#

Pembaca

Khamis, Januari 01, 2009

Nyamuk

Konsentrasinya diganggu oleh satu suara dari belakangnya.

"Lamri, Lamri. You tau tak pasal kes semalam tu?" Lamri kenal sangat suara itu. Nampaknya kerjanya akan terganggu oleh suara itu sekurang-kurangnya untuk setengah jam. Dan hari ini Lamri tidak mampu untuk kehilangan setengah jam daripada masanya.

Lamri menoleh sedikit ke belakang dan anak matanya menangkap wajah milik suara tersebut iaitu Qrisytina yang sudah pun bersiap sedia memusingkan kerusinya menghadap Lamri. Melihatkan respons Lamri itu, Qrisytina terus menyambung bicaranya.

"Ada ke dia suruh kita yang uruskan. Sepatutnya kes itu diuruskan oleh kumpulan lagi satu tu kerana ianya bukan tanggungjawab kita. Ianya memang di bawah skop kumpulan lagi satu tu, dan dia pulak memang maklum tentang perkara ni tapi dia tetap suruh kita yang uruskannya," mulut Qrisytina mula memuntah peluru bebelan secara rambang.

"Mm ni pasal apa sebenarnya ni?" tanya Lamri dengan niat cuba menapis sampah sarap yang masuk ke telinganya. Fikirannya tidak ada kapasiti lagi untuk perkara-perkara remeh sebegini. Dia tetap memandang ke mejanya. Bertentang mata dengan perempuan itu akan membuatnya berasa tertekan. Namun begitu, dia menyesal bertanya soalan tersebut. Dengan bertanya lanjut, secara tidak langsung dia telah memberi kebenaran kepada Qrisytina untuk meneruskan perbincangan yang tak perlu itu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata.. terpaksalah dia terima akibatnya.

"Ala pasal problem untuk application akaun baru tu lah. Masalahnya sekarang client tu bukan di dalam kawasan jagaan kita, tapi dia bertanyakan pada kita, maka kita sepatutnya cuma perlu bagitau saja kepada kumpulan yang jaga kawasan client tu. Minta mereka tolong uruskan. Ini tidak, kita disuruh untuk uruskan masalah tu dan diminta berhubung dengan pihak teknikal. Ada ke patut begitu, betul tak cakap aku ni Lamri?" panjang lebar hujah Qrisytina sebaik sahaja mendapat 'lampu hijau' yang tidak sengaja Lamri berikan tadi. Dia nampaknya tidak kisah bercakap dengan 'belakang' Lamri.

"Tak payahlah buat. Kita minta sajalah kumpulan lagi satu tu buat. Dah jelas ianya tanggungjawab mereka dan bukan kita," simpul Lamri dengan mudah dan seremeh mungkin dengan harapan yang perbualan itu ditamatkan segera dan dia boleh kembali kepada kerjanya yang jauh lebih penting. Namun harapannya itu bagaikan jauh panggang dari api.

"Yalah, tapi si koordinator tulah yang aku tak puas hati tu. Masalah2 macam tu kalau datang dialah yang kena uruskan. Bukannya susah pun, pass jelah kat kumpulan yang sana tu. Aku tak fahamlah kenapa dia nak susahkan kita pulak pasal benda ni. Ni bukannya kali pertama dia buat macam ni. Kenapa dia takut sangat dengan kumpulan sana tu? Kau agak kenapa ha Lamri?" Qrisytina memaksa Lamri menyertai diskusi yang padanya bagaikan masalah hidup dan mati.

"Manalah saya tau. Kalau tak puas hati, bagitahu jelah koordinator tu. Entah-entah dia tak perasan kot atau terlepas pandang," Lamri cuba kekal positif tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Dia lebih suka duduk di atas pagar kerana dia tahu kakinya pasti terpalit lumpur jika dia turun ke mana-mana belah sekalipun. Di dalam pada itu hatinya mula bengkak dengan Qrisytina yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti bercakap. Lamri menggaru-garu belakang lehernya yang mula rimas.

"Kumpulan sana tu pulak kalau lah problem client kawasan kita tersesat kat tempat diorang, dengan senang hati dan penuh bongkaknya mereka akan campak balik ke muka kita bagaikan ianya satu kesalahan besar. Yang itu si koordinator ni tak sedar pulak. Kenapa nak jaga hati kumpulan sana tu sedangkan ahli kumpulan kamu sendiri terabai. Lagipun, kedua-dua kumpulan pun masih di bawah syarikat yang sama. Kenapalah mereka ni takde semangat nak kerja untuk kebaikan syarikat di mata client. Semuanya hanya tahu nak senang hidup masing2 saja. Kalau diikutkanlah memang aku nak aje bagitau depan mukanya yang dia tak patut buat kita macam tu. Memang tak patut sanga..."

"Ish BISING lah!" tiba-tiba sahaja Lamri meninggi suara sambil bangun dari kerusinya. Dia mendongak ke atas dan matanya meliar seketika. Kemudian dia menepuk kedua belah tangan ke udara. "Pap!" bunyi telapak tangannya bertemu. Matanya ke sana ke mari semula bagaikan mencari-cari sesuatu beserta dahi yang bekerut dan tapak tangan terbuka yang bersedia untuk menampar lagi. Seluruh pejabat jadi senyap sunyi dan berpasang-pasang mata sedang memandang ke arah gelagat Lamri itu.

Seketika kemudian Lamri bagaikan baru perasan akan keadaan sunyi di sekelilingnya itu dan dia kembali menoleh ke arah Qrisytina. Wanita berumur hujung 20-an itu kini kelihatan sepuluh tahun lebih tua daripada umurnya dengan ketakutan jelas terpancar dari wajahnya yang memucat. Melihatnya begitu, Lamri yang kelihatan begitu bengis tadi terus tersenyum dan menggaru-garu kecil lengannya.

"Nyamuk tadi, bising di telinga saya. Saya ni memang anti sikit dengan nyamuk ni. Ganggu konsentrasi nak buat kerja," jelas Lamri yang masih tersengih kerang. "Qrisy tengah cakap pasal apa tadi ya?" tanyanya kembali kepada Qrisytina yang masih terperanjat dan separuh terlopong.




Gambar dari sini

3 ulasan:

Sarah berkata...

kelakar

Nadd berkata...

nyamuk memang bisa buat kita ketawa kdg2..

Sarah berkata...

sarah ketawakan qrystina tu..