Langit di luar tingkapnya dilitupi awan seluruhnya melembutkan cerah mentari pagi. Hujan gerimis masih turun dengan titisan kecil membasahi dedaun pohon di luar tingkap biliknya. Udara segar selepas hujan lembut menghembus menyamani wajahnya. Dia asyik memerhati sebuah lopak air yang tak henti meriak gelombang dek dilanda gerimis.
Gegendangnya menangkap deruman samar-samar dari angkasa. Matanya masih leka memerhati mainan riak gelombang di takungan bagaikan mengikut rentak alunan hujan. Refleksi pada lopak itu kemudian menampakkan punca deruman yang semakin bergema. Kelihatan sebuah kapal terbang merentas perlahan dada langit dan menghilang di hujung lopak. Dia mendongak mencari di mana namun matanya tidak menjumpai apa-apa selain kepulan-kepulan awan yang memutih redup.
Seketika kemudian dedaun dan ranting pohon mula beralun lembut. Serentak itu wajahnya disapa segugus angin nyaman yang berhembus. Titisan air dari daunan semakin galak menjurai jatuh ke tanah. Cermin tingkapnya yang separuh terbuka turut basah terembes titisan-titisan halus yang tertiup, dan setiapnya membias membentuk pelangi-pelangi kecil. Dia berasa amat tenang di dalam golak angin itu.
Gugus angin kemudiannya mereda dan dedaun serta ranting-ranting basah kembali melusuh dengan setiap hujung dihiasi titisan air yang menunggu giliran untuk gugur ke bumi. Matanya dipejamkan, ingin menikmati pula dengan deria-deria yang lain. Bunyi jatuh titis-titis air bagai mengalun rentak alam yang mengasyikkan. Dia menghirup nafas panjang, memenuhi dadanya dengan udara segar.
Matanya dibuka semula dan tangannya bingkas mencapai gitar yang tersandar di tepi katil. Pandangannya dihalakan kembali ke luar tingkap. Dinikmatinya lagi keindahan pagi yang basah. Ingatannya menerawang pada seseorang. Rindu. Tanpa disedari perlahan-lahan jemarinya memain sebuah lagu yang terlintas di kepalanya.
"Running through the monsoon,
Beyond the world,
To the end of time,
Where the rain won't hurt,
Fighting the storm,
Into the blue,
And when I lose myself I think of you,
Together we'll be running somewhere new,
Through the monsoon,
Just me and you.. "
