Ahad, Januari 31, 2010
Antara Minda dan Hati
Gelas tinggi itu tersalut wap air yang sebahagiannya sudah bercantum-cantum membentuk titis-titis yang lebih besar dan berkilat2 disinari cahaya. Matanya memerhatikan saja salah satu daripada titisan itu yang sudah terlalu berat untuk menampung dirinya sendiri lantas perlahan-lahan mengalir segar mengikut lenggok dinding gelas itu.
Air berwarna gelap mula terisi ke dalam gelas itu, sekaligus menimbulkan riak daripada ratusan buih2 kecil yang berlumba-lumba naik ke permukaan, mengelak2 ketulan2 air batu yang bergemerlapan, bagaikan tarian indah yang menggamit2 dirinya. Dia menelan air liurnya, membayangkan keenakan air yang dingin itu membasahi tekaknya. Alangkah nikmatnya!
"Tidak!" Mindanya menjerit. "Ini semuanya adalah penipuan semata2!" Mindanya cuba untuk mengawal keadaan. "Kau mesti ingat, ini hanyalah fatamorgana. Bayangan penuh kepalsuan! Apa yang di hadapan kau ini bukanlah segelas air yang dingin lagi nikmat, namun sebenarnya adalah gelas yang penuh berisi dusta!"
"Dusta? Mengapa dusta? Kan betul air itu? Sejuknya bakal melegakan tekakku, buih2nya bakal melembuti kerongkongku, dan manisnya...ah manisnya bakal memberiku kebahagiaan terindah. Apakah yang salah tentang semua itu?" hatinya berhujah balas. Matanya leka pada buih-buih yang menari tidak putus-putus.
Mindanya masih tidak mengalah. "Kau lihatlah warnanya! Gelap itu menunjukkan entah apa sahaja yang terkandung di dalamnya. Buih2 itu, tak lebih daripada pendusta yang akan mengaburi deria kau. Menutup realiti yang sebenar. Dan manis itu? Manis itu yang paling durjana. Manis itu yang akan membunuh kau perlahan-lahan."
"Aku tahu dan sedar semua itu, namun apakah erti hidup tanpa menikmati kehidupan? Ya, ia memang boleh membunuh. Namun begitu, lambat atau cepat, maut pasti ia akan tiba pada semua. Jika takut mati, maka sepatutnya aku nikmati hidup ini sepuas-puasnya sekarang! Kau terlalu paranoid!" Degil hatinya seakan-akan tiada ubatnya lagi. Peluh jantan mula terbentuk di dahinya. Dia menggetap bibirnya cuba menahan sedaya upaya.
"Kalau pun kau tidak sayangkan dirimu lagi, namun ingatlah mereka yang menyayangi dirimu. Apakah perasaan mereka jika mereka tahu yang kau mensia-siakan kasih sayang yang mereka berikan?" Rayuan terakhir mindanya mula mencetus sayu di hati kecilnya. Tangannya mula menggeletar.
"Berhenti! Masih berlum terlambat lagi. Jika kau teruskan, maka kau mengkhianati orang-orang yang kau sayangi! Ingatlah kata-kata mereka, berhentilah demi mereka. Berhentilah demi dia..." Matanya mula terasa basah. Hatinya yang keras terus meluluh apabila bayangan 'dia' muncul di benaknya. Perlahan-lahan dia menundukkan wajah. Tangan yang menggeletar tadi digenggam sekuatnya. "Aku tidak akan mengecewakan dia!" bentaknya sendirian.
"Plop!" bunyi sesuatu jatuh ke dalam air diikuti bunyi seperti gas terbebas. Dia mengangkat mukanya. Matanya yang basah tadi terbeliak. Tangan yang tergenggam erat tadi terlerai perlahan-lahan. Dia terpukau dengan kejadian di hadapan matanya itu.
"Pehh!! Ini tak boleh jadi ni..." akhirnya Mat Nor menghela nafas tewas lalu tangannya mencapai gelas rut bir yang baru diletakkan seketul ais krim vanilla oleh pelayan restoran makanan segera itu.
Ahad, Januari 10, 2010
Kunci
Tidak! Tidak! Aku tidak sanggup begini! Jeritan batin itu bergema tanpa didengari sesiapa. Dia menggoncang2 jejari besi yang kukuh memegang dinding, tidak bergerak walaupun sekuat mana digegar.
Ruang kosong itu memandangnya sejak tadi. Tanpa jiwa, tanpa belas. Dia cuma mampu tunduk merenung lantai. Tidak mampu membalas. Tidak mampu menerima kenyataan.
Pagi tadi dia seorang yang bebas. Dia melihat kapalterbang terbang di angkasa. Petang tadi dia seorang yang ceria. Beramah mesra di kenduri kendara. Malam ini dia terkurung. Keseorangan tiada teman.
Dia tidak sepatutnya berada di sini sekarang. Dia sepatutnya sedang bebas di luar, bersama rakan-rakan bermain futsal bergelak ketawa. Namun kini segala-galanya musnah.Dan semua itu terpaksa dilupakan sahaja.
Arghhhhhhhhh! Hatinya menjerit lagi. Terpenjara begini jelas membuat hatinya meronta-ronta. Kepalanya dihantuk-hantukkan ke jeriji besi itu. Dia di ambang hilang kewarasan.
Tit! Tit! Dia tersentak seketika lalu menyeluk sakunya. Telefon bimbitnya dikeluarkan dan segugus ayat tertera di skrin kecil. "Sorry Mama terambil kunci rumah Ajib tadi. Mama on the way balik ni, Ajib tunggulah sekejap ya."
Dan perlahan2 lelaki bernama Ajib itu kembali duduk di atas sofa di ruang tamu sepi itu, pasrah menanti terbukanya segala kunci.
Selasa, Disember 22, 2009
Tuk! Tuk! Tuk!
Tuk! Tuk! Tuk! Dua tiga patah perkataan mula membentuk frasa yang rambang. Tiada terikat antara satu samanya dengan mana-mana tema atau idea. Niat di hati cuma meluah. Dari kepala yang tepu ingin mengisi skrin yang kosong. Biar skrin komputer jadi tepu, dan kepala jadi kosong.
Tuk! Tuk! Tuk! Semakin laju jemari berdansa, bagaikan sehati dengan lantai papan kekunci. Ritma ketukan yang terhasil juga enak didengari, bagaikan itu petanda perlakuan membuahkan hasil. Apa jua hasilnya, masih belum terpeduli.
Tuk! Tuk! Tuk! Kini frasa mula bercantuman membentuk ayat. Lengkap atau tidak ditolak ke tepi. Nahu tidak tahu tidak peduli, yang penting hasilnya terlihat. Dan skrin komputer semakin terisi. Makin terleret-leret menjadi ayat, makin terleret-leret juga senyuman di wajah.
Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan semakin pantas. Kedua tangan sudah lembut, seluruh sepuluh jari jemari sudah panas, skrin komputer makin penuh, senyum makin meleret. Potongan2 ayat mula membentuk perenggan-perenggan yang bermaksud. Idea mula mengalir laju keluar dari kepala ke paparan skrin.
Tuk! Tuk! Tuk! Tidak dapat ditahan-tahan lagi. Para perenggan sudah berkenal2an dan bercerita sesama sendiri. Saling sambut menyambut di antaranya menyemarak perasaan diri. Kalau begini dari awal kan bagus. Kalau begini dari sebulan lepas kan bagus. Kalau begini setiap kali jari mendarat di papan kekunci, lagi bagus.
Tuk! Tuk! Tuk! Sesekali telunjuk tersalah tunjuk, namun kelingking pantas membetulkan keadaan. Mudahnya teknologi masa kini. Bagaikan tok dalang diberi peluang, cerita terhasil semakin panjang. Skrin sudah hampir penuh, kepala sudah semakin ringan. Senyum sudah makin leret. Jemari bagai tak reti nak berhenti. Sampai masa untuk penutup, biar hebat sampai meletup.
Tuk! Tuk! Tuk! Tap!!!! Eh eh apa sudah jadi? Jemari asyik menari sehingga telapak turut terheret. Entah apa yang tersalah tekan, skrin yang penuh tulisan kembali menjadi putih bersih tanpa kesan. Belum sempat memulih keadaan, 'auto-simpan' menjalankan tugas tanpa belas kasihan. Akhirnya skrin kosong ditatap, mata terbeliak dan mulut ternganga. Masih tidaklah dapat dipercaya. Lalu kepala yang sudah ringan kembali jadi berat tiba-tiba.

Isnin, November 16, 2009
Telefon
Telefon itu berdering lagi. Gamat bunyinya menikam telinga Saadon. Penanya yang dari tadi menari laju bertukar rentak jadi sumbang lalu akhirnya terhenti. Saadon mengeluh sambil menghulurkan tangannya dengan berat.
"Ya, saya," jawab Saadon sambil memicit-micit tulang hidung di antara matanya. Agak berat baginya untuk melaras fikiran daripada penulisan kepada persoalan yang diujar entah siapa di gagang telefon.
Panggilan itu adalah yang ketiga pada malam itu. Saadon fikir yang dia boleh tumpukan fokus pada kerjanya yang menimbun, namun semuanya meleset dek deringan demi deringan yang berpusu2. "Mengapa semuanya ingin panggil aku pada malam ini juga!" bentak hatinya yang sebal.
"Mmm baik," namun lain pula jawapan dari mulutnya. Saadon terus mendengar sambil mengangguk2. Lupa barangkali yang anggukan itu tidak kedengaran di hujung gagang lagi satu. Tangan kembali mencapai dan memainkan pena, mencoret conteng tanpa disedarinya.
Setelah menjawab yang sepatutnya, gagang telefon itu diletakkan. Lebih tepat lagi, dicampakkannya sahaja, namun jatuhnya kebetulan tepat ke badan telefon. Geram bercampur sebal membuak di dada. Semuanya terhadap dirinya sendiri. Saadon menarik nafas dalam2 dengan mata tertutup. "Sabar," dia memujuk diri. "Kau yang sanggupi semua ini, kan." Nafasnya dihembus panjang-panjang, perlahan.
Saadon membuka matanya semula dan memerhatikan sekeliling ruang di dalam bilik. Lembaran2 kertas putih bertulis dan bertaip memenuhi meja. Majalah2 dan novel serta buku rujukan dan penyelidikannya bersusun timbun di tepi kiri dan kanan. Yang tumbang jadi berselerak juga ada. Fail2 baru dan lama dengan yang tak termuat berisi pelbagai jenis kertas, borang, resit dan entah apa lagi yang belum terurus tambah menyesakkan lagi kepalanya.
Tidak cukup dengan urusan pejabat tentang perusahaan penternakan ikan dan perladangan sayur dan bunga2nya, urusan harian Saadon ditambah lagi dengan penulisan dan penyelidikan yang perlu dibereskan di rumah. Memikirkan semuanya sekaligus pada satu masa memang boleh menimbulkan mual yang tak terkata. "Ya, semua ini, kau sendiri yang pinta," terukir kelat di wajah Saadon. Sedang mentertawai sambil menangisi nasib dirinya sendiri barangkali.
"Kringggggg!!!!!" telefon jahanam itu berbunyi lagi mencari pasal. Sebal di hatinya membuak2 berganda2 dari yang tadi. Geramnya menggunung2 hampir2 meletus. Mukanya jadi merah padam. Pena yang baru diangkatnya menggeletar, takut sekiranya dibaling ke dinding. Namun Saadon melepaskan saja pena itu yang tergolek lega di atas meja dan tangannya kasar mengangkat gagang telefon. Suaranya bergetar mengucapkan hello. Perlahan, hampir tidak kedengaran.
"Hello abang," kedengaran satu suara lunak di hujung talian. Satu suara yang sudah lama sangat tidak didengarinya. Satu suara yang ditunggu-tunggunya selama ini, di dalam tidur mahupun di dalam jaga. Suara yang sangat dirindui Saadon sepenuh hatinya. Di dalam sekelip mata lenyap segala geram, amarah, sebal dan sejuta perasaan yang dirasakannya tadi. "Hello sayang.."jawab Saadon gembira. Seikhlas2 hatinya dia tersenyum, walaupun tiadalah kelihatan senyuman itu pada hujung talian lagi satu.
"Inilah yang membuatkan segala2nya berbaloi.." bisik hati kecilnya yang sedang berbunga riang.
Jumaat, Oktober 02, 2009
Lubang
"Kau ni kan Pam, tak boleh duduk diam ke?" tegur Ah Lam, rimas dengan Si Pam yang tidak dapat mengawal perasaan. Tidak seperti Si Pam, Ah Lam lebih tenang menghadapi kenyataan hidup mereka. Mungkin faktor usia yang membezakan sikap mereka itu.
"Kau nak suruh aku duduk diam? Kau dah gila ke? Kau sanggupkah selama2nya di dalam kurungan begini?" tanya Si Pam semula dengan mata terbeliak-beliak.
"Alah, apa salahnya. Lagipun kita kan baru dipindahkan. Tempat baru ini lebih baik rasanya," seloroh Ah Lam selamba. Muka Si Pam menjadi merah mendengarkan jawaban tersebut.
"Lebih baik hotak kau! Tukar kurungan saja! Kita tetap tidak bebas. Kita tetap terkurung!" Si Pam menyembur perkataan demi perkataan ke muka Ah Lam. Ah Lam terpisat-pisat tidak menyangka Si Pam akan marah sebegitu sekali.
Si Pam berpaling meninggalkan Ah Lam yang masih terpinga-pinga. Si Pam tahu yang Ah Lam sudah terlalu lama hidup terkurung sehingga dia sudah putus harapan terhadap kebebasan. Namun tidak bagi Si Pam. Dia masih muda. Perjalanan hidupnya masih panjang. Dia tidak mahu selamanya di sini. Dia sanggup buat apa sahaja untuk bebas.
Setelah beberapa lama bermundar-mandir, Si Pam berhenti dan mendongak ke atas. Kemudian dia tersenyum sendiri. Ah Lam yang sedang memerhatikannya turut sama mendongak melihat ke arah yang sama. Kelihatan sebuah lubang besar tepat di atas mereka. Namun begitu tiada senyuman yang terbit di wajah Ah Lam sebagaimana Si Pam.
"Kau jangan nak buat gila Pam," Ah Lam menyuarakan kerisauannya. Si Pam terus mendongak sambil tersenyum. Langsung tidak mengendahkan Ah Lam. Mindanya sedang mencongak2 sesuatu.
"Kau ingat mereka tu bodoh ke. Ada sebab kurungan ini dibuat sebegini rupa. Kalau mereka tu bodoh kita tidak akan terkurung begini daripada mula lagi," sambung Ah Lam lagi panjang lebar. Berdesing telinga Si Pam mendengarkan kata2 Ah Lam itu. Lantas dibuang senyum tadi dari wajahnya dan dipandangnya wajah Ah Lam semula.
"Kalau terus menerus di sinilah bodoh namanya! Kita perlu tentukan nasib kita sendiri!" bentak Si Pam dengan urat2 yang kelihatan menegang di wajahnya. Nampaknya dia sudah nekad. Ah Lam tidak mampu berbuat apa2 lagi selain melihat sahaja anak muda yang panas baran itu berundur beberapa langkah dan mula bersedia. Pada masa yang sama hati Ah Lam juga berdebar-debar. Dia berkira-kira, kalau Si Pam berjaya, maka ada kemungkinan dia juga akan turut serta selepas itu.
Lubang yang diperhatikan Si Pam sejak tadi sememangnya bagaikan menggamit2 dirinya sambil menjanjikan kebebasan. Semangatnya memuncak memikirkan dunia luas di sebalik kurungan yang akan ditempuhinya kelak. Adrenalin pantas mengisi liang2 pembuluhnya. Dan dengan laungan "Hiahhh!!!" Si Pam melompat sekuat2 hatinya.
Mata Ah Lam bulat memerhatikan tubuh Si Pam yang meluncur bak peluru tepat menuju ke lubang tadi. Perasaannya berkecamuk, antara sedih ditinggalkan oleh Si Pam, gembira melihat tubuh Si Pam lolos melalui lubang itu, dan juga takut membayangkan kemungkinan2 jika dia gagal menuruti jejak langkah Si Pam. Maka Ah Lam terus menerus kaku sambil menatap lubang yang semakin lama dirasakan semakin memanggil2 dirinya pula.
"Aik, mana pulak yang lagi seekor ni. Macam mana boleh tinggal seekor pulak ni," Adib mengeluh sendirian sambil matanya mencari2 sesuatu. Tubuhnya yang kecil terjengket2 untuk melihat di celah2 sudut akuarium itu. Dan tidak jauh daripada situ, terperosok di bawah meja, seekor ikan lampam kecil dengan tubuh berlumuran habuk dan kotoran kelihatan terdampar
tiada bergerak-gerak lagi.



