Aku meletakkan berus gigi elektrik yang telah aku pilih di atas kaunter pembayaran.
"Terima kasih encik," sambut lelaki muda penjaga kaunter dengan penuh ramah. "Oleh kerana bateri yang disertakan dengan berus gigi ini boleh jadi sudah lama, mahukah encik kami sertakan bateri yang baru?"
"Hm?" Keningku terangkat seperti tidak percaya. Aku selalu dengar kisah-kisah tentang khidmat pelanggan di negara matahari terbit ini yang biasanya tinggi tahapnya, namun aku tidak menjangka yang aku akan mengalami sebuah kisah aku sendiri. Perkara-perkara kecil begini pun mereka ambil kira. "
Patutlah negara mereka maju," pujiku di dalam hati.
"Ya, terima kasih!" Jawabku pantas sambil mengangguk. Tak dapat aku sembunyikan kegembiraan di wajahku waktu itu. Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak.
Penjaga kaunter itu membalas senyumanku lalu tangannya pantas mencapai sebiji bateri baru yang masih di dalam bungkusan.
"Terima kasih encik," sambungnya sambil jemarinya pantas mengimbas kod bar paket bateri baru tadi. "Berus gigi 1700 yen dan bateri 180 yen. Jumlah semuanya 2030 yen."
"
Cis! Aku ingat dia nak beri percuma, rupa-rupanya dia nak tambah pembelian aku!" Aku menyumpah di dalam hati.
"Terima kasih banyak-banyak! Sila datang lagi!" Ucap lelaki tadi sambil tunduk hormat.
"
Licik sungguh!" fikirku sambil tanganku pantas mengambil wang baki dan beg plastik berisi barangan lalu beredar bersama sebal di hati.
0 ulasan:
Catat Ulasan