#

Pembaca

Rabu, Disember 31, 2008

Baru

Angin malam sepoi-sepoi membelai wajahnya. Nyaman terasa membuatkan dia tersenyum sendirian. Langit kelihatan berawan namun dia tidak rasa yang ianya akan hujan pada malam itu. Nun di kejauhan kelihatan cahaya daripada panorama kota menerangi langit di atasnya.

Dia menghela nafas tenang. Kertas renyuk yang di dalam pegangannya sejak tadi dibuka semula dengan hati-hati. Diratakannya kembali sehingga dia dapat membaca baris terakhir yang tertulis.

"Please forgive me. Goodbye sayang."

Pedih kata-kata tersebut sudah tidak lagi terasa sekuat sewaktu kali pertama dibacanya hampir setahun yang lalu. Dia masih ingat lagi kali pertama dia membacanya, ianya terasa terlalu berat sehingga dia tidak mampu berdiri. Dirinya tunduk menyembah bumi menangis teresak-esak kerana sekeping kertas dan sepotong ayat itu. Dia rasa seperti dia kehilangan segala-galanya pada waktu itu. Dia rasa seperti ingin mati sahaja.

Namun kini setahun sudah berlalu. Setahun yang sangat sukar baginya, namun cukup memberi erti. Di dalam setahun ini dia telah merasa mati dan telah juga merasa hidup kembali. Dia telah merasa erti derita sengsara dan dia juga telah disapa sinar bahagia. Dia telah belajar erti patah tumbuh hilang berganti. Dia juga telah belajar untuk nekad dan tidak mahu berpaling lagi.

Ditatapinya tulisan itu buat kali yang terakhir. Dia tidak mahu merasakan apa-apa lagi perasaan terhadap kata-kata yang tertulis itu. Dia telah menerima apa yang berlaku dan dia juga telah memaafkan. Kini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Dia merenyuk semula kertas tersebut dan kemudian melemparkannya jauh-jauh. Matanya menyoroti gumpalan kertas tersebut yang terbang dan terus hilang ditelan kegelapan malam.

Hatinya berasa amat tenang sekali. Penuh syukur dan kasih bahagia. Matanya masih memandang jauh ke hadapan, angin malam masih membelai rambut dan wajahnya. Seketika kemudian kelihatan nun jauh di kota, sekumpulan cahaya terbang menari memanjat langit dan kemudian pecah memuntahkan percikan2 warna warni yang terang benderang diikuti bunyi-bunyi letupan meriah tanda tibanya tahun baru. Dia tersenyum sendirian. Dirasakannya seluruh hati dan tubuhnya juga sedang mengucapkan selamat datang kepada kehidupannya yang baru.



Foto kredit dari sini


*notapenulis : Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua! :)

Selasa, Disember 30, 2008

Resolusi

"Susah sangat ke nak putuskan?" Saman menjeling ke arah Husin di sebelahnya. Husin tidak membalas jelingan itu dan terus memandang ke hadapan.

"Entahlah, aku tak rasa macam nak buat apa-apa pun," balas Husin pendek dan perlahan. Malas untuk melayan barangkali.

"Takkanlah takde benda langsung yang kau nak buat? Abis tu, takde beza lah tahun depan dan tahun-tahun sebelum ni?" desak Saman lagi, tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu topik perbualannya itu mati begitu sahaja.

"Beza tu mestilah ada. Aku adalah benda nak buat, tapi aku taknaklah jadikannya resolusi ke apa ke. Takut nanti kalau tak dapat capai, memang mengundang cela aje," Husin mula rimas. Diangkat sedikit bahu kirinya untuk mengesat peluh yang sudah mengalir hingga ke pipi.

"Ala.. buat apa fikir apa orang nak kata. Ini hidup kau. Inilah masanya kau beri peluang kepada diri kau untuk tetapkan apa yang diri kau nak," tanpa dipinta mulut Saman mula berceramah. Husin menjeling geram. Saman yang memandang ke arah hadapan itu sedar akan jelingan Husin di sebelahnya namun dia berpura-pura tidak melihat.

"Tujuan kita jadikannya sebagai resolusi tu bukanlah untuk warwar atau kecoh2 saja, tapi lebih bertujuan untuk buat diri kita rasa lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, " sambungnya lagi dengan riak wajah yang serius. Bukannya selalu dia dapat mengeluarkan sesuatu nasihat seperti itu. Apatah lagi terhadap Husin yang terkenal dengan sifat pesimisnya itu. Hidungnya kembang kempis bangga.

"Tu aku faham Man. Mungkin aku kurang keyakinan pada diri aku kot. Tapi kau taulah kan, apa-apa je boleh jadi di dalam dunia ni. Itu sebab aku tidak mahu tetapkan apa-apa. Aku takut kalau tak dapat capai nanti.. " akhirnya Husin melepaskan saja apa yang terbuku di dadanya. Namun dia tidak harapkan yang Seman memahami situasinya.

"Jangan risau la Sin. Macam ni, buat masa ni kau tetapkanlah benda2 yang mudah dulu. Misalnya pada tahun depan kau berazam nak kurangkan berat badan 2 3 kilo ke, atau pun kau nak kumpul duit beli tv baru ke. Perkara-perkara yang memang kau tahu kau mampu buat," ujar Saman melangkaui apa yang diharapkan. Husin mengfokus pandangannya ke hadapan, namun kepalanya mengangguk-angguk setuju.

"Hmm, betul jugak ya. Buat apa aku nak letak azam yang hebat-hebat pun kalau tak boleh capai kan. Aku akan bermula dengan yang mudah sajalah dahulu, "kata Husin mahu meyakinkan dirinya.

"Ya. Dan kau tetapkanlah jugak bila kau nak ianya diselesaikan. Takdelah sampai Disember tahun depan baru terhegeh-hegeh nak selesaikannya," Saman puas hati kerana dapat meyakinkan rakannya itu.

"Hmm, betul cakap kau Man. Selama ni perancangan hidup aku berterabur saja dari tahun ke tahun. Hidup dari hari ke hari je. Mulai tahun depan, aku berazam untuk menjadi seorang yang lebih teratur. Azam pertama aku ialah... ," Husin mula mengisytihar dengan penuh keyakinan namun dia terhenti seketika. Mukanya berkerut tiba-tiba.

Jari Husin menarik picu dan raifal buruk kalashnikov itu memuntahkan deretan-deretan peluru. Saman turut menghamburkan peluru raifalnya ke arah yang sama dengan Husin tanpa peduli apa sasarannya. Bunyi tembakan mereka bingit memecahkan hening di kawasan tersebut. Seketika kemudian kedua mereka berhenti dan Husin menyambung katanya tadi, "..azam pertama aku ialah untuk terus hidup dulu. Lepas tu baru aku boleh fikir apa nak buat dengan hidup aku ni!"

"Setuju! Aku pun sama jugak," balas Saman dan bingkas bangun mengikut Husin untuk berpindah tempat kerana tembakan mereka tadi secara tidak langsung telah memberitahu musuh kedudukan mereka. Lebih lama mereka di situ lebih tinggi risiko untuk diserang balas.

Bunyi tembakan kedengaran dari kejauhan dan juga berdekatan. Siapa menembak dan siapa mangsa sudah tidak dipedulikan lagi oleh kedua rakan itu yang kelihatan berlari sambil tunduk sebelum hilang di celah-celah deretan bangunan.

Ahad, Disember 21, 2008

Terbang

"Yahuuuu... akhirnya aku berjaya juga!" jeritnya sepuas-puas hati. Angin membelai deras seluruh tubuhnya. Tidak pernah lagi dia berasa sebegini bebas. Seperti dunia ini dia yang punya. Dia melihat ke bawah. Pemandangan yang terbentang luas di bawah bagaikan menangkap pandangannya. Dia panik seketika. Dia cuba sedaya upaya mengawal dirinya. Akhirnya dia berjaya berhenti di atas sebuah tebing. Dadanya lelah. Dia cuba mengawal pernafasannya. Meredakan lelah dada yang bercampur keterujaan yang amat sangat. Dia masih tidak percaya yang dia dapat melakukannya. Di wajahnya terukir senyuman puas.

"Kau ingat kau boleh ke. Jangan mimpilah. Kau tu kecil lagi. Takkan mampu punya," suatu masa dahulu abangnya pernah melekehkannya. Dia tahu yang dia kecil lagi dan tubuhnya masih jauh daripada mampu. Setiap hari dia melihat abangnya keluar meninggalkan rumah dan pulang menjelang petang dengan wajah kasar dan kotor tapi penuh dengan kepuasan. Sehingga sekarang dia tidak lupa akan wajah abangnya yang sudah terakam jelas di dalam mindanya itu. Walaupun abangnya itu selalu memandang rendah padanya, jauh di sudut hati dia tahu yang dirinya sangat-sangat mahu menjadi seperti abangnya.

"Kau duduk rumah je. Jangan nak mengada-ngada," marah abangnya pada satu ketika dia meluahkan hasratnya. Abangnya tidak pernah membenarkannya untuk pergi ke mana-mana. Arahannya tegas supaya dia sentiasa berada di dalam kawasan tempat tinggal mereka. Kata abangnya di luar itu sangat bahaya. Abangnya kata abangnya pun selalu tidak cukup nafas melarikan diri apabila bahaya mendatang. Apatah lagi dia yang masih mentah itu. Dia takut untuk mengingkari abangnya itu. Namun pada masa yang sama keinginan untuk melihat dunia luar meluap-luap di dalam dirinya.

Lelahnya lega sedikit setelah berehat. Terasa dirinya kuat semula. Dihampirinya hujung tebing. Kali ini dia melihat terlebih dahulu ruang yang terbentang di bawah tebing itu. Inilah dunia yang dikatakan oleh abangnya selama ini. Semuanya dia lihat buat pertama kali. Berbagai-bagai objek yang tidak pernah dikenalinya. Ada yang kecil, ada yang besar. Dia tersenyum puas. Dia akan menerokai segalanya mulai saat ini. Dia akan buktikan pada abangnya yang dia sudah dewasa dan mampu melakukan perkara-perkara yang abangnya lakukan selama ini.

Dia mengangkat wajahnya dan memandang ke arah tempat tinggal dia dan abangnya nun jauh di hujung sebelah sana. Dari kecil dia tinggal dengan abangnya berdua. Dia tidak pernah tahu di mana malah siapa pun ibu bapanya. Abangnya juga tidak pernah berjumpa mereka. Kata abangnya mereka berdua ditinggalkan sejak kecil di situ. Selama ini abangnyalah tempat dia bergantung hidup. Tempat dia bermanja dan menumpang kasih sayang. Namun kini dia sudah boleh berdikari. Dia ingin meringankan beban abangnya. Dia ingin bersama-sama abangnya menerokai dunia yang luas.

Seketika kemudian dia melihat samar-samar abangnya keluar dari rumah seperti tercari-cari. Abangnya sudah balik rupanya. Mesti abangnya sedang mencari dirinya. Dia keluar tanpa memberitahu abangnya. Masakan abangnya akan beri izin dia untuk keluar. Namun dia pasti abangnya akan memaafkannya setelah melihat keupayaannya. Tanpa berlengah lagi dia terus mengerbangkan kepaknya dan maka terbanglah ia daripada hujung tebing tinggi itu. Badannya tegap, kepaknya kembang megah, dan di rautnya jelas kelihatan rasa bangga dirinya dengan kebolehannya itu. Dia ingin abangnya menyaksikannya.

"Abang!!Abang!!" jeritnya sekuat hati. Abangnya terus menoleh ke arahnya. Wajah abangnya jelas terkejut. Namun dia tetap tersenyum bangga dan terus terbang dengan megah. Menuju ke arah abangnya yang masih kelihatan seperti tidak percaya. Menuju ke arah masa depan mereka berdua bersama-sama menerokai dunia luas yang telah pun terbayang di fikirannya. "Lihatlah bang. Adikmu sudah dewasa," bisik hati kecilnya. Dan ketika itulah dia lihat abangnya menjerit, "Adikkkkkk!!!!!!"

****

"Pap!" bunyi suratkhabar yang dilipat tebal-tebal itu berlaga dengan sesuatu. Sekonyong itu jatuhlah sesuatu hasil dari perlanggaran tersebut ke atas lantai. Amin melihat ke arah tempat jatuh tersebut. Seekor lipas sederhana besarnya sedang terkial-kial ingin bangkit daripada jatuh. Tidak mahu memberi peluang ia melepaskan diri, Amin menghayun suratkhabar itu buat kali yang kedua dan terakhir.

****


kredit foto hiasan daripada sini

Jumaat, Disember 19, 2008

Span

"Awak adalah ibarat span," cikgunya memulakan bicara.

Dia diam saja. Wajah cikgunya itu dipandangnya. "Span? Kenapa span?" Fikirannya tertanya-tanya. Bagaikan memahami riak wajahnya yang memerlukan penjelasan lanjut, cikgunya menyambung kata-kata.

"Cikgu lihat apa yang cikgu ajar selama ini awak memahaminya dengan mudah. Bukan setakat itu sahaja, awak juga mempunyai sikap ingin tahu yang kuat yang menyebabkan awak tidak akan puas dengan ilmu yang cikgu beri. Cikgu selalu rasa yang awak seperti menarik dan menyerap ilmu daripada cikgu dan bukan cikgu yang menyampaikannya kepada awak."

Dia masih terdiam. Dia cuba bayangkan kata-kata cikgunya itu terserap ke dalam mindanya bagaikan air terserap ke dalam span. Dia tidak nafikan yang selama ini memang mudah bagi mindanya untuk menerima sesuatu pelajaran, walau di dalam apa bidang sekalipun. Pelajaran baginya ialah suatu yang menarik secara semulajadi. Pengetahuan adalah suatu perkara yang dia sentiasa dahagakan. Dia ingin tahu tentang semua perkara. Mungkin itu agaknya yang dimaksudkan oleh cikgunya itu.

"Tapi cikgu, kalau saya macam span, maka saya akan ada hadlah untuk penerimaan tentang sesuatu. Span pun akan penuh dengan air juga satu hari nanti kan," span pemikirannya mula memicit dan memuntah kembali pertanyaan.

Cikgunya tersenyum. Jelas dia sudah mengagak yang sesuatu akan keluar daripada mulut anak muda ini, tindakbalas yang secara tidak langsung menyokong penjelasannya tadi.

"Ya, tetapi awak adalah ibarat span yang sangat besar. Kapasiti minda awak tidak dapat diduga. Dan lagi, awak boleh sahaja keluarkan pendapat dan aplikasi berkenaan sesuatu itu semahu awak. Dengan kata lain, awak boleh kawal picitan span untuk mengeluarkan air dengan jumlah yang perlu sahaja. Ianya bukanlah satu perkara yang sehala sahaja," jelas cikgunya panjang lebar.

Dia tersenyum mendengar penjelasan cikgunya itu. Cikgunya memang pandai bermain kata-kata. Pandai membuat perumpamaan dan penjelasan yang mudah difahami anak-anak muridnya.

"Terima kasih cikgu. Saya hargai pandangan cikgu terhadap saya," ikhlas dia membalas kata-kata cikgunya itu.

"Tapi saya harap saya bukanlah span yang hanya pandai menyerap, tetapi juga pandai mengeluarkan pengetahuan yang diperolehi pada tempat-tempat yang sepatutnya," sambungnya lagi.

"Walaupun span menyerap secara semulajadi tetapi ia memerlukan daya luaran untuk mengeluarkan apa yang diserapnya. Ini bermaksud awak perlu samada mengeluarkannya sendiri dengan upaya awak, ataupun ianya akan terkeluar sendiri apabila ada tekanan daripada luar. Macam mana sekalipun, ianya tidak akan terkumpul tidak berguna begitu sahaja. Awak janganlah risau. Cikgu percaya yang awak berkeupayaan melakukannya, " balas cikgunya memberi keyakinan.

Dia mengangguk-angguk tanda memahami. Diucapkannya terima kasih sekali lagi bagi menamatkan sesi temubual dengan cikgunya itu. Sambil berjalan keluar kelas, fikirannya terus tertumpu terhadap nasihat cikgunya tadi. Dia sukakan konsep yang diberikan terhadap pemikirannya itu. Dia berazam untuk terus belajar dengan tekun, menyerap segala ilmu pengetahuan dengan harapan bila dia besar nanti dia dapat menggunakan ilmu dan kebolehannya untuk menjadi manusia yang berguna. Bagaikan span yang berguna di sinki dapur.

Sejurus kemudian kedengaran satu suara memanggilnya. "Bob, marilah kita pulang bersama-sama," dia menoleh ke arah suara tersebut dan tersenyum melihat kawan baiknya, Patrick sedang tersengih lebar sambil berlari-lari anak ke arahnya. Kedua mereka kemudiannya berjalan beriringan pulang sambil menyanyikan lagu kegemaran mereka.





Riang gembira (gambar hiasan)

Rabu, Disember 17, 2008

Zirafah

"Kenapa kau suka kat dia?" tanya Rina tiba-tiba. Eli yang sedang asyik memerhatikan zirafah mengunyah daun dari tadi sedikit tersentak. Namun matanya tidak dialihkan daripada rahang zirafah itu yang bergerak ke kiri ke kanan berulang-ulang menghancurkan daun-daun renek bersama-sama ranting-ranting kecil.

"Sebab dia baik" ringkas jawapan Eli di dalam sedar tak sedar. Rina memandang ke arah yang dipandang oleh kawannya itu. Kini bertambah sepasang lagi mata memerhati rahang yang tidak henti-henti mengunyah.

"Tu je ke? Lagi?" desak Rina tak berpuas hati. Hatinya sedikit geram. Geram pada Eli yang endah tak endah pada soalannya. Geram pada zirafah yang tak henti-henti makannya. Geram pada apa yang menarik sangat pada zirafah itu hingga Eli tidak mahu memberi perhatian kepada soalannya. Rahangnya yang bergerak2 aneh itu kah? Ataupun dua tanduknya yang hidup segan mati tak mahu itukah?

"Mm tu jelah. Nak kena ada banyak sebab ke?" Eli mempertahankan pendiriannya. Fikirannya tertanya-tanya kenapa zirafah itu makan tak henti-henti. Sambil-sambil itu cari sebab lagi.

"Taklah. Baik maksud kau tu macam mana?" Rina cuba memahami jawapan Eli. Dia tidak mahu mengalah. Selagi zirafah itu tak berhenti mengunyah, selagi itu dia tidak akan berhenti bertanya.

"Baik lah. Dia layan aku baik" terang Eli mudah. Fikirannya sibuk mempertimbangkan mungkin sebab leher zirafah itu panjang maka kena makan banyak-banyak. Namun rasional jawapan itu dia tidak nampak mahupun faham.

"Hmm aku tak faham" rungut Rina kecil hampir tak kedengaran. Baginya, samada kawannya itu tidak ada jawapan yang kukuh, ataupun lebih berminat kepada rahang zirafah itu daripada kemusykilannya.

"Apa yang kau tak faham?" Eli mula beri perhatian pada rakannya itu. Dia boleh agak daripada suaranya yang Rina seperti ambil hati. Namun fikirannya masih memikirkan perihal zirafah itu. begitu juga matanya yang masih menatap tanpa bosan. Sengaja dia tidak mahu memandang Rina.

"Yalah kalau setakat baik, pakcik jual air tebu tepi jalan sekolah tu pun layan kau dengan baik apa. Selalu bagi kau air tebu percuma. Kenapa kau tak pilih pakcik tu je?" aju Rina membuatkan Eli kembali tersentak. Zirafah yang dipandangnya tidak kelihatan lagi, dan terbayang wajah pakcik air tebu yang manis mukanya dan baik hatinya. Dia tersenyum apabila realiti menerpa dan zirafah itu menoleh ke arahnya. Bagaikan tahu yang dia mengelamun ke lain walaupun memandang ke arahnya.

"Ish kau ni. Aku tak suka pakcik tu takkan aku nak pilih dia pulak" Eli sedikit defensif sambil menjeling Rina dengan dahi yang berkerut. Dia tidak suka bertentang mata dengan zirafah yang terus memandangnya dengan rahang yang masih mengunyah. Takut fikirannya dibaca zirafah itu barangkali.

"Jadi maksud kau kedua-dua pakcik tu dan dia baik, tapi kau pilih dia sebab kau suka dia lah ya" simpul Rina yang tidak ingin mengusut lanjut fikiran kawannya itu. Namun hatinya sedikit gembira kerana setidak-tidaknya Eli mengalih pandangan dan perhatian kepadanya. Rasa seperti berjaya menewaskan zirafah tersebut.

"Haah" Eli kembali lega melihat Rina yang kelihatan seperti berpuas hati dengan jawapannya itu. Harapnya Rina tidak akan bertanya lanjut pasal pakcik air tebu mahupun pasal kenapa dia begitu berminat dengan zirafah tadi.

"So, kenapa kau suka dia dan bukan pakcik jual air tebu tu?" tiba-tiba terpacul lagi soalan dari mulut Rina. Kini Rina sudah dapat perhatian Eli, fikirnya untuk tidak mensia-siakan peluang itu. Dia takkan biarkan perhatian Eli kembali kepada zirafah yang masih melihat ke arah mereka berdua. Masih mengunyah.

Eli tidak menjawab. Dia memandang muka Rina yang tersenyum menantikan jawapan daripadanya. Jawapan yang dia tidak punyai. Perlahan-lahan dia mengalihkan kembali pandangannya kepada zirafah tadi yang masih memandangnya dengan mulut yang masih tidak berhenti mengunyah ke kiri dan ke kanan.

Mata mereka bertentang. Jika zirafah itu mahu baca fikirannya, maka bacalah. Dia juga bagai ingin mengetahui apa pandangan zirafah itu setelah membaca mindanya. Sedar tidak sedar dia bagaikan tercari-cari jawapan persoalan tadi di sebalik mata hitam zirafah itu. Dengan perlahan-lahan, zirafah tersebut berpaling memandang ke arah lain sambil mulutnya tetap tidak berhenti mengunyah. Sekaligus menidakkan harapan Eli untuk mendapat sebarang petunjuk. Eli mengeluh kecil. Rina menanti dengan senyuman di bibir.



gambar hiasan

notakaki (2jan09): tajuk cerkon ini pada asalnya ialah "Sebab" tapi ditukar sebab semua orang panggilnya cerita zirafah. :p


Selasa, Disember 16, 2008

Bergantung

Manusia, di dalam sedar dan tidak, akan terpengaruh dengan sekelilingnya. Seorang anak kecil melihat mainan di kaca tingkap kedai dan merengek minta ibunya membeli. Dua orang gadis belasan tahun duduk di kaki lima jalan, khusyuk mendengar petikan gitar dan suara nyanyian seorang penghibur jalanan. Tiga orang pemuda berjalan menuju ke sekumpulan manusia lain yang sedang mengerumuni sesuatu di hujung simpang. Dia tidak mempedulikan semua itu dan terus berjalan.

Anggapannya normal untuk manusia bertindakbalas dengan keadaan persekitarannya. Namun satu perkara seperti tidak menepati andaiannya pada ketika itu. Seorang pengemis tua berambut kusut berjambang dan berbaju lusuh sedang duduk bersandar di tepi dinding bangunan. Kelihatan seperti langsung tidak mempedulikan persekitarannya. Dia memperlahankan langkahnya. Melihatnya mendekati, pengemis itu langsung menghulurkan tadahan tangan. Sangkanya mahu diberi sesuatu. Tanpa henti dia terus melewati sang pengemis. Kecewa sedikit kerana pengemis juga tidak menepati apa yang dicari. Boleh jumpa atau tidak apa itu, dia pun tidak pasti.

Sebuah kereta mewah berhenti di tepi jalan di depan kedai. Matanya memandang sedikit berminat. Namun bukan kereta yang jadi perhatiannya. Pintu terbuka dan keluar seorang lelaki. Segak. Rapi. Mewah juga. Lelaki itu memandangnya seketika, dan kemudian berpaling berjalan masuk ke kedai. Bahunya turun tanda sedikit hampa. Mungkin dia separuh mengharap yang keluar tidak akan setanding dengan kereta. Kakinya melangkah ke atas jalan. Lihat kiri kanan dan melintas.

Pengaruh sekeliling yang paling besar ialah pengaruh manusia lain. Mengapa manusia tidak boleh hidup sendiri? Mengapa kita perlukan satu sama lain untuk terus hidup? Lima deria anugerah untuk interaksi. Interaksi bawa kepada pengaruh. Pengaruh bawa kepada pergantungan. Padanya itu semua hanya di dalam minda. Semasa kecil bergantung fizikal dan mental pada ibubapa. Semasa besar fizikal sudah boleh merdeka, namun minda masih tidak. Masih ingin bergantung.

Dia bukanlah mahu lari dari fitrah. Dia pun manusia biasa. Dia turut dipengaruhi persekitaran seperti orang lain. Dia ingin bebas tetapi selagi makna bebas itu tidak difahaminya, dia tidak mungkin akan dapat bebas. Memilih untuk bergantung fizik dan minda juga mungkin sejenis kebebasan. Dia tidak mahu fikir lagi. Perutnya bertindakbalas apabila hidungnya terbau yang enak dan matanya melihat papan tanda kedai sesampainya dia di seberang jalan. Dia akur yang dia masih tidak bebas, dan kakinya terus melangkah ke dalam restoran ayam goreng segera itu.




Rabu, Disember 10, 2008

Gangguan

Dia menarik nafas dalam-dalam. Ini bukan kali pertama dia menghadapi saat-saat begini. Namun sudah lama dia tidak menghadapinya. Hatinya bagai separuh yakin dan separuh tidak bahawa dia akan berjaya melaluinya. Namun dia perlu cuba juga. Berpantang maut sebelum ajal orang kata.

Hati kecilnya kagum dengan kawan-kawannya yang berjaya melaluinya. Malah dia tahu ramai yang dapat melakukannya dengan mudah. Namun bukan dia. Konsep melakukan lebih daripada satu perkara di dalam satu masa (multi-tasking) memang tidak sesuai untuk dirinya. Dia bukan sahaja tidak boleh memandu sambil menaip sms yang memang tidak masuk akal baginya, malah perkara2 yang asas seperti berbual sambil menonton tv pun dia memang tidak mampu buat.

Tapi itu memang jika dia ingin melakukan 2 perkara pada satu masa. Masalah yang dihadapinya sekarang ialah dia hendak melakukan satu perkara sahaja. Namun begitu, terdapat satu perkara yang lain yang mengganggu tumpuannya pada masa yang sama.

Dia cuba fokus perhatiannya terhadap kerjanya untuk mengabaikan gangguan itu. Dibiarkan sahaja gangguan itu datang dari kiri dan kanan. Dia tidak dapat berfikir apa-apa tentang kerjanya. Dia cuba lebih fokus lagi. Kali ini ianya datang dari depan dan belakang dan dari sekelilingnya. Semakin dia fokus semakin kuat rasanya gangguan itu. Dia mengeluh hampa. Kali ini dia gagal.

Namun dia tidak akan patah semangat untuk terus mencuba. Baginya segala-gala boleh dilakukan jika ada azam yang jitu. Jika ditakdirkan pada satu masa nanti dunia akan memerlukannya untuk melakukan beberapa perkara penting di dalam satu masa dengan gangguan yang lebih banyak di sekelilingnya, dia tidak mahu gagal dan menyebabkan dunia musnah hanya kerana kegagalannya menangani perkara2 dan gangguan2 tersebut.

Dia kembali bersemangat. Namun rasanya cukuplah buat hari ini. Dia pasti akan mencabarnya lagi nanti. Dengan azam yang kukuh dan jati diri yang tinggi tangannya mencapai punat dan menutup radio yang dari tadi mengganggu konsentrasinya untuk menulis.

Selasa, Disember 09, 2008

Ubat 2

Hari ini bakal menjadi hari yang memenatkan baginya. Dari pagi perutnya meragam dan sakit bagaikan dipulas2 dan diperah2 ususnya. Bukan main lagi. Dia sedar ianya mungkin berpunca daripada angin kerana ini bukanlah kali pertama dia menghadapinya. Ubat-ubat preskripsi doktor dahulu masih ada lagi di dalam simpanannya.

Dia pun mula membelek satu persatu. Paket yang pertama tertulis "Buscopan". Di bawahnya pula tertulis "T.S. perut" yang mungkin bermaksud "tahan sakit perut". Dibukanya paket itu dan sebiji pil kecil berwarna putih dimasukkan ke mulutnya.

Paket kedua tertulis "Pem" di ruang nama dan di ruang kegunaan pula tertulis "Demam". Dia terdiam sebentar sementara fikirannya membuat diagnosis pantas samada dirinya sedang demam ataupun ada rasa-rasa seperti mahu demam. Sejurus kemudian dia mencampakkan paket ubat itu ke tepi.

Paket seterusnya tertulis "comotif" atau "lomotif" atau "comotil", mindanya tidak dapat memutuskan yang mana satu betul. Sekilas pencarian "lomotif" di Google membuahkan berderai-derai hasil tentang kepala keretapi namun Google juga tidak lupa untuk bertanyakan kembali "Did you mean : lomotil?". Dia tersenyum sendirian dan meneruskan mengkaji sedikit sebanyak latar belakang ubat yang bakal ditelannya.

Sambil sebelah tangannya memasukkan kapsul lomotil itu ke dalam mulutnya, tangan sebelah lagi sudah mencapai paket seterusnya. Kali ini dia faham terus. Dibukanya paket ubat bertanda "Carbon" dan bertulis "angin" di ruang kegunaannya, dikeluarkan sebiji pil hitam seperti arang itu dan sambil melupakan yang ianya memang arang dia menelannya dengan sekali telan.

Tinggal lagi satu jenis sahaja lagi. Tetapi kali ini ada 3 paket yang sama. Berwarna biru bertulis "UphaLyte". "Garam rehidrasi ke.." fikirnya sendirian. Dia bukan tahu pun apa maknanya. Dia cuma terjemahkan daripada tulisan "Oral Rehydration Salts" yang tertulis di paket. Itupun dia sengaja tidak mahu terjemahkan kesemuanya. Takut hilang selera menelan ubat nanti.

Nampaknya hari ini dia tidak memilih sangat. Mungkin tidak tertahan sangat sakitnya pada pagi itu sehingga membuatkan dia menelan kesemua ubat yang diprekripsi oleh doktor tersebut. Tetapi degilnya tetap ada. Ubat demam langsung tidak disentuhnya. Walaupun menjelang malam dia berasa kepalanya berat akibat sehari suntuk menahan sakit pada perutnya, namun dia tetap berdegil. Baginya ubat demam ialah untuk orang demam, dan bukan untuk orang sakit perut.

Ekstasi

Dahinya mula berpeluh. Dia tidak menyangka ianya akan menjadi begini. Tenaga dari sekeliling seolah-olah dipaksakan ke dalam dirinya sebegitu rupa sehingga badannya seperti susah hendak dikawal lagi. Kesemua lima derianya dirangsang hebat. Matanya khayal melihat kerlipan-kerlipan gila. Telinganya bagai dirasuk raungan tenaga yang dari tadi menusuk ke dalam diri dan jiwanya. Hidungnya mengejar nafas yang bagai tidak cukup-cukup. Tangannya bagai tidak puas menggapai langit, ingin menyentuh apa sahaja yang dapat dari julangan jemarinya ke udara. Tekaknya kering dari jeritannya yang dilepaskan dari tadi lagi.

Di sebalik semua itu, dia masih tidak berasa penat. Gema jerit manusia di sekelilingnya bagai rasukan gila yang membekalnya tenaga yang tidak putus-putus. Bunyi semakin kuat dan jeritan yang menyambutnya gamat sekali. Aliran adrenalin jelas terasa di dalam urat-uratnya menyebabkan dia ingin melompat sekuat-kuatnya. Dia melepaskan jeritan yang kuat untuk meredakan tenaganya yang dirasakannya bertambah setiap saat.

Namun tenaganya tidak reda. Kaki dan tangannya tidak tertahan lagi. Dia tidak peduli lagi siapa dirinya. Dia tidak peduli di mana dia berada. Dia tidak peduli siapa di sekelilingnya. Degup jantungnya amat kencang. Serentak itu, bunyi dentuman gitar yang berat diiringi hentakan rentak dram yang bertenaga bergema kuat. Dia melompat setinggi-tinggi dayanya dan menjerit bersama-sama ribuan yang lain melepaskan segalanya daripada diri mereka.

"I want it now.. I want it now... give me your heart and your soul.." alunan penuh perasaan penyanyi kumpulan Muse itu mendayu, menguja dan menyemarak dirinya di celah-celah lautan gila manusia yang memenuhi segenap ruang dewan konsert pada malam itu.

Jumaat, Disember 05, 2008

Tersepit

“Seronokkan cerita tadi,” berbunga hatinya menyapa. Temannya mengangguk tanda setuju. Temannya itu memang berat mulut, namun dia tidak kisah asalkan sudi bersamanya di kala hujung minggu begitu. Berdua mereka berjalan keluar beriringan.


“Lepas ni kita nak ke mana?” tanyanya riang. Temannya memandang mukanya dan tersenyum. Dia sedikit tersipu apabila dipandang sebegitu. Bukan dia tidak biasa dipandang, cuma lirikan mata temannya kali ini sedikit dalam, seperti sedang membaca fikirannya.


Temannya menghulurkan tangan. Sejurus disambut tangannya itu digenggam erat. Serentak bagaikan ada satu aliran tenaga yang mengalir akibat sentuhan mereka, bulu romanya sedikit meremang. Jantungnya mula berdebar serta terasa mukanya hangat. Dia memaling ke arah lain, cuba menyorokkan senyuman yang tidak dapat ditahannya lagi. Saat itu hatinya berasa sangat bahagia. Harapnya agar saat itu tidak akan berakhir.


Suasana hening bahagia itu dipecahkan oleh nada dering telefon bimbitnya. Dengan hati yang berat dia melepaskan pautan tangan penuh kasih itu. Tas tangannya dibuka untuk mencari telefon bimbitnya.


“Hellooo,” sengaja dileretkan jawabnya. Senyuman bahagia tetap tidak lekang sambil matanya melirik manja ke arah temannya yang hanya tersenyum.


“Ya, di rumah. Duduk-duduk saja tengok tv,” sambil berjalan tangannya yang bebas dihulurkan kepada temannya. Tidak bersambut. Temannya sedang sibuk menyeluk poket mencari sesuatu.


“Mm I miss you too sayang,” manja sekali suaranya membalas belai suara di hujung talian. Wajahnya dipalingkan dengan harapan tidak kedengaran oleh temannya itu.


Tit toot! berdesing bunyi kereta dibuka kunci. Temannya itu memandangnya sambil berdiri di sebelah kereta.

"Cepatlah sayang, you cakap dengan siapa tu?" luahan pertama temannya sejak mereka keluar dari panggung tadi.


"Bunyi apa tu sayang? Kata sayang di rumah? Kenapa ada bunyi kereta?Suara siapa tadi tu?" bertubi-tubi soalan diaju oleh suara di hujung talian. Dia kaget. Senyumannya hilang entah ke mana. Fikirannya pantas mencari alasan. Dia tersepit.

Rabu, Disember 03, 2008

Detik

Mesinnya meluncur laju melalui jalan lurus itu. Dia sedikit lega namun fokusnya tidak hilang. Keadaan mesinnya bagus. Dia pasti setelah melalui selekoh yang pertama tadi. Tetapan kawalan, pecutan dan breknya pada tahap optimum. Suhu tayarnya serasi dengan keadaan jalan yang kering itu. Dia menujah gear yang kelima dan menghenyak pedal minyak. Derum enjinnya kembali meningkat.

Fikirannya mula fokus ke selekoh yang seterusnya. Walaupun masih belum kelihatan, namun dia sudah pun bersedia. Dia tahu yang selekoh ini tajam dan memerlukannya untuk turun sehingga ke gear kedua bergantung pada kelajuannya. Pengalaman dan latihan menjadikan badannya tahu apa yang perlu dilakukan sebaik masuk ke selekoh tersebut nanti. Yang penting baginya sekarang ialah detik yang tepat di mana brek perlu ditekan.

Detik brek ditekan akan menentukan segala-galanya. Ianya perlu sempurna. Sedetik lambat, dan mesinnya tidak akan sempat untuk menyahpecut dan kemungkinan akan terbabas. Sedetik awal, dan mesinnya akan kehilangan momentum dan ini akan menjejaskan kelajuannya keluar daripada selekoh itu nanti. Sememangnya keupayaan untuk memutuskan detik ini merupakan penentuan terhadap tahap kehebatan seseorang di dalam bidang sepertinya.

Bayangan bekas rakan sepasukannya terlintas di fikiran. Tahun lepas di selekoh inilah mesin yang dipandu rakan sepasukannya telah terbabas dan mengakibatkan kemalangan yang menamatkan kariernya. Rakannya bernasib baik kerana hanya kariernya sahaja yang tamat, dan bukan nyawanya. Dia belum pernah terbabas lagi, dan hari ini dia tidak mahu memecahkan rekod itu. Segala-galanya kini bergantung kepada keupayaannya untuk memutuskan detik keramat tersebut.

Ruang masuk ke selekoh mula kelihatan dari kejauhan. Tangannya kejap menggengam stereng. Kaki kanannya masih melekat pada pedal minyak yang dari tadi mencecah lantai mesin. Matanya memfokus pada garisan yang akan dilaluinya. Dia menahan nafas.



Selasa, Disember 02, 2008

Laju

Jam menunjukkan pukul 8.45 pagi. Dia semakin tak senang duduk. Terasa masih begitu jauh perjalanannya. Dia mencongak-congak anggaran masa ketibaannya kelak. Dahinya semakin berkerut. Dia sedar yang dia pasti akan lambat. Hatinya geram apabila teringat peristiwa tadi.

"Saya dah lambat dah ni. Saya turunkan awak kat sini saja ya," cadangnya kepada isterinya yang sedang mengelamun di sebelah.

"Eh, mm baiklah bang," setuju isterinya dalam teragak. Pintu kereta dibuka dan isterinya turun. Sebelum menutup semula pintu sempat isterinya berpesan,"Drive baik-baik ya bang."

Dia mengangkat tangan kirinya tanda perpisahan dan terus menekan minyak. Kepalanya sibuk menghitung masa. Dia tidak mampu lagi untuk membazirkannya walau sesaat. Dipandunya selaju yang dia rasa selamat. Dia masih waras untuk tidak memecut sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Kenapalah time2 aku nak pergi kerja nilah dia mintak hantar ke sana ke mari. Karang aku lambat masuk kerja aku jugak yang kena marah," rungutnya sendirian.

Sebenarnya dia tidaklah risau akan dimarahi jika sampai sedikit lambat ke pejabat, dia cuma mahu isterinya memahami kedudukannya yang bekerja demi kehidupan mereka sekeluarga. Dengan kerjanya itulah dia dapat memberi makan anak isterinya. Dia cuma mahu isterinya itu juga meletakkan kerjanya sebagai keutamaan di dalam hidup mereka, sebagaimana yang dilakukannya selama ini.

Tiba-tiba dia mengilas stereng ke kiri. Keretanya berayun ke kiri dan dia berjaya mengelak sebuah lubang yang agak besar di tengah-tengah jalan. Namun sebelum sempat dia masuk kembali ke tengah jalan dia perasan akan sebuah motor di hadapannya. Dengan pantas stereng kereta dikilas ke kanan semula dan keretanya berjaya mengelak melepasi motor tersebut dengan jarak yang sangat mendebarkan.

Seketika kemudian dia diam sambil tangan dan kakinya terus memandu. Walaupun dia tahu yang dia tidak laju mahupun cuai di dalam pemanduannya tadi, namun dia tahu yang malang tidak berbau. Apa-apa pun boleh terjadi di dalam hidup ini. Dia terfikir, andainya berlaku sesuatu yang tak diingini, berbaloikah segala-galanya?

Dia rasa seperti hidupnya selama ini sentiasa di dalam keadaan terburu-buru. Bagaikan mengejar sesuatu. Fikirannya seolah-olah tidak berada di masa sekarang, tetapi berada di masa hadapan. Dia terlalu memandang ke hadapan sehingga dia tidak perasan apa yang berlaku di sekelilingnya lagi. Dia tidak ingat untuk bertanyakan perihal keputusan peperiksaan anaknya sebelum menghantarnya ke sekolah tadi. Dia juga tidak perasan yang langsir rumahnya telah bertukar ke warna lain. Dia hanya tahu setelah diberitahu isterinya . Itupun dia cuma mengiyakan dan tidak kisah pun untuk memberi sebarang pendapat. Bilakah kali terakhir mereka berbual? Dia teringat satu ketika dahulu dia tidak pernah lupa untuk mengucup sayang isterinya setiap kali berpisah. Dia mula merindui hidupnya.

Dia menarik nafas dalam-dalam, dan kemudian dilepaskannya bersama-sama segala yang dirasakan tidak penting lagi. Bahunya mengendur sedikit, dan kerut dahinya sudah tiada. Tangannya mencapai telefon bimbitnya dan jarinya menekan nombor telefon isteri kesayangannya.


Jangan memandu sambil bertelefon (gambar hiasan)

Isnin, Disember 01, 2008

Jem

Dia tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dilemparkan ibunya itu. Pedih telinganya. Sakit hatinya. Dia sudah lama bersabar dengan keadaan ini. Ibunya memang begitu. Dari dulu lagi dia tidak boleh bertanya soalan yang salah. Pasti jawapan yang diberi akan menyakitkan hati. Bagaikan ibunyalah yang tahu segala-galanya dan dia hanya seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Kadang-kadang dia berasa amat sedih. Adakah benar dia ini anak kandung ibunya? Mengapakah dia tidak dapat kasih sayang sebagaimana orang lain? Dia cukup cemburu melihat Noni, jiran sebelahnya yang selalu bermanja-manja dengan ibunya. Segala pertanyaan Noni akan dijawab oleh Mak Minah dengan sabar dan belai manja. Selalu airmatanya mengalir tanpa disedari apabila melihat kemesraan dua beranak itu.

Kini dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Kali ini dia tekad. Apa nak jadi jadilah. Dia tahu yang dia benar dan ibunya salah. Dia akan membuktikannya. Semoga ibunya sedar dan berubah. Semoga satu hari nanti hubungan mereka akan sebaik hubungan Noni dan Mak Minah, jika tidak lebih baik. Tapi sebelum itu, dia harus lakukan perkara ini.

Tangannya membuka peti ais dan mencapai balang mentega kacang itu. Ditelitinya label balang tersebut dan seketika kemudian matanya tersenyum sinis. Disuakan balang itu kepada ibunya.

"Aaa betulla dia tulis kat sini ' Do not refrigerate'. Tu sebab Nis biar kat atas meja. Tu pun mama nak marah," hujahnya kepada ibunya yang menyambut balang itu dan membelek seketika label yang disebutkan.

"Yelah, memang 'peanut butter' ni tak payah masuk peti sejuk, tapi masalahnya Nis biarkan sekali dengan jem stroberi tu kat atas meja. Cuba tengok kat balang jem tu tulis apa," balas ibunya pula.

Dia mencapai balang jem stroberi yang disebutkan ibunya dan membelek labelnya lagi. Sebaik matanya menangkap tulisan 'Keep refrigerated' yang terpapar, hatinya bagaikan hancur. Ibunya menang lagi. Dia terus menutup pintu peti sejuk dan berjalan muram menuju ke biliknya semula. Niatnya untuk menjamah roti dengan jem dan mentega kacang tadi dilupakannya sahaja.

Dia merebahkan badannya ke katil. Kedengaran samar-samar bebelan ibunya tak henti-henti. Tangannya mencapai buku latihan Bahasa Inggeris tahun 1 di atas meja tulisnya dan menekup telinga dan mukanya sambil fikirannya menerawang membayangkan arnab-arnab comel berlari-lari di padang yang luas menghijau.