#

Pembaca

Sabtu, Mac 07, 2009

Secawan kopi, segelas milo.



"Mak, roti telur satu. Letak bawang tau," Anis menyampaikan pesanan kepada ibunya yang berada di dapur. Ibunya sekadar mengangguk sambil tangannya pantas menyiapkan pesanan terdahulu. Melihat ibunya mengangguk, Anis faham dan beredar ke bahagian minuman untuk membancuh milo panas yang turut dipesan oleh pelanggannya bersama-sama dengan roti telur tadi.

Tangan Anis cekap membancuh milo ke dalam segelas air panas. Dia sudah biasa membancuh air dari zaman sekolah menengah lagi. Sejak kakaknya meninggalkan mereka sekeluarga untuk mengadu nasib di bandar, tugas membancuh air secara rasmi menjadi miliknya. Sambil tangannya ligat mengacau air milo tersebut dengan sudu, fikirannya mula menerawang keluar daripada dapur warung itu.

"Sampai bila agaknya aku nak kena bancuh air ni?" keluh Anis di dalam hati. Anis sebenarnya cemburukan kakaknya. Dia percaya yang sekarang kakaknya gembira. Gembira kerana dapat lepas bebas daripada kehidupan di warung kampung yang membosankan ini. Gembira kerana dapat memilih untuk melakukan apa saja yang dia suka. Kakaknya pernah beritahu Anis yang teman lelakinya adalah seorang yang kacak dan berharta.

Daripada tingkap kaunter yang memisahkan dapur dan ruang makan itu, Anis menjeling ke arah seorang lelaki yang sedang duduk bersama seorang lagi rakannya."Hm, lelaki tu boleh tahan juga rupanya. Gayanya pun seperti bukan dari sini. Kan bagus kalau aku ada teman lelaki seperti dia," hati kecil Anis berbisik. Spontan dia menyisipkan rambutnya yang berjuntaian ke belakang telinganya.

Anis berhati-hati meletakkan milo yang sudah siap ke atas dulang, bersama-sama secawan kopi panas yang sudah tersiap terlebih dahulu. Wap panas perlahan-lahan naik daripada kedua-duanya. Bau pekat kopi panas diselangi dengan bau manis milo itu cukup menyelerakan. Kemudia ditatangnya elok2 dulang kecil yang lusuh itu dan dibawanya ke hadapan menuju kepada pelanggannya yang sedang menunggu.

***

"Hoi, tak habis-habis main mesej!" jerit Zaki kepada Mat. Mat yang terkejut dengan sergahan Zaki itu merenung dengan pandangan yang sedikit bengang.

"Ala, jealous ke brader. Itulah, orang suruh cari makwe taknak," balas Mat, sinis. Zaki tersengih sahaja. Setidak-tidaknya, dia telah dapat perhatian Mat. Itu yang penting.

"Hmm kalau kau ada lebih, kasilah kat aku satu. Aku pun dah bosan hidup sorang-sorang ni," jawab Zaki separuh serius separuh tidak.

"Banyak cantik muka kau. Carilah sendiri. Kau tu bukannya tak mampu nak cari sendiri pun. Rupa ada, duit ada, hati baik, setakat yang aku kenallah. Cuma masalahnya sekarang kau tu yang memilih sangat," Mat mula memuntahkan peluru ceramahnya. Zaki senyum sambil menghela nafas. Ini bukannya kali pertama dia mendengar 'ceramah' sebegitu. Dia sendiri tidak berapa pasti perempuan yang bagaimana yang diinginkannya sebagai teman hidupnya. Dia percaya yang dia akan tahu hanya bila tiba masanya nanti.

"Habis tu, takkanlah aku nak main sambar saja sesiapa gadis yang melintas kat depan aku ni," Zaki sengaja memberi alasan sambil lewa, tanda tidak mahu lagi membincangkan topik tersebut.

Dan pada waktu itu pelayan warung tiba di meja Zaki menatang dulang berisi dua minuman panas. Dengan sopan pelayan itu meletakkan dulang tersebut ke atas meja dan seterusnya mengangkat secawan kopi dan segelas milo dan seterusnya diletakkan di hadapan Zaki dan Mat masing-masing. Semerbak bau menusuk hidung kedua-dua lelaki itu.

"Terima kasih," jawab Mat sambil menjeling Zaki yang sedang khusyuk menatap wajah gadis pelayan itu dengan mata yang tidak berkedip.

"Sama-sama," gadis itu menjawab sambil berpusing untuk kembali ke dapur. Dan pada masa yang sama mata gadis itu sempat menjeling sebentar ke arah Zaki. Pandangan mereka bertaut seketika sahaja sebelum gadis itu berjalan pergi sambil menatang dulang kosong. Mata Zaki masih menyoroti langkah gadis tersebut dan Mat pula tersengih meniup perlahan milo yang masih panas berasap.


Gambar hiasan (flickr)

3 ulasan:

Sarah berkata...

Kena baca 5 kali..bukan kerana tak faham tetapi tak biasa..

Camellia MK (Maria Kajiwa) berkata...

seperti sarah,akak pun memerhatikan sesuatu yang sebenarnya tak tahu apa,jadi tak tahu apa nak komen.Baca je apa yang nad siarkan.
Macam bukan Nad yang tulis.itulah yang sebenarnya...macam budak2 kat kapasitor je?

Nadd berkata...

entahlah kak, saya main tulis je..
maaflah jika ianya mengecewakan.
pengaruh kaps pun ada jugak sket2 kot..