#

Pembaca

Ahad, Jun 14, 2009

Kawan?

"Zorn, aku nak minta tolong sikit," Bazack bangkit dari duduknya dan berdiri menghadap Zorn. Zorn yang sedang leka membelek holozin di tangannya mengalih pandangan ke arah Bazack.

"Minta tolong apa Bazack?" Zorn bertanya. Bazack terus memandang Zorn tanpa menjawab. Buat seketika keadaan menjadi kelat. Kesunyian sumbang antara keduanya itu bagaimanapun terisi dengan nyanyian yang mengiringi tarian watak2 kecil yang terapung2 di atas holozin pada tangan Zorn.

"Tolong hantar aku pegi Satrium boleh?" akhirnya Bazack meluahkan hasrat hatinya sambil melemparkan seulas wajah yang mengharap simpati.

"Satrium? Jauhnya.." Zorn memberikan reaksi yang telah pun diagak. Sesiapapun yang berada di Corais itu akan berkata sedemikian rupa. Satrium terletak kira2 sejam perjalanan dari Corais.

"Nak buat apa pergi malam2 ni?" tanya Zorn sambil mengalihkan pandangannya daripada menatap wajah Bazack yang masih menagih simpati. Zorn berpura2 memerhatikan tarian2 daripada holozin di tangannya. Entah sudah berapa kali tarian pada muka surat itu diulang2 gerakannya.

"Aku dah janji nak jumpa Sobre. Dia nak tolong betulkan 'headkit' aku," Bazack cuba memberi penjelasan pada Zorn yang sedikit endah tidak endah. Sesekali matanya beralih daripada Zorn kepada imej2 hologram yang masih menari2 di hadapan Zorn. Namun rautnya tetap mendamba simpati.

"Nak betulkan 'headkit' malam2 buta ni? Dah takde siang dah ke?" Zorn melemparkan lagi soalan demi soalan bertujuan melemahkan semangat Bazack. Kalau tidak kerana Bazack sedang membantunya sekarang, sudah lama dia sudah mengatakan 'TIDAK' terhadap permintaan itu.

"Ya, malam saja yang boleh, sebab siang Sobre sibuk dengan kerjanya. Lagipun aku dah janji dengan dia untuk datang malam ni," Bazak nampaknya masih tidak mahu mengaku kalah. Dia seakan2 terdesak. Zorn menutup holozin di tangannya dan mencampakkannya ke atas sofa yang berselerak dengan beberapa naskhah yang lain.

"Kenapalah kau janji dengan dia sebelum kau tanya aku? Cuba kalau aku tak datang sini malam ni? Macam mana kau nak pergi ke sana?" Zorn mula bengang kerana sikap Bazack yang mementingkan diri itu. Raut wajah Bazack tidak berubah namun dia tidak berani memandang ke arah Zorn. Matanya dilarikan.

"Alah Zorn. Sekejap saja, sementara tunggu habis muat turun perisian untuk 'headkit' kau ni . Rasanya bila kita balik nanti siaplah ni," jawab Bazack sambil memandang pada mesin yang berselirat dengan wayar binaannya sendiri itu. Status di skrin paparan menunjukkan 25% setelah lebih setengah jam mereka menunggu. Ada lagi lebih kurang 3 jam sebelum proses muat turun siap sepenuhnya.

Zorn terdiam seketika apabila mendengar jawapan daripada mulut Bazack. Hatinya yang sebal menjadi bertambah geram. Bazack pandai mempergunakan kedatangannya ke rumah itu. Tujuan Zorn datang ke rumah Bazack pada malam itu adalah untuk meminta tolong Bazack memuat turun perisian untuk 'headkit'nya. Hanya Bazack saja rakan yang dikenalinya yang mempunyai akses terhadap pelayan di mana perisian itu terkandung. Namun tiadalah dia menyangka yang Bazack akan mengambil kesempatan terhadapnya sebegini rupa. Zorn menggigit bibir bawahnya menahan geram. Mindanya ligat mencari alasan.

"Hm aku ok je sebenarnya Bazack. Tapi si Lizo ni tak boleh balik lambat. Aku kena beri dia ubat," tiba-tiba Zorn teringat pada Lizo yang dibawanya bersama2 tadi ke rumah Bazack. Zorn berjalan menghampiri Lizo yang sedang duduk di atas kerusi malas kegemaran Bazack. Mujurlah ada Lizo. Mata Lizo menyepet apabila Zorn menggaru2 lembut kepalanya yang gondol tiada berbulu itu, sama gondol seperti keseluruhan tubuhnya. Dengan tubuh yang kecil, sekali imbas kucing albino itu kelihatan seperti seekor cicak besar yang berwarna serba putih. Dari situlah agaknya nama Lizo itu diberi. Zorn tersenyum sahaja melihat kucing kesayangannya itu menggeliat kesedapan.

"Kalau macam tu, kita hantarlah Lizo balik dulu dan lepas tu kita berdua pegi ke Satrium, ok?" pantas saja jawab Bazack sudah tidak mahu berfikir panjang lagi. Zorn tersentak mendengar cadangan Bazack yang tidak masuk akal itu.

"Kepala hotak kau. Kalau macam tu baik dengan aku aku sekali balik ke rumah terus. Apa jadahnya aku nak keluar balik dan pergi ke Satrium tu pulak," Zorn sudah hilang sabar dengan Bazack. Ini adalah kerana rumah Zorn yang berada di Bangstar terletak kira2 400km ke selatan Corais. Dan Satrium pula terletak 400km di utara Corais! "Bagaimanalah si Bazack ni boleh keluarkan idea bodoh sebegini," bisik hati Zorn.

"Tolonglah Zorn. Aku nak pakai 'headkit' ini sebelum 'headkit' baru aku sampai," pujuk Bazack dengan sepenuh hati. Bazack kelihatan begitu terdesak. Manakala Zorn pula semakin tertekan. Kerana sebuah 'headkit' yang rosak, dia diminta untuk terbang 400km ke utara di dalam gelap malam ni. Pergi balik 800km. Itu belum kira 400km untuk pulang ke rumahnya di Bangstar lagi. Dan belum lagi kira berapa kiub bahan bakar yang akan habis lagi nanti untuk perjalanan tersebut.

Zorn memerhatikan semula status pada paparan skrin. 25%. "Lambatnya mesin jahanam ni!" hatinya membentak marah. Zorn cuba menenangkan dirinya dengan menarik nafas dalam2 dan menghelanya perlahan2. Nampaknya dia tiada pilihan lain selain membawa Bazack ke Satrium sebagai balasan terhadap pertolongan Bazack. Dan mungkin ini kali pertama dan terakhir dia meminta pertolongan dari Bazack!

Bukannya Zorn tidak mampu untuk ke Satrium pada malam itu. Jarak 400km merupakan jarak biasa yang ditempuhinya seharian. Yang merunsingkan fikiran dan memberinya tekanan kini ialah masa. Dikerlingnya strap serbaguna di pergelangan tangannya. Paparan menunjukkan masa sekarang sudah menjangkau 11:45 tengah malam. Jikalau dia beralah, maka alamatnya pukul 3 pagi nanti pun tak tentu dia dapat sampai ke rumahnya di Bangstar.

"Dah dekat pukul 12 malam ni Bazack. Aku dah la baru balik kerja tadi. Singgah di vet pula ambil si Lizo, dan kemudian singgah sini. Aku tak berniat nak lama kat sini pun. Tak tahu pulak aku yang muat turun tu akan memakan masa sampai 3, 4 jam. Kalau aku tau memang aku datang esok saja," giliran Zorn pula meminta simpati. Bazack kelihatan sedikit resah apabila mendengar tona suara Zorn yang mula menurun itu. Zorn bagaikan dapat melihat di sebalik keresahan itu gambaran 'headkit' sedang menari-nari memenuhi kepala Bazack. Dia mengeluh kecil.

"Hmm, aku pun sebenarnya rasa bersalah juga nak menyusahkan kau Zorn. Tapi macam2 mana pun kau kena tunggu muat turun ni habis kan? Kita ada 3 jam lagi. Sementara menunggu itu kita ke sanalah sekejap," jawab Bazack. Nampaknya benar telahan Zorn. Bazack tiada berniat untuk mengalah mahupun menunjukkan simpati terhadapnya. Zorn sudah habis akal untuk berdalih lagi. Matanya kejap ke skrin paparan yang baru meningkat 26% statusnya, dan kemudian ke arah Lizo yang sudahpun selesa menopangkan dagu di atas kedua kaki hadapannya. Matanya sudah tertutup rapat dan kelihatan tidak ubah seperti sudah mati. Hanya perutnya yang turun naik menandakan ianya masih hidup dan bernafas. Buat seketika, Zorn berasa tenang melihat Lizo tidur.

"Macam nilah Bazack. Aku minta maaf aku tak dapat tolong kau malam ni. Aku dah tak larat untuk bawa kereterbang malam2 begini. Apakata malam ni kau pakai saja 'headkit' aku tu selepas muat turun tu selesai. Esok pagi aku akan datang untuk ambil 'headkit' aku semula dan aku akan hantar kau ke Satrium ke rumah Sobre. Kau hubungilah dia katakan kita akan datang esok pagi sahaja," panjang lebar Zorn membentangkan plan diplomasinya. Kebetulan esok dia akan ke Solera yang terletak bersebelahan dengan Satrium maka jalan ini adalah yang terbaik untuk kedua-dua mereka.

"Baiklah, aku setuju," raut wajah Bazack mula terhias dengan senyuman. Esok pun boleh saja, dan'headkit' siapa pun tidak penting, yang penting dia dapat sambung ke atas talian pada malam ini. Zorn sedikit lega kerana cadangannya diterima oleh Bazack.

"Kalau macam tu aku balik dululah Bazack," Zorn mula mencapai barang2nya yang diletakkan di atas meja. Dia sudah tiada perasaan untuk berada lama2 di situ lagi. Lizo yang sedang tidur diangkatnya perlahan-lahan dan didukung di dadanya. Bazack mengiringi Zorn hingga ke pintu hadapan.

"Esok pagi aku akan hubungi kau lagi," Zorn mengingatkan Bazack. Bazack hanya mengangguk sahaja sambil tersenyum memerhatikan Zorn. Susuk Zorn yang berambut kuning terang sambil mendukung seekor kucing berupa pelik itu bagaikan mencuit hatinya.

"Hm, bila kau akan dapat 'headkit' kau yang baru tu Bazack?" tanya Zorn berbasa-basi sambil mula berpaling untuk beredar.

"Lusa," jawab Bazack pendek dari muka pintu. Ulas senyuman di wajahnya masih ada. Zorn terdiam seketika. Kemudian dia terus berpaling dan beredar dari situ. Raut mukanya yang kini masam mencuka tidak mahu ditunjukkan pada Bazack.

"Lusa! Esok aku kena bawa dia ke Satrium untuk baiki 'headkit' yg rosak sedangkan lusa dia akan dapat 'headkit' yang baru! Arh kenapalah dia tak boleh tunggu saja sehari untuk 'headkit' yang baru itu tiba?!" bertalu-talu kemarahan dilepaskan oleh mindanya. Zorn geram namun dia telah pun berjanji. Mahu tak mahu esok dia akan menghabiskan masa sehari bersama watak itu lagi. Sambil berjalan menuju ke arah tempat parkir, Zorn cuba menenangkan hati dengan mengusap2 lembut badan Lizo yang terjuntai keempat2 kakinya di dalam dukungan Zorn.




Gambar Hiasan dari canepabarbara.blogspot.com



5 ulasan:

Sarah berkata...

Hmm kisah Zorn dan Bazack,kisah persahabatan,kisah keikhlasan.Ceritanya macam pernah dengar cuma persekitaran menjadikan ia agak berbeza dan segar.Penulisan dikesan pada paras ABA tapi 80% adalah paras Aplha dengan keterbukaan Sc namun terlihat juga paksaan pada paras Beta sehingga ia terlihat sebagai idea yang tidak tercetus dari Alpha tapi dari Beta. Sekian ulasan dari paras Gamma.

Nina berkata...

huh citer saifai..tp kucen tetap sphinx type..pasai gbr kucen je nina bace tadi wakaka.

Nadd berkata...

sarah : dlm2 gamma pun boleh pinpoint dgn tepat sampai ke paras perasaan. mmm terus terang mmg btul telahan cik srh itu.. heheh..

nina : sphynx exotic sket so tklah keras sgt cerita ni jadinya.. oo kalu tk letk kucen tk bacalah ya..

Nina berkata...

Baca gak kecuali yg ada gbr rambut panjang baju putih tu..serik..laen kali buh gbr kat atas tau

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

Hihi state of minds sudah digunakan untuk menganalisis psikologi penulis pula..bagaimanapun setuju dengan analisis tersebut. Sesekali terlihat Nad seperti mengheret dirinya menyiapkan cerita ini, sebagai pengikut tetap tentu terasa Nad tidak berkarya sebebasnya..