Zeta mendaratkan pesawatnya di atas sebuah permukaan yang lembut dengan berhati-hati. Sensor pada pesawatnya menunjukkan yang permukaan itu subur dengan khasiat yang diperlukan untuk menjana tenaga pesawatnya. Zeta melihat ke sekeliling daripada kokpitnya untuk memastikan yang persekitarannya selamat daripada sebarang ancaman yang tidak diingini. Setelah berpuas hati, Zeta menekan punat yang kemudiannya menurunkan muncung ekstraktor daripada bahgian bawah kokpit pesawatnya. Muncung itu memanjang turun dan seterusnya menusuk menembusi permukaan lembut itu. Selang seketika kemudian kelihatan cairan-cairan khasiat tersedut melalui muncung yang separa telus cahaya itu dan mengalir terus ke dalam tangki simpanan pesawat.
Sementara menunggu tangki pesawatnya dipenuhkan, Zeta meneliti skrin kawalan utama yang sedang menunjukkan status keseluruhan pesawat. Pesawat yang mempunyai sepasang sayap nipis itu hanya memerlukan seorang sahaja untuk mengendalikannya. Walaupun bersaiz agak besar terutamanya di bahagian kargo belakang, ianya sangat mudah dikendalikan dan Zeta adalah antara juruterbang yang termahir mengendalikan pesawat jenis FL-135 ini di dalam seluruh pasukannya.
Skrin kawalan utama menunjukkan terdapat sedikit kerosakan di hujung bahagian sayap sebelah kanan. Zeta melakukan analisis simulasi ringkas dan keputusan menunjukkan yang FL-135 itu masih mampu untuk diterbangkan dengan kemungkinan gangguan kawalan yang minimal. Ini bermaksud mungkin pada masa-masa tertentu contohnya seperti sewaktu gangguan turbulens pesawat akan mudah hilang kestabilan. Zeta maklum yang kemahiran juruterbang diperlukan pada waktu-waktu genting sebegitu. Malah dia yakin yang dia mampu atasi situasi lebih daripada itu.
"Ini semua Vagas tadilah punya pasal!" bentak Zeta sedikit kesal. Walaupun dia faham akan risiko dan bahaya yang ada pada setiap misi penerbangan namun kejadian kali ini telah melampaui jangkaannya. Tidak sekali-kali dia menjangka akan bersemuka dengan Vagas yang merupakan makhluk yang selama ini dianggap mitos oleh kaumnya. Ini adalah kerana kali terakhir ianya dilihat hanyalah pada generasi datuknya, itu pun diceritakan di dalam pelbagai versi sehingga sudah tidak pasti samada benar atau tidak lagi.
Namun kini Zeta telah melihat Vagas dengan mata kepalanya sendiri. Pertembungannya dengan Vagas memang merupakan pengalaman yang menakutkan. Dengan badan berlohong panjang, mulutnya bulat menganga luas sambil membaham apa sahaja di hadapannya dengan raungan yang membingitkan telinga. Walaupun saiz Vagas beratus kali ganda lebih besar daripada pesawat FL-135 itu, namun kepantasan pergerakan Vagas sangat menakjubkan.
Serangan Vagas terhadap unit-unit darat dan udara yang sedang mengumpul khasiat di sektor RT tadi berlaku dengan sangat pantas. Zeta bernasib baik kerana pesawatnya belum didaratkan lagi pada waktu itu. Namun serangan Vagas yang mendadak itu telah menyebabkan Zeta hilang kawalan pesawatnya buat seketika dan menyebabkan sayap kanan FL-135 itu tergesel cerunan batu di kawasan tersebut. Di dalam panik itu Zeta sempat melihat hampir keseluruhan batalion unit darat yang berada di situ dibaham Vagas tanpa belas kasihan lagi.
Walaupun terselamat daripada serangan Vagas, Zeta masih perlu membuat pendaratan untuk mengisi tangki khasiat pesawatnya yang sudah hampir kosong. Sektor BT di mana dia berada kini tidak pernah ada sejarah berlaku serangan dari Vagas. Namun setelah apa yang berlaku tadi, dia tidak mampu untuk leka lagi. Pengesan bahaya 360 darjah yang berada di kepala pesawat sejak tadi lagi telah diletakkannya ke tahap maksimum. Zeta bersedia untuk memecut pesawat pada bila-bila masa sahaja jika pengesannya menangkap sebarang signal asing.
Oleh kerana sektor BT bebas daripada Vagas, ini juga menyebabkan sektor tersebut dihuni oleh spesis Tartula dengan banyaknya. Di sana sini terdapat tanda-tanda kewujudan makhluk tersebut. Namun begitu Zeta sudah masak dengan Tartula. Lagipun dia tahu sangat selok-belok jalan keluar daripada sektor BT itu. Asalkan Zeta tidak menerbangkan pesawat mendekati mana-mana tempat Tartula, maka mereka tidak akan dapat mengapa-apakannya.
Zeta tersenyum seketika mengenangkan pengalamannya tadi. Nampaknya kini dia mempunyai pengalaman yang menarik untuk diceritakan kepada rakan-rakannya. Tidak sabar rasanya untuk dia pulang dan berkongsi pengalamannya menghadapi Vagas. Namanya pasti akan terkenal sehingga ke anak cucunya.
Bunyi penggera bingit memecah kesunyian. Zeta yang terkejut dari lamunan lantas berpaling memandang punca signal asing yang menguja pengesan bahaya 360 darjah pesawatnya. Serentak itu dia terlihat lelohong raksasa yang sedang menghampiri dari jauh. Lelohong raksasa yang sangat dikenalinya. Vagas! Masakan sehingga ke sektor BT ini pun Vagas boleh muncul! Secara automatik tangannya menarik kemudi menyebabkan pesawat itu tersentak lalu memecut ke hadapan. Dengan muncung ekstraktor yang melonglai akibat dicabut tiba-tiba, pesawat FL-135 itu terbang laju menuju satu-satunya pintu keluar daripada sektor berbahaya itu.
Zeta dapat melihat cahaya terang memancar masuk melalui pintu keluar sektor BT yang terletak agak tinggi daripada parasa tanah. F-135nya dibawanya ke arah cahaya tersebut dengan harapan sayapnya yang sedikit rosak itu dapat bertahan. Jikalau ingin rosak sekalipun, biarlah selepas dia keluar daripada sektor itu. Zeta mengalih penglihatannya ke bawah dan dia dapat lihat kerakusan Vagas membaham segala yang berada di depannya dari kiri ke kanan. Bunyi ngauman Vagas bergema memecah hening suasana. Unit-unit darat bertempiaran lari dan ramai juga yang tidak bernasib baik menjadi mangsaVagas.
"Akhirnya aku lepas juga!" Zeta bersorak kecil pada ketika pesawatnya semakin menghampiri pintu keluar tersebut. Sudah terlihat di hadapannya dunia luas terang benderang yang kini kelihatan seperti syurga yang menggamit kedatangannya. Dipecutnya pesawat pada tahap maksimum."Selamat tinggal Vagas! Hahaha!!" jerit Zeta sekuat hatinya sambil pesawatnya melepasi pintu keluar. Dan pada ketika itu jugalah dia merasakan satu renjatan yang kuat pada seluruh tubuhnya.
Zeta membuka matanya. Dia masih tidak faham apa yang telah berlaku seketika tadi. Daripada kokpitnya dia masih dapat melihat dunia luar di hadapannya, namun entah kenapa pesawatnya boleh berhenti dengan secara tiba-tiba mengakibatkan dia hampir terhumban daripada kerusinya. Zeta cuba menenangkan dirinya supaya dapat berfikir dengan waras. Ngauman Vagas masih boleh didengarinya dan Zeta tidak mampu untuk tenang. Dia cuba menggerakkan pesawatnya. Kawalan utama menunjukkan yang semuanya masih berkeadaan baik. Namun begitu pesawatnya hanya menderum kosong tanpa mampu bergerak ke mana-mana. Dia hairan mengapakah pesawatnya tidak mahu bergerak, bagaikan tersangkut begitu sahaja di tengah-tengah udara. Tersangkut.
"Tartula!!" jerit Zeta tiba-tiba. Wajahnya bertukar pucat. Dia pantas melihat sekelilingnya dan dia baru sedar yang pesawatnya sebenarnya sedang tersangkut di sesawang Tartula yang merentangi sebahagian besar ruang pintu keluar. Sememangnya sesawang Tartula ini sukar dilihat dengan mata kasar. Zeta cuba sedaya upaya untuk melepaskan pesawatnya daripada jaringan tali-tali halus itu namun semakin kuat pesawatnya bergerak, semakin banyak bahagian pesawatnya yang terjerat. Setiap ulas sawang yang kelihatan rapuh itu kukuh memegang pesawat Zeta pada tempatnya.
Tidak lama kemudian sebuah bayang-bayang besar melitupi kokpit pesawat membuatkan keadaan menjadi gelap. Di dalam panik itu Zeta terdiam seketika sehinggalah jasad tuanpunya bayang-bayang tersebut memperlihatkan dirinya. Seekor Tartula yang tiga kali ganda besar daripada FL-135nya itu dengan mata merah bersinar dan sepasang taring yang panjang terhunus kini berada tepat di atas pesawatnya. Kelapan-lapan kaki Tartula yang panjang dan tirus itu berada di sekeliling pesawatnya dan dari mulutnya meleleh lendir-lendir putih yang menitis-nitis ke atas kokpit pesawatnya. Zeta hanya mampu menjerit sahaja sewaktu kaki-kaki Tartula tersebut dengan rakusnya membungkus sedikit demi sedikit keseluruhan pesawat Zeta dengan tali-tali halusnya. Namun jeritannya itu tenggelam sama sekali di dalam bunyi ngauman Vagas yang kini semakin dekat dengan mereka.
Travelog
8 tahun yang lalu