#

Pembaca

Memaparkan catatan dengan label cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cinta. Papar semua catatan

Ahad, April 25, 2010

Drama


Foto ihsan dari sini.


Matahari senja sedang condong di hujung horizon. Cahayanya yang berkilauan apabila terbias dek permukaan lautan kelihatan memukau. Pemandangan yang mengasyikkan itu dinikmati oleh Dean dan Jessica, sepasang kekasih yang duduk di atas pasir, tidak jauh dari gigi air.

"Ucapkanlah," kata Jessica. "Ucapkanlah walaupun sekali sahaja," Jessica merenung ke dalam mata Dean. Anak mata yang kebiruan itu menjadi keperangan dek lantunan cahaya senja.

"Mmm.." balas Dean pendek. Dia melarikan pandangannya ke lautan luas.Memandang matahari yang sudah sedikit lagi mahu menyentuh kaki langit. Spontan Dean menipiskan matanya. Silau.

"Kenapa begitu sukar?" sambung Jessica. "Tidakkah awak sayangkan saya?" Dia terus menerus memandang sisi wajah Dean. Beberapa saat berlalu sunyi, kecuali desir ombak yang mewarnai latarbelakang kesunyian itu.

Dean berpaling kembali menatap wajah Jessica. Mata coklat Jessica ditenungnya. "Ya saya sayangkan awak Jessica," luah Dean.

Namun itu bukanlah kata-kata yang diharapkan Jessica. "Kalau sayang, kenapa awak tidak mahu mengucapkannya?" gadis itu masih tidak berpuas hati.

"Hmm.." Dean tidak dapat berdalih lagi. "Saya rasa belum tiba masanya lagi untuk saya ucapkannya," dan jejaka itu berpaling semula ke pantai. Tiupan angin bermain-main dengan rambutnya. Dibiarkannya saja.

Jessica turut menyoroti pandangan Dean ke laut lepas. "Nampaknya awak masih belum pasti lagi tentang perasaan awak terhadap saya," ujarnya sedikit kecewa.

"Mungkin juga," balas Dean. "Saya pasti yang saya sayangkan awak, tapi mungkin ianya belum sampai ke tahap itu lagi." jawab Dean lagi.

Jessica terasa sesuatu jauh di dalam dadanya. Apakah perasaan ini? Pedih bagaikan ada sesuatu yang terluka di dalam dada ini. Kenapa aku berasa begini? Mindanya menjadi bercelaru. Dadanya berombak cuba menahan gelojak yang mula melanda.

"Apakah bezanya sayang dan cinta?" Perasaan di dada Jessica mula tidak dapat dikawal lagi. "Mengapa mudah mengungkap sayang tapi tidak cinta? Awak mempermainkan perasaan saya barangkali?" nada suaranya semakin meninggi.

"Tidak!" Dean mengangkat wajahnya semula. "Sekali-kali saya tidak berniat untuk mempermainkan perasaan awak. Saya betul-betul sayangkan awak. Cuma.. " kata-katanya terputus di situ bagaikan ditelan bunyi ombak. Ataupun memang dia tidak menghabiskannya.

"Cuma apa?" Jessica semakin hilang sabar.

"Cuma saya tidak pasti apakah perasaan yang hadir i hati ini adalah cinta yang sebenar2nya.. ataupun.." kata-kata Dean hilang buat kesekian kali.

"Ataupun apa?" tanya Jessica lagi. " Ataupun cinta main-main?" Geram yang ingin keluar daripada dadanya ditahannya sepenuh tenaga.

"Bukan!" jawab Dean. "Bukan main-main. Sebenarnya saya takut perasaan ini hanyalah sekadar cinta yang bersinggah sementara," suara Dean mula tegas.

"Cinta sementara?" kening gadis itu berkerut. "Maksud awak?" Wajah Dean tetap tidak lepas dari tatapannya.

"Saya pun tidak tahu bagaimana nak jelaskan.. maksud saya.. cinta yang tidak kekal," Dean cuba sedaya upayanya untuk menjelaskan. Rautnya menunjukkan perasaan serba salah.

"Awak takut yang satu hari nanti semua ini akan berakhir? Cinta ini akan berakhir?" Jessica terus mendesak.

"Hmm ya," akhirnya Dean mengalah. "Awak pun tahu yang saya pernah bercinta beberapa kali sebelum ini. Dan semuanya telah berakhir dengan kegagalan. Saya tidak mahu ianya berlaku lagi dengan awak. Saya betul-betul sayangkan awak. Namun saya takut Jessica, saya takut," jelas Dean. Dia menghela nafas lega, bagaikan sesuatu beban yang selama ini dipikulnya telah hilang.

"Mmm.. begitu rupanya," balas Jessica lemah. Ketegangan di wajahnya mula mengendur. Kini giliran dia menundukkan wajahnya. Dunia tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Kesuraman mula menjalar setelah matahari terbenam penuh di hujung horizon. Kesuraman yang sama turut menjalar ke hatinya. Dean membiarkan sahaja wanita itu melayan perasaannya.

"Baiklah, saya faham," akhirnya Jessica bersuara kembali.

Dean tersentak. "Apa yang awak faham?" tanyanya sedikit bingung.

"Saya fahamlah," Jessica masih berteka-teki. "Sebenarnya saya sudah agak dah akan perkara ini. Namun saya tidak mahu mempercayai firasat saya. Saya mengharapkan sebaliknya akan berlaku. Memang saya ini buta." sambungnya lagi.

Jessica kemudiannya memandang Dean. "Itu sebabnya saya sudah pun membuat keputusan," katanya. Dari matanya terpancar satu sinar yang membuatkan Dean menjadi resah.

"Keputusan?" tanya Dean. "Keputusan apa?" Raut wajah Dean berubah.

****

"Amat!!!" Mak Kiah menjerit dari arah dapur. "Tolong pergi kedai beli kelapa parut!"

"Baiklah mak!!" jawab Amat. Dia bingkas bangun dari duduknya sambil mulutnya mengomel sendirian,"Tengah saat-saat genting ni lah.. " Tangannya lantas mencapai alat kawalan jauh dan menutup suis televisyen di hadapannya.





Rabu, Januari 28, 2009

Lagu Rindu

Dingin malam meresapi seluruh kulitnya. Udara yang lembap dek hujan yang baru berhenti ditiup angin membawa kesegaran yang menyapa wajah. Diperhatikan refleksi dirinya di dalam kolam yang disinari cahaya bulan. Di dalam sejuk2 sendirian begini dia menjadi rindu.

Perlahan2 dinyanyikannya lagu merdu ciptaan sendiri. Berilhamkan alam di sekitarnya, berilhamkan si dia yang belum ketemu. Berilhamkan cinta yang bertahta, berilhamkan rindu yang membuku. Merdu suaranya memecah hening malam. Harapnya lagu itu dibawa oleh sang bayu sehingga sampai kepada si dia di sana.

Langsung itu nyanyiannya disambut sang pria lain. Ada rupanya yang turut sama merindu sepertinya. Bagai saling memahami, kumandang alunan tenor dan soprano membentuk harmoni pada irama. Tiada dikenal rupa, tiada dikenal wajah, namun dendangan melodi yang tulus membuktikan taut hati pada sang puteri.

Dan alam juga turut sama menyanyi. Sang cengkerik mengalun irama tambah gemersik. Diselangi bunyi titisan2 air pada wajah kolam yang bagai memalu rentak. Sambil tiupan angin malam menggesel dedaun menyumbang ritma pada orkestra malam.

Mengapakah begitu dalam rindu ini?
Mencengkam jiwa, merundung hati,
Ingin kujerit saja, tiada tertahan lagi.
Akan kupastikan kau di sana mendengari.
Agar dikau kan datang ke mari,
Kepadaku yang sedang menanti.

"Plush!" kolam meriak ganas akibat diganggu sesuatu yang jatuh ke dalamnya. Nyanyiannya terhenti. Siapakah gerangan yang mengganggu ini? Cengkerik terus berdiam diri. Malam kembali sunyi. Menunggu riak kolam tenang kembali.

Setelah seketika tenang pun tiba. Dan dia mengalun semula melodi rindu yang terganggu. Diharap janganlah si dia di sana bertawar hati. Nekadnya memujuk walau sampai ke pagi. Lalu dinyanyikan semula lagu cintanya. Dayu gemersik suaranya memanggil dan merayu. Dirasakan dirinya kembali diselubungi rindu.

"Splushh!!" riak-riak besar bagai tsunami menggoncang ketenangan kolam. Percikan-percikan air mengenai wajahnya yang terkelu. Maafkan kanda dinda, nampaknya malam ini bukan untuk kita. Lantas dia berpusing dan melompat terjun ke dalam kolam. Hanya riak kecil hiba yang ditinggalkannya. Bersama duka dan kecewa.

****

"Amin, mari masuk ke dalam. Buat apa lagi di tepi kolam tu malam2 begini," kedengaran satu suara memanggil. Amin berpaling menoleh ke arah suara itu. Dilepaskan batu-batu kecil dan besar daripada tangannya dan lantas dia berlari-lari anak menuruti suara tersebut.




Foto hiasan dari sini