"Kalau ianya seekor serangga liar pasti aku dan Maia sudah dibahamnya dari tadi lagi," minda Zeta berhujah cuba menenangkan hatinya. Walaupun begitu Zeta memang tidak suka akan serangga yang dipanggil Karingga mahupun juga unit AN-72 itu. Setiap kali dia ternampak unit tersebut hatinya akan jadi tidak tenang. Sejarah hitam dia dan unit tersebut masih terkesan di hatinya sehingga hari ini.
Tiba-tiba sebuah wajah menjengah di celah-celah kokpit yang pecah berlubang2 itu. Zeta yang dari tadi kaku terkejut dan hampir-hampir jatuh dari kerusinya. Wajah yang menjengah itu milik seorang gadis remaja yang kelihatan seperti baru berusia belasan tahun. Zeta menghela nafas lega yang amat sangat apabila melihatkan wajah itu walaupun ianya asing baginya.
"Sekarang sahlah yang makhluk itu adalah sebuah Unit AN-72. Dan ini pasti jurumudinya," hati Zeta berbisik sendiri.
"Awak tak apa-apa?" tanya gadis tersebut sambil memandang Zeta. Zeta mengangguk-angguk sambil menanggalkan talipinggang keselamatannya. Sendi-sendi tangannya terasa sengal. Namun hatinya lega kerana mereka telah dijumpai oleh pasukan penyelamat UTD. Pandangannya kemudian dialihkan kepada Maia di sebelahnya yang kelihatan sedang mengerut dahi menahan kesakitan. Jaket di bahagian bahu kirinya kini merah dibasahi darah, dan Maia sendiri kelihatan seperti antara sedar dengan tidak.
"Kawan awak nampaknya cedera," sambung gadis tadi sambil kedua-dua tangannya cuba membuka hac kokpit tersebut. Namun hac kokpit tidak mahu terbuka. Mungkin rosak sewaktu terhempas tadi. Fikiran Zeta sedikit demi sedikit menjadi semakin jelas dengan situasi yang dihadapinya sekarang ini. Dia teringat tentang pertembungan dengan Manuzia yang menyebabkan mereka terhempas.
"Damm!!" Dengan tidak diduga gadis tersebut menendang hac kokpit sehingga terbuka. Kemudian gadis tersebut melompat masuk ke dalam dan terus pergi kepada Maia. Tangannya lincah memeriksa kecederaan di bahu Maia. Beg kecemasan kecil yang dibawanya dibuka untuk diambilnya pembalut. Zeta menggagahkan diri turun daripada kerusinya dan kemudian memeriksa keadaan dirinya. Setelah berpuas hati dia mendekati Maia yang masih tidak berupaya bergerak. Luka di bahu Maia dibalut sementara oleh gadis tadi untuk menghentikan pendarahan. Setelah selesai membalut, gadis tersebut mengeluarkan sesuatu daripada pek di pinggangnya dan menyemburkannya pada Maia dan kemudian pada Zeta.
"Apa benda ni?" Zeta tersentak dengan tindakan gadis itu. Semburan itu berbau nipis dan segera hilang tanpa meninggalkan kesan.
"Neutraliser," jawabnya pendek."Mari tolong bawa kawan awak keluar dari sini. Kita perlu pergi dapatkan rawatan. Kawan awak ni banyak kehilangan darah," sambung gadis tersebut sambil memeriksa Maia jikalau ada kecederaan yang lain.
Zeta hanya menurut saja kata-kata gadis itu. Dengan bantuan gadis itu, dia membangunkan Maia daripada kerusi dan mereka berdua memapahnya keluar daripada pesawat dengan berhati-hati. Sesekali matanya menjeling kepada unit AN-72 yang masih berdiri tidak bergerak di hadapan pesawat mereka. Dia cuba tidak mahu mengendahkan unit itu namun hatinya tetap berdebar-debar.
Sebaik sahaja keluar daripada kokpit itu, Zeta baru sedar yang pesawat AE-035 Maia itu rosak teruk hingga tiada berupa pesawat lagi. Kemudian dia melihat di sekelilingnya. Nampaknya mereka terhempas di kawasan yang penuh dengan belukar serat sebesar pemeluk yang berselirat melitupi seluruh kawasan bagaikan akar-akar kayu gergasi yang menjalar. Tebal dan tingginya setinggi dua kali ketinggian Zeta. Tidak mungkin mereka dapat keluar daripada kawasan ini dengan berjalan kaki. Mereka memerlukan unit AN-72 yang besar dan tinggi itu untuk merentas kawasan ini.
Sejurus kemudian dia berpaling menghadap unit AN-72 tadi. Dia mendongak memandang kepada unit tersebut, sambil mengumpul keberanian di dalam dirinya. Dia tahu yang dia terpaksa menaiki unit ini sebentar lagi, dan dia perlu atasi ketakutannya selama ini. "Saiznya sederhana besar, mungkin dari jenis pekerja dan bukan askar," fikir Zeta cuba menyedapkan hati sendiri. Kepala dan kedua antenanya masih bergerak2. Begitu juga mandibel tajamnya yang sesekali terbuka dan terkatup. Matanya memandang Zeta bersahaja. Zeta menguatkan papahannya pada Maia yang masih separuh sedar.
Kemudian gadis itu memanjat terlebih dahulu ke atas belakang Unit AN-72 tersebut dan mengisyaratkan Zeta supaya mengikutinya. Zeta memahami isyarat yang diberikan lalu mula memapah Maia untuk naik ke atas unit tersebut. Namun begitu seketika kemudian Zeta menghentikan langkahnya. Diperhatikannya unit AN-72 tersebut sekali lagi. Pengubahsuaian pada unit ini dilihat sangat minimal berbanding unit-unit AN-72 yang pernah dinaikinya sebelum ini. Yang kelihatan hanyalah cuma tempat duduk yang bagaikan pelana daripada kulit diikuti oleh sebuah pelantar kecil di belakangnya. Kedua-duanya terikat kemas di bahagian toraks unit tersebut.
"Ada sesuatu yang tak kena dengan unit ini," fikir Zeta. Dan sejurus itu juga Zeta terkaku. Dia mengerutkan dahi cuba memastikan apa yang dilihatnya. Kemudian dengan jelas dan terang Zeta dapat lihat yang unit AN-72 ini tidak mempunyai kokpit. Matanya terus mencari lagi dan tidak dijumpainya sebarang bentuk panel kawalan lain di sekitar tempat duduk bagaikan pelana buruk itu. "Masakan begini! Bagaimanakah unit AN-72 ini dapat dikawal tanpa implan panel kawalan?!" bentak fikirannya. Zeta mula panik.
Zeta mengalih pandangannya kepada gadis tadi. Jantungnya mula berdebar kencang. Dia terbayang semula kecelakaan yang menimpa bapanya. Dahinya mula dihiasi peluh dingin. Sebelah tangannya yang tidak memapah Maian menggenggam hulu pistol di pinggangnya. Zeta gelisah. Dia tidak faham apa yang sedang disaksikannya. Di mindanya timbul pelbagai persoalan. Siapakah gadis ini sebenarnya? Mengapakah unit AN-72 ini sangat pelik? Denyut di kepalanya semakin kuat.
“Engkau bukan daripada pasukan penyelamat UTD kan? Siapakah kau sebenarnya?" Tanya Zeta pada gadis tersebut sambil mengeluarkan pistolnya sebagai tanda persediaan. Dia baru perasan yang gadis itu tidak memakai sebarang pakaian seragam yang boleh menunjukkan dia dari unit mana. Hanya sepasang overall biasa saja. Itupun sudah agak lusuh.
“Aku Luna. Aku seorang Psian,” jawab gadis itu sambil menyentuh belakang kepala unit AN-72 tersebut. Serentak dengan itu unit itu mula bergerak dan terus bangun berdiri dengan mandibelnya terbuka luas. Bunyi getaran yang kuat dan nyaring kedengaran dariapada unit itu. Zeta kaget dan berundur beberapa tapak. Maia hampir-hampir terlepas daripada papahannya. Zeta perlahan-lahan menyimpan semula pistolnya. Tiada guna dia bersikap agresif sekarang.
Psian. Dia pernah mendengar nama itu. Mindanya yang masih keliru itu cuba sedaya upaya untuk mengingat di mana dia pernah dengar nama tersebut. Seketika kemudian matanya membulat. Psian ialah nama sebuah kaum yang pada satu masa dahulu telah disingkirkan daripada Tamadun Zed. Kaum Psian dikatakan telah membelakangkan Kod Zed yang merupakan asas kepercayaan yang menjadi ikutan seluruh Tamadun Zed. Akibatnya, kaum Psian telah diusir ke dunia luar yang pada waktu itu dianggap sangat liar dan berbahaya. Sejak daripada itu tiada siapa pernah dengar mahupun pernah berjumpa dengan mereka lagi.
Nafas Zeta semakin laju. Dia cuba bertenang. Mindanya pantas mengorek segala yang dia tahu tentang kaum yang dianggap telah pupus itu. Kaum Psian dikatakan mempunyai kelebihan deria keenam iaitu kebolehan telepati. Sejauh mana kebenarannya tidaklah Zeta tahu. Namun diperkatakan yang mereka menyalahgunakan kebolehan itu untuk merampas kuasa daripada kaum Zed. Dan itu antara sebab mereka disingkirkan sebagai hukuman. Zeta terus menerus mendongak memandang Luna. Jika benar Luna seorang Psian, maka ada kemungkinan yang Luna boleh mengawal serangga ini dengan kebolehannya. Dan oleh sebab itu jugalah, maka yang di berada hadapannya kini bukanlah sebuah unit AN-72 yang boleh dikawal, tetapi merupakan seekor serangga yang sebenar. Seekor Karingga yang sebenar.
“Aku tau kau dari kaum Zed. Aku cuma nak tolong kau dan kawan kau saja,” tambah Luna yang kini berdiri di atas Karingga tersebut.
Namun begitu Zeta terdiam kaku tidak bergerak. Lututnya terasa lemah sekali. Dia tidak sangka akan berhadapan dengan seekor Karingga yang sebenar. Trauma yang menghantuinya selama ini kini menjadi realiti. Terbayang-bayang olehnya saat-saat terakhir dia melihat wajah bapanya. Zeta tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Dia bagaikan berserah sahaja menunggu Karingga tersebut menyerang dan merobek-robek badannya.
Kemudian kedengaran bunyi desir-desir tapak kaki yang banyak dari merata-rata arah. Zeta yang cuba mengumpul sisa-sisa kekuatannya itu menoleh ke kiri dan kanan, kemudian kembali menoleh ke arah Luna. Gadis muda itu kelihatan sedang memanjangkan lehernya melihat ke arah kirinya. Dari atas Karingga, Luna pasti dapat melihat apakah yang menjadi punca bunyi-bunyi tersebut. Zeta memandang ke arah yang dipandang oleh Luna dan jantungnya hampir berhenti melihat seekor, kemudian dua ekor, dan kemudian beberapa ekor lagi Karingga yang bersaiz lebih besar daripada yang dinaiki oleh Luna muncul di sekelilingnya. Melihatkan susunan2 mandibel yang meruncing itu, Zeta hilang kawalan terhadap tubuhnya dan Maia terlepas dari pegangannya. Kepalanya berdenyut kuat, pandangannya berpusing dan kemudian segala-galanya menjadi gelap.
Karingga (foto hiasan)
* penulis Nadd ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Sarah semoga sentiasa sihat dan tersenyum gembira. Luv u sayang.
6 ulasan:
Puas tunggu,akhirnya Zeta 5 keluar juga.Cerita mula berkembang dengan baik.Tetapi akak merasa macam perasaan nadd tak stabil sewaktu menulis bab ini.Macam susah sangat..macam tak yakin,macam terganggu sikit.tak se smooth selalu .(pandainya komen).Bagaimanapun elemen kaum Psian tu sangat menarik..lagi lagi lagi!(pun ikut upin-ipin)
sorry lupa pula..Happy Birthday to you..notakaki tu yang interesting tu !
hepi besday to u and sarah jugakkk
thanks kak Aimy.Hmm..notakaki yg buat glamer ni.
Sarah pun suka kemunculan kaum Psian tu..terbayang dia tunggang karingga tu kan..
ingat zeta dah tertinggal kapal terbang..mcm cite arkeologi lak rasenye..
wo..notakaki tu..sakit mata..sakit mata..wakaka.
kak M : hmm zeta kali ni cam berat sket kot dan berjaya mmberi saya migrain selama 2 hari.. nyway thanks for the bday wish :)
sizuka : thanks emi.. ;)
sarah : kalu setiap episod ada muncul watak2 baru jenuh citer penuh dgn watak je kan heheh :p
nina : zeta akan ada can jd macho nnt.. sabar ya.. psl notakaki tu.. hm hm lalala.. :p
Catat Ulasan