#

Pembaca

Ahad, Julai 19, 2009

Mama

"Mama!" jeritnya sekuat-kuat hati. Namun tiada sebarang balasan yang kedengaran. Tekaknya terasa perit. Sudah berjam-jam lamanya dia di situ seorang diri. Dia tidak sedar bila ibunya pergi. Sebangunnya dari tidur tadi lagi ibunya sudah tidak kelihatan. Dan tempat dia berada ini bukanlah tempat pertiduran biasanya. Barangkali ibunya telah membawanya ke sini sewaktu dia sedang tidur nyenyak malam tadi.

"Mama.." dia masih tidak putus asa memanggil ibunya. Harapnya agar ibunya segera pulang mengambilnya di sini. Tempat ini terlalu asing baginya. Walaupun gelap dan terlindung dari panas matahari, namun dia tidak suka berada di sini. Dia tidak selesa selagi ibunya tiada di sisi. Dia takut tinggal berseorangan.

"Mami.. mamu.." samar-samar dia mendengar suara yang mengajuk panggilannya, namun sedikit berlainan. Dia tidak pasti siapakah gerangan empunya suara itu namun dia tahu dia sebenarnya tidak berseorangan. Perlahan-lahan dia mengengsot badannya menuju ke arah suara tersebut. Namun setiap dua atau tiga langkah dia akan berhenti dan kemudian kembali ke tempat asalnya. Dia tidak berani pergi jauh. Dia harus menunggu ibunya di situ.

"Mama?" dia memanggil untuk mendapatkan kepastian. Kini suara tadi semakin dekat dan rasanya sudah berada tak berapa jauh saja daripadanya. Dia melihat ke arah punca suara itu namun dia tidak dapat melihat dengan jelas. Kadang-kadang suara itu bertukar kepada bunyi-bunyi yang sangat asing baginya, dan kadang-kadang suara itu kembali menyerupai suara ibunya.

"Maami..mamuu.." gema suara itu kembali kedengaran dan lantas pandangannya disilaui cahaya yang terang dengan tiba-tiba. Dia jadi semakin takut dan terus menjerit memanggil-manggil ibunya yang berada entah di mana. Suara itu sudah dekat benar dengan dirinya. Dia tidak berupaya untuk melarikan diri. Dia hanya mampu menangis mengharapkan kedatangan ibunya.

"Mama! Mama! Mam..!" dengan tiba-tiba saja dia terasa suaranya tidak dapat keluar dari kerongkongnya. Lehernya bagaikan dicekik oleh sesuatu. Dia menggelupur dan meronta-ronta untuk melepaskan dirinya namun cekikan itu terlalu kuat baginya. Sejurus itu dia terasa yang dirinya sedang ditarik pergi dari situ.

"Jangan bawa aku pergi! Nanti mamaku akan kembali ke sini! Aku sedang menunggu mamaku! Jangan bawa aku pergi!" Tangannya terkial-kial memegang lehernya, dan terasa amat sukar baginya untuk bernafas. Di dalam panik itu dia terus menerus memanggil ibunya. Namun yang kedengaran hanyalah bunyi-bunyi tangisan yang menyayat hati. Dia terus ditarik semakin jauh dari tempat itu.

***

"Apa bendanya tu bang?" tanya Shahid kepada seorang lelaki yang sedang berdiri di atas tangga mudah alih dari lubang di siling dapurnya. Lelaki itu tidak menjawab. Tangannya sedang memegang sebatang paip besi panjang yang ditariknya perlahan-lahan keluar daripada lubang di siling itu. Seorang lagi rakannya yang sedang menunggu di bawah menyambut hujung batang paip sepanjang dua depa itu. Sejurus itu kelihatanlah seekor binatang kecil yang terikat pada lehernya di hujung lagi satu batang paip itu sedang terkial-kial ingin melepaskan dirinya.

"Anak musang," akhirnya lelaki itu menjawab. Shahid hanya mengangguk-angguk melopong sambil melihat kedua-dua anggota Pertahanan Awam itu keluar melalui pintu dapur rumahnya bersama-sama peralatan mereka dan seekor anak musang kecil yang telah sehari suntuk ditinggalkan oleh ibu musang itu di atas siling dapur rumahnya.


Imej ihsan dari sini.

5 ulasan:

Sarah berkata...

dah lama tak kena twisting.

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

-iya unsur twisting yang cantik
-cuma dialog anak musang tu kelihatan terlalu formal.
-bila dibayangkan ,wujud unsur sedih/simpati
-memuaskan(mengenyangkan)

Nadd berkata...

sarah : tiada niat nk twist pun.. tango je sket.. hehe

akak : mungkin semuanya hanya imaginasi sahaja, maka dialognya pun hanya sekadar bicara hati sendiri sahaja..
walaubagaimanapun terima kasih atas komen akak..
(cmne boleh kenyang baca cerkon kak? :P )

Tanpa Nama berkata...

lama menunggu cerkon baru dari abang nadd, akhirnya penantian saya berakhir juga. hehehe...

seperti kata akak, abang nadd memang pandai memperincikan perasaan dalam setiap tulisan abang nadd dan banyak yang saya belajar.

cerita kali ini juga ringkas dan padat. hati saya tersentuh hiba sedikit mengenangkan anak musang yang kehilangan ibunya itu...

nice one abang nadd!! ;)

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

macamana boleh kenyang?
tak tahulah nak terangkan.Boleh rasa lapar dan kenyang sahaja.Kalau lama Nad tidak menulis tu,laparlah balik.
Satu hal lagikan...sampai sekarang akak belum berjaya menulis cerpen hantu..tak pandai2.