#

Pembaca

Selasa, Jun 02, 2009

Apabila berseorangan..

Gambar hiasan dari anilnetto.com


"Dumm!" kedengaran bunyi seperti pintu tertutup tiba-tiba. Syam terkejut dan menoleh ke arah pintu biliknya. Pintu biliknya itu sememangnya tertutup sejak tadi lagi. Jikalau bukan pintu biliknya, maka pintu manakah yang berbunyi itu, bisik hatinya sendiri. Lehernya dipanjangkan sedikit untuk mengesan sebarang bunyi tambahan sekiranya ada.

Malam itu Syam bersendirian di rumah sewanya. Teman-teman serumahnya, Hafiz dan Ned kedua-duanya telah pulang bercuti di kampung. Apartmen besar 2 tingkat dengan 3 bilik itu kini didiaminya seorang, sekurang-kurangnya untuk seminggu ini. Dan ini merupakan malam pertamanya bersendirian. Hatinya sedikit resah.

Lampu bilik Syam sengaja dibiarkan menyala. Dia memang tidak pernah memadamkan lampu ketika tidur. Sejak dari kecil lagi Syam tidak boleh melelapkan mata di dalam kegelapan. Dia pun tidak pasti kenapa, namun tabiat itu sudah pun menjadi darah dagingnya sehinggalah dia bergelar mahasiswa kini. Mata Syam terarah ke bahagian bawah pintu biliknya. Ruang kecil sepanjang lebar pintu dan setinggi setengah inci itu gelap gelita. Hanya lampu biliknya sahaja yang masih menyala di keseluruhan rumah tersebut.

Telinganya sudah tidak menangkap apa-apa bunyi lagi selain daripada bunyi dari peti televisyen di tepi pertidurannya. Bunyi gelak ketawa daripada penonton di studio daripada rancangan variasi tengah malam memburai memecah hening biliknya.

Syam cuba berfikir secara waras. Di rumah sewanya terdapat 3 bilik di tingkat atas, dan dia pasti kedua2 bilik Hafiz dan Ned sentiasa tertutup memandangkan mereka tiada. Kini hanya tinggal 3 buah pintu lagi. Pintu pertama adalah pintu hadapan rumah sewa itu yang diperbuat daripada besi, dan bunyinya apabila dibuka atau ditutup adalah berlainan daripada yang didengarinya tadi. 2 lagi pintu adalah pintu untuk ke ruang basuh muka di hadapan tandas dan pintu tandas itu sendiri.

Syam mengesyaki bunyi tadi adalah dari pintu tandas yang tertutup dengan sendirinya barangkali ditiup angin. Hatinya sedikit berdebar. Dia membuat keputusan untuk membiarkan sahaja perkara itu berlalu. Pada waktu yang sama hatinya berdoa agar tiada apa2 lagi yang akan mengganggunya pada malam tersebut. Dia kembali menumpukan perhatiannya pada gelak ketawa orang2 kerdil di dalam kotak televisyen.

"Kreeek..." tiba2 kedengaran bunyi yang halus namun cukup jelas untuk ditangkap oleh telinga Syam. Matanya secara spontan menjeling ke arah pintu biliknya semula. Pintu yang tertutup rapat itu diperhatikannya. Syam menarik dan menghela nafasnya. Sepalit keberanian yang timbul di dalam dirinya bertukar menjadi kekuatan dan Syam bangun dari duduknya dan berjalan menghala ke pintu biliknya.

Pintu bilik dibuka dan dia melihat kegelapan di luar bilik. Kedudukan bilik Syam betul2 di hadapan tangga membolehkan dia menjenguk ke tingkat bawah dari hadapan pintu biliknya. Dan Syam pun menjenguk. Debar hatinya tidak dapat tertahan lagi sebaik sahaja kepalanya menjengah ke ruang tangga. Tingkat bawah yang sepatutnya diselubungi kegelapan kini kelihatan samar2 diterangi cahaya berwarna jingga.

"Ah sudah.. aku pasti aku dah tutup lampu tandas masa naik tadi," Syam berbisik sendirian dan pantas berpusing untuk masuk semula ke biliknya. Bukan setakat lampu tandas di tingkat bawah itu terpasang, namun pintu yang menutupi ruang ke tandas itu pun kini terbuka menyebabkan cahaya lampu dari tandas itu melimpahi ruang di tingkat bawah rumah sewanya.

Syam menutup pintu biliknya dan kembali ke pembaringannya. Dia tidak mahu mempedulikan lagi perkara2 di tingkat bawah. Degup jantungnya yang pantas membuatkan hatinya tidak tenang. Biliknya bagaikan terasa hangat semacam.

"Masa2 yang aku tinggal seorang diri macam ni lah benda2 ni nak datang kacau. Masa Hafiz dengan Ned ada tak pulak datang kacau. Apa punya suwey lah," kesal Syam di dalam hati. Ini bukan kali pertama dia diganggu, malah dia telah beberapa kali melalui pengalaman2 serupa yang dia tidak ingin ingati sepanjang hidupnya. Namun begitu ini adalah kali pertama perkara sebegini berlaku sejak dia mendiami rumah sewa ini dari setahun yang lalu.

"Dah la belakang bangunan apartmen ni kubur. Ish kenapa aku fikir yang bukan2 ni," Syam cuba berfikiran positif demi menguatkan kembali semangatnya. Memang bangunan rumah sewa mereka terletak di lereng bukit dipenuhi belukar yang di puncaknya terdapat sebuah kuil. Di antara kuil dan bangunan apartmen ini terdapat sebuah kawasan perkuburan kecil. Cepat-cepat Syam mengelak daripada memikirkan tentang perkuburan tersebut dan cuba untuk kembali menumpukan perhatian kepada rancangan televisyen. Tangannya pantas menarik selimut menyelubungi tubuhnya sambil sebelah tangan lagi mencapai alat kawalan jauh. Lantas dia menguatkan suara dari peti televisyen.

Sebaik jarinya menekan butang kawalan suara, pada masa itulah dengan tiba2 program rancangan bertukar. Syam tidak sempat untuk berasa hairan. Dia tergamam apabila melihat imej lembaga serba putih dengan rambut hitam panjang terpapar di kaca televisyen. Mata Syam cuba mengamati wajah lembaga tersebut di sebalik jatuhan rambut hitam itu namun gagal. Lembaga itu seolah2 tiada wajah yang jelas. Seiring itu kedengaran bunyi nyaring yang amat pelik yang belum pernah didengarinya sekaligus menegakkan bulu roma Syam. Syam pasti yang dia telah menekan butang suara tadi. Ibu jarinya tergopoh gapah mencari semula butang saluran dan terus menekannya.

Imej tersebut hilang berganti derai ketawa daripada pengacara rancangan yang ditontonnya tadi. Namun gelak ketawa itu sudah tidak memberi kesan pada Syam. Mukanya masih pucat. Bibirnya bergerak2 sedikit. Matanya bagaikan ingin dilarikan daripada kaca televisyen, namun tidak tahu hendak dilarikan ke mana. Jantungnya berdebar kencang sehingga terasa setiap denyutannya.

Tanpa berlengah lagi, Syam bingkas bangkit dan mencapai seluarnya yang tersangkut di dinding. Tergopoh-gapah dia menyarung seluar sambil tangannya mencapai dompet dan kunci skuternya di atas meja tulis. Dan dalam masa tidak sampai 5 minit, Syam kini telah berada di atas skuternya di dalam dingin musim sejuk meredah kegelapan malam menuju ke mana sahaja asalkan jauh dari rumah itu.

3 ulasan:

Sarah berkata...

Dari alpha ke beta ke Gamma ke beta...masih belum alpha setelah beberapa minit...

Nadd berkata...

bagus.. biasakan mengenali level diri sendiri di mana kan..
masa tulis ni alpha beta.. kemudian takut.. heheheh..

Nina berkata...

adeh..bro jgn tulis lagu ni..tercungap jap.