"Susah sangat ke nak putuskan?" Saman menjeling ke arah Husin di sebelahnya. Husin tidak membalas jelingan itu dan terus memandang ke hadapan.
"Entahlah, aku tak rasa macam nak buat apa-apa pun," balas Husin pendek dan perlahan. Malas untuk melayan barangkali.
"Takkanlah takde benda langsung yang kau nak buat? Abis tu, takde beza lah tahun depan dan tahun-tahun sebelum ni?" desak Saman lagi, tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu topik perbualannya itu mati begitu sahaja.
"Beza tu mestilah ada. Aku adalah benda nak buat, tapi aku taknaklah jadikannya resolusi ke apa ke. Takut nanti kalau tak dapat capai, memang mengundang cela aje," Husin mula rimas. Diangkat sedikit bahu kirinya untuk mengesat peluh yang sudah mengalir hingga ke pipi.
"Ala.. buat apa fikir apa orang nak kata. Ini hidup kau. Inilah masanya kau beri peluang kepada diri kau untuk tetapkan apa yang diri kau nak," tanpa dipinta mulut Saman mula berceramah. Husin menjeling geram. Saman yang memandang ke arah hadapan itu sedar akan jelingan Husin di sebelahnya namun dia berpura-pura tidak melihat.
"Tujuan kita jadikannya sebagai resolusi tu bukanlah untuk warwar atau kecoh2 saja, tapi lebih bertujuan untuk buat diri kita rasa lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, " sambungnya lagi dengan riak wajah yang serius. Bukannya selalu dia dapat mengeluarkan sesuatu nasihat seperti itu. Apatah lagi terhadap Husin yang terkenal dengan sifat pesimisnya itu. Hidungnya kembang kempis bangga.
"Tu aku faham Man. Mungkin aku kurang keyakinan pada diri aku kot. Tapi kau taulah kan, apa-apa je boleh jadi di dalam dunia ni. Itu sebab aku tidak mahu tetapkan apa-apa. Aku takut kalau tak dapat capai nanti.. " akhirnya Husin melepaskan saja apa yang terbuku di dadanya. Namun dia tidak harapkan yang Seman memahami situasinya.
"Jangan risau la Sin. Macam ni, buat masa ni kau tetapkanlah benda2 yang mudah dulu. Misalnya pada tahun depan kau berazam nak kurangkan berat badan 2 3 kilo ke, atau pun kau nak kumpul duit beli tv baru ke. Perkara-perkara yang memang kau tahu kau mampu buat," ujar Saman melangkaui apa yang diharapkan. Husin mengfokus pandangannya ke hadapan, namun kepalanya mengangguk-angguk setuju.
"Hmm, betul jugak ya. Buat apa aku nak letak azam yang hebat-hebat pun kalau tak boleh capai kan. Aku akan bermula dengan yang mudah sajalah dahulu, "kata Husin mahu meyakinkan dirinya.
"Ya. Dan kau tetapkanlah jugak bila kau nak ianya diselesaikan. Takdelah sampai Disember tahun depan baru terhegeh-hegeh nak selesaikannya," Saman puas hati kerana dapat meyakinkan rakannya itu.
"Hmm, betul cakap kau Man. Selama ni perancangan hidup aku berterabur saja dari tahun ke tahun. Hidup dari hari ke hari je. Mulai tahun depan, aku berazam untuk menjadi seorang yang lebih teratur. Azam pertama aku ialah... ," Husin mula mengisytihar dengan penuh keyakinan namun dia terhenti seketika. Mukanya berkerut tiba-tiba.
Jari Husin menarik picu dan raifal buruk kalashnikov itu memuntahkan deretan-deretan peluru. Saman turut menghamburkan peluru raifalnya ke arah yang sama dengan Husin tanpa peduli apa sasarannya. Bunyi tembakan mereka bingit memecahkan hening di kawasan tersebut. Seketika kemudian kedua mereka berhenti dan Husin menyambung katanya tadi, "..azam pertama aku ialah untuk terus hidup dulu. Lepas tu baru aku boleh fikir apa nak buat dengan hidup aku ni!"
"Setuju! Aku pun sama jugak," balas Saman dan bingkas bangun mengikut Husin untuk berpindah tempat kerana tembakan mereka tadi secara tidak langsung telah memberitahu musuh kedudukan mereka. Lebih lama mereka di situ lebih tinggi risiko untuk diserang balas.
Bunyi tembakan kedengaran dari kejauhan dan juga berdekatan. Siapa menembak dan siapa mangsa sudah tidak dipedulikan lagi oleh kedua rakan itu yang kelihatan berlari sambil tunduk sebelum hilang di celah-celah deretan bangunan.
Temuramah Sensasi Bersama Nash Azly
7 tahun yang lalu
3 ulasan:
Angle yg baik..topik yg baik. Seperti kepaknya sudah mula terbang bebas..moga terbangnya terus tinggi.
moga terbangnya bagai burung, bebas namun berkemudi. jangan terbangnya bagai layang-layang putus tali, cantik dilihat namun terumbang ambing semata.
blook ni satu konsep DIY. di mana entri-entri dalam blog kamu dijadikan tulisan dalam buku dan ia dipanggil blook (blog book). hehe. Bukan apa kalau kamu berminat nak terbitkan aku boleh la jugak tolong-tolong. Nanti aku bincangkan dengan kawan-kawan yang ada. :-)
Catat Ulasan