#

Pembaca

Selasa, Mac 10, 2009

Pasir

Ridwan berjalan seorang diri menyusuri pantai. Bunyi desiran ombak petang cuba menemani langkahnya namun gamitan itu tidak dijawab Ridwan yang sedang tenggelam di dalam fikirannya sendiri. Bayu laut bertiup nyaman, membuai2 kemeja-t yang tersarung di tubuh sehingga menampakkan tulang rusuknya. Kedua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar kargo paras lututnya. Kakinya diseret malas sehingga membentuk garis2 yang jelas di sepanjang pantai itu.

Pandangannya dari tadi terlempar pada hujung horizon di hadapannya. Matanya bagaikan memandang sejauh2 yang mampu menerusi kaca matanya yang agak usang itu. Nun di sana samar2 kelihatan sebuah tanjung dengan tambakan pasir yang masih baru. Kelihatan juga sebuah kren kecil di atas sebuah kapal berbentuk rata berisi pasir yang kaku tidak bergerak. Namun semua itu tidak kelihatan pada mata Ridwan. Pandangannya kosong.

Satu demi satu kakinya itu terseret lemah sambil sekali-sekala tersepak pasir pantai yang tidak sama rata lumrahnya. Namun tiadalah pula dia berhenti walaupun kadang2 hampir terjatuh. Sehinggalah sampai pada satu titik di pantai itu, Ridwan memusing tubuhnya lalu menghadap ke arah laut. Kini dia berdiri di titik tengah-tengah di mana pantai di kiri dan kanannya keduanya sama panjang dan berakhir dengan tanjung yang mengunjur ke laut. Keseluruhan pantai itu membentuk sebuah teluk. Dibayangkan dirinya memandang tinggi dari udara. Teluk itu kelihatan seperti sebuah mangkuk separuh bulat yang besar yang mana kedua2 tanjung merupakan bibir mangkuk, dan dirinya sendiri kini berada tepat di dasar yang paling dalam pada mangkuk tersebut. Ridwan tersenyum tawar memikirkan ironi perbandingan tersebut dengan diri dan kehidupannya.

Kemudian Ridwan menyalakan sebatang rokok. Dihisapnya dalam2 sehingga jelas kelihatan bara di hujung rokok bergerak terbakar beberapa sentimeter. Kemudian dihembuskannya keluar asap yang oleng2nya segera terhapus oleh bingkisan angin. Dahulu jika dia berbuat begitu ianya akan timbul nikmat di dalam dirinya, namun kini tidak lagi. Dia buat begitu kerana ia akan mengingatkan beliau tentang kisah silamnya. Kisah pahit manis yang hanya boleh diimbau apabila ada rangsangan asap itu. Kisah yang tidak dapat dilupakannya sampai bila2.

Ridwan melabuhkan punggungnya di atas pasir yang putih itu. Butiran2 pasir halus itu pasti akan memasuki segala celah2 yang ada pada seluar pendeknya. Namun dia tidak kisah. Juga tiada pun dia kisah untuk mengalas punggungnya dengan apa2. Pandangannya tetap ke laut yang lepas. Rokoknya yang masih panjang itu ditenyehkannya ke dalam pasir. Dibiarkan puntung itu tercacak senget bagai nisan yang tiada bernama.

Kakinya dilunjurkan ke hadapan. Badannya bersandar atas tampungan kedua belah tangannya yang diluruskan ke belakang. Telapak tangannya terasa sejuk apabila bertemu dengan pasir halus. Segera dibenamkan seluruh tangan dan jemarinya. Selesa rasanya berbuat begitu. Hati Ridwan jadi tenang seketika. Fikirannya mencari memori2 manis yang tersemadi di hatinya. Sejurus teringat, bibirnya langsung mengukir senyum. Bayu semakin terasa sapaannya. Gamit ombak kedengaran bertambah jelas. Cantuman langit dan laut di ufuk kelihatan begitu berharmoni. Indah alam mula dirasakannya. Jemarinya cuba menggenggam pasir2 halus itu. Dia dambakan segalanya seperti dahulu.

Seketika kemudian jemarinya berhenti. Ridwan mengangkat segenggam pasir dan memerhatikannya sedikit demi sedikit jatuh menerusi celah2 jemarinya. Realiti kembali bertapak di fikirannya. Beginilah rupa kenangan kisah lamanya. Bagaikan pasir halus yang nyaman dan sejuk mengurut2 telapak tangan apabila digelumangi, namun jika digenggam dan diangkat kan mengalir hilang semuanya. Memori2 yang hanya indah diimbau dan dikenang, namun mustahil dapat dimilikinya semula.

Ridwan bangun daripada duduknya. Tiada dihiraukan untuk mengibas sisa-sisa pasir di tangan dan yang melekat di belakang kaki dan punggungnya. Dia ingin membiarkan semuanya jatuh sendiri bila tiba masanya. Pandangannya dilontarkan kembali pada hujung pantai. Beting pasir di hujung tanjung mula terlihat padanya walaupun masih samar2. Sudah tiba masanya dia keluar dari dasar 'mangkuk' ini. Dia memulakan kembali langkahnya. Kakinya masih diseret-seret bagaikan sengaja mahu meninggalkan jejak2 di pantai. Tangannya dimasukkan kembali ke dalam saku seluarnya bersama-sama sisa pasir yang ada. Ingin disimpannya sebagai harapan yang dia sendiri tidak pasti.


Gambar Hiasan (superstock.com)

2 ulasan:

Sarah berkata...

kesian ridhwan tu kan..lain kali ajak sarah main pasir sekali,cipta memori baru yang lebih indah he3.

Hanni Ramsul berkata...

nadd... seperti biasa saya kagum dengan pemerian yang begitu detail...

dah lm baca :D cuma baru bg komen.
sekarang nak baca kering pulak