#

Pembaca

Rabu, Julai 13, 2011

Lif




   "Ting!" Pintu lif terbuka. Ramli tergesa-gesa melangkah masuk. Tiada orang di dalam lif tersebut. Tangan Ramli segera menekan butang nombor empat.

   Kemudian Ramli berdiri mengadap muka pintu lif. Sekilas dia menjeling ke arah jam di tangannya. Dia menghela nafas dan tersenyum sendirian. Pintu lif mula tertutup.

   "Tunggu!" kedengaran suara dari luar pintu lif yang sudah separuh tertutup. Spontan bibir Ramli memuncung. Namun tangannya tetap menjalar lalu menekan butang untuk membuka pintu. Pintu lif terbuka semula.

   "Terima kasih," seorang lelaki masuk ke dalam lif dengan nafas yang termengah-mengah. Ramli memandang saja gelagat lelaki tersebut. Walaupun tercungap-cungap, namun lelaki itu sempat tersenyum dan mengangguk kepada Ramli. Ramli membalas dengan senyuman tawar.

   Sebaik lelaki itu memalingkan wajah, Ramli lekas-lekas membuang senyum dari wajahnya. Matanya kembali menjeling jam di tangannya. Dahinya mula berkerut. Dia memejamkan matanya dan menghela nafas berat.

   "Ting!" bunyi menandakan lif sudah sampai ke tingkatnya. Ramli melihat pintu lif terbuka dan lekas-lekas dia mengikuti lelaki di hadapannya itu melangkah keluar.

   Kedua-dua mereka berjalan dengan langkah yang tergesa-gesa. Mereka melalui lorong yang sedikit sempit. Dari jauh Ramli nampak pintu masuk ke pejabatnya nun di hujung lorong. 

   Ramli yang berjalan di belakang mempercepatkan langkah. Namun ruang lorong terlalu kecil untuk dia mencelah ke hadapan, lalu dia memperlahankan langkahnya semula. Ramli menggetap bibirnya.

   Seketika kemudian lelaki yang berjalan di hadapan itu menoleh sekilas ke arah Ramli. Ramli melarikan matanya ke serata arah kecuali kepada mata lelaki tersebut. Lelaki itu kemudiannya kelihatan memperlahankan langkahnya dan berjalan rapat ketepi dinding.

   Ramli mengorak senyum dan lantas menghayun langkah besar-besar untuk memotong dan sekaligus meninggalkan lelaki tadi di belakang. Langkahnya dipercepatkan lagi. Jam tangan yang dikerling buat kesekian kalinya menunjukkan kira-kira 30 saat sebelum pukul sembilan.

   Ramli tiba di hadapan pintu pejabatnya. Tanpa berlengah dia terus menguak daun pintu dan masuk ke dalam. Secara automatik dia membelok ke kiri dengan tangan yang sudah siap sedia memegang 'punch card'nya.

   "Aik? Mana pergi pulak mesin ni?" dahi Ramli berkerut lagi. Dia berpaling ke arah meja setiausaha merangkap penyambut tetamu. "Aisya, mana mereka alih..." kata-katanya tersekat di kerongkong. Meja penyambut tetamu juga tiada di tempatnya.

   "Cari siapa encik?" Ramli terdengar suara dari belakangnya. Dia menoleh dan melihat lelaki tadi sedang berdiri dan tersenyum padanya. Dengan tiba-tiba wajahnya terasa panas.

   "Er, tak ada apa-apa. Maafkan saya," jawab Ramli lalu terus keluar daripada pejabat itu. Sebaik saja di luar Ramli membuka langkah dan berlari sekuat hatinya menuju ke arah lif. Dari jauh dia sudah nampak nombor '2' besar berwarna hitam yang tertampal di dinding di antara dua pintu lif. Mulutnya kumat-kamit menyumpah sendirian.