#

Pembaca

Memaparkan catatan dengan label besi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label besi. Papar semua catatan

Ahad, Julai 12, 2009

Musnah

Dia membuka matanya. Silau mentari yang menerjah membuatkan dia terpisat seketika. Pandangannya kabur. Kepalanya terasa ringan dan berat pada masa yang sama. Dia cuba menggerakkan tubuhnya namun isyarat dari otak bagaikan tidak sampai kepada anggota badannya. Bagaikan hilang bersama kekeliruan dirinya. Dia tidak tahu di mana dia berada sekarang.

Telinganya menyambar bunyi letupan yang sayup2 kedengaran. Otaknya mula mentafsir tanpa disuruh. Susulan itu, kedengaran rentetan pelbagai bunyi2 yang lain, sama ganas dan seakan penuh penderitaan, dan semakin lama semakin kuat menerjah telinganya.

Dia tidak rasa sebarang kesakitan, namun dia sedar, seperti pendengarannya, deria itu juga akan beransur2 kembali nanti. Namun buat masa ini dia tidak peduli tentang perkara itu. Yang penting sekarang dia perlu tahu di mana dia berada dan apa yang telah terjadi. Juga apa yang sedang terjadi.

Dia cuba bangkit berdiri dengan menopang tubuh dengan tangan kanannya. Kedengaran bunyi geseran dan dentingan besi2 yang berlaga. Nyaring dan berdesing. Dia hilang keseimbangan apabila tangan kanannya itu tidak berada di mana yang dia arahkan. Tubuhnya kembali tersungkur ke sisi. Terasa berat tubuhnya terhentak keras. Namun dia tidak berputus asa. Dia tetap cuba bangkit semula. Kini dengan menggunakan tangan kirinya pula.

Kabur penglihatannya mula hilang dan matanya mula menangkap imej kepulan asap dan marak api daripada sesuatu yang terbakar tidak jauh di hadapannya. Dia tidak pasti apakah objek itu namun di latarbelakangnya pula adalah sisa runtuhan bangunan yang sebahagiannya juga sedang dijilat api dan mengalirkan asap yang menghitamkan ruang udara sekitarnya. Bunyi2 letupan semakin jelas kedengaran disertai das2 tembakan bertalu2 dari merata-rata jauh dan dekat.

"Peperangankah?" tafsir mindanya sendiri.

Dengan bersusah payah akhirnya dia berjaya juga berdiri. Kedua belah kakinya separuh kebas menyebabkan dia terpaksa menggunakan lebih tenaga dan fokus hanya untuk menahan diri daripada jatuh semula. Dia tidak pasti samada kedua kakinya itu cedera atau tidak, yang dia pasti hanyalah rasa kejanggalan pada tangan kanannya tadi. Sekonyong itu matanya menyoroti tangan kanannya yang cuba digerakkan sekali lagi. Dia tidak dapat melihat tangannya itu lagi. Direnung sejenak kekosongan itu tanpa apa2 perasaan.

Kemudian dia mula memandang sekeliling, ingin mengisi minda dengan maklumat2 lain untuk mendapatkan jawapan tentang situasinya. Pandangannya tersasar kepada satu benda yang dia tidak pasti apa. Benda itu kelihatan hidup dan bergerak-gerak. Dirinya gagah, geraknya pantas, sekejap menghadap ke kiri dan ke kanan bagaikan mengelak-ngelak sesuatu. Sesekali, deretan cahaya memancar2 dari tempat berdirinya makhluk tadi. Makhluk itu kelihatan sedang membelakanginya.

Spontan itu tubuhnya digagahi untuk mendekati makhluk tersebut. Mungkin jawapan segala2nya ada pada makhluk itu. Langkahan pertamanya amat sumbang dan tidak dapat dikawal sepenuhnya. Bunyi2 logam bergesel kembali kedengaran. Dia tidak mahu melihat kakinya, takut2 ditimpa nasib yang sama dengan tangan kanannya. Pandangannya tetap pada benda tadi.

"Tang!" bunyi besi patah berdesing kuat. Dia terus hilang upaya untuk bergerak. Puas dia menyuruh kakinya itu melangkah, namun tiada sebarang tindakbalas yang diterima dari kedua2nya. Pada masa itulah makhluk tadi yang terdengar bunyi kuat tersebut menoleh ke arahnya. Di tangan makhluk itu kelihatan sepucuk senjata dengan laras berwarna hitam. Dan kini muncung senjata itu yang masih berasap sedang terhala ke arahnya.

Di dalam kekeliruan itu dia kaget namun tidak mampu berbuat apa2. Secara spontan saki baki tangan kanannya yang putus tadi digerakkan kehadapan dadanya, bersama2 tangan kirinya yang hanya cedera ringan. Dia cuba melindungi dirinya dengan sepasang tangan yang tidak lengkap itu. Dia tahu perbuatannya itu sia-sia sahaja namun dia tiada pilihan lain.

Dan dari laras senjata tadi berdesut2lah keluar muntahan2 peluru yang tidak mengenal mangsa. Tangan kirinya menyambut sebahagian besar daripada tembakan2 itu, menghasilkan lubang2 pada seluruh lengannya dengan tiada maaf lagi. Tujahan tembakan tidak dapat ditahan lagi membuatkan dia terdorong ke belakang. Tangan kirinya yang kini hancur itu turut longlai, mendedahkan tubuhnya pada kerakusan makhluk tadi.

Lantas kedengaran lagi bunyi berdesing-desing tanda tembakan susulan telah dilepaskan. Dia tetap berdiri tanpa mengalah pada hentaman2 peluru yang tidak bermata. Berdentum-dentam bunyi apabila besi bertemu dengan besi dan percikan api beserta letupan2 kecil terus-menerus menyelubungi detik-detik yang malang bagi dirinya itu. Pandangannya jadi gelap, segala bunyi jadi senyap, dan akhirnya batang tubuhnya yang telah hancur robek itu akhirnya tumbang juga ke belakang, terhempas ke tanah dan tiada bergerak2 lagi.



Gambar Hiasan dari sini




Selasa, Januari 06, 2009

Basikal

Dia berjalan menuju deretan basikal2 di hadapan bangunan. Di tangannya tergenggam sebatang skrudrebar. Diperhatinya satu persatu basikal yang ada. Semuanya kelihatan hampir sama padanya, cuma berbeza pada warna, saiz dan beberapa ciri-ciri lain. Kemudian langkahnya terhenti.

Dia memerhatikan mekanisma besi bulat yang sedang mengunci jejari rim salah sebuah basikal di situ. Kunci jenis itu adalah kunci standard bagi kebanyakan basikal daripada jenama yang sama. Seperti kunci handle pada motosikal atau kunci stering pada motokar. Walaupun sistem kunci sebegitu adalah mudah, namun ia tetap memerlukan sedikit masa untuk memecahkannya.

Dengan sedikit rasa kesal dia tunduk dan memulakan kerjanya. Kesal kerana perlu merosakkan sesuatu yang masih elok. Namun dia perlu lakukannya. Ini adalah salahnya juga. Dia sudah cari merata-rata baik di dalam poket seluar, di dalam poket jaket mahupun di dalam begnya namun tidak juga berjumpa. Dia pasti kunci basikalnya itu sudah tercicir di mana-mana.

Dia cuba berlagak senormal mungkin agar tidak menimbulkan curiga di kalangan orang yang lalu lalang. Hari semakin gelap dan dia ingin cepat menyelesaikan perkara tersebut. Dengan tubuhnya yang sedikit besar itu yang terbongkok-bongkok menghadap sebuah basikal, memang dari jauh dia kelihatan seperti seorang pencuri basikal yang sedang menjalankan operasi.

Setelah beberapa minit mencucuk dan mengumpil, akhirnya basikal itu bebas dengan besi kuncinya ganas terbengkok. Dia menegakkan badan sambil tersenyum puas. Bangga seketika dengan dirinya yang berjaya menewaskan besi kunci itu dalam masa yang singkat. Besi kunci itu boleh digantinya nanti. Yang penting sekarang dia ingin beredar daripada situ secepat mungkin sebelum disyaki oleh sesiapa. Dia mencapai handle basikal itu ingin menyorongnya keluar daripada barisan puluhan basikal2 lain. Dan dia terlihat sesuatu lalu berhenti.

Basikalnya mempunyai raga! Sejak bilakah basikalnya mempunyai sebuah raga di bahagian hadapan handle?! Dia panik seketika dan memandang ke kiri dan ke kanan untuk memastikan. Dan nah, di sebelah kanannya kelihatan sebuah basikal yang serupa, kecuali basikal itu tidak mempunyai raga! Dan dia baru sedar yang itulah basikal dia yang sebenar.

Kini paniknya sudah bercampur gelabah. Dia sedar hakikat yang dia telah memecahkan kunci basikal yang milik entah siapa dan dia boleh dituduh mencuri pada bila-bila masa sahaja. Dia perlu beredar dari situ dengan segera. Harapannya janganlah tuan basikal itu muncul pada saat-saat ini. Dicapainya handle basikal yang tidak beraga miliknya itu dan dia cuba menyorongnya keluar. Namun begitu basikal itu tidak bergerak bagaikan tersangkut sesuatu. Spontan dia menoleh mencari puncanya dan dia melihat sebuah besi bulat yang masih gagah berkilat bagaikan sedang tersenyum mengunci rim basikalnya itu.




Deretan basikal (gambar hiasan)