Matanya menyorot pada papan notis utama, mencari jika ada tulisan-tulisan yang berkaitan dengannya. Setelah berpuas hati tiada apa-apa notis tentang pertukaran kelas atau pembatalan kelas, Najmi membetulkan sandangan beg di bahu dan mula melangkah menuju ke kelas pertamanya untuk hari itu. Dilihatnya ramai pelajar sepertinya sedang ke
Langkahnya diteruskan. Di kiri kanannya kelihatan deretan pepohon sakura yang menghiasi bulevad kampus langsung menjadikan suasana serba merah jambu dengan kelopak bunganya yang memekar. Angin April berhembus nyaman membuatkan kelopak bunga sakura jatuh berguguran perlahan-lahan. Musim bunga sudah tiba, dan bersamanya semester baru bermula. Bagi Najmi, ianya juga menandakan bermulanya kehidupan baru dirinya di tempat orang.
Langkahnya terhenti di hadapan sebuah blok bangunan bertanda A. Pelajar lain kelihatan bertali arus masuk melalui pintu hadapannya. Najmi mengerling ke arah jam di tangannya. Jam TAG Heuer pemberian bapanya sewaktu di lapangan terbang tempoh hari menunjukkan pukul 840 pagi. Baru minggu lepas dia dihantar oleh keluarganya ke lapangan terbang, namun Najmi merasakan semuanya bagaikan sudah begitu lama berlalu.
Bilik kuliah A201 merupakan bilik kuliah sederhana besar yang boleh memuatkan lebih kurang 100 orang pelajar pada satu-satu masa. Seperti bilik-bilik kuliah lain yang pernah dihadirinya, tempat duduk bilik A201 bertingkat-tingkat dan terbahagi kepada tiga lajur, dua di tepi dan satu di tengah. Setiap lajur mempunyai sepuluh baris dan setiap baris mempunyai 3 atau 4 buah kerusi jenis boleh lipat seperti di panggung wayang, cuma bezanya di sini semuanya diperbuat daripada kayu dan bukannya kusyen empuk. Najmi melihat sudah banyak tempat duduk yang dipenuhi.
Jam putih berjarum hitam di hadapan bilik kuliah menunjukkan pukul 845 pagi. Masih ada 5 minit sebelum kelas bermula. Najmi mengeluarkan sebuah lipatan kertas daripada begnya. Lipatan bersaiz A4 itu dibuka dan dibentangkan dengan kedua-dua tangannya sehingga menjadi sebesar suratkhabar. Namun begitu tiada siapa yang endah apabila Najmi berbuat begitu. Ini adalah kerana jadual semester bersaiz A1 itu memang diberikan kepada setiap pelajar pada setiap tahun.
Najmi melipat semula jadual tersebut agar bahagian yang ingin ditelitinya berada di muka hadapannya, dan dia mula memeriksa jadualnya pada hari ini. Dia ingin memastikan yang dia berada di bilik kuliah yang betul. Dia telah pun memastikannya semalam sewaktu mengemaskan buku-bukunya, namun dia ingin betul-betul pasti. Memang salah satu sifat semulajadinya tidak suka berasa sangsi yang tidak perlu. Setelah matanya berpuas hati dia memasukkan semula lipatan jadual itu ke dalam begnya.
Lagi 4 minit sebelum kelas bermula. Sementara menunggu pensyarah masuk, mata Najmi mula memerhatikan pelajar-pelajar lain di sekelilingnya.
Kepalanya pantas memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Dia masih boleh keluar daripada kelas itu sebelum kelas bermula. Masih ada saki baki minit untuknya berlari mencari bilik kuliah yang betul. Namun begitu, di manakah bilik kuliah yang betul? Dia langsung tiada idea. Debarnya semakin kuat. Mukanya mula terasa berbahang. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghelanya, dengan harapan dia dapat bertenang agar otaknya dapat berfikir. Papan notis tiada tertulis apa-apa, dan lagi jadual semesternya sudah berkali-kali diperiksanya sejak semalam. Dahinya mula basah. Dia perlukan kepastian.
Tanpa berfikir panjang lagi tangan Najmi terus memanjang dan mencuit bahu seorang pelajar yang duduk di tempat duduk hadapannya. Pelajar perempuan itu terkejut dan menoleh pantas ke arahnya. Pandangannya tajam. Najmi rasa bersalah membuatkan pelajar tersebut terkejut namun kebimbangannya kini adalah jauh lebih besar mengatasi perasaan bersalah tersebut.
"Minta maaf ya, betulkah ini kelas Gender Studies?" tanyanya kepada pelajar tersebut di dalam bahasa Jepun.
"Mm ya," jawab pelajar berbangsa Jepun itu pendek di dalam bahasa ibundanya. Serentak itu Najmi berasa lega yang amat sangat. Bagaikan sebuah batu besar telah diangkat dan dibuang daripada jemalanya. Tanpa disedari dia tersenyum kepada pelajar perempuan itu. Dan dia mula terasa bersalah semula apabila melihat senyumannya tidak dibalas pelajar itu. Masih terkejut dengan cuitannya tadi barangkali.
"Saya minta maaf buat awak terkejut. Saya ingat saya salah bilik kuliah tadi. Lega hati saya. Terima kasih ya," ujar Najmi ingin menghilangkan perasaan gusar dan terkejut pelajar tersebut. Tegang wajah perempuan itu mengendur sedikit dan kemudian dia sekadar membalas kecil, "Mm," sebelum berpaling semula ke hadapan.
Najmi kembali bersandar pada tempat duduknya. Kini dia boleh bernafas lega. Dia tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi jika dia tersalah bilik kuliah. Pasti dia akan terlambat masuk ke bilik kuliah yang sebenar.Lambat pada kelas yang pertama memang bukanlah permulaan yang baik pada anggapannya. Dan ketika Najmi baru hendak mengelamun itu dengan tiba-tiba pelajar perempuan di hadapannya tadi menoleh semula ke arahnya.
"Maafkan saya ya. Tadi saya terkejut sedikit," pelajar itu memulakan bicara.
"Eh, awak tak perlu minta maaf, ianya salah saya yang buat awak terkejut," jelas Najmi yang bingkas menegakkan badan daripada sandarnya sambil
"Er..bolehkah saya jadi kawan awak?" aju pelajar itu secara tiba-tiba membuatkan Najmi terkesima sebentar. Dia tidak tahu bagaimana untuk bereaksi. Seketika kemudian kepalanya cuma mengangguk dan mulutnya menjawab ringkas,"Ya."
"Saya Sakura," pelajar perempuan itu menebarkan senyuman yang memperlihatkan lesung pipit di pipi kirinya. Manis senyumannya, fikir Najmi.
"Saya Najmi," jawab Najmi sambil membalas senyuman kawan barunya itu. Begini rupanya cara berkawan di negara Jepun ini, fikirnya lagi.
"Najimi..." gadis bernama Sakura itu mengulang namanya dengan pelat Jepun. Kemudian senyumannya semakin lebar, kini menampakkan barisan gigi yang putih. Najmi sedia maklum yang namanya akan disebut sebegitu di dalam bahasa Jepun. Dan 'najimi' juga merupakan perkataan di dalam bahasa Jepun yang membawa maksud 'kawan rapat'.
"Nama yang baik," sambung gadis itu sambil terus tersenyum ke arah Najmi. Matanya yang bersinar-sinar menampakkan kegembiraan yang ikhlas di atas penerimaan Najmi sebagai kawannya. Najmi membalas senyuman itu seikhlas yang mungkin. Hati kecilnya berlagu riang kerana kini dia mempunyai seorang kawan baru. Dia terus memandang wajah Sakura yang masih tersenyum. Perasaannya menjadi tenang bagaikan kelopak-kelopak sakura yang meliuk lintuk ditiup angin. Dan pada ketika itulah seorang pensyarah lelaki pertengahan umur berjalan masuk ke dalam bilik kuliah.
5 ulasan:
unpredictable..variation (caha ajar)..permulaan novel yang baik,smooth..rasanya sambungannya lebih heavy..eh salah tempatlah..ni bkn kapasitor kan..sorry2.
ya kak..salah tempat tu..hmm sakura..terasa duduk di bawah pohon sakura yg gugur pulak.
sakit mata nengok warna biru kt luar tu..tukar ler bro..
Adeh..awat keluar cita sakura tiba2 nih..musim sakura ka..
Srh..pohon sakura tk gugur..yg gugur bunga dia..bunga bkn pohon..Srh duk bwh pohon yg gugur..abih ler kena hempap..awat..bro nk wat cita romantis lak ke..okay wa tunggu je..layannnn
akak : mmg sy saja je try bubuh sini nak tgk respons cmne.. hehe takpelah kak kaps ke sini ke komen akak sy hargai selalu..
sarah : nnt kita g tgk bunga sakura ya.. :)
nina : saje je try nk tgk baper jauh nina leh tahan sblum muka jd biru hehhehe..
font tu blogger lah yg ngada2..takleh nk tukar lak tu.. tak pandai ler..
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Catat Ulasan