#

Pembaca

Selasa, April 02, 2013

Lelaki Baik



 
HyeMi

 Aku tak puas hati betul la,” kata Hairi. Mukanya berkerut-kerut. Dengus kecil kedengaran dari hidungnya.

Aril yang sedang khusyuk membaca novel menoleh ke arah kawannya itu. “Apa halnya yang kau tak puas hati tu?” tanya Aril.  Ikut hati, dia malas nak ambil kisah. Tapi kalau dah sampai mendengus dah mamat sorang ni, maksudnya mesti ada sesuatu yang serius.

“Ada ke patut HyeMi pilih SamDong daripada JinGuk.. huh tak patut betul!” Dada Hairi turun naik sambil dia bercakap penuh semangat. Dengus lagi.

Mata Aril terbeliak. “What the.. ?! Kau kacau aku tengah syok baca buku ni semata-mata sebab ending drama korea??! Puihhh!!! Buang masa aku je ambik kisah!” cebik Aril. Matanya kembali ke buku yang dipegang.

“Ala weh dengar la ketakpuashatian aku ni. Siotla lu. Ni mesti kau sokong SamDong nih kan?” Hairi  takkan berhenti selagi Aril tak melayan dia.

“Takdelah aku sokong sesiapa pun. Cuma aku fahamlah kenapa HyeMi pilih SamDong..” jawab Aril endah tak endah. Dia cuba mengembalikan fokus kepada bacaannya.

“Kau cuba fahamkan aku boleh tak? Aku tak fahamlah. Dari awal cerita JinGuk dengan HyeMi suka sama suka kan? Dan diorang pun dah couple elok dah. Alih-alih je dah nak abis cerita rilek je HyeMi tukar daripada JinGuk ke si SamDong. Tak setia langsung!” Hairi tak habis lagi bitching.

“Huh!” Kali ini giliran Aril pula menghela nafas dengan kuat. Nampaknya fokus membacanya dah hilang terus. Selagi si Hairi ni tak puas hati, selagi tu lah dia tak akan aman. Aril meletakkan bukunya ke tepi.

“Okey, mari dengar aku terangkan,” Aril membetulkan duduknya menghadap Hairi. “Memang dari awal cerita, mamat JinGuk tu suka kat HyeMi. Tapi kau tak perasan ke SamDong pun suka kat HyeMi dari awal cerita jugak? So kat situ kira fairlah dua-dua lelaki tu sukakan perempuan yang sama. Sekarang ni tinggal HyeMi sajalah yang kena pilih siapa yang dia suka.”

Hairi mengangguk-angguk dengan kening yang berkerut serius.

“Kalau kau perasan JinGuk dan SamDong mempunyai watak yang berbeza. Kedua-duanya mencintai HyeMi dengan cara yang berbeza. JinGuk suka HyeMi yang kasar dan degil, dan dia rasa HyeMi sangat dekat dengan diri dia sendiri yang juga kasar, kuat dan degil. SamDong pulak sukakan HyeMi yang padanya sensitif dan punya hati yang lembut di sebalik luarannya yang kasar. Dia rasa dia perlu protect hati HyeMi daripada apa saja.”

Hairi mengangkat kening. “So apa justifikasi yang membuatkan SamDong lebih layak dapat HyeMi? JinGuk pun ada protect HyeMi jugak kan?”

Aril senyum saja mendengar kata-kata Hairi. “Ha, tengok aku dah terangkan pun kau tak dapat tangkap jugak. Kau nih noobie betul bab bercinta nih.”

“Whatever. Memang aku tak reti bab-bab ni, tu yang aku tanya kau. Cepatlah bagi aku pencerahan, siot!”    

“Dude, SamDong sukakan HyeMi dari hati. Itu yang JinGuk tak ada. SamDong ni kan macam jiwang sikit. Bertindak pun ikut hati. Cakap pun ayat boleh buat bulu roma orang meremang. Dan yang paling penting, dia ikhlas cintakan HyeMi, tanpa mengharapkan balasan. Kat situ dia menang, hands down.” Aril pulak yang beriya bercerita.  

“Yalah kalau ya pun, takkanlah HyeMi boleh tinggalkan je JinGuk dan pergi kat SamDong macam tu je..” Hairi nampaknya masih tak boleh terima tindakan HyeMi.

Aril senyum lagi. “Bila hati dah berubah, tak guna dah stay dengan orang yang hati kita tak suka. Apa salahnya HyeMi ikut apa yang hati dia nak? Kita bukan boleh paksa-paksa hati nak suka siapa kan?”

“Memanglah tak boleh paksa. Tapi kesianlah JinGuk tu. Dia bukannya jahat ke apa pun. Dia baik apa. Pada aku tak patutlah penulis skrip tu buat watak tu macam tu,” keluh Hairi.

“Kau ni sokong benar JinGuk tu, sebab kau rasa kau macam dia jugak kan?” Giliran Aril pula menyoal.

Hairi mengangkat bahu. “Mungkin. Aku rasa tindakan dia semua okey je, dan kalau aku pun mungkin aku akan buat benda yang sama macam dia buat.”

“Sebenarnya JinGuk tu memang baik. Tapi itu pun satu masalah. Dia terlalu baik. Dia baik bukan kat HyeMi je. Dia baik kat orang lain jugak kan. Kau tak perasan macam mana dia layan minah BaekHee tu? Memanglah dia suka HyeMi, tapi kalau dia betul-betul suka, kau ingat dia akan sokong BaekHee tak masa awal-awal cerita dulu?”

Hairi geleng.

“Kan? Ha tu lah. Dia tak pernah faham hati HyeMi yang sebenarnya. Kalau aku nak listkan masalah dia banyak sebenarnya. Tapi point yang paling besar adalah dia baik sangat sampai dia tak boleh nak prioritize apa yang penting untuk dia dan apa yang tidak. Pada perempuan, dia adalah abang yang terbaik. Tapi bukan kekasih, hanya setakat abang saja.”

Hairi menghela nafas. Dia tak terjawab dah. Kebenaran hujah Aril begitu terasa meresap ke dalam hatinya. Abang? Begitukah dirinya selama ini? Baik dengan semua perempuan, sampai dianggap abang. Siapa tak kenal dengan Abang Hairi. Kalau ada anugerah lelaki paling baik hati di dunia, memang dia confirm boleh dapat undian sms terbanyak. Namun begitu apa maknanya semua itu? Baik dengan semua perempuan, namun hakikatnya tak ada seorang pun yang sanggup berkasih dengannya.

Tiba-tiba Hairi terasa begitu sayu. Ketika saat begini, ketika hatinya merintih begini, pada siapakah dia harus pergi? Di dalam ramai-ramai perempuan yang dia baik itu, siapa yang sanggup berkongsi hati dengannya? Hairi sendiri tidak ada jawapannya.

“Hoi!!!” tiba-tiba satu sergahan mengejutkan Hairi yang sedang mengelamun. Aril turut sama terkejut. Jahanam si Rahim ni main sergah-sergah.

“Aku nak masuk bilik tadi tapi bila aku dengar jantan dua orang discuss pasal drama Korea, serius aku ingat aku salah masuk blok perempuan tadi..Kah! Kah! Kah!” gelak Rahim sambil menggeleng-geleng. Aril mencebik lalu kembali mencapai bukunya.

Hairi merenung jauh ke luar tingkap sambil menghela nafas di dalam diam.


  

1 ulasan:

Dewi Aja berkata...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)