa yang mengarahkan tangan untuk membeli dan menyuap nasi lemak? Siapa yang menyuruh mulut untuk mengunyah dan menelan? Aku ke engkau? Aku tak ada kuasa sebegitu. Semuanya kau sendiri yang buat!" semakin kuat suara itu menangkis. Rudi faham semua itu, namun menyesal kemudian tiada gunanya lagi. Dia hanya menyeringai menahan sakit.

"Ahh kau memang! Semuanya salah aku. Padahal kau yang hasut aku. Lepas ni jangan haraplah aku akan ikut cakap kau lagi!" bentak Rudi. Rautnya sudah dibasahi peluh sehingga turun ke leher membasahi kolar kemejanya. Pagi yang dingin itu terasa begitu panas. Kakinya menggeletar tanpa boleh dikawal, cuba menyeimbangi pergelutan di dalam tubuhnya.

"Nasib kaulah Rudi. Aku bukannya orang lain. Salah aku adalah salah engkau juga. Sebab aku adalah engkau, dan engkau itu adalah aku..." Rudi sudah tidak mampu menahan lagi. Dia lantas bangkit dan berlari keluar daripada biliknya meluru ke arah tandas di hujung bangunan pejabatnya itu.