#

Pembaca

Memaparkan catatan dengan label malam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label malam. Papar semua catatan

Ahad, April 12, 2009

Jalan

Pada satu malam yang sunyi sepi..


Rodi : On the dark desert highway, hm hm hm hm hmm..

Lan : Kalau dah tak tau lirik tu, tak payah lah nyanyi. Buat sakit telinga aku je dengar.

Rodi : Ala, suka hati aku lah. Kau ni potong lah.

Lan : Hm, cerita pasal lagu Hotel California ini kan, kalau kau dengar betul2, lirik lagu dia pasal hotel hantu kan?

Rodi : Haah, ianya pasal sebuah hotel berhantu. Tapi sampai sekarang tak ada siapa pun yang tahu hotel mana yang dimaksudkan sebab tak ada hotel yang nama begitu sebenarnya.

Lan : Yeke? Kalau ada pun, aku rasa mesti dah bangkrap disebabkan lagu tu kan. Mesti orang tak datang kalau tengok nama Hotel California.

Rodi : Hahaha yalah.

Lan : Hish tukarlah lagu lain. Tak sedaplah dengar lagu tu masa-masa macam ni.

Rodi : Aik, apsal? Kau takut ke? Rileklah Lan, lagu ni kan best. Aku tak pernah kisah pun lirik dia pasal apa pun.

Lan : Ya memang lagu ni sedap. Tapi masalahnya kita ni tengah dekat entah mana2 ntah sekarang ni. Tukarlah sebelum aku tukar.

Rodi : Yalah yalah. Dah biar aku tukar. Kau bawak je kereta diam2.

Lan : Ha bagus tu. Kita dengar radio je.

Rodi : Hai siaran klasik je yang dapat nih. Apalah kampung sangat tempat ni.

Lan : Oklah tu. Tenang sikit dengar lagu-lagu lama. Ini asik2 lagu rock.

Rodi : Yalah pakcik. Bebel pulak dia. Weh Lan ko sure ke jalan ni boleh tembus ke highway? Dah lama kita masuk jalan ni tak keluar2 pun. Dah la gelap gelita lampu jalan pun takde.

Lan : Jalan ini taklah tembus ke highway terus. Aku rasa tembus ke jalan besar dulu, then jalan besar tu akan tembus ke highway.

Rodi : Kau rasa? Kau ni biar betul Lan. Janganlah rasa-rasa. Karang sesat nanti karang..

Lan : Heh mulut tu jaga sikit. Janganlah celupar sangat. Aku tau jalan ni. Dulu kawan aku pernah bawa aku balik ikut sini. Kita ikut je terus, jalan ini bukannya ada simpang2 pun sampai boleh sesat.

Rodi : Hmm okay. Bukannya apa, aku macam rasa tak sedaplah. Patut tadi kita ikut je jalan besar tu. Takyah la shortcut2 ni.. dah la gelap, dari tadi takde kereta lain langsung nih. Ish..

Lan : Hish budak ni. Janganlah fikir yang bukan2. Kalau kau cuak kau ingat aku tak cuak ke?

Rodi : Hm Lan. Cakap pasal cuak ni kan, kau ingat tak cerita hantu orang putih Jeepers Creepers?

Lan : Hoi diamlah jahanam! Lagi nak bukak cerita hantu. Argh kenapa lah aku bawak budak celupar sorang ni.

Rodi : Hahaha aku gurau jelah. Dah dah aku tak cerita dah.

Lan : Huh lagi sekali kau celupar, aku tinggal kau kat tepi jalan ni,

Rodi : Hahaha sori lah Lan. Aku betul gurau je. Saja nak kasi ceria sikit suasana.

Lan : Hmm tu depan tu ada pun sederet kereta. Okaylah tu. Sekurang-kurangnya ada jugak orang lain yang lalu jalan ni.

Rodi : Aik bukan sederet dah ni. Ini dah berderet2 ni. Apa ke halnya semua kereta macam gerak tak gerak ni? Traffic jam apanya tengah2 malam buta ni.

Lan : Ala eksiden kot kat depan tu. Lembu kena langgar ke. Tak pun roadblock polis.

Rodi : Hmm ya lah tu kot. Tak kisahlah, yang penting banyak kereta lebih baik daripada takde kereta langsung.

Lan : Ya betul tu. Penakut jugak engkau ni ya. Tadi berdegar2 celuparnya.

Rodi : Heheh jangan lah macam tu Lan. Aku ni manusia biasa jugak. Takut tetap takut.

Lan : Yalah tu Rodi. Hai.. entah berapa jauh lagi lah jem ni agaknya. Dah pukul 12 tengah malam ni.

Rodi : Heheh Lan, kau perasan tak, dahlah radio main lagu klasik, kereta depan kita ni pun klasik jugak. Nombor plet zaman bila tah tu.

Lan : Haha yalah. Terasa macam zaman dulu-dulu je..

***

Budak : Ayah ayah, kenapa kereta tu berhenti sorang2 kat tengah2 jalan tu ayah?

Pakcik tua : Ah saja je tu. Dah diam jangan tegur apa2 lagi dah.


Dan malam pun terus menyepi..


Isnin, Februari 09, 2009

Dendam

Tubuhnya tidak mengendahkan jeritan mindanya yang menyuruhnya berhenti. Air matanya mula mengalir. Hanya itu yang mampu tubuhnya lakukan. Pandangannya jadi kabur. Namun tangannya tetap menggenggam kuat tidak lepas. Dadanya berombak turun naik tidak terkawal.

Di hadapannya berdiri sesusuk tubuh. Tegak tergamam dan menggeletar seluruh tubuh itu. Lesi wajah bagai tiada setitis darah pun yang mengalir di dalamnya. Ketar lutut bagai tiada tenaga yang dapat menetapkannya dirinya. Kumat kamit mulut bagai ingin menyampai sesuatu yang tiada terucap.

Namun semua itu tiada erti lagi baginya. Kesumat di hatinya telah menutup segala simpati mahupun perikemanusiaan terhadap susuk di hadapannya itu. Saat-saat ini telah dinantikannya bertahun lamanya. Dan selama itulah juga salut dendam yang tebal telah melitupi hatinya dari sebarang rasa kemaafan.

Susuk tubuh itu yang basah ditimpa hujan kini terlutut ke tanah. Nampaknya tiada tersisa lagi tenaga yang dapat menampung dirinya. Basah hujan tiada beza lagi dengan basah lain yang tiada terkawal lagi. Susuk itu teresak-esak menangis yang tiada menambah basah kepada apa-apa.

Tangannya yang menggenggam terketar-ketar. Bukan kerana takut, tetapi kerana kewarasan yang berhempas pulas bertarung dengan perasaan yang menguasai diri. Dia melangkah setapak ke hadapan, ingin lebih dekat dengan susuk itu. Dia tidak mahu gagal. Dan lagi dia ingin menikmati kepuasan sebagai pihak yang memegang kuasa.

Susuk itu merapatkan kedua tapak tangannya meminta belas. Wajahnya sudah hilang segala ego dan riak di dalam derai airmata. Kini hanya tinggal penyesalan. Samada sesal atas pelakuan yang menjadi punca segala ini, atau menyesal atas kelekaan sehingga diri terjerumus sebegini, hanya empunya susuk yang tahu. Bagaimanapun dilihat, yang jelas sesalnya tiada guna lagi.

Hujan semakin lebat. Bunyi curahan air dari langit yang mengenai segala di bumi semakin bingit. Bunyi petir berselang bagaikan sorakan alam yang menyaksikan kedua susuk tubuh ini. Kedua susuk tubuh yang masing-masingnya berketar namun dengan maksud yang berbeza.

Dan pada satu saat yang bagai telah ditentukan, segala bunyi alam bagaikan hilang tiba-tiba. Sunyi sepi. Dan ketar kedua susuk turut reda. Dan pada saat itulah sang susuk yang berlutut melonglai tangan dan menurunkan matanya tanda bersedia menerima. Pada saat itulah juga dia yang berdiri menarik picu di dalam genggamannya.

Serentak itu petir berdentum dan alam kembali meneruskan lumrahnya. Susuk tubuh yang berlutut terus tersembam menyembah bumi. Genggaman tangannya terlerai, dan kembali menggeletar dalam sesalan bercampur puas. Tanah yang basah dek hujan kini menjadi kemerahan. Hujan terus turun mencurah-curah.



Hujan malam (foto hiasan)