#

Pembaca

Isnin, Januari 12, 2009

Lelabah

"Siap pun akhirnya," ujarnya kepuasan. Dia memerhatikan hasil kerja tangannya yang tertebar dari hujung ke hujung yang lain. Digoyangkannya dengan kakinya. Cukup kemas dan kukuh, membuatkan dia bangga seketika.

"Sekarang tinggal tunggu dan lihat," bicaranya kepada diri sendiri. Sang lelabah melangkah perlahan ke tengah-tengah tempat tinggal barunya itu, dan melabuhkan diri di sana. Melepaskan lelahnya sambil menunggu siapakah yang bakal menjadi mangsa pertamanya.

Semalam dia tidak tinggal di sini. Semalam dia tinggal di tempat lain. Namun begitu tempat tinggalnya telah dimusnahkan oleh bencana yang dia sendiri tidak faham apa. Yang dia tau hanyalah kelam kabut dirinya yang bertempiaran menyelamatkan diri.

Setelah bermalam di entah mana tempat terlindung yang dirasakan selamat, bermula pagi tadi dia telah menjelajah untuk mencari tempat tinggal baru yang sesuai. Setelah ke sana ke mari, menjelang tengah hari dia terjumpa kawasan yang dirasakannya sangat bagus untuk mendirikan rumah barunya.

Ruang tersebut cukup luas dan terbuka, menjadikannya mudah untuk mendapatkan makanan. Angin juga tidak begitu kuat dan hanya kadangkala membuai-buai saja, begitulah telahannya setelah mencuba mendirikan sebuah dua tiang utama. Tanpa berlengah dia telah menghabiskan seluruh petangnya mendirikan tempat barunya itu.

Lamunannya terganggu oleh getaran yang dirasakan pada salah satu kakinya. "Hah, nampaknya sudah mengena," bulat matanya memandang ke arah di mana isyarat itu datang. Getaran itu semakin kuat dirasakannya dan dengan pantas dan berhati-hati dia menghampiri untuk memerhati lanjut.

Seekor lalat kecil kelihatan terkial-kial ingin melepaskan sayapnya yang tersangkut di jaring halus yang hampir tidak kelihatan itu. Semakin ia bergelut, semakin banyak anggota badannya yang tersangkut di temali yang melekit itu. Sang lelabah tidak melepaskan peluang lalu kakinya yang pantas itu menambah ikatan demi ikatan ke seluruh tubuh sang lalat kecil yang semakin tak bermaya untuk meronta.

"Maafkan aku sang lalat, namun aku terpaksa lakukannya," bisiknya sendirian. Sang lalat sudah langsung tidak boleh bergerak, dan sang lelabah berundur dan memerhatikan bakal makanannya itu seketika. Sambil itu dia berasa bangga dengan rumah barunya itu yang baru saja siap sudah pun memberinya rezeki yang pertama.

Dia teringat yang dari semalam dia belum makan apa-apa lagi. Lebih-lebih lagi banyak tenaganya telah dihabiskan untuk membina rumah barunya itu. Seleranya bangkit melihat sang lalat yang terbungkus cantik tidak bergerak. Dia kembali menghampiri sang lalat untuk menjamu selera apabila dua kaki belakangnya merasa getaran yang lain. Kali ini lebih kuat.

"Wah dapat lagi!" jeritnya kecil dengan mata yang bersinar-sinar gembira. Sang lalat ditinggalkannya dan dia bergegas ke arah getaran yang baru ini. "Bertuah betul rumah baru aku ni. Nampaknya aku akan sentiasa kekenyanganlah lepas-lepas ni. Apa pula agaknya kali ini? Bapak lalatkah?" angannya tak henti-henti. Getaran di bawah kakinya dirasakan semakin kuat.

"Haha! Ini mesti sesuatu yang besar. Kuat betul rasanya. Kalau bapak lalat sekalipun takkan dapat lepas punya daripada jeratku," ujarnya penuh yakin. Namun begitu sangkaannya meleset. Getaran tersebut terus meningkat sehingga ke paras yang tidak munasabah lagi bagi derianya. Naluri pengesan bahayanya bertindakbalas membuatkan langkahnya terhenti. Mukanya pucat sebaik melihat punca getaran itu dan segala perasaan gembiranya tadi hilang terbang berganti dengan ketakutan.

***

"Maafkan aku sang lelabah, namun aku terpaksa lakukannya," bisik Amin sendirian sambil menghalakan muncung penyedut hampagas perlahan-lahan kepada sawang labah-labah di tingkap. Seekor labah-labah sederhana besarnya kelihatan bertempiaran lari meninggalkan sawangnya yang dengan sekelip mata hilang disedut mesin itu.

***




12 ulasan:

Sarah berkata...

pemangsa yg menjadi mangsa.Lumrah alam.kembali kpd style lama.

Nadd berkata...

sesekali nak kena ingat asal usul.. lumrah alam.. dan amik pengajaran.. kalau adalah..

terima kasih di atas komen.. :)

Hanni Ramsul berkata...

teruk betul penyedut hampagas tu. pi sedut rumah orang buat apa? isk isk isk. :D

Mr/Miss lelabah, lain kali jgn wat rumah kat tanah rezab kerajaan. jauh sekali kat tanah orang. kan tak pasal rumah kena roboh. dah tu, kempunan pula nak dinner menu Cik LAT. Sian.

AB HAFIDZ berkata...

mengapa aku tiba tiba diselubungi perasaan amat sedih tatkala sang lelabah itu disedut penyedut hampagas.. adakah aku akan alami nasib yang sama...

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

putaran hidup yang adil.jadilah manusia yg tahu membersihkan sesawang dari lelabah yg hy tahu buat sawang untuk memerangkap lalat.
menyibuk sikit ya dik.

Nadd berkata...

hanni : si lelabah tak pernah insaf. robohkan rumah di sini maka esok naiklah di tempat lain. kalau tak berhati perut, sedutkan saja dgn labah2 tu skali :p

hafidz : jgnlah bersedih ab. kalau dah dasar lelabah tu, rumah seterusnya juga pasti begitu jugak kahkahkahkah..

akak maria : terima kasih kerana sudi beri komen. komen akak dalam tu.. nampaknye sy kena stat bersihkan sawang dlm bilik nih hehehe..

Nina berkata...

wo..ade org rsa diri cm lelabahlh,bley imagine kat pintu umah die ade sesawang beso sesgt..then bile girls masuk je terus tersangkut kt sesawang tu..(habih ler aku kalo murasaki bce..hahaha)ish mcm citer gremlins ler..

Friction berkata...

Jgnlah sampai sedut si labah2 tu sekali. Nasib dia terkubur dalam vacuum cleaner... sedih2

Nadd berkata...

oly : rumah spiderman mcm tu lah kot kan.. kena hati2 nnt terperangkap.. nak selamat bwk vacuum kliner pegi rumah dia hahaha..

frict : ko dgn ab sama je.. kalau dah english educated tu lah.. coba baca betul2.. labah2 tu tak mati lah.. dia sempat lari.. yg kena sedut tu rumah dia je.. kali ni Amin berperikemanusiaan.. hehe

AB HAFIDZ berkata...

oh yekeee~~

gasp!

dia sempat eskep

Nadd berkata...

yaaa dia sempat lari.. hahaha(gelak jahat) tunggulah kemunculannya di episod akan datang..

arsaili berkata...

salam..sungguh sadis..ehehe