#

Pembaca

Ahad, April 25, 2010

Drama


Foto ihsan dari sini.


Matahari senja sedang condong di hujung horizon. Cahayanya yang berkilauan apabila terbias dek permukaan lautan kelihatan memukau. Pemandangan yang mengasyikkan itu dinikmati oleh Dean dan Jessica, sepasang kekasih yang duduk di atas pasir, tidak jauh dari gigi air.

"Ucapkanlah," kata Jessica. "Ucapkanlah walaupun sekali sahaja," Jessica merenung ke dalam mata Dean. Anak mata yang kebiruan itu menjadi keperangan dek lantunan cahaya senja.

"Mmm.." balas Dean pendek. Dia melarikan pandangannya ke lautan luas.Memandang matahari yang sudah sedikit lagi mahu menyentuh kaki langit. Spontan Dean menipiskan matanya. Silau.

"Kenapa begitu sukar?" sambung Jessica. "Tidakkah awak sayangkan saya?" Dia terus menerus memandang sisi wajah Dean. Beberapa saat berlalu sunyi, kecuali desir ombak yang mewarnai latarbelakang kesunyian itu.

Dean berpaling kembali menatap wajah Jessica. Mata coklat Jessica ditenungnya. "Ya saya sayangkan awak Jessica," luah Dean.

Namun itu bukanlah kata-kata yang diharapkan Jessica. "Kalau sayang, kenapa awak tidak mahu mengucapkannya?" gadis itu masih tidak berpuas hati.

"Hmm.." Dean tidak dapat berdalih lagi. "Saya rasa belum tiba masanya lagi untuk saya ucapkannya," dan jejaka itu berpaling semula ke pantai. Tiupan angin bermain-main dengan rambutnya. Dibiarkannya saja.

Jessica turut menyoroti pandangan Dean ke laut lepas. "Nampaknya awak masih belum pasti lagi tentang perasaan awak terhadap saya," ujarnya sedikit kecewa.

"Mungkin juga," balas Dean. "Saya pasti yang saya sayangkan awak, tapi mungkin ianya belum sampai ke tahap itu lagi." jawab Dean lagi.

Jessica terasa sesuatu jauh di dalam dadanya. Apakah perasaan ini? Pedih bagaikan ada sesuatu yang terluka di dalam dada ini. Kenapa aku berasa begini? Mindanya menjadi bercelaru. Dadanya berombak cuba menahan gelojak yang mula melanda.

"Apakah bezanya sayang dan cinta?" Perasaan di dada Jessica mula tidak dapat dikawal lagi. "Mengapa mudah mengungkap sayang tapi tidak cinta? Awak mempermainkan perasaan saya barangkali?" nada suaranya semakin meninggi.

"Tidak!" Dean mengangkat wajahnya semula. "Sekali-kali saya tidak berniat untuk mempermainkan perasaan awak. Saya betul-betul sayangkan awak. Cuma.. " kata-katanya terputus di situ bagaikan ditelan bunyi ombak. Ataupun memang dia tidak menghabiskannya.

"Cuma apa?" Jessica semakin hilang sabar.

"Cuma saya tidak pasti apakah perasaan yang hadir i hati ini adalah cinta yang sebenar2nya.. ataupun.." kata-kata Dean hilang buat kesekian kali.

"Ataupun apa?" tanya Jessica lagi. " Ataupun cinta main-main?" Geram yang ingin keluar daripada dadanya ditahannya sepenuh tenaga.

"Bukan!" jawab Dean. "Bukan main-main. Sebenarnya saya takut perasaan ini hanyalah sekadar cinta yang bersinggah sementara," suara Dean mula tegas.

"Cinta sementara?" kening gadis itu berkerut. "Maksud awak?" Wajah Dean tetap tidak lepas dari tatapannya.

"Saya pun tidak tahu bagaimana nak jelaskan.. maksud saya.. cinta yang tidak kekal," Dean cuba sedaya upayanya untuk menjelaskan. Rautnya menunjukkan perasaan serba salah.

"Awak takut yang satu hari nanti semua ini akan berakhir? Cinta ini akan berakhir?" Jessica terus mendesak.

"Hmm ya," akhirnya Dean mengalah. "Awak pun tahu yang saya pernah bercinta beberapa kali sebelum ini. Dan semuanya telah berakhir dengan kegagalan. Saya tidak mahu ianya berlaku lagi dengan awak. Saya betul-betul sayangkan awak. Namun saya takut Jessica, saya takut," jelas Dean. Dia menghela nafas lega, bagaikan sesuatu beban yang selama ini dipikulnya telah hilang.

"Mmm.. begitu rupanya," balas Jessica lemah. Ketegangan di wajahnya mula mengendur. Kini giliran dia menundukkan wajahnya. Dunia tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Kesuraman mula menjalar setelah matahari terbenam penuh di hujung horizon. Kesuraman yang sama turut menjalar ke hatinya. Dean membiarkan sahaja wanita itu melayan perasaannya.

"Baiklah, saya faham," akhirnya Jessica bersuara kembali.

Dean tersentak. "Apa yang awak faham?" tanyanya sedikit bingung.

"Saya fahamlah," Jessica masih berteka-teki. "Sebenarnya saya sudah agak dah akan perkara ini. Namun saya tidak mahu mempercayai firasat saya. Saya mengharapkan sebaliknya akan berlaku. Memang saya ini buta." sambungnya lagi.

Jessica kemudiannya memandang Dean. "Itu sebabnya saya sudah pun membuat keputusan," katanya. Dari matanya terpancar satu sinar yang membuatkan Dean menjadi resah.

"Keputusan?" tanya Dean. "Keputusan apa?" Raut wajah Dean berubah.

****

"Amat!!!" Mak Kiah menjerit dari arah dapur. "Tolong pergi kedai beli kelapa parut!"

"Baiklah mak!!" jawab Amat. Dia bingkas bangun dari duduknya sambil mulutnya mengomel sendirian,"Tengah saat-saat genting ni lah.. " Tangannya lantas mencapai alat kawalan jauh dan menutup suis televisyen di hadapannya.





5 ulasan:

Maria Kajiwa berkata...

Tahniah kerana tidak segan menulis sesuatu yang klise dengan cara tersendiri. Tahniah juga kerana berjaya mengenakan akak lagi sekali.
Setting sesuai, diksi dalam naratif sesuai cuma dalam dialog ada masalah sedikit. Contoh 'bersinggah' tidak wujud. Dan juga 'singgah' sudah bermakna sementara oleh itu kena ubah ayat itu sedikit.Juga 'agak dah' bila dibaca dari segi 'bunyi' kurang serasi dengan babak itu, dicadangkan diganti 'menduga' atau'menjangka' supaya 'flow'mood itu smooth.
Selain itu,cerkon ini akak sifatkan berjaya.

Nadd berkata...

terima kasih di atas teguran akak..

maaflah bukan niat nak mengenakan siapa2, cuma taktau mcm mana nak endingkan kisah bergenre begini. masih perlu belajar lagi :)

Hanni Ramsul berkata...

Muahahaha...saya pun terkena kak.
Nadd dgn kisah klise...mcm bukan Nadd aje. Rupa2nya ada ending yg tak klise. kih kih kih
Berkerut kening baca...nadd ke ni...nadd ke ni...
Tak reti nak komen dari sudut ilmiah, tp, endingnya mmg Nadd.
Hehehe.. terkena gue..
n nice cerkon.
Lama x singgah sbb x leh masuk, byk sawang. now, nampaknya dah kurang sikit sawangnya ye Nadd. :)

Nadd berkata...

yep sawang mmg bnyk, terkejut jugak saya ini antara paling lama saya menganga.. harap2 lepas ni tak lama mcm inilah..
terima kasih kerana dah bersawang pun masih sudi singgah..

Sarah berkata...

baru nak layann..dah potong stim.Abang kalau bab cantas feeling tu memang dah pakar.