#

Pembaca

Ahad, Disember 12, 2010

Lelaki budiman



"Dah lama aku tak bersantai macam ni," fikirnya sendirian. Tubuhnya disandarkan pada balkoni rumahnya sambil matanya leka memerhatikan kerlipan lampu berwarna warni yang memukau dari rumah seberang jalan. Sesekali dia menghembuskan asap rokok daripada mulut dan hidungnya serentak. Nikmat. Fikirannya mula melayang.


"Adin!" jerit satu suara dari arah belakangnya. Adin menoleh dan melihat wajah yang dikenalinya sedang cuba meloloskan diri daripada kumpulan manusia yang berasak-asak itu. Di dalam keadaan begitu gadis tersebut masih
mampu tersenyum. Adin senyum kembali.

Gadis bernama Lia tersebut berjaya melepaskan diri dan terus datang merapatinya. "Lia, apa you buat kat sini?" tanya Adin dengan suara yang sedikit ditinggikan bagi mengatasi bingit sekelilingnya.

"I jumpa kawan," jawab Lia separuh menjerit juga.

"Mana kawan you?" tanya Adin kembali. Di dalam keadaan begitu, dia tidak mampu bertanya ayat yang panjang-panjang.

"Dekat sana," balas Lia pendek. Senyumannya
menampakkan sebaris gigi yang cantik tersusun.

"OK," Adin mengangguk-anguk sambil memerhatikan tempat yang ditunjukkan oleh Lia. Tidak nampak apa-apa di situ selain bayang-bayang manusia diselang-seli dengan kerlipan lampu limpah.

"You seorang saja ke?" tanya Lia pula. Adin mengangguk-angguk lagi. Dia kurang selesa berbual sebegitu sebenarnya. Tanya sedikit, jawab sedikit. Jawab lebih sedikit saja, sudah tidak dengar atau tidak dapat tangkap semuanya. Namun dia ingin terus berbual dengan Lia.

"Kita keluar jom," ajaknya sambil tangannya menunjukkan ke arah luar. Lia mengangguk-angguk dengan matanya yang bersinar-sinar. Adin senyum saja sambil menikmati sekujur wajah yang cantik itu.

Adin berjalan mendahului Lia. Lengannya didepankan
dan sengaja dikenakan pada tubuh-tubuh manusia di hadapannya. Sebagai lelaki budiman, dia harus berjalan dahulu di depan bagi membuka jalan untuk seorang wanita. Dia perasan paling tidak pun beberapa pasang mata pasti sedang memerhatikan dia dan Lia. Seorang jejaka membawa seorang gadis cantik. Yes! Buat seketika terdetik perasaan bangga di dalam hatinya.

"Ah, lega sikit rasanya," Adin menghela nafas setelah mereka berdua keluar ke ruang tanpa bumbung. Di luar, lampu dari sekitar menerangi kawasan itu. Lia kelihatan sedang menguis-nguis sesuatu di pakaiannya, barangkali kotoran yang tidak terperasan sewaktu di dalam tadi. Adin terus menerus menikmati keindahan wajah gadis di hadapannya yang masih leka memerhatikan kemeja t nya sendiri.

"Kena apa?" tanya Adin melihat Lia tidak habis-habis membelek bajunya. Lia mengesat-ngesat bahagian perut kemeja t nya yang pada Adin tidak kelihatan kotor pun.

"Tadi ada mamat tu tangan dia pegang rokok terkena baju I," jawab Lia sambil matanya masih memerhatikan bajunya kalau2 berlubang.

"Masa nak keluar ke sini tadi ke?" tanya Adin meminta kepastian.

"Aah," jawab Lia pendek. Senyuman pada wajahnya sudah hilang berganti muncung. Alis keningnya turut berkerut.

"Ish ini yang potong ni. Baru saja aku nak layan feel ada je yang kacau," hati Adin mula panas.

"Perasan tak mamat yang mana satu?" tanya Adin lagi. Dia geram. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah kerana perkara i
tu berlaku sewaktu dia sedang memimpin Lia berjalan ke luar. Walaupun sekejap, namun sebagai lelaki budiman dia rasa bertanggungjawab atas apa saja yang berlaku ke atas gadis pimpinannya di dalam jangkamasa 20 saat tersebut.

"Takpelah Adin, baju I tak ada apa-apa ni," Lia membalas. Namun senyuman di wajahnya tidak kembali. Hilang terus paling tidak untuk malam itu. Adin tidak puas hati.

"Mana boleh," balasnya. "Dia
patut minta maaf dengan you. You tunjuk pada I mamat yang mana satu biar I suruh dia minta maaf," suara Adin semakin lantang, semangat wiranya berkobar-kobar. "Lelaki jahanam! Sudahlah kau jadikan t-shirt gadis aku sebagai bekas habuk rokok, lepas tu kau ragut senyumannya sampai dia muncung-muncung begini. Aku akan ajar kau!" Suara ego
nya menjerit-jerit dari dalam hati.

"Ish takpelah Adin, dia bukan sengaja pun," pujuk Lia yang tidak mahu membesarkan perkara kecil. Namun Adin sudah tidak peduli lagi. Padanya ini membabitkan soal maruah seorang lelaki. Adin terus menarik tangan Lia membawanya masuk semula ke dalam.

***

"Mat, apa yang kau buat senyum sorang-sorang di luar ni?" suara Lokman memecah khayalan Mat.

Mat terus tersenyum. "Takde apa Man, aku cuma teringat 'mamat' yang tiba-tiba datang kat kita suruh minta maaf dekat girlfriend dia hari tu," jawabnya. Senyumnya semakin besar, hampir bertukar menjadi tawa.

"Haha!"Lokman tergelak besar. "Pasal 'mamat' pengkid tu ke?" tanyanya lagi.

"Haah," Mat mengangguk-angguk sambil ketawa tanpa tertahan lagi. Dia tidak mampu lagi menyedut rokoknya untuk kali terakhir lalu menjentik saja puntung rokoknya itu jauh-jauh.


Imej hiasan

0 ulasan: