#

Pembaca

Ahad, Mei 03, 2009

Lemah 2


"Sidek," kedengaran satu suara memanggil. Sidek menoleh ke arah tuan punya suara tersebut. Dia melihat sesusuk tubuh sedang masuk ke dalam warung. Sidek cuba menelan air liur yang tersekat di kerongkong.

"Laporan yang saya nak pagi tadi tu dah siap belum?" suara En. Kadir berdesing di telinga Sidek. Mukanya terasa hangat. Dia perasan Ramlan menjeling kepadanya sedetik sebelum berpura-pura meneruskan membaca suratkhabar yang dipegangnya.

"Saya tengah tunggu jawapan daripada finance department En. Kadir," jawab Sidek sambil sedaya upaya menunjukkan wajah yang tenang. Namun dia tahu yang mukanya sedang merah ketika itu. En. Kadir duduk di sebuah meja yang berdekatan bersama seorang lagi pengurus bahagian lain.

"Eh, duduklah dulu. Takkan dah nak masuk dah," tegur En Kadir lagi apabila melihat Sidek bangun dan berjalan ke kaunter untuk membuat pembayaran. Sidek hanya tersenyum kelat dan menjawab lemah, "Takpelah En Kadir, dah habis dah pun," seraya menunjukkan gelas tehnya yang kosong dengan anak matanya.

Sidek melihat kiri dan kanan sebelum bergegas menyeberangi jalan menuju ke bangunan pejabatnya. Sidek sedikit lega kerana lalulintas pagi tersebut agak sibuk, maka dia boleh menyeberang dengan lagak yang tergesa-gesa. Dia merasakan yang bahagian belakang tubuhnya masih menjadi perhatian mereka-mereka di warung itu, terutamanya bosnya yang dipanggil En. Kadir tadi.

Udara nyaman dari pendingin hawa pusat menjamah wajahnya sebaik dia melangkah masuk menerusi pintu utama bangunan. Tanpa berlengah lagi Sidek terus memasuki lif di lobi untuk menuju ke pejabatnya di tingkat 3. Dia ingin segera sampai ke mejanya semula. Mejanya merupakan satu2nya tempat di mana dia akan berasa tenang. Ruang kepunyaannya seorang.

Pintu lif terbuka dan kelihatan seorang gadis berdiri di hadapan pintu. Mata mereka bertemu. Gadis itu kelihatan sedikit teragak2 untuk masuk ke dalam lif. Sidek sedikit kehairanan dengan gelagat gadis itu. Matanya dilarikan ke arah latarbelakang gadis tersebut dan barulah Sidek perasan yang sebenarnya dia masih berada di lantai lobi. Sidek terlupa menekan butang tingkat 3.

Gadis tersebut masuk ke dalam lif dan terus menekan butang tingkat 4. Kali ini giliran Sidek pula yang menjadi teragak2. Dia mahu menekan butang tingkat 3 namun pelbagai spekulasi2 menerpa fikirannya.

"Rasa-rasanya dia perasan tak yang aku terlupa tekan butang tadi? Mestilah dia perasan, sebab pintu terbuka dan patutnya aku keluar sebab dah sampai lobi. Patutlah dia buat muka pelik je bila nampak aku dalam lif. Tapi kalau a
ku tekan sekarang, nampak macam lagi peliklah pulak. Ah, turun jelah kat tingkat 4 nanti," fikiran Sidek ligat mengandai sambil mencari jalan.

"Encik nak turun tingkat berapa?" gadis tadi menoleh dan bertanya pada Sidek. Sidek terpinga seketika, tidak menyangka kedatangan soalan tersebut.

"Er, tingkat 4," pantas saja mulutnya mengutarakan apa yang sedang berlegar di fikirannya. "Aiseh, apsal aku cakap tingkat 4 pulak. Cakap je lah tingkat 3," Sidek sedikit kesal dengan keterlanjuran mulutnya itu.

Sidek sudah tidak mahu berfikir apa2 lagi. Dia nekad akan turun di tingkat 4 dan kemudian pandai-pandailah dia mencari jalan untuk ke tingkat 3 semula. Dia mendongak melihat susunan nombor tingkat di atas pintu lif yang menyala mengikut tingkat yang dilalui. Nyalaan masih pada nombor 2. Pergerakan lif itu dirasakan amat lambat. Sidek sudah tidak sabar untuk kembali ke 'ruang'nya.

"Ting!" bunyi lif menandakan ia akan berhenti. Sidek mendongak kembali dan mukanya kembali disambar rasa hangat apabila melihat nyalaan berhenti pada nombor 3. "Kenapalah berhenti kat tingkat aku pulak," hati Sidek bertambah sebal. Namun begitu dia tetap tidak bergerak ke muka pintu walaupun hatinya meronta-ronta untuk keluar dari lif tersebut. Pintu lif terbuka.

"Eh, Sidek," sapa Radhi, rakan sepejabatnya. Radhi masuk ke dalam lif dengan sebuah fail nipis di tangan. Sidek hanya membalas sapaan dengan sebuah senyuman yang tawar.

"Kau nak ke mana ni?" tanya Radhi sambil tangannya menekan butang tingkat 6. Sidek tidak mampu menjawab terus. Matanya hanya memandang kosong pada lantai lif dan dihelanya nafas lemah. Kedua bahunya terasa amat berat. Dan pintu lif itu perlahan-lahan tertutup semula.


3 ulasan:

Sarah berkata...

Lemah pada rokok..lemah pada perempuan..patutlah diletakkan perempuan seksi sebagai penjual rokok..satu kombinasi yang efficient.

Hanni Ramsul berkata...

hahahaha.
tu je boleh cakap
hahaha.
tq nadd...
mengusir gundah di hati saya hari ni....
tq.

Nadd berkata...

sarah : hmm good point.. sesuai utk lelaki2 yg lemah :p

hanni : baguslah, suka saya jika cerita ini dpt mmbantu.. :)