#

Pembaca

Khamis, Oktober 28, 2010

Dari atas tempurung



"Dari atas tempurung ini, aku dapat saksikan seluruh dunia dengan dua biji mataku. Aku dapat saksikan ketidakadilan. Aku dapat saksikan kebatilan yang dijunjung, dan kebenaran yang disisih. Aku dapat saksikan betapa dunia ini begitu bersalah."

"Dari atas tempurung ini, aku melolong. Lolongku bukan lolong kosong. Mata dan minda tajamku adalah senjata untuk berjuang. Lolongku adalah lolong perjuangan. Perjuanganku menentang kebodohan dunia. "

"Wahai umat dunia. Sedarlah kamu bahawa semua di hadapan kamu itu adalah kepalsuan. Semua di hadapan kamu itu adalah kelalaian. Adalah kamu hanya dipergunakan untuk mengisi kantung mereka-mereka yang salah perjuangannya. Tidak ada perjuangan yang benar melainkan perjuangan dari
atas tempurung ini. "

"Aku menyeru kamu semua. Lihatlah diriku ini. Contohilah diriku ini. Hidup ini adalah perjuangan. Susah payah aku mendirikan tempurung ini agar dapat aku berdiri di atasnya dan menyeru kamu sekalian. Janganlah kamu hanya suka berenak-enak dibuai mimpi yang pastinya akan memakan diri. Bangkitlah dari lena realiti!"

"Tidakkah kamu semua dapat melihat kebenaran? Sudah pasti tidak. Sudah pasti mata dan hati kamu semua telah dibutakan oleh pendokong-pendokong kebatilan itu. Kesian kamu semua. Habis rosak binasa minda. Habis punah harapan bangsa. Kalaulah kamu dapat melihat apa yang aku lihat, dari atas tempurung ini. "

Masa beredar, zaman berubah. Gunung ditarah, bukit dirata. Pencakar langit terus dibina memanjat langit. Umat manusia terus mencorak masa depan kehidupan dengan warna-warni peredaran zaman. Dan suara itu tetap juga di situ, dari atas tempurung yang satu.


Imej dari sini

2 ulasan:

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

Layak disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia.

Nadd berkata...

terima kasih kak.. kat akhbar takde genre cerkon.. kena jadikan sajak ke gitu baru buleh kot..