Isnin, November 16, 2009

Telefon


Telefon itu berdering lagi. Gamat bunyinya menikam telinga Saadon. Penanya yang dari tadi menari laju bertukar rentak jadi sumbang lalu akhirnya terhenti. Saadon mengeluh sambil menghulurkan tangannya dengan berat.

"Ya, saya," jawab Saadon sambil memicit-micit tulang hidung di antara matanya. Agak berat baginya untuk melaras fikiran daripada penulisan kepada persoalan yang diujar entah siapa di gagang telefon.

Panggilan itu adalah yang ketiga pada malam itu. Saadon fikir yang dia boleh tumpukan fokus pada kerjanya yang menimbun, namun semuanya meleset dek deringan demi deringan yang berpusu2. "Mengapa semuanya ingin panggil aku pada malam ini juga!" bentak hatinya yang sebal.

"Mmm baik," namun lain pula jawapan dari mulutnya. Saadon terus mendengar sambil mengangguk2. Lupa barangkali yang anggukan itu tidak kedengaran di hujung gagang lagi satu. Tangan kembali mencapai dan memainkan pena, mencoret conteng tanpa disedarinya.

Setelah menjawab yang sepatutnya, gagang telefon itu diletakkan. Lebih tepat lagi, dicampakkannya sahaja, namun jatuhnya kebetulan tepat ke badan telefon. Geram bercampur sebal membuak di dada. Semuanya terhadap dirinya sendiri. Saadon menarik nafas dalam2 dengan mata tertutup. "Sabar," dia memujuk diri. "Kau yang sanggupi semua ini, kan." Nafasnya dihembus panjang-panjang, perlahan.

Saadon membuka matanya semula dan memerhatikan sekeliling ruang di dalam bilik. Lembaran2 kertas putih bertulis dan bertaip memenuhi meja. Majalah2 dan novel serta buku rujukan dan penyelidikannya bersusun timbun di tepi kiri dan kanan. Yang tumbang jadi berselerak juga ada. Fail2 baru dan lama dengan yang tak termuat berisi pelbagai jenis kertas, borang, resit dan entah apa lagi yang belum terurus tambah menyesakkan lagi kepalanya.

Tidak cukup dengan urusan pejabat tentang perusahaan penternakan ikan dan perladangan sayur dan bunga2nya, urusan harian Saadon ditambah lagi dengan penulisan dan penyelidikan yang perlu dibereskan di rumah. Memikirkan semuanya sekaligus pada satu masa memang boleh menimbulkan mual yang tak terkata. "Ya, semua ini, kau sendiri yang pinta," terukir kelat di wajah Saadon. Sedang mentertawai sambil menangisi nasib dirinya sendiri barangkali.

"Kringggggg!!!!!" telefon jahanam itu berbunyi lagi mencari pasal. Sebal di hatinya membuak2 berganda2 dari yang tadi. Geramnya menggunung2 hampir2 meletus. Mukanya jadi merah padam. Pena yang baru diangkatnya menggeletar, takut sekiranya dibaling ke dinding. Namun Saadon melepaskan saja pena itu yang tergolek lega di atas meja dan tangannya kasar mengangkat gagang telefon. Suaranya bergetar mengucapkan hello. Perlahan, hampir tidak kedengaran.

"Hello abang," kedengaran satu suara lunak di hujung talian. Satu suara yang sudah lama sangat tidak didengarinya. Satu suara yang ditunggu-tunggunya selama ini, di dalam tidur mahupun di dalam jaga. Suara yang sangat dirindui Saadon sepenuh hatinya. Di dalam sekelip mata lenyap segala geram, amarah, sebal dan sejuta perasaan yang dirasakannya tadi. "Hello sayang.."jawab Saadon gembira. Seikhlas2 hatinya dia tersenyum, walaupun tiadalah kelihatan senyuman itu pada hujung talian lagi satu.

"Inilah yang membuatkan segala2nya berbaloi.." bisik hati kecilnya yang sedang berbunga riang.


Imej Telefon dari Sini

Jumaat, Oktober 02, 2009

Lubang

Si Pam mundar mandir tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Hatinya tidak senang sejak berada di tempat baru itu. Gerak gerinya tidak menentu, jelas memperlihatkan perasaannya.

"Kau ni kan Pam, tak boleh duduk diam ke?" tegur Ah Lam, rimas dengan Si Pam yang tidak dapat mengawal perasaan. Tidak seperti Si Pam, Ah Lam lebih tenang menghadapi kenyataan hidup mereka. Mungkin faktor usia yang membezakan sikap mereka itu.

"Kau nak suruh aku duduk diam? Kau dah gila ke? Kau sanggupkah selama2nya di dalam kurungan begini?" tanya Si Pam semula dengan mata terbeliak-beliak.

"Alah, apa salahnya. Lagipun kita kan baru dipindahkan. Tempat baru ini lebih baik rasanya," seloroh Ah Lam selamba. Muka Si Pam menjadi merah mendengarkan jawaban tersebut.

"Lebih baik hotak kau! Tukar kurungan saja! Kita tetap tidak bebas. Kita tetap terkurung!" Si Pam menyembur perkataan demi perkataan ke muka Ah Lam. Ah Lam terpisat-pisat tidak menyangka Si Pam akan marah sebegitu sekali.

Si Pam berpaling meninggalkan Ah Lam yang masih terpinga-pinga. Si Pam tahu yang Ah Lam sudah terlalu lama hidup terkurung sehingga dia sudah putus harapan terhadap kebebasan. Namun tidak bagi Si Pam. Dia masih muda. Perjalanan hidupnya masih panjang. Dia tidak mahu selamanya di sini. Dia sanggup buat apa sahaja untuk bebas.

Setelah beberapa lama bermundar-mandir, Si Pam berhenti dan mendongak ke atas. Kemudian dia tersenyum sendiri. Ah Lam yang sedang memerhatikannya turut sama mendongak melihat ke arah yang sama. Kelihatan sebuah lubang besar tepat di atas mereka. Namun begitu tiada senyuman yang terbit di wajah Ah Lam sebagaimana Si Pam.

"Kau jangan nak buat gila Pam," Ah Lam menyuarakan kerisauannya. Si Pam terus mendongak sambil tersenyum. Langsung tidak mengendahkan Ah Lam. Mindanya sedang mencongak2 sesuatu.

"Kau ingat mereka tu bodoh ke. Ada sebab kurungan ini dibuat sebegini rupa. Kalau mereka tu bodoh kita tidak akan terkurung begini daripada mula lagi," sambung Ah Lam lagi panjang lebar. Berdesing telinga Si Pam mendengarkan kata2 Ah Lam itu. Lantas dibuang senyum tadi dari wajahnya dan dipandangnya wajah Ah Lam semula.

"Kalau terus menerus di sinilah bodoh namanya! Kita perlu tentukan nasib kita sendiri!" bentak Si Pam dengan urat2 yang kelihatan menegang di wajahnya. Nampaknya dia sudah nekad. Ah Lam tidak mampu berbuat apa2 lagi selain melihat sahaja anak muda yang panas baran itu berundur beberapa langkah dan mula bersedia. Pada masa yang sama hati Ah Lam juga berdebar-debar. Dia berkira-kira, kalau Si Pam berjaya, maka ada kemungkinan dia juga akan turut serta selepas itu.

Lubang yang diperhatikan Si Pam sejak tadi sememangnya bagaikan menggamit2 dirinya sambil menjanjikan kebebasan. Semangatnya memuncak memikirkan dunia luas di sebalik kurungan yang akan ditempuhinya kelak. Adrenalin pantas mengisi liang2 pembuluhnya. Dan dengan laungan "Hiahhh!!!" Si Pam melompat sekuat2 hatinya.

Mata Ah Lam bulat memerhatikan tubuh Si Pam yang meluncur bak peluru tepat menuju ke lubang tadi. Perasaannya berkecamuk, antara sedih ditinggalkan oleh Si Pam, gembira melihat tubuh Si Pam lolos melalui lubang itu, dan juga takut membayangkan kemungkinan2 jika dia gagal menuruti jejak langkah Si Pam. Maka Ah Lam terus menerus kaku sambil menatap lubang yang semakin lama dirasakan semakin memanggil2 dirinya pula.

***

"Aik, mana pulak yang lagi seekor ni. Macam mana boleh tinggal seekor pulak ni," Adib mengeluh sendirian sambil matanya mencari2 sesuatu. Tubuhnya yang kecil terjengket2 untuk melihat di celah2 sudut akuarium itu. Dan tidak jauh daripada situ, terperosok di bawah meja, seekor ikan lampam kecil dengan tubuh berlumuran habuk dan kotoran kelihatan terdampar
tiada bergerak-gerak lagi.




Sabtu, September 12, 2009

Upun dan Ipun

"Upun, marilah ke sini!" ujar Ipun dengan galak. Namun Upun diam sahaja tidak bergerak. Ipun berasa hairan. Mungkin Upun masih tidur, fikirnya. Sambil itu mulutnya kumat-kamit menggumam kepalan makanan.

Waktu2 begini biasanya Upun yang bangkit awal. Setelah bangkit, Upun pasti akan mengganggunya yang sedang tidur dan mereka akan berkejaran merata2 sementara menuggu waktu sarapan. Namun sekarang waktu sarapan sudah tiba, dan Upun masih tidur. Fikiran nakal Ipun mula memberinya idea. Perlahan-lahan Ipun bergerak mendekati Upun."Janganlah dia bangun sekarang..hehe,"Ipun ketawa di dalam hati.

Upun tetap kelihatan kaku walaupun Ipun sudah menghampiri dekat. Ipun berasa tegang di dalam dirinya. Entah kenapa tubuhnya bagaikan sedang bersedia untuk sesuatu. Barangkali dia takut Upun tiba2 bangun dan menjerkahnya pula. "Shh.." berkali2 dia menenangkan hatinya yang kian berdebar.

Kini Ipun sudah berada di belakang Upun. Sekeliling mereka tenang dan sunyi tanpa gangguan lain. Ipun malah menahan nafasnya agar dia langsung tidak dikesan. Bila2 masa saja dia akan melakukannya. "Wargh!!!!" Ipun menyergah sambil memegang tubuh Upun.

Diam. Sekujur tubuh Upun tidak memberi sebarang reaksi. Ipun yang tadinya bersemangat tiba2 bertukar pucat. Tangannya yang masih memegang tubuh Upun tidak merasakan kehangatan nyawa. Ipun menggoncang2 tubuh Upun ingin kepastian. "Upun! Upun! Bangunlah!"jerit Ipun berulangkali.

Namun Upun tiadalah bangun lagi. Tinggal jasad tanpa nyawa. Wajah Ipun mula terasa hangat. Matanya mula basah. Kedua tangannya masih menggoncang tubuh Upun, tidak mahu menerima kenyataan yang rakan sepermainannya itu telah tiada lagi buat selama2nya. Ipun tinggal menangis mengenangkan dirinya yang kini sebatang kara.

Sejak ketiadaan Upun, suasana di situ sunyi sekali. Ipun sentiasa termenung bersendirian tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekitarnya. Mungkin segalanya mengingatkan Ipun terhadap Upun. Bersama-sama bermain dan berkejar2an. Sama-sama berebut makanan walaupun tahu banyak yang berlebihan. Sama-sama..

***

Cucuran dari pam kecil mengocak air dengan ritma yang sekata. Namun tiada juga kelihatan kelibat yang dicari-carinya. Dia melihat ke setiap sudut. Hatinya dirundung syak yang tidak enak. Akhirnya matanya menemui apa yang dicari. "Hmm.. akhirnya kau juga Ipun.." keluh hati Ikram apabila melihat sekujur tubuh Ipun terapung diolek2 kocakan air di sudut akuarium, tepat dua hari selepas kematian Upun di sudut yang sama.


Ipun dalam kenangan



Isnin, September 07, 2009

Lata dan Julang

Sinar sang mentari memancar indah. Kurasakan haba dari cahaya yang lembut pada waktu pagi itu. Nikmat rasanya apabila ia menyentuh kulitku. Hangatnya memberiku nafas dan semangat untuk terus menumbuh.

Lataanku jelas tidak seberapa berbanding yang lain2 di sekitarku. Rata2 cuba meninggi laju, sebolehnya ingin menjulang langit secepat yang boleh, tanpa perkukuhan pada akar yang menunjangi. Maka dapat kulihat mereka ini tetap meninggi, namun halus kurus batang tubuh mereka, dan yang aku pasti, tanpa tunjangan kukuh, satu hari nanti tumbang juga mereka dengan ribut angin.

Aku lebih senang melata begini, tidak tinggi, tidak juga rendah. Rimbun mungkin. Hangat mentari jadi semangat, diimbangi lembap tanah yang menyejukkan jiwa. Bukan tidak mahu mengejar langit, namun ukuran diri sendiri yang lebih tahu. Yang pasti, sayap tidak akan kutumbuhi dan bumi ini takkan kutinggali. Jika aku mahu mececah awan, maka bertumbuh sajalah caranya. Kaki mencengkam bumi, dan tangan menggenggam awan.

Pandanganku terpisat pada sepohon yang luarbiasa. Yang aku masih cuma bayangkan, ianya sedang dicapai. Akarnya mengukuh saban hari, pada waktu yang sama terasnya menebal mempersiapkan dari segala ribut, dan tujahnya stabil menjulang tinggi. Ia bagaikan sedar yang dunia ini tiada had bagi dirinya. Putiknya kembang menggila. Selagi ada zat2 di bumi, selagi ada sinar mentari, selagi itu ia akan menumbuh tanpa ragu lagi.

Namun rimbunannya yang luarbiasa itu mengundang kurangsenang dari sekeliling. Kau menghalang mentariku, bilang mereka. Namun mereka tiada dapat berbuat apa2 melainkan melihat melopong. Alam ini adil. Yang mahu akan dapat, yang leka akan termangsa. Dan yang tabah, pasti akan cari jalan.

Sebagai lataan, aku juga ditempias oleh rimbunan sepohon yang luarbiasa ini. Mentariku turut terhalang, namun aku tidak suka meletakkan salah pada siapa2. Diriku sendiri yang perlu bertumbuh terus. Jika tiada dapat menandingi ketinggiannya untuk merebut mentari, maka haruslah aku melata ke lain. Sehingga dapat apa yang aku ingini, sehingga kembali jamahan mentari pada kulitku.

Dan satu hari nanti, lataan ini tidak kurang gahnya akan menyelimuti tiap inci bumi, setanding dengan julangan si luarbiasa yang sudah pasti telah menggapai langit tinggi.



Khamis, Ogos 06, 2009

Tenang

Mataku tidak berkelip memerhatikan lembut warna hijau dedaun pada deretan rumpun buluh. Tunduknya dari kiri dan kanan lorong bagaikan menghormati sesama sendiri, dan menimbulkan rasa aman di fikiranku.

Dengan pucuk masing2 yang hampir bersentuhan, lorong itu kelihatan solah2 sebuah terowong yang serba segar kehijauan. Nun sejauh pandangan mata deretan itu berterusan. Mataku berputus asa setelah gagal menyorot di manakah penghujungnya.

Sesekali desir angin kedengaran. Disambut pula oleh alunan dedaun buluh yang meliuk lintuk dibuai angin. Gemalainya memaku mataku. Irama pabila daunan itu bergeselan sesamanya bagaikan memukau. Aku terus berdiri memerhati. Menikmati segala-galanya selagi termampu.

"Ya, nikmatilah selagi nyawa kau masih bersisa," kedengaran satu suara dari belakangku. Kukenal benar suara itu. Suara yang memang aku tunggu hadirnya dengan sabar sejak tadi lagi.

Namun aku tidak terus menoleh. Aku masih ingin menikmati kelembutan bayu yang mengulit usap wajahku. Mataku masih pada tarian dedaun buluh mengikut rentak alam. Setiap nafasku terisi ketenangan.

Kemudian angin pun berhenti dan alam jadi sunyi sepi. Yang kedengaran cumalah degup tenang jantungku sendiri. Aku menghela nafas penuh kepuasan. Perlahan2 aku berpaling menghadap suara tadi.Tanganku erat pada sisi pinggang.

"Kau dah puas? Ada apa-apa lagi yang kau nak? Kata-kata terakhir mungkin?" sambung bicara lelaki itu. Sekuntum senyuman berbaur sindiran menghiasi wajahnya.

"Aku pulangkan kata-kata tersebut kepada kau. Jika kau tidak sabar sangat untuk pergi ke alam sana, dengan senang hati aku boleh tolong hantarkan," jawabku sengaja memancing geram. Geram akan membawa marah dan marah biasanya membawa padah.

"Ah sudahlah, bicara banyak pun tiada gunanya lagi. Biar pedang aku yang memutuskan segalanya, termasuk nyawa kau!" gertak lelaki itu. Pedang yang sedia terhunus diangkat tinggi melepasi kepala.Pasak kakinya di atas tanah berlapik dedaun buluh kering kelihatan bergerak, tanda dia mula bertindak.

Genggaman pada sisi pinggang kulonggarkan sedikit dan serentak itu kutarik keluar pedang keramatku yang tidak pernah kenal erti kalah. Sayang rasanya untuk membasahi lagi bumi yang indah ini dengan darah. Namun tiada sekali-kali aku kan menyerah. Angin mula berhembus kembali. Dan tenang alam ini akan dicemari lagi.