#

Pembaca

Selasa, Disember 09, 2008

Ekstasi

Dahinya mula berpeluh. Dia tidak menyangka ianya akan menjadi begini. Tenaga dari sekeliling seolah-olah dipaksakan ke dalam dirinya sebegitu rupa sehingga badannya seperti susah hendak dikawal lagi. Kesemua lima derianya dirangsang hebat. Matanya khayal melihat kerlipan-kerlipan gila. Telinganya bagai dirasuk raungan tenaga yang dari tadi menusuk ke dalam diri dan jiwanya. Hidungnya mengejar nafas yang bagai tidak cukup-cukup. Tangannya bagai tidak puas menggapai langit, ingin menyentuh apa sahaja yang dapat dari julangan jemarinya ke udara. Tekaknya kering dari jeritannya yang dilepaskan dari tadi lagi.

Di sebalik semua itu, dia masih tidak berasa penat. Gema jerit manusia di sekelilingnya bagai rasukan gila yang membekalnya tenaga yang tidak putus-putus. Bunyi semakin kuat dan jeritan yang menyambutnya gamat sekali. Aliran adrenalin jelas terasa di dalam urat-uratnya menyebabkan dia ingin melompat sekuat-kuatnya. Dia melepaskan jeritan yang kuat untuk meredakan tenaganya yang dirasakannya bertambah setiap saat.

Namun tenaganya tidak reda. Kaki dan tangannya tidak tertahan lagi. Dia tidak peduli lagi siapa dirinya. Dia tidak peduli di mana dia berada. Dia tidak peduli siapa di sekelilingnya. Degup jantungnya amat kencang. Serentak itu, bunyi dentuman gitar yang berat diiringi hentakan rentak dram yang bertenaga bergema kuat. Dia melompat setinggi-tinggi dayanya dan menjerit bersama-sama ribuan yang lain melepaskan segalanya daripada diri mereka.

"I want it now.. I want it now... give me your heart and your soul.." alunan penuh perasaan penyanyi kumpulan Muse itu mendayu, menguja dan menyemarak dirinya di celah-celah lautan gila manusia yang memenuhi segenap ruang dewan konsert pada malam itu.

Jumaat, Disember 05, 2008

Tersepit

“Seronokkan cerita tadi,” berbunga hatinya menyapa. Temannya mengangguk tanda setuju. Temannya itu memang berat mulut, namun dia tidak kisah asalkan sudi bersamanya di kala hujung minggu begitu. Berdua mereka berjalan keluar beriringan.


“Lepas ni kita nak ke mana?” tanyanya riang. Temannya memandang mukanya dan tersenyum. Dia sedikit tersipu apabila dipandang sebegitu. Bukan dia tidak biasa dipandang, cuma lirikan mata temannya kali ini sedikit dalam, seperti sedang membaca fikirannya.


Temannya menghulurkan tangan. Sejurus disambut tangannya itu digenggam erat. Serentak bagaikan ada satu aliran tenaga yang mengalir akibat sentuhan mereka, bulu romanya sedikit meremang. Jantungnya mula berdebar serta terasa mukanya hangat. Dia memaling ke arah lain, cuba menyorokkan senyuman yang tidak dapat ditahannya lagi. Saat itu hatinya berasa sangat bahagia. Harapnya agar saat itu tidak akan berakhir.


Suasana hening bahagia itu dipecahkan oleh nada dering telefon bimbitnya. Dengan hati yang berat dia melepaskan pautan tangan penuh kasih itu. Tas tangannya dibuka untuk mencari telefon bimbitnya.


“Hellooo,” sengaja dileretkan jawabnya. Senyuman bahagia tetap tidak lekang sambil matanya melirik manja ke arah temannya yang hanya tersenyum.


“Ya, di rumah. Duduk-duduk saja tengok tv,” sambil berjalan tangannya yang bebas dihulurkan kepada temannya. Tidak bersambut. Temannya sedang sibuk menyeluk poket mencari sesuatu.


“Mm I miss you too sayang,” manja sekali suaranya membalas belai suara di hujung talian. Wajahnya dipalingkan dengan harapan tidak kedengaran oleh temannya itu.


Tit toot! berdesing bunyi kereta dibuka kunci. Temannya itu memandangnya sambil berdiri di sebelah kereta.

"Cepatlah sayang, you cakap dengan siapa tu?" luahan pertama temannya sejak mereka keluar dari panggung tadi.


"Bunyi apa tu sayang? Kata sayang di rumah? Kenapa ada bunyi kereta?Suara siapa tadi tu?" bertubi-tubi soalan diaju oleh suara di hujung talian. Dia kaget. Senyumannya hilang entah ke mana. Fikirannya pantas mencari alasan. Dia tersepit.

Rabu, Disember 03, 2008

Detik

Mesinnya meluncur laju melalui jalan lurus itu. Dia sedikit lega namun fokusnya tidak hilang. Keadaan mesinnya bagus. Dia pasti setelah melalui selekoh yang pertama tadi. Tetapan kawalan, pecutan dan breknya pada tahap optimum. Suhu tayarnya serasi dengan keadaan jalan yang kering itu. Dia menujah gear yang kelima dan menghenyak pedal minyak. Derum enjinnya kembali meningkat.

Fikirannya mula fokus ke selekoh yang seterusnya. Walaupun masih belum kelihatan, namun dia sudah pun bersedia. Dia tahu yang selekoh ini tajam dan memerlukannya untuk turun sehingga ke gear kedua bergantung pada kelajuannya. Pengalaman dan latihan menjadikan badannya tahu apa yang perlu dilakukan sebaik masuk ke selekoh tersebut nanti. Yang penting baginya sekarang ialah detik yang tepat di mana brek perlu ditekan.

Detik brek ditekan akan menentukan segala-galanya. Ianya perlu sempurna. Sedetik lambat, dan mesinnya tidak akan sempat untuk menyahpecut dan kemungkinan akan terbabas. Sedetik awal, dan mesinnya akan kehilangan momentum dan ini akan menjejaskan kelajuannya keluar daripada selekoh itu nanti. Sememangnya keupayaan untuk memutuskan detik ini merupakan penentuan terhadap tahap kehebatan seseorang di dalam bidang sepertinya.

Bayangan bekas rakan sepasukannya terlintas di fikiran. Tahun lepas di selekoh inilah mesin yang dipandu rakan sepasukannya telah terbabas dan mengakibatkan kemalangan yang menamatkan kariernya. Rakannya bernasib baik kerana hanya kariernya sahaja yang tamat, dan bukan nyawanya. Dia belum pernah terbabas lagi, dan hari ini dia tidak mahu memecahkan rekod itu. Segala-galanya kini bergantung kepada keupayaannya untuk memutuskan detik keramat tersebut.

Ruang masuk ke selekoh mula kelihatan dari kejauhan. Tangannya kejap menggengam stereng. Kaki kanannya masih melekat pada pedal minyak yang dari tadi mencecah lantai mesin. Matanya memfokus pada garisan yang akan dilaluinya. Dia menahan nafas.



Selasa, Disember 02, 2008

Laju

Jam menunjukkan pukul 8.45 pagi. Dia semakin tak senang duduk. Terasa masih begitu jauh perjalanannya. Dia mencongak-congak anggaran masa ketibaannya kelak. Dahinya semakin berkerut. Dia sedar yang dia pasti akan lambat. Hatinya geram apabila teringat peristiwa tadi.

"Saya dah lambat dah ni. Saya turunkan awak kat sini saja ya," cadangnya kepada isterinya yang sedang mengelamun di sebelah.

"Eh, mm baiklah bang," setuju isterinya dalam teragak. Pintu kereta dibuka dan isterinya turun. Sebelum menutup semula pintu sempat isterinya berpesan,"Drive baik-baik ya bang."

Dia mengangkat tangan kirinya tanda perpisahan dan terus menekan minyak. Kepalanya sibuk menghitung masa. Dia tidak mampu lagi untuk membazirkannya walau sesaat. Dipandunya selaju yang dia rasa selamat. Dia masih waras untuk tidak memecut sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Kenapalah time2 aku nak pergi kerja nilah dia mintak hantar ke sana ke mari. Karang aku lambat masuk kerja aku jugak yang kena marah," rungutnya sendirian.

Sebenarnya dia tidaklah risau akan dimarahi jika sampai sedikit lambat ke pejabat, dia cuma mahu isterinya memahami kedudukannya yang bekerja demi kehidupan mereka sekeluarga. Dengan kerjanya itulah dia dapat memberi makan anak isterinya. Dia cuma mahu isterinya itu juga meletakkan kerjanya sebagai keutamaan di dalam hidup mereka, sebagaimana yang dilakukannya selama ini.

Tiba-tiba dia mengilas stereng ke kiri. Keretanya berayun ke kiri dan dia berjaya mengelak sebuah lubang yang agak besar di tengah-tengah jalan. Namun sebelum sempat dia masuk kembali ke tengah jalan dia perasan akan sebuah motor di hadapannya. Dengan pantas stereng kereta dikilas ke kanan semula dan keretanya berjaya mengelak melepasi motor tersebut dengan jarak yang sangat mendebarkan.

Seketika kemudian dia diam sambil tangan dan kakinya terus memandu. Walaupun dia tahu yang dia tidak laju mahupun cuai di dalam pemanduannya tadi, namun dia tahu yang malang tidak berbau. Apa-apa pun boleh terjadi di dalam hidup ini. Dia terfikir, andainya berlaku sesuatu yang tak diingini, berbaloikah segala-galanya?

Dia rasa seperti hidupnya selama ini sentiasa di dalam keadaan terburu-buru. Bagaikan mengejar sesuatu. Fikirannya seolah-olah tidak berada di masa sekarang, tetapi berada di masa hadapan. Dia terlalu memandang ke hadapan sehingga dia tidak perasan apa yang berlaku di sekelilingnya lagi. Dia tidak ingat untuk bertanyakan perihal keputusan peperiksaan anaknya sebelum menghantarnya ke sekolah tadi. Dia juga tidak perasan yang langsir rumahnya telah bertukar ke warna lain. Dia hanya tahu setelah diberitahu isterinya . Itupun dia cuma mengiyakan dan tidak kisah pun untuk memberi sebarang pendapat. Bilakah kali terakhir mereka berbual? Dia teringat satu ketika dahulu dia tidak pernah lupa untuk mengucup sayang isterinya setiap kali berpisah. Dia mula merindui hidupnya.

Dia menarik nafas dalam-dalam, dan kemudian dilepaskannya bersama-sama segala yang dirasakan tidak penting lagi. Bahunya mengendur sedikit, dan kerut dahinya sudah tiada. Tangannya mencapai telefon bimbitnya dan jarinya menekan nombor telefon isteri kesayangannya.


Jangan memandu sambil bertelefon (gambar hiasan)

Isnin, Disember 01, 2008

Jem

Dia tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dilemparkan ibunya itu. Pedih telinganya. Sakit hatinya. Dia sudah lama bersabar dengan keadaan ini. Ibunya memang begitu. Dari dulu lagi dia tidak boleh bertanya soalan yang salah. Pasti jawapan yang diberi akan menyakitkan hati. Bagaikan ibunyalah yang tahu segala-galanya dan dia hanya seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Kadang-kadang dia berasa amat sedih. Adakah benar dia ini anak kandung ibunya? Mengapakah dia tidak dapat kasih sayang sebagaimana orang lain? Dia cukup cemburu melihat Noni, jiran sebelahnya yang selalu bermanja-manja dengan ibunya. Segala pertanyaan Noni akan dijawab oleh Mak Minah dengan sabar dan belai manja. Selalu airmatanya mengalir tanpa disedari apabila melihat kemesraan dua beranak itu.

Kini dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Kali ini dia tekad. Apa nak jadi jadilah. Dia tahu yang dia benar dan ibunya salah. Dia akan membuktikannya. Semoga ibunya sedar dan berubah. Semoga satu hari nanti hubungan mereka akan sebaik hubungan Noni dan Mak Minah, jika tidak lebih baik. Tapi sebelum itu, dia harus lakukan perkara ini.

Tangannya membuka peti ais dan mencapai balang mentega kacang itu. Ditelitinya label balang tersebut dan seketika kemudian matanya tersenyum sinis. Disuakan balang itu kepada ibunya.

"Aaa betulla dia tulis kat sini ' Do not refrigerate'. Tu sebab Nis biar kat atas meja. Tu pun mama nak marah," hujahnya kepada ibunya yang menyambut balang itu dan membelek seketika label yang disebutkan.

"Yelah, memang 'peanut butter' ni tak payah masuk peti sejuk, tapi masalahnya Nis biarkan sekali dengan jem stroberi tu kat atas meja. Cuba tengok kat balang jem tu tulis apa," balas ibunya pula.

Dia mencapai balang jem stroberi yang disebutkan ibunya dan membelek labelnya lagi. Sebaik matanya menangkap tulisan 'Keep refrigerated' yang terpapar, hatinya bagaikan hancur. Ibunya menang lagi. Dia terus menutup pintu peti sejuk dan berjalan muram menuju ke biliknya semula. Niatnya untuk menjamah roti dengan jem dan mentega kacang tadi dilupakannya sahaja.

Dia merebahkan badannya ke katil. Kedengaran samar-samar bebelan ibunya tak henti-henti. Tangannya mencapai buku latihan Bahasa Inggeris tahun 1 di atas meja tulisnya dan menekup telinga dan mukanya sambil fikirannya menerawang membayangkan arnab-arnab comel berlari-lari di padang yang luas menghijau.