"Tadi di sinilah aku hampir maut setelah terperangkap pada sarang Tartula dan diserang Vagas," jelas Zeta. Tekaknya terasa kering tiba-tiba. "Tak sangka aku boleh kembali semula ke sini di dalam hari yang sama," sedikit kekesalan kedengaran di dalam suaranya. Zeta menoleh ke belakang melihat pintu masuk yang baru dilepasi mereka. Jaring-jaring halus Tartula sudah tidak kelihatan merentangi pintu masuk itu. Begitu juga dengan Tartula itu sendiri. Barangkali sudah ditelan Vagas habis kesemuanya. Termasuklah dia dan pesawatnya sekali. Zeta menelan airliur mengingatkan pengalaman ngerinya itu.
"Vagas? Yang macam dalam lagenda tu ke?" tanya Maia sambil menaikkan pesawatnya ke tempat lebih tinggi. Namun dia cukup berhati-hati agar tidak terbang mendekati siling sektor BT tersebut. Bahagian siling biasanya dipenuhi dengan sarang-sarang Tartula. Namun malam ini sektor BT kelihatan bebas daripada sarang-sarang Tartula. Maia sedikit hairan namun dia tetap tidak leka.
"Ya, aku kira ianya Vagas yang itu. Kau lihat tak ada tinggal seekor pun Tartula mahupun sarangnya di sektor ini sekarang. Semuanya telah habis dibaham Vagas," Zeta berkongsi sedikit pengalaman barunya. Maia hanya mengangguk-angguk bersetuju. Dia sendiri belum pernah melihat Vagas dan tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupanya makhluk yang mampu membaham kesemua Tartula di sektor BT ini.
"Hmm, kalau dia dah baham semuanya, maka pasti sekarang dia sedang tidur kekenyangan. Jadi kita tidak perlu risau tentang Vagas lagi buat hari ini kan," gurau Maia sambil tersenyum memandang Zeta. Zeta memandang Maia tanpa mampu membalas senyumannya. Setelah segala apa yang dilaluinya, dia tidak boleh senyum jika bicaranya berkisar tentang Vagas dan Tartula.
"Okay lupakan seketika pasal Vagas. Kita kena tunggu masa yang tepat untuk memulakan serangan. Tersilap langkah buruk padahnya," Maia menukar topik sambil menunjuk ke arah sekujur tubuh yang sangat besar yang sedang berada tepat di bawah mereka. Daripada kedudukan yang tinggi itu mereka dapat melihat dengan jelas makhluk gergasi itu yang sedang kaku tidak bergerak. Zeta pernah melihat jenis makhluk gergasi ini namun tidak pernah dari sedekat ini. Makhluk ini dikategorikan di bawah spesis Manuzia, iaitu satu spesis gergasi tetapi mempunyai pergerakan yang pantas dan otak yang bijak. Disebabkan itulah maka ekstrak dari Manuzia merupakan sumber tenaga terbaik untuk hampir semua jenis pesawat tempur. Walaubagaimanapun memang tidak pernah terlintas di fikiran Zeta untuk mendekati Manuzia apatah lagi untuk menyerangnya.
"Merah kepada Violet. Maia, kau ada di sini juga?" tiba-tiba satu suara asing menerjah ke dalam helmet komunikasi. Zeta memandang Maia. Nampaknya mereka tidak bersendirian di sektor ini. Maia hanya tersenyum sambil membalas,"Ya Riki, aku ada di sini. Kau ingat aku tak berani ke mengisi di sektor BT ni."
"Haha.. bagus juga kau ada. Boleh kita tengok siapa yang lebih hebat bertempur," ujar Riki mencabar Maia. Maia menunjukkan Zeta ke satu arah. Namun Zeta terlebih dahulu sudah pun perasan kedudukan pesawat yang sama model dengan AE-035 yang mereka naiki itu. Pesawat yang dipandu oleh Riki itu sedang turut berlegar tetapi pada altitud yang sedikit rendah daripada mereka. Maia memberitahu Zeta yang Riki merupakan rakannya sejak dari akademi dulu lagi dan dia memang kuat bersaing.
"Ok Riki. Bila-bila masa saja aku sentiasa bersedia," Maia akhirnya menyahut cabaran Riki. Zeta mengangkat keningnya sambil berfikir sendirian,"Cakap orang, dia pun sama tak mahu kalah." Namun begitu dia pasti yang ini semua sebahagian daripada rutin tempur mereka. Zeta dapat merasakan yang deruman bingit pesawat semakin kuat.
"Sekarang!" Tiba-tiba kedengaran Riki bersuara dan serentak itu pesawat Riki menjunam ke bawah memulakan serangan. Makhluk gergasi itu masih leka tertiarap tidak bergerak. Maia menggetap bibirnya dan turut sama menjunam ke arahnya. Dada Zeta semakin berdebar.
Riki menerpa ke bahagian hujung kaki Manuzia itu. Pesawatnya didaratkan di atas pergelangan kaki makhluk itu dan muncung ekstraktor dicucukkan ke permukaan tubuh makhluk tersebut. Ekstraktor tersebut mengalirkan sesuatu ke dalam tubuh makhluk tersebut dan sejurus selepas itu kelihatan cecair merah mula mengalir naik melaluinya. Dari tempatnya Riki melihat Maia sedang mendaratkan pesawatnya di bahagian belakang bahu makhluk itu yang terdedah. Tak beberapa saat kemudian Maia sudah pun membenam ekstraktornya dan tangki AE-035nya mula terisi cecair merah sedikit demi sedikit.
"Kita hanya perlu sepuluh saat saja untuk memenuhkan tangki pesawat ini. Kau janganlah risau Zeta, kita akan berada jauh daripada sini apabila Manuzia ni sedar nanti," ujar Maia cuba melegakan ketegangan pada wajah Zeta. Zeta tidak menjawab. Dirasakannya sepuluh saat itu sebagai sepuluh saat yang terpanjang di dalam hidupnya.
"Pap!" Tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat disertai gegaran yang hebat terus mencampakkan pesawat mereka ke udara. Penggera di dalam pesawat berbunyi bagai menggila namun Maia cekap mengawal keadaan. Dia menstabilkan pesawatnya sambil terbang menjauhi makhluk tersebut yang sudah mula bertindakbalas. Makhluk Manuzia tersebut bangkit dari baringnya dan menggosok-gosok bahagian kakinya. Melihatkan itu, Maia menjerit,"Riki!!"
"...zztt..."isyarat komunikasi ke pesawat Riki hanya mendengarkan bunyi statik. Maia menaikkan pesawat dengan lebih tinggi untuk melihat dengan lebih jelas. Kalau-kalau ternampak pesawat Riki di mana-mana. Mata Zeta dari tadi terpaku pada makhluk gergasi tersebut yang mula bangun dan berdiri. Manuzia itu menyentuh belakang bahunya, tempat mereka membuat pengisian tadi. Wajahnya menunjukkan tanda makhluk itu di dalam kesakitan.
"Aku rasa baik kita keluar dari sini sekarang jugak!" jerit Zeta kepada Maia. Nalurinya merasakan sesuatu yang lebih buruk akan menimpa.
"Tidak! Aku tak boleh tinggalkan Riki," balas Maia tegas. Manuzia itu mula bergerak menuju ke arah pintu tempat mereka masuk tadi. Pesawat Maia berlegar tinggi jauh dari capaian Manuzia tersebut. Kelibat Riki masih belum dapat dikesan.
"Dalam keadaan sekarang, kita tak boleh buat apa-apa untuk tolong Riki. Kita boleh datang balik cari dia nanti. Yang penting kita selamatkan diri kita dulu," jelas Zeta cuba memujuk Maia. Maia sebenarnya sudah tahu apa yang telah terjadi pada Riki, namun fikirannya tidak mahu menerimanya. Dia tahu jika Riki terselamat, maka Riki pasti akan menghantar isyarat daripada beakon kecemasannya. Benar kata-kata Zeta yang mereka harus berundur buat sementara waktu. Lagipun tangki tenaganya sudah terisi lebih dari cukup. Maia terpaksa akur dengan keadaan.
Sebaik saja Manuzia itu berpusing dan bergerak menjauhi pintu masuk tadi, Maia terus memecut pesawatnya dengan laju dengan harapan dapat lepas keluar tanpa disedari. Sedang pesawat AE-035 itu menjunam laju, Zeta mengambil kesempatan menoleh ke arah makhluk itu. Dia terkejut apabila melihat sepasang mata Manuzia tersebut sedang memandang tepat ke arah mereka. "Maia! Dia nampak kita!"jerit Zeta. Makhluk itu bergerak semula ke arah tingkap tersebut. Ke arah mereka. Maia memecut pesawat selaju-lajunya. Zeta rasa seperti pernah mengalami semua ini tidak lama dahulu. Deja vu.
"Pap!" Sekonyong itu dunia terasa berpusing. Zeta hampir terhumban ke depan. Maia cuba meenstabilkan arah pesawat agar kembali menuju ke pintu keluar. Mereka bernasib baik kerana serangan tersebut tidak mengena namun Zeta dapat rasakan yang bila-bila masa saja lagi serangan seterusnya akan tiba. Namun begitu mereka tiada pilihan selain terus maju ke depan. Pintu keluar semakin dekat di depan mata. Sudah kelihatan dari kokpit pesawat dunia luar yang gelap gelita. Kegelapan yang Zeta serikkan petang tadi kini didambakannya semula.
"Dam!" Pesawat mereka melanggar sesuatu yang tidak kelihatan dan terumbang ambing seketika. "Apa lagi ni.. " keluh Maia dan tanpa berlengah dia meluru buat kali kedua. "Dam!" Sekali lagi pesawat mereka melanggar sesuatu. "Celaka!" Maia menyumpah sendirian. Nampaknya pintu keluar sudah terhalang dengan lapisan dinding lutsinar tebal dan takkan dapat dibolosi oleh pesawat mereka itu.
"Kita lari naik atas dulu! Makhluk tu sudah hampir sangat!" jerit Zeta sebelum sempat Maia meluru buat kali ketiga. Refleks Maia pantas membelokkan pesawat meninggalkan pintu keluar tersebut untuk terbang ke atas semula. Sebaik mereka berpusing, persekitaran mereka menjadi gelap bagaikan diselimuti bayang-bayang sesuatu. Zeta dan Maia mendongak dan kedua mereka melihat sesusuk tubuh yang sangat besar berada di depan mereka. Keduanya tergamam.
"Pap!" Dan segala-galanya menjadi gelap.
AE-035 (Foto daripada sini)
4 ulasan:
geram dengan ending..but waiting for zeta 4. Nice angle.
Zeta 3 paling menarik setakat ini,sebagai entomologist akak tidak mendapati sebarang kesalahan fakta malah ia sangat cantik di ekspresikan dari kaca mata seorang engineer.Tidak nampak ia ditulis melalui hasil rujukan sains menunjukkan ketajaman pemerhatian si penulis. bagaimanapun kebiasaannya setiap novel yang kuat mempunyai misi yang menjadi tulang belakang sesuatu penceritaan,cuma itu sahaja yang masih samar. Pit stop yang sangat tepat seperti libasan pedang yang sangat tajam, semoga dapat membantu.
sarah : maaf buat sarah geram :p zeta 4 ya.. hmmm karang bertambah geram nanti cmne pulak?
akak maria : terima kasih atas komen akak yg setiap kali pun buat mata sy terbuka. saya yg sedia maklum yg seorang entomologist akan baca cerita saya sudah pasti akan crosscheck fakta terlebih dahulu akak...hehee..just utk reconfirmation. anyway blog akak pun bnyk mmbantu sy.. :)
Nina pun kate zeta 3 best.kalo srh geram..die suke cubit org .so jgn buat die geram hahaha.
Catat Ulasan