Cendrakasih adalah sebuah novel kanak-kanak hasil tulisan Maria Kajiwa. Novel ini adalah novel keempat beliau yang telah diterbitkan selepas Planet-planet Cinta (PTS Fortuna), Olan (Fajar Pakeer) dan Janji Julia (One Nusantara) dan merupakan novel kanak-kanak kedua selepas Olan. Cendrakasih diterbitkan oleh Fajar Pakeer dan mula berada di dalam pasaran pada bulan Jun 2011.
Cendrakasih mengisahkan tentang seorang budak lelaki bernama Aizat yang membantu seekor burung bernama Kasih menentang pencerobohan oleh kaum belalang yang ingin merampas tempat tinggal kaum burung Cendrakasih. Kisah ini boleh dikategorikan di dalam genre fantasi dengan adanya watak-watak haiwan yang boleh berbicara seperti burung Cendrakasih, belalang, cicak dan lain-lain lagi.
Sebagai latar penceritaan pula, penulis menggunakan kisah kehidupan harian sebuah keluarga biasa, mungkin bertujuan mendekatkan lagi cerita dengan khalayak pembaca sasaran iaitu kanak-kanak. Namun begitu di pertengahan cerita latarnya berubah dan pembaca akan dibawa mengembara ke dunia di atas awan, di mana Aizat dan Kasih akan menempuh rintangan demi rintangan untuk mempertahankan Cendrasakti, tempat tinggal kaum Cendrakasih.
Di sepanjang cerita, kita akan dapat lihat yang penulis telah menerapkan beberapa nilai-nilai murni sebagai mesej untuk para pembaca cilik. Antara yang memberi kesan yang kuat kepada saya adalah nilai persaudaraan yang boleh diterangkan dengan peribahasa 'air yang dicincang tidak akan putus'. Ini telah ditunjukkan oleh kisah Aizat yang selalu bergaduh dengan adiknya Lily dan juga kisah pertelingkahan sesama saudara di antara burung Cendrakasih dan saudara mereka burung Cendrakesuma. Betapa teruk pun perselisihan yang dihadapi, di penghujung hari, mereka tetap bersaudara juga, dan maka itulah sifat saling maaf memaafkan amat penting demi menjaga keharmonian sesebuah keluarga atau kaum.
Walaupun novel ini adalah novel fantasi kanak-kanak, namun dengan adanya elemen pengembaraan dan peperangan berskala besar, saya terdorong untuk melihatnya sebagai novel epik fantasi dewasa. Oleh sebab itu, secara subsedar saya telah berharap yang watak-watak sokongan seperti Tuan Yorak dan Ecto dari kaum cicak bersama-sama helang berkepala tiga akan muncul semula di dalam babak peperangan di penghujung cerita sepertimana yang selalu kita temui di dalam kisah-kisah epik fantasi dewasa yang lain. Namun begitu, harapan saya itu sedikit meleset nampaknya.
Secara keseluruhannya, saya dapati yang novel Cendrakasih ini sangat menarik dan sesuai untuk membantu perkembangan minda kanak-kanak. Dengan mesej-mesej positif yang jelas, tidak hairanlah jika novel Cendrakasih ini juga akan mendapat sambutan daripada pembaca kanak-kanak sebagaimana novel Olan yang telah diterbitkan sebelum ini. Syabas kepada Maria Kajiwa di atas satu lagi hasil karya yang bakal membantu meningkatkan mutu dunia penulisan tanah air kita.
2 ulasan:
Terima kasih, Nad. Yorak dan Ecto tak boleh terbang..
Sama-sama kak. Hanya menulis apa yang terlintas di minda saya saja.
Catat Ulasan